Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Monday, June 9, 2008

Cinta..



Situasi pertama (masih belum bercinta):

Pada waktu tengah hari ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah, Rieza memilih untuk berjalan kaki pulang ke rumah walaupun bapanya telah membayar duit bas. Tujuan? Ingin mengekori Diana, pelajar perempuan yang berada di kelas bersebelahan dengan Rieza, dengan niat ingin mengetahui tempat tinggal Diana, memastikan Diana selamat pulang ke rumah, dan meng"ushar" Diana. Walaupun akibat daripada perbuatan tersebut, Rieza terpaksa berjalan kaki sejauh 3 km dan mungkin lebih untuk sampai ke rumah dalam cuaca yang panas terik.

Situasi kedua (sedang berusaha mencari cinta):

Sewaktu di rumah, sedang enak menjamu selera bersama keluarga selepas selesai solat maghrib, tiba-tiba telefon berdering. Lina dengan pantas menyambar gagang telefon, berebut dengan kakaknya untuk menjawab telefon. Namun malangnya, orang yang ditunggu panggilannya masih belum muncul. Lalu dengan hampa dan kecewa menyerahkan gagang tersebut kepada yang kakaknya yang sepatutnya menjawab panggilan. Berulang-kali peristiwa yang sama berlaku. Hinggalah pada lewat malam, dalam pukul 11, deringan panggilan ke 15 malam itu, Lina masih cergas seperti sebelumnya menyambar gagang, dan akhirnya yang ditunggu, muncul... dialog mereka seperti berikut,

Ahmad: salam.
Lina: salam.
Ahmad: Maaf lambat, saya janji nak telefon pukul 8, tapi tadi ada hal sikit.
Lina: Eh takpe, tak ada masalah(sambil menyembunyikan keadaan termengah2).


Situasi 3 (Dalam proses mengekalkan Cinta):

Esok hari jadi Lina, tapi masalahnya Ahmad berada di Seremban, Lina yang menetap bersama keluarganya di Temerloh mengajak Ahmad keluar. Ahmad dengan penuh yakin dan selamba, menerima ajakan lina. Maka dengan tekad meminjam motorsikal adik saudaranya untuk bertemu dengan Lina di Pahang. Pada keesokan harinya, Ahmad selamat tiba di Pahang. Walaupun terpaksa bertolak selepas subuh, dan menunggang motorsikal Honda Wave 100cc selama 5 jam, Ahmad masih tenang dan bersahaja menemani Lina menyambut hari jadi di Pahang. Walaupun ditambah dengan keadaan Ahmad yang kesempitan wang, Ahmad sanggup mengeluarkan duit simpanannya untuk menghiburkan hati Lina.

Situasi 4 (sudah berkahwin dan berkongsi Cinta):

Mak Limah merupakan seorang suri rumah tangga sambil mengambil upah menjahit baju, manakala suaminya Pak Abu mencari rezeki dengan mengambil upah menoreh getah dan berkebun, pendapatan yang mereka peroleh tak sampai pun RM500 sebulan. Pada suatu hari, Ali, 17, anak sulung dari 8,mengeluh keletihan ketika pulang dari sekolah. Walaupun tiada perkataan yang terungkap, namun keletihan jelas tergambar di wajahnya. Ali terpaksa berjalan kaki 4 batu ke sekolah setiap hari kerana tidak mampu untuk mnyewa bas. Basikal di rumahnya pula diutamakan kepada adik2nya yang juga masih bersekolah. Pak Abu yang melihat situasi tersebut menyimpan tekad untuk lebih rajin menoreh, dan membuat kerja2 tambahan. Pak Abu keluar rumah seawal 4 pagi dan pulang untuk sarapan selepas subuh, pukul 8 pagi, selepas anak-anaknya ke sekolah, Pak Abu keluar mencari kerja2 tambahan, menebas rumput, mengangkat barang, menjadi buruh pembinaan, kerja perpaipan, dan lain-lain. Mak Limah pula, semakin tekun menjahit siang dan malam. Mak Limah menerima dan mencari sebarang tempahan walaupun ternyata tidak menang tangan. Selepas dua bulan, mereka menghadiahkan motor EX5 Classic kepada Ali, dengan deposit RM500 dan masih perlu mencari wang untuk bayaran bulanan sebanyak RM150.

Cinta..


Walaupun situasi di atas agak biasa dan tidak terlalu mengujakan. Namun situasi tersebut kerap berlaku bagi mereka yang ber"cinta". Perasaan dan keperluan sendiri tidak lagi menjadi keutamaan asalkan dapat menghiburkan dan memenuhi permintaan yang tersayang.

Sanggup berpenat, menunggu, bersusah, dan menderita kerana yang tersayang. Inilah yang disebut sebagai pengorbanan ketika dilanda perasaan Cinta. Apabila kita mencintai dan mengasihi seseorang, kita sanggup berkorban dan memberikan sepenuhnya jiwa dan raga. Acap kali sukar untuk kita membuat pertimbangan yang waras sekiranya bertembung dengan pilihan yang melibatkan orang yang kita sayang, asalkan segala yang diminta olehnya dapat kita penuhi dengan sedaya upaya kita.

Sememangnya cinta itu buta, kerana ia bukan sahaja tidak mengenal siapa, malah tidak mengenal bila, berapa, di mana, ke mana, dan mengapa. Lamunan cinta menyebabkan manusia tenggelam, lena dibuai mimpi dan mabuk asmara. Ada yang mandi tak basah, makan tak kenyang, dan tidur pun tak lena kerana cinta.

Manusia, secara fitrah dan nalurinya mempunyai sifat-sifat ini, mementingkan cinta dan kasih sayang. Cinta dan kasih sayang "memanusiakan" manusia. Tanpa cinta dan kasih sayang manusia akan berubah menjadi binatang, malah lebih teruk daripada binatang. Namun begitu, perasaan jemu, benci dan putus asa sering menjadi penghalang kepada perasaan kasih dan sayang. Malah, sikap cemburu dan iri hati akibat daripada cinta ini juga boleh menyebabkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Perceraian dan perpisahan, gejala buang anak, bunuh, rompak, rogol, sumbang mahram, adalah tanda bahawa manusia tersebut sudah hilang sifat manusianya. Mereka bertindak dan berkelakuan di luar batas kerana sudah hilang pertimbangan akal yang waras. Mereka tersalah tafsir erti cinta dan kasih sayang, seterusnya menterjemahkan tafsiran yang salah itu dengan tindakan yang salah.

Antara sebab utama yang membawa kepada bala ini adalah kerana ciri-ciri dan sifat cinta yang ada pada manusia itu sendiri. Cinta manusia ada sempadan dan hadnya. Terkadang tidak telus dan terlalu rapuh. Wujudnya umpama langit yang tidak terduga mendung dan cerahnya. Sifat hadirnya umpama awan yang mudah ditiup dan mudah pula berubah berubah haluannya, tidak kekal bentuknya hingga akhirnya bercerai menitiskan hujan.

Cinta yang sejati dan hakiki adalah cinta Ilahi. Tuhan sangat cinta dan mengasihi hambanya. Tanpa had dan sempadan. Saban hari dan setiap waktu, Tuhan akan menjaga hambanya. Diberikan rezeki, udara, perlindungan, dan bimbingan di sepanjang perjalanan. Walaupun berjuta kesilapan yang dibuat oleh hambaNya, namun kasih sayangnya tidak sedikit pun berkurangan. Pintu dan jalan untuk hambanya "kembali" sentiasa terbuka luas. Maha Suci Tuhan dengan kasih dan sayangNya kepada kita.

Hanya dengan bantuan cinta dan kasih sayang Tuhan yang abadi ini sahaja yang akan dapat mengabadikan cinta dan kasih sayang manusia terhadap manusia. Bercinta dan berkasihan keranaNya akan membantu kita mengekalkan diri kita pada peraturan dan adab yang baik sebagai manusia. Kehilangan dan berpisah keranaNYa memandu kita untuk kekal tabah dan sabar menjalani hidup.

Kebergantungan kita padaNYa jualah yang menjadi sumber segala kekuatan dan kejayaan. Kealpaan dan kelekaan kita terhadap cinta ini, akan menyebabkan kita terjerumus ke lembah yang sememangnya tidak kita ingini....


Thursday, June 5, 2008

aku mereka dan dunia..[6]

Setelah 3 jam perjalanan kami tiba di halaman rumah opah dan atuk di Jalan hj Wahab, Kg Selboh, Parit, Perak. Bibit-bibit pertemuan semula setelah agak lama tidak bertemu amat menggamatkan suasana. Aku bersalaman dengan saudara-mara sambil memerhatikan ibuku bersalam sambil berpelukan dengan adik-beradiknya.

Seharian kami bermain, seolah tiada tanda ingin berhenti. Kalau bukan kerana hadirnya malam, sudah tentu kami akan terus bermain. Sejurus selepas makan malam beramai-ramai di tingkat bawah, abang aku bingkas bangun keluar rumah mengeluarkan stok bunga api dan mercun yang dibawanya dari Bandar. Sememangnya keriangan bermain bunga api di kampong jauh lebih meriah berbanding di KL.

Hari berikutnya kami menyambung misi mengisi ruangan memori dengan pengalaman yang indah bermain bersama. Sambil kaum ibu dan bapa sibuk memasak dan mengemas rumah. Maklumlah, esok raya. Walaupun aku masih belum mengerti akan makna sahur, raya, dan puasa, namun pengajaran yang sudah pasti akan melekat dalam ingatan, Hari Raya adalah hari yang paling seronok dan bermakna.

Hari ni hari raya, waktu tu masih gelap tapi sudah ramai yang dah terjaga. Kelihatan ramai yang beratur menunggu giliran menggunakan bilik air, tak kurang yang beratur ingin menggosok baju. Aku terpegun melihat suasana ketika itu, semuanya mengenakan pakaian yang berwarna-warna dan kelihatan segak, cantik, comel, dan menawan. Di suatu sudut terhidang kuih-muih dan rendang. Dalam hati aku berbisik, ni mesti baki sahur tadi.

Tiba-tiba Pak cemi, adik mak aku mencuit sedikit dari kek yang terhidang dan memasukkan ke dalam mulutnya.

“Pak Cemi tak puasa!” aku menjerit sambil menuding jari kea rah Pak Cemi.

Satu rumah mentertawakan aku. Penjelasan ibuku mengurangkan tegang urat otakku menafsirkan kejadian yang berlaku. Tapi kenapa hari ni yang dipilih untuk raya.

3 hari berlalu dengan pantas. Sepanjang hari raya, kami menziarahi ramai saudara-mara di perak. Saudara ibu ku ramai menetap di Parit, sementara saudara ayahku di bahagian Bota, terletak kira-kira 17km antara keduanya. Terkadang kami beraya sampai ke Ipoh, dan manjung. Paling mengujakan, DUIT RAYA, hamper setiap rumah yang diziarah menyediakan duit raya. Nyatanya, bab duit raya ni krang persoalan yang aku timbulkan. Bak kata, rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari.

Ayah dan emak sibuk mengemaskan barang, atuk dan opah duduk termenung di beranda, melihatkan gelagat anak-anaknya sibuk berkemas. Rupa-rupanya kami semua akan meninggalkan kampong untuk kembali ke rumah. Keluarga aku antara yang paling awal berkemas. Lewat pagi tersebut kami pun bertolak kembali ke KL. Suasana yang amat berbeza berbanding ketika dalam perjalanan pulang ke kampong tempoh hari.

Saudara-mara menghantar kami sehingga ke bibir jalan. Sayup-sayup lambaian tangan atuk dan opah menghantar kami pulang ke KL. Berakhir sudah episod keriangan beraya di kampong. Alangkah bahagianya kalau raya ni setiap hari dan sepanjang tahun. Boleh jumpa atuk, opah, dan saudara. Paling best, dapat duti raya. Aku sendiri pun tak pasti kemana duit raya yang aku dah terima. Tahu-tahu, tinggal beberapa ringgit sahaja di dalam sampul yang aku satukan isinya.


bersambung...

aku mereka dan dunia..[5]

Kami ke rumah najib dan kebetulan adi dan hafiz juga berada di rumah najib. Mereka bertiga sedang leka bermain permainan video, “micro genius” yang begitu terkenal dengan game contra, ninja turtle, dan super Mario. Terliur aku melihat mereka begitu seronok menekan butang kawalan. Kami berempat bergilir-gilir bermain, menentang najib dalam gam street fighters. Terangkat-angkat kaki terikutkan watak Ryu pilihan najib, bertarung dengan Ken pilihan adi.

Hamper setiap hari kami berkumpul di rumah najib. Selang beberapa hari, aman mengajak aku ke rumahnya. Rupa-rupanya ayah aman turut membelikannya satu set permainan “micro genius”. Kami bermain berdua secara senyap kerana enggan memberitahu kawan-kawan yang lain.

Hampir sebulan telah berlalu, malam tu aku menyertai ahli keluargaku yang lain menikmati makan malam, walaupun ditegur oleh angah kerana aku tak berpuasa. Peduli apa, salahkah kalau nak makan sekali dengan orang yang berpuasa?

Ayah menenangkan kami, dan mengumumkan satu berita gembira.

“Esok kita balik kampong,” umum ayah sambil tersenyum menantikan reaksi kami sekeluarga.

Hiphip Hooray!!! Kami semua gembira mendengar berita gembira tersebut. Terus terbayang wajah atuk, opah, makcik-makcik, pakcik-pakcik, sepupu-sepapat, halaman rumah, tali air, pokok jambu, manggis, durian, rambutan, pisang, cempedak, ayam, itik, angsa, kambing, hampir kesemuanya dimuatkan dalam ingatan dan bayangan. Makan malam tersebut berakhir agak awal kerana kami semua bergegas membuat persiapan untuk perjalanan jauh yang bakal ditempuh esok hari.

“kenapa kita balik kampong?” Tanya aku inginkan kepastian.

“Lusa kita raya,” jawab mak ringkas.

Raya? Apa pulak raya ni? Namun, seperti malam-malam sebelumnya, dentam-dentum bunyi mercun dan bunga api terus memeriahkan suasana. Tapi hari ni kelihatan bunyi dan kekarapannya agak berbeza. Semakin banyak dan kerap. Aku menyertai keghairahan dan kemeriahan malam itu bersama rakanku bermain bunga api di atas jalan di hadapan rumah.

Keesokan harinya, selepas subuh, kami bertolak pulang ke kampong. Berkumandang di radio lagu-lagu yang merdu menyebut berulang-ulang mengenai hari raya dan puasa. Aka bertambah pelik dan hairan. Namun kegusaran dan kehairanan tak menghalang senyuman terukir di wajahku membayangkan kampong yang dirindu.

bersambung...

aku mereka dan dunia...[4]

Semalam aku bermimpi terbayang wajah aku ketika dewasa. Walaupun gambaran kurang jelas, tapi seingat aku wajah aku ketika itu boleh diklasifikasikan sebagai “boleh tahan”. Ketika aku terjaga, mak dan ayah sedang bersiap untuk pergi ke tempat kerja. Terdiam sejenak memikirkan siapa agaknya aku bila besar nanti?

“Aik, bangun-bangun terus senyum?” tegur Inspektor Hamlud, ketika menjenguk aku di bilik yang aku kongsi bersama angah. Inspektor Hamlud merupakan pegawai di Balai Polis Cheras, merangkap ayah yang aku kagumi. Bagi aku, ayah dan ibu adalah dahan tempat aku berpaut, juga payung untuk aku berteduh. Rumah, mahligai yang mengumpulkan kami sekeluarga, juga “kubu” yang menghindarkan kami dari bahaya bencana.

Pn Fauziah, heroin keluarga kami, berkhidmat di Ibu Pejabat Kastam DiRaja Malaysia, di Damansara. Ayah menghantar ibuku ke tempat kerjanya, along pula ke sekolah menaiki bas, ngah sekolah petang tapi hari itu dia ke sekolah awal dari biasa. Ida pulak berjalan kaki ke sekolah kira-kira 6 blok dari rumah. Tapi sekolah ida ni pelik skit, perempuan berbaju kurung, dan lelaki berbaju melayu bersampin, warna kain dan sampan kedua-duanya hijau, letaknya pula di halaman surau taman cheras indah.

Aku suka pergi ke sekolah ida pada waktu petang selepas azan asar. Sebabnya? Ketika itu satu sekolah akan mengalunkan nasyid, “ﺍﻠﻠﻬﻢ ﺍﺭﺣﻤﻨﺎ ﺑﺎﻠﻘﺭﺀﺍﻥ ” lagu itu abgiku cukup merdu, kenapa? Aku pun belum begitu pasti akan jawapannya. Ada sesekali tu, walaupun sedang asyik bermain, aku akan berhenti dan bergegas ke sekolah ida hanya untuk mendengar nasyid tersebut.

Pagi itu, masih lagi aku dan bibik di rumah. Aku pun menikmati sarapan yang agak pelik menunya hari tu. Nasi putih, sardin, ikan bilis, dan sayur.

“bibik, makanan ni untuk tengahari sekali ke?” Tanya aku kehairanan.

“oh, ni bukan lauk tengahari! Ni lauknya sahur pagi tadi,” balas bibik yang berasal dari Indonesia.

“sahur?” balasku inginkan penjelasan.

“iya sahur, hari ini sudah mula berpuasa,” jawab bibik.

Wah, Puasa? Sahur? Apa maknanya? Aku enggan merumitkan kepala, lantas terus melicinkan pinggan untuk menyambung penerokaan aku selanjutnya hari ni. Aku menyeru dan memanggil keluar semua “rakan-rakan” sepenerokaan dan juga kelengkapan-kelengkapan yang aku perlukan dari bilik stor.

Memulakan hari ini dengan bermain bersama encik Batman, menemaninya bertarung dengan Incredible Hulk. Hari ni, Hulk telah dirasuk oleh orang jahat. Jalan cerita yang diadaptasi dari cerita Suria Baja Hitam, episod 34. Akhirnya, seperti biasa Batman menang, dan berjaya memulihkan ingatan Hulk dan mereka berdua kembali berkawan baik.

Setelah berpuas hati kerana berjaya memulihkan Hulk, aku memutuskan untuk kelua rumah. Destinasi tujuan hari ni adalah rumah aman.

“Assalamualaikum,” sapa aku meminta izin untuk masuk ke rumah aman.

“Eh, Farid! Masuklah,” sambut ibu aman.

“aman, ko tau tak sahur tu apa?” ujar aku kepada aman.

“sahur? Pagi tadi aku sahur. Mak aku cakap kalau nak puasa kena sahur,” jawab aman ringkas.

“puasa tu apa plak?” ujar aku yang semakin hairan.

“ko tak puasa ke? Macam mana nak raya? Kalau tak puasa tak bleh raya kan mak?” perli aman sambil memalingkan pandangan kepada Mak Cik Minah yang tekun menjahit baju.

“Takpe, farid kecik lagi. Puasa tu, tak makan dan minum dari pagi sampai petang. Dah habis puasa boleh raya,” jawab mak cik Minah ringkas sambil tersenyum melihat telatah kami berdua.

Aku memaksa diriku untuk terima sahaja jawapan Mak Cik Minah lantas menarik tangan aman ke satu sudut rumahnya. aku berbisik kepada aman bertanyakan hal ikan yang kami tangkap tak lama dulu. Aman sekadar menggelengkan kepala, sambil mencebik muka. Dengan nada yang perlahan dia memberitahu bahawa ikan-ikan tersebut dah mati. Tak sempat pun nak tengok bertukar jadi katak atau tidak, ujarnya.

Aku pun turut bersedih bersimpati mengenangkan betapa sayangnya aman terhadap ikan-ikan yang berhempas-pulas kami tangkap bersama. Aku mengajaknya bermain bagi mengelakkan kesedihan berlarutan dan menjejaskan misi meneroka kami pada hari itu.

bersambung...

aku, mereka dan dunia..[3]

4 tahun aku berada di dunia..

tempoh perkenalan yang agak singkat.. namun sudah banyak yang aku pelajari..

aktiviti harian; bermain, makan, tidur... keindahan tanpa batasan, keseronokan tanpa halangan..

hari dimulakan pada lewat pagi, seceliknya mata terus mendapatkan tudung salji menyemak makanan menjadi santapan pertama hari ni. gendang-gendut tali kecapi, walau kenyang perut, tetap berlari....

seawal pagi, mak dan ayah telah pun bersiap untuk pergi mencari rezeki. "bibik" menemani aku dan kakakku di rumah. Bibiklah yang menjadi mangsa "penerokaan alam kanak-kanak" aku di rumah. "the day Farid's ruled".

bosan berlari, "askar kecil" menjadi teman seperjuangan mengharungi perang di rumah dua tingkat. sekejap bertempur di atas, di bawah, di tangga, di dapur, di bilik air, hingga ada askar yang lemas di longkang, tak kurang yang cedera di gigit kucing. hingga akhirnya kemenangan berpihak kepada "yang baik". menurut fikiranku, yang jahat kesudahannya mati. Yang baik meneruskan hidup memakmurkan bumi, seperti Ultraman, jetman, power rangers, satria baja hitam, batman, ninja turtles, x-men, tak kurang robin hood yang menjadi hero kerana "mencuri untuk memberi".

hero-hero inilah yang menjadi pujaan hati aku dan kawan-kawanku. saban waktu kami membincangkan mengenai kuasa sakti dan kehebatan mereka bertempur dengan raksasa yang mereka kalahkan demi memepertahankan keamanan dunia, terkadang membayangkan seolah kami juga mempunyai kuasa yang sama. kami di tanam dengan kepercayaan, pengorbanan melindungi dunia ini dari "raksasa" dan "penjahat" adalah perbuatan yang mulia...

"farid, makan nasi nih!" jerit bibik menandakan masuknya waktu makan tengahhari bagi "No 50, jalan cheras indah 15, taman cheras indah, KL" dan kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya. belum ada tanda amaran dan seruan yang sepenting seruan makan....

maka perut diisi, tangki dipenuhi. tenaga secukupnya diperlukan untuk aku meneruskan perjuangan..

petangnya, koleksi "hot wheels" yang pelbagai warna dan rupa menjadi pilihan. Membawa aku bersiar-siar. sesekali berlumba di litar yang cukup sukar laluannya, "perlumbaan tanpa graviti".. sekejap di udara, sekejap di tanah, bahkan dinding juga menjadi laluan litar lumba rekaan aku....

lewat petang aku dan kawanku bergegas keluar dari kubu, meneroka keluar "dunia" menjelajah dan menjajah kawasan baru untuk dijadikan teritori. Mencari "pakatan" baru untuk dijadikan rakan kongsi bual bicara, senda gurau dan ketawa...

"wei, tengok ni, ada ikan la," seru najib yang ketika itu khusyuk memerhati ke dalam longkang tidak jauh kedudukannya dari rumah aku.

"korang tunggu jap, aku gi amik cebuk," ujar aman, lantas berlari menuju ke rumahnya.

kami menunggu sambil memerhati dengan penuh teliti.

"eh, ni bukan ikan, anak katakla," sangkal adi cuba mengalihkan tumpuan.

"mana pulak, kalau berudu takda ekor macam ni," sambut aku, cuba mengembalikan semangat dan perhatian.

"hah, jom kita tengok siapa yang betul," selit aman, kembali dengan cebuk yang barangkali di ambil dari tandas rumahnya...

sejenak menumpukan sepenuh tenaga dan perhatian, tiba-tiba..

"pin! pin! Woi, apa yang kamu main kat longkang ni??" jerit seorang pak cik dari sebuah kereta yang kebetulan lalu di jalan tempat "lubuk ikan" di temui.

sambil menyumpah kami meneruskan misi menangkap ikan tanpa menghiraukan teguran pakcik tersebut..


setelah puas berhempas pulas akhirnya 7 anak aikan berjaya kami tangkap..

"aman, ko nak buat apa dengan ikan ni," tanya najib berminat untuk mengetahui kesudahan ikan yang kami tangkap.

"tentulah aku bela kat rumah," ujar aman.

"nanti, kalau benda tu besar jadi katak padan muka korang," ujar adi cuba mempertahankan kenyataannya.

sambil sibuk berbalah, tiba-tiba kaki aku tergelincir jatuh ke dalam longkang.

"aduh, sakitnya!" jerit aku sambil memrhati adi dan najib mentertawakan aku. Mujurlah aman menghulurkan tangannya membantu mengeluarkan dari longkang..

"ei, busuk!" adi dan najib terus menyakitkan hati aku.

"Woi, dosa tau buat macam tu, kalau korang yang kena nanti macam mana?" soal aman menenangkan aku yang sudah pun bermandikan darah dan air mata.

"ok, ok. aku mintak maaf," ujar adi, sambil menutup mulut menahan gelaknya.

hari yang indah berakhir di situ apabila kami berpecah kembali ke "territory" masing-masing.

di rumah, ibu dan bapaku sudah pun pulang ke rumah. along dan ngah juga tampak keriangan menceritakan pengalaman indah masing-masing di sekolah mereka hari ni. sungguh aku tak faham apa yang best sangat dengan sekolah yang mereka sebut berulang-ulang itu?? sebelum menjejakkan kaki ke dalam rumah, aku membasuh muka mengesatkan air mata, sambil cuba untuk menutup kesan luka di tangan dan kaki akibat terjatuh di longkang..

"assalamualaikum," sapaku lantas terus bergegas ke bilik yang terletak di tingkat atas..

malam tu, aku tidur awal sejurus selepas makan malam bersama keluarga. hanya bertukar pakaian tanpa mandi, mengelakkan pedih akibat luka yang terkena air.

berlalulah hari indah... hari ini, aku belajar sesuatu, perkataan yang asing yang cuba aku fahami, terbayang akan perkataan dosa dan sekolah. apa makna dua perkataan tersebut?? juga iktibar yang aku pelajari mengenai "pesan orang tua-tua" yang aku abaikan ketika leka bermain di longkang..

Antara Yang Menarik