Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Sunday, December 8, 2019

Peraturan dan Polisi Kelas Pengajian Dar At-Taybah 2020




1. Kelas beroperasi setiap Isnin hingga Khamis bermula 7.00 hingga 9.00 malam.
2. Kelas akan bercuti pada hari-hari cuti umum dan pada hari-hari yang akan dimaklumkan dari masa ke masa.


3. Sebarang ketidak hadiran dan kelewatan kedatangan atau pengambilan anak-anak / jagaan, mestilah dimaklumkan kepada Pihak Pengurusan Taybah.

4. Bayaran yuran Tahunan dikenakan sebanyak Rm 50, dan yuran bulanan sebanyak Rm50.
5. Yuran pengajian hendaklah dijelaskan selewat-lewatnya pada 7hb setiap bulan.
6. Setiap pelajar terikat dengan peraturan ketika berada di dalam kelas dan sepanjang berlangsungnya kelas di Dar At-Taybah.
7. Pengisian sepanjang kelas akan dipelbagaikan meliputi
- Bacaan Iqra' atau Al-Quran
- Bengkel Smart Solat.
- Bacaan Yasin dan Tahlil.
- Program Qiamullail (minima 6kali setahun)
- Ceramah dan motivasi keagamaan dan jatidiri.
- Hafazan Surah-surah Penting
- Bengkel Tahsin Qiraah (Kelas Tajwid)
8. Pelajar dikehendaki memakai pakaian yang sesuai dan sopan semasa hadir ke kelas. Pakaian sukan, ketat dan tidak sopan mestilah dielakkan.
9. Tahap pencapaian dan penguasaan Individu adalah berbeza, justeru Ibu bapa digalakkan mengambil berat perkembangan bacaan Anak-anak/jagaan sepanjang tempoh pengajian.

Thursday, November 21, 2019

Ulang kenang...

Saya baca dalam buku tulisan Dr Aidh Abdullah Al-Qarni, La Tahzan, bahawa perkara silam yang telah berlalu tidak boleh diungkit, dikenang apalagi untuk disesali. Pun begitu, saya percaya menyingkap kisah silam dibenarkan jika ianya dapat memberi manfaat kepada diri kita.

Kisah perjalanan hidup saya tidaklah sehebat atau selayaknya untuk dijadikan pengajaran dan teladan. Walaubagaimanapun, saya kongsikan dengan harapan diri saya sendiri ingat dan sedar bahawa keputusan dan pilihan yang telah berlaku dan berlalu sebenarnya adalah hikmah untuk masa depan yang lebih baik.

Saya seorang pelajar yang boleh dikatakan cerdik dan pintar. Sepanjang saya bersekolah rendah, tiada satu pun hari anugerah kecemerlangan yang diadakan di sekolah melainkan nama dan diri saya tercatat dalam senarai penerima anugerah. Saya hampir pasti dan berkeyakinan penuh bahawa saya mampu beroleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR pada ketika itu.

Apalagi keputusan percubaan saya ialah 4A1B, jadi saya mula menanam impian dan harapan untuk menempatkan diri saya di salah sebuah sekolah berprestij pada ketika itu. MRSM, SAB, SBP adalah antara sekolah-sekolah yang menjadi impian saya untuk saya masuki.

Pendek cerita, hari keputusan diumumkan, ketika itu saya di kampung kerana kematian opah sebelah ayah. Melalui panggilan telefon, saya mengubungi guru saya, Allahyarham Cikgu Anuar Sadat, guru matematik kesayangan saya, dan beliau memaklumkan keputusan saya ialah 2A3B. Saya terdiam dan terpaku, ketika itu masih di kawasan perkuburan. Air mata kekecewaan mengalir dan menitis. Saya masih ingat bicaranya, "Sabar ye Farid, awak dapat 2A3B," ujarnya melalui perhubungan melalui telefon tersebut.

Allah saja yang tahu betapa remuk, berkecai dan longlainya saya pada ketika itu kerana menerima keputusan yang demikian.

Saya tidak begitu pantas sembuh dari luka menerima keputusan yang tidak saya sangka, dan jauh dari apa yang saya harapkan itu. Namun harapan untuk bersekolah di asrama masih ada, kerana bapa saudara saya mencadangkan agar saya masuk ke sekolah biasa, berasrama harian, dan memiliki rancangan khas Bahasa Arab.

Terus terang, saya tidak begitu menggemari Bahasa Arab, kerana kerap kali ponteng sekolah agama, dan kali terakhir saya bersekolah agama petang ialah ketika di darjah 4. Prestasi dalam kelas pendidikan Islam juga tidak begitu baik. Namun, semangat ingin belajar di asrama dan menempuh pengalaman baru bersekolah di asrama masih tinggi dan saya menerima dengan hati yang lapang untuk bersekolah di Sekolah Menengah Sultan Muhammad Shah, Parit, Perak.

Bersekolah di luar bandar, dengan persekitaran dan suasana kampung begitu sesuai dengan jiwa saya. 3 tahun yang singkat merupakan titik permulaan anjakan paradigma keseluruhan hidup saya. Hasilnya ialah 9A PMR dan berjaya menempatkan diri ke Kolej Islam Sultan Alam Shah, Kelang. Antara SBP dan SMKA yang terbaik di Malaysia.

Memperolehi 7A4B bukanlah keputusan yang boleh dibanggakan, akan tetapi saya berjaya menempatkan diri ke Program Matrikulasi dan kemudiannya melayakkan diri ke Universiti Kebangsaan Malaysia. 

UKM adalah perbukitan ilmu yang sangat hebat dan banyak membentuk fikiran, jiwa dan diri saya seluruhnya. Saya juga bertemu jodoh di sana.

Fast Forward, nah saya kini menjadi seorang Guru Besar di SRITI At-Ta'alim Seri Iskandar, dan beberapa tugas lain yang tidak kurang mencabar bagi diri saya.

Naik turun, susah senang, kalah menang, sebenarnya bukan dinilai pada mana-mana titik persimpangan dalam kehidupan. Titip terpenting dalam kehidupan yang sebenarn ialah detik kematian dan kemenangan pula tidak diukur dari kejayaan, tetapi dari usaha dan amal berterusan yang senantiasa mengharap keampunan dan keredhaan Tuhan.

Hikmah terbesar dari segala bentuk kejayaan dan kegagalan bukanlah apabila kita menilai sesuatu itu diperolehi atau terlepas dari genggaman. Persoalan diri kita hanyalah picisan sebaliknya yang utama yang perlu dilihat ialah hikmah setiap kejadian nak mengajak kita supaya sentiasa rasa diri berTuhan. 

Bukankah setiap yang kita alami itu untuk pengajaran diri kita sendiri, dan kita diuji oleh Allah Ta'ala atas segala susah dan senang untuk kita kembalikan segala puji dan puja kepadaNya
Gambar ketika darjah 5 mewakili Sekolah Kebangsaan Taman Nirwana dalam pertandingan Choral Speaking Negeri Selangor, Naib Johan.

Gambar kelas 503 DI Kolej Islam Sultan Alam Shah, KISAS, Kelang.

Gambar Tahun Pertama di UKM

Ni masa nakal di tahun akhir UKM.

Gambar Baru kahwin, come on... 

Keluarga kecik saya, baru bertujuh.
.

Tak penting apa yang kita dapat hari ini, jika yang kita lihat hanyalah pada akal dan kemampuan kita. Bukanlah kaya itu apabila seseorang itu banyak hartanya, tetapi kaya itu ialah kaya jiwanya dan tidak bergantung kepada selain Tuhannya..
 

Saturday, November 16, 2019

Kemenangan BN di Tanjung Piai dan Kesannya Terhadap Survival Umat Islam

Muafakat Nasional telah membuat satu keputusan yang bukan sahaja berani, malah mengejutkan ramai pihak apabila menghantar calon MCA untuk bertanding di Pilihanraya Kecil Tanjung Piai.

Penetapan calon bukan Islam dilihat seperti bertentangan dengan prinsip Muafakat Nasional yang berkehendakkan kuasa politik Islam dan Melayu bertambah di Parlimen.

Perkara ini dilihat bukan sahaja memberi tamparan yang besar kepada sebahagian besar ahli kedua-dua Parti iaitu UMNO dan PAS, malah ianya dilihat seolah-olah bola tanggung yang diberikan kepada Pakatan Harapan untuk menghentam dan memperkecilkan agenda Islam dan Melayu yang diperjuangkan baru-baru ini.

Kononnya apabila calon bukan Islam dipilih, dan lawan kepada calon itu pula adalah calon Muslim dari Pakatan Harapan, ditambah dengan gelaran Imam yang dimilikinya, maka sepatutnya penyokong kedua-dua parti, UMNO dan PAS, sepatutnya memberikan sokongan kepada meramaikan MP Muslim di Parlimen.

1. Meramaikan MP Muslim adalah perlu, namun menambah MP dari kalangan PH, walau bergelar Ustaz sekalipun adalah suatu perkara yang sia-sia dan tidak akan dapat membela nasib orang Melayu dan Islam. Jika PH serius dalam hal membela Islam, jumlah MP muslim dengan jawatan penting yang sedia ada mereka miliki tidak sepatutnya menjadikan Islam dan Umat Islam menjadi semakin tertekan.

2. Kedudukan MP PH sebagai Menteri Agama, adalah bukti jelas bahawa MP PH tidak berupaya menjadi sandaran untuk mempertahankan dan membangunkan Islam dan umatnya di Malaysia. Sebaliknya, MP PH ini menjadi ancaman bahaya yang cukup besar bahkan memberikan mudarat yang sangat hebat jika terus dibiarkan berkuasa.

3. Adakah MP BN dari kalangan bukan Islam boleh diharapkan untuk membela Islam? Bukankah mereka juga menunjukkan sikap permusuhan mereka dengan agenda Islam? Tidak dapat disangkal, dinding pemisah antara bukan Islam dan Islam di Malaysia ini masih tebal dan pemimpin bukan Islam seringkali menjadikan permusuhan dengan Islam sebagai loncatan untuk mendapatkan kepercayaan daripada pengundi bukan Islam. Seolah-olah jika mereka terlalu tunduk kepada Islam dan agendanya, maka dia tidak dapat membela nasib kaumnya. Ini adalah kenyataan yang pahit, namun hakikat sebenar yang sedang berlaku di Malaysia.

4. Justeru meletakkan calon bukan Islam dalam PRK Tanjung Piai bukanlah misi utamanya untuk membela Melayu dan Islam. Namun, ianya lebih kepada strategi jangka masa lebih panjang iaitu bentuk sokongan yang bakal diterjemahkan dalam PRU-15. Ini adalah misi yang jauh lebih penting dalam PRK Tanjung Piai pada kali ini.

5. Jika MN berdegil ingin meletakkan calon Melayu, maka kita tidak akan dapat melihat bentuk sokongan bukan Islam kepada BN dan PAS. Malah, MN akan dilihat sebagai satu gerakan rasis yang meminggirkan nasib bukan Islam. Sedangkan MN bertujuan menyatupadukan Melayu dan Islam, begitu juga semua rakyat berbilang kaum, keluar dari kerangka politik perkauman yang sempit dan memberi fokus kepada agenda perpaduan nasional, di mana Melayu dan Islam adalah sebagai teras dan tonggak utama.

6. Keadilan bukanlah boleh dilihat dari kesama-rataan, sebaliknya keadilan itu berlaku apabila kita memberikan kedudukan dan penilaian yang tepat berdasarkan kepada keadaan-keadaan tertentu. Malaysia adalah negara yang majoriti umatnya adalah Islam dan Melayu sebagai pemilik dan penghuni asal, mempunyai hak istimewa yang WAJIB dihormati oleh orang bukan Melayu dan bukan Islam. Ini adalah kata kunci utama bagi membantuk kesepakatan dan perpaduan yang baik di kalangan rakyat Malaysia.

7. Justeru kemenangan di Tanjung Piai memberikan kesan yang sangat positif kepada perkembangan politik di Malaysia. Antaranya


i. PH terus menerus ditolak oleh rakyat, bukan sahaja Islam bahkan bukan Islam turut menunjukkan kemarahan mereka.

ii. MN mampu memberikan alternatif terbaik buat rakyat Malaysia ke arah kestabilan politik, ekonomi, agama dan budaya.

iii. MN bukanlah perjuangan rasis dan kejayaan di Tanjung Piai adalah jawapan tuntasnya.

iv. Agenda Melayu dan Islam tetap menjadi keutamaan dan ianya akan terus diperjuangkan dalam MN.

Thursday, November 14, 2019

Hati Kalis Api


Sekuat mana, setebal mana pun sebuah kereta perisai, pasti akan ada titik kelamahan, dan akan musnah juga apabila terkena ledakan bom. Ketahanan dinding ada batas kekuatannya.

Demikian hati, namun musuhnya bukanlah peluru, bukan juga ledakan bom, tetapi musuh bagi hati ialah api. Api kebencian, api kemarahan, api kesedihan, kedengkian dan macam-macam bentuk api yang walaupun berbeza namanya, sifatnya sama iaitu menghancurkan.

Memiliki kalis api, bukan sahaja dapat menepis segala bentuk kebencian, kemarahan, kesedihan kedengkian, bahkan yang paling hebat, ianya kalis api neraka yang menghancurkan.


Bagaimana memiliki hati kalis api? Hadir beramai-ramai ke majlis ilmu, mudah-mudahan Pemilik Hati kita redha dan mengurniakan kita hati yang kalis api...

Tuesday, November 12, 2019

Daurah Luqman Al-Hakim, Program Istimewa Cuti Sekolah


Tercari-cari Program Menarik Cuti Sekolah untuk mengisi masa anak-anak?

Kami tawarkan program 7 dalam 1...


Ada hafazan, Tadabbur, smart solat, aktiviti berkumpulan, ceramah dan motivasi, permainan interaktif, dan ISTIMEWA program Qiamullail dan Zikir Munajat sebagai program Kemuncak.


Anak-anak belum mahir membaca Al-Quran?

Tiada masalah kerana kami akan isi dengan kelas Intensif Iqra', dengan sasaran MAMPU MEMBACA Al-Quran dalam tempoh 10 hari.


Untuk mendaftar, hubungi

013-6727827 (Ustaz Farid)
013-3664574 (Ustazah Sakinah)



Monday, November 11, 2019

Antara Nyata dan Ilusi

Apa yang kita nampak,rasa,dengar, hidu bahkan semua yang kita telan semuanya adalah satu ilusi. Hakikat kejadian yang perlu kita sedar bahawa kewujudan kita juga sebenarnya adalah ilusi.

Dahulu, sebelum kita lahir, kita tidak punya nama, dan kewujudan kita bukan sahaja tidak dikenali bahkan tidak pernah dibayangkan keadaan dan rupanya. Kemudian kita lahir dan menempati sudut yang sangat kecil di atas muka bumi ini. Anehnya, kelahiran kita hanya disedari oleh mereka yang dekat, sedang dunia ini hakikatnya tidak pernah terkesan dengan kelahiran kita.

Kemudian tatkala kita sudah membesar, kita mula mencorak dunia dan kehidupan kita mengikut selera kita sendiri. 

Hanya beberapa ketika, kemudiannya kita akan kembali semua kepada keadaan asal iaitu tiada.
Kita jarang sekali sedar, sebenarnya sangat sedikit masa yang diberikan oleh Allah untuk kita bernafas. Kemudian jantung kita berhenti kerana kontrak hayat yang telah tamat. Maka segala yang kita lihat, dengar, hidu, bahkan semua yang pernah kita miliki tatkala hidup akan kita tinggalkan. Tiada satu pun yang dibawa bersama kecuali amal.

Demikianlah keadaan hidup kita. Terpedaya dengan dunia, bahkan terpedaya dengan kelebihan atau kekurangan diri sendiri, yang hakikatnya tidak lebih dari sekadar ilusi. Hadirnya tidak terkesan, kehilangan pula tidak dirasai.
Begitu sekali nilai dunia ini untuk kita banggakan.

Yang nyata hanyalah Dia Yang Maha Wujud, Nyata dan Hakikat segalanya.

Maka pujian kepadaNya lebih berharga dari dunia dan seluruh isinya. Tiada nilai selain pujian kepadaNya, dan demikian kita dan kehidupan kita tidak bernilai jika tidak mengembalikan segala puji kepadaNya.





Dengan NamaNya kita hidup, dan dengan NamaNya juga kita mati....



Friday, May 10, 2019

Krisis Penyatuan Umno-PAS..

Mendepani cabaran Politik Semasa di Malaysia, timbul banyak isu dan konflik yang memberikan tekanan kurang sihat kepada masa depan dan kelangsungan Umat Islam di Malaysia.

Saya sejujurnya, sebelum ini tidak begitu bersetuju untuk dilaungkan "Melayu sebagai Tuan Tanah" kepada bumi Malaysia ini. Saya bahkan menyanjung tinggi konsep keadilan untuk semua, di mana semua kaum dan agama sepatutnya berhak untuk hidup secara damai dan berhak menjalani kehidupan dengan aman dan harmoni. Sesiapa yang rajin, kuat berusaha, pastinya akan beroleh kejayaan dan keuntungan, sekalipun mereka terdiri dari kalangan bukan Islam.

Begitulah yang saya fikir selayaknya berlaku di bumi Malaysia yang mempunyai latar belakang masyarakat majmuk, berbilang bangsa dan agama.

Mutakhir ini, kita dapati persengketaan antara bangsa, lebih-lebih lagi antara agama semakin ketara dan kerap-kali menyentuh sensitiviti sesama masyarakat di Malaysia.

Apabila kedudukan orang Melayu semakin terancam, ditambah tindakan-tindakan pihak Kerajaan tidak mempedulikan kesusahan orang Melayu yang majoriti terlibat dalam bidang nelayan, pertanian, dan tidak kurang sektor awam, malah satu demi satu isu ditimbulkan membangkitkan kemarahan orang Melayu, gagal pula ditangani secara berkesan oleh pihak Kerajaan, maka timbul kesedaran peri pentingnya kesatuan Melayu dan Kesatuan Islam direncanakan dan diperkukuhkan.

Selain itu, Umat Islam di negara ini sudah begitu lama terpecah kepada dua kelompok besar utama. PAS walaupun memiliki kuasa politik dan keahlian yang lebih rendah berbanding UMNO, namun keupayaan PAS tidak boleh dipandang rendah kerana setiap himpunan yang besar di Malaysia, setakat ini, hanya akan berlaku apabila PAS menyertainya.

Tatkala UMNO sudah kehilangan banyak kuasa politik, bahkan kehilangan beberapa pemimpin politik utama partinya, kekuatan UMNO masih ada, bahkan antara Parti yang tetap memiliki Grass-root yang paling ramai selepas mana-mana Parti Politik.

Berikut senarai jumlah Ahli Parlimen  mengikut parti.

MP PH- PKR = 50 orang

MP PH DAP = 42 orang

MP UMNO  = 38 orang
MP PH PPBM = 22 orang

MP PAS = 18 orang 

MP PH Amanah = 11 orang

Anti-Islam

Ada banyak perbezaan antara menolak dan menentang Islam..


Semua orang Non-Muslim menolak Islam, sebab itulah gelaran yang layak bagi mereka ialah Non-Muslim, atau kafir.

Bagi yang menentang Islam, mereka bukan sahaja kafir, bahkan mereka adalah musuh Islam. Islam melarang umatnya menentang orang bukan Islam, hanya kerana mereka menolak Islam. Jelas, tiada paksaan bagi mereka yang tidak mahu menerima ajaran Islam.

Islam memerintah umatnya agar menyebarkan Islam, menceritakan, menunjuk contoh yang baik, supaya orang bukan Islam tertarik dengan ajaran ISlam yang lengkap, sempurna dan sangat kukuh baik dari segi sumber rujukan mahupun dari segi pengamalan itu sendiri.

Ada pun, bagi golongan yang menentang Islam, baik dari segi amalan mahupun dasar-dasar Islam, mereka juga harus ditangani dengan baik.

Penentangan terhadap Islam bermakna, menentang pelaksanaan undang-undang SYariah Islam, menentang Islam menjadi dasar perundangan dalam Negara, dan menentang segala bentuk polisi Syariah yang ada, tidak kira atas alasan apa sekalipun. Baik atas nama hak asasi manusia, logik akal, kepentingan nafsu dan pertembungan kepentingan kewangan dan sebagainya.

Mereka yang menuntut supaya diberikan kebebasan beragama bagi orang Islam keluar dari agama Islam adalah musuh Islam. Begitu juga mereka yang menuntut supaya diberikan hak untuk mengamalkan LGBT yang secara jelas bertentangan dengan Islam, juga adalah musuh Islam. Mereka yang mendesak Kerajaan campurtangan dalam perkara melibatkan umat Islam seperti hukum hudud, qisas dan sebagainya, juga adalah musuh Islam.

Jadi, jika anda melakukan sebarang bentuk penentangan di atas, sekalipun anda berkawan baik dengan mereka yang beragama Islam, maka anda adalah musuh Islam, kerana bermusuh dengan Islam lebih bahaya daripada bermusuh dengan orang Islam.

Sejarah membuktikan, kerosakan dan kejauhan umat Islam daripada amalan dan ajaran Islam, bukanlah disebabkan mereka diperangi secara fizikal, bertembung dan bertentangan bersemuka dengan orang bukan Islam, sebaliknya perang antara Islam dan musuhnya, kini berlaku dalam bentuk ideologi dan pemikiran.

Sehingga ramai yang sanggup meninggalkan ajaran Islam atau melonggarkan kepercayaan mereka semata-mata kerana ingin menjaga perasaan orang bukan Islam, kerana kononnya dilihat mesra dan berniat baik.

Hakikat inilah yang perlu segera disedari oleh orang Islam, dan segera bangkit dari lamunan yang panjang. Kerana sudah jelas Allah sebutkan di dalam Al-Quran,

"Tidak akan sekali-kali redha orang yahudi dan nasrani terhadap kamu, sehingga kamu mengikut jejak langkah mereka," Al-Baqarah.

Sempena Setahun

Apa yang saya nak daripada kerajaan?
Walaupun JFK suruh kita jangan tanya soalan ini, tapi ni adalah persoalan pokok kenapa saya cakna terhadap perkembangan politik urustadbir Negara...
1. Memperjuangkan Islam supaya menjadi amalan dalam urustadbir negara... Semestinya ISlam sebagai satu cara hidup yang lengkap, boleh dan patut dijadikan teras kepada pentadbiran negara... Mengatasi mana-mana konsep yang diketengahkan oleh akal dangkal manusia...
Apabila menyebut Islam dalam konteks Urustadbir Negara, ia bukan sahaja terhenti pada aspek teologi kepercayaan dan akidah, bahkan merangkumi aspek Maqasid Syariah, ketrampilan, kemajuan dan ketamadunan Negara secara menyeluruh.
Apabila Tamadun Islam menguasai dunia suatu ketika dulu, keupayaan manusia dioptimumkan, segala aspek pembangunan fizikal, spiritual, mental dan emosi semuanya ditingkatkan, baik kepada pemimpin mahupun rakyat.
Menjadikan Ilmu sebagai teras kepada pentadbiran Negara dan pembangunan modal insan rakyat seluruhnya.
2. Kedaulatan dan keamanan. TIdak keterlaluan jika dikatakan, jika Negara menghadapi ancaman daripada musuh luar, maka saya sebagai rakyat wajib mempertahankan kedaulatan, keharmonian dan kesejahteraan, walaupun yang dipertahankan itu adalah kerajaan PH.
Walaupun saya membangkang, saya juga rakyat yang cintakan negara, dan perlu mempertahankannya sebaik mungkin.
Setinggi mana pun kebencian saya terhadap dasar Malaysia Baru yang diperkenalkan oleh Kerajaan PH, ianya tidak sepatutnya menjadi sebab atau alasan untuk kita mengganggu gugat kestabilan negara.
Urusan Negara perlu sama-sama kita urus dan perbaiki, tanpa campur tangan anasir luar, atau semangat ekstrim yang merugikan..
3. Rakyat sebagai Majikan, dan pemimpin sebagai pekerja kepada rakyat. Ini adalah konsep yang diperjuangkan sejak sekian lama, bahkan ianya merupakan intipati konsep kepimpinan sebenar dalam Islam. Bahawa jawatan bukanlah satu kenikmatan atau ghanimah untuk mereka yang menerimanya, sebaliknya jawatan merupakan amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin.
Jika lembu dipegang pada talinya, maka manusia dipegang pada janjinya.
Menjaga kebajikan rakyat bererti, aset utama Negara bukanlah minyak, atau industri berat. Sebaliknya aset utama negara ialah Rakyatnya sendiri.
Lihat bagaimana China berkembang menjadi negara yang hebat, sumber utama negara tersebut ialah rakyatnya sendiri. Sehingga dikatakan, ekonomi yang dijana, dan berputar dikalangan rakyat China itu sendiri sudah cukup untuk menjadikan China sebagai sebuah negara yang hebat.
Kita tidak memliki rakyat seramai itu, namun jika aset ini dijaga dan dipelihara, ekonomi Malaysia akan kembali stabil dan kukuh, tanpa perlu bergantung pada mana-mana pihak atau indsutri sepenuhnya.
Kuasa membeli rakyat Malaysia yang semakin kurang, jurang pendapatan yang semakin tinggi, peluang pekerjaan yang semakin sempit, berpunca dari begitu banyak faktor, adalah simpton dari kegagalan Negara memandang penting aset yang paling berharga ini..
Bersempena ulang tahun tragedi peralihan kuasa terbesar di Malaysia, saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia, untuk terus membangun dan menyelamatkan Negara, musuh utama kita bukan PH mahupun Umno, mahupun Pas, musuh utama kita ialah sikap tidak ambil peduli dan politik berteraskan persepsi yang berpanjangan.



Mohd Farid Bin Hamlud 
Seri Iskandar 
Mei 2019

Wednesday, March 13, 2019

Bumi ini putarannya Islam...

"أَفَغَیۡرَ دِینِ ٱللَّهِ یَبۡغُونَ وَلَهُۥۤ أَسۡلَمَ مَن فِی ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعࣰا وَكَرۡهࣰا وَإِلَیۡهِ یُرۡجَعُونَ

Patutkah mereka mencari selain daripada Deen (Cara hidup) AllahTa'ala? Sedangkan kepadanya tunduk dan menyerah diri sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada secara sukarela atau terpaksa, dan kepadaNya mereka dikembalikan," Surat Ali-Imran, 3 : 83.


Jelas seterang mentari, bahawa Cara hidup yang benar islah cara hidup yang ditentukan Allah Ta'ala, Pemilik, Pentadbir, Pemelihara, Pengurus, Pendidik, Pencipta, Penentu segalanya.

Sekalian makhluk tunduk dan menyerah diri kepada Allah, termasuklah angin, tumbuh-tumbuhan, haiwan, batu, pasir, bulan, bintang dan matahari. Bumi ini, ditentukan Allah berpusing dan beredar di tempat-tempat pusingan dan peredarannya, dengan penuh kepatuhan, tidak dipercepatkan dan tidak dilambatkan walau sesaat.

Tumbuh-tumbuhan akur dengan arahan dan perintah Allah mengeluarkan Oksigen, sekalipun oksigen itu untuk dihirup oleh makhluk yang derhaka kepada Allah, 

Betapa pengasih dan penyayangnya Allah, memberi kita hidup sekalipun kehidupan itu manusia gunakan untuk menentang Allah...

Sedangkan Akal dikurniakan untuk memahami perintah, seluruh anggota dikurniakan untuk melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan Allah.

Manusia sesat dan hilang pedoman bukanlah disebabkan akalnya yang bijaksana, kononnya kerana terlebih baca atau terlebih pendedahan terhadap kerencaman pemikiran di kalangan manusia, sebaliknya manusia jauh dari petunjuk Allah, dek kerana nafsunya yang enggan mengakui kebenaran dan keEsaan Allah 'Azza Wa Jalla..


Jika bumi yang besar ini pun tunduk pada perintah Allah, apakah alasan kita untuk tidak patuh dan tunduk? Besar sangatkah akal kita sehingga petunjuk yang begitu kecil dan mudah pun tidak dapat kita hadam?

Boleh saja, dikatakan kepada semua manusia yang kafir, carilah bumi selain bumi yang dijadikan Allah, jika kamu merasa lebih benar daripada petunjuk Allah... Namun, Allah berpesan dengan pesanan yang cukup baik,

(وَقُلِ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكُمۡۖ فَمَن شَاۤءَ فَلۡیُؤۡمِن وَمَن شَاۤءَ فَلۡیَكۡفُرۡۚ إِنَّاۤ أَعۡتَدۡنَا لِلظَّـٰلِمِینَ نَارًا أَحَاطَ بِهِمۡ سُرَادِقُهَاۚ وَإِن یَسۡتَغِیثُوا۟ یُغَاثُوا۟ بِمَاۤءࣲ كَٱلۡمُهۡلِ یَشۡوِی ٱلۡوُجُوهَۚ بِئۡسَ ٱلشَّرَابُ وَسَاۤءَتۡ مُرۡتَفَقًا)

Untuk terjemahannya, cari dan baca sendiri!
[Surat Al-Kahf 29]

Wednesday, January 30, 2019

Negara Islam

Apa Itu Negara Islam?

Semestinya Pengertian yang paling sesuai bagi Islam ialah merujuk kepada bahasa asal perkataan Islam itu sendiri, iaitu Bahasa Arab. Kata Islam ialah terbitan dari perkataan asal "salama", yang bermaksud selamat.

Islam pula bermakna menyelamatkan, dari timbangan "If'al", yang bermaksud usaha untuk melakukan sesuatu. 

Pengertian mudahnya ialah, Islam bermakna usaha untuk meyelamatkan diri, atau serah diri untuk selamat.

Contohnya, polis meminta kita serah diri atau ditembak, semestinya kita akan serah diri kerana tidak mahu ditembak.

Nah, Islam bermaksud serah diri kepada Allah, untuk selamat. Selamat di dunia dan di akhirat.

Sebab itu, dalam surat yang dikirim oleh Nabi Muhammad SAW, di akhirnya ditulis, "Aslim Taslam", dari segi bahasa bermaksud "Serah diri, kamu selamat". Boleh juga diterjemah sebagai, masuklah Islam, kamu akan selamat.


Jadi, untuk menyelamatkan diri dari bahaya ancaman dunia dan akhirat, untuk mendapat kehidupan yang baik di dunia dan di akhirat, mesti serah diri kepada Allah.

Begitu juga halnya, nak selamatkan Negara dari segala bahaya ancaman dunia dan akhirat, mestilah serah diri kepada Allah.


Ibarat apabila kita serah diri kepada polis, segala arahan akan dipatuhi kerana bimbang akan ditembak atau dikenakan hukuman yang lebih keras. Begitulah halnya menyerah diri kepada Allah, patuh akan segala sistem kehidupan yang telah Allah tetapkan, kerana percaya bahawa keselamatan, kebahagiaan, kemajuan, ketamadunan, kecemerlangan akan dicapai hanya apabila kita benar-benar telah menyerah diri kepada Allah..


Hari ini masyarakat Islam sendiri, sudah timbul keraguan terhadap sistem Islam, dengan pelbagai cara, termasuklah yang berikut:-


1. Tidak percaya kepada isi kandungan Al-Quran, hukum-hukum yang terkandung di dalamnya. Sama ada secara literal, mahupun selepas penafsiran dibuat oleh para Ulama.

Mereka mendakwa, kononnya Al-Quran diturunkan pada 1400 tahun yang lepas, maka ianya telah ketinggalan zaman. Kononnya Al-Quran perlu diberikan semangat baru sesuai dengan perkembangan teknologi dan peradaban manusia semasa.

Hal ini bercanggah dengan banyak ayat Al-Quran, antara lain yang menyebut bahawa Nabi Muhammad SAW adalah pembawa rahmat untuk sekalian alam, bermakna sehingga berakhirnya usia dunia ini, Al-Quran mahupun hadith Nabi Muhammad SAW adalah sentiasa relevan dan menjadi petunjuk kepada semua manusia.


2. Mereka percaya kepada kebenaran Al-Quran dan Hadith, namun, merasakan keadaan belum cukup kondusif untuk pelaksanaan menyeluruh sistem Islam. Kononnya disebabkan faktor ekonomi dan sosial di Malaysia.

Sehingga bila-bila pun keadaan tidak akan pulih, kerana keadaan hanya akan pulih apabila kita telah benar-benar kembali kepada Islam.

3. Ada juga yang berkata, Islam adalah agama yang sederhana dan tidak menyukai perbuatan atau sikap-sikap yang ekstremis. 

Segala hukum hakam dalam Islam telah pun jelas, perbahasan mengenainya banyak dan panjang, bahkan telah lama dan begitu hebat sekali Ulama mengarang kitab berkaitan pelbagai bidang dan aspek kehidupan. Bukan hanya ibadah wajib, bahkan berkaitan politik, ekonomi, pendidikan dan sosial, segalanya telah dibahaskan.

Islam adalah agama Nasihat dan Pendidikan. Hukum tidak boleh berubah, pelaksanaannya adalah fleksibel. Justeru, walaupun pendekatan yang sederhana diambil, hala tuju tidak akan berubah, dan tiada sesuatu pun yang boleh mengubah hukum yang jelas yang telah ditetapkan...

Persoalannya, ketika kuasa sudah berada di tangan orang-orang Islam, apakah sikap pemimpin-pemimpin yang mengaku beragama Islam, terhadap pengabaian hukum, baik yang dilakukan oleh pihak pemerintah, mahupun oleh rakyat?

Sejauh mana kerajaan benar-benar ingin menjadikan Malaysia sebuah negara yang "Serah Diri" kepada Allah?

Monday, January 14, 2019

Perjalanan Penyucian Jiwa- Umrah Hilton Dis 2018 (Bahagian 5)

Di sebelah petang, selepas Ziarah, saya merancang bersama jemaah untk pergi ke beberapa lokasi penting di Sekitar Masjid Nabawi, iaitu Saqifah Bani Saadah, Muzium Asma Al-Husna, Muzium RasuluLlah, dan diakhiri dengan Pasar Kurma.

Sebenarnya ini juga kali pertama saya pergi ke lokasi-lokasi tersebut, kecuali Pasar Kurma, itupun dikatakan lokasinya yang terbaru telah berubah tempat.

Sebelum solat asar kami berkumpul di Hotel. Tak ramai jemaah yang ingin turut serta, mungkin kerana mereka sudah terlebih dahulu pergi dan ada juga jemaah yang tidak sihat. Selesai solat asar, Muslimin solat di bahagian luar pintu 6, dan muslimat di bahagian luar pintu 9.

Apabila sampai di hadapan pintu masuk muzium, rupanya muzium Al-Quran dan Muzium RasuluLlah sedang mengalami proses ubahsuai. Jadi kami terus ke Saqifah Bani Saadah. Lokasi para Sahabat R.A. berkumpul tatkala wafatnya Nabi Muhammad SAW, untuk berbaiah kepada Saidina Abu Bakar As-Siddiq, yang dilantik menggantikan kepimpinan Nabi Muhammad SAW sebagai ketua umat Islam dan Ketua Negara Madinah..

Ianya bukanlah satu proses yang mudah. Sedang semua para Sahabat berebut untuk menolak jawatan, namun melihat kepada kesepakatan dan kebersamaan para Sahabat dalam memilih kepimpinan, antara ucapan yang cukup terkenal yang diucap oleh Saidina Abu Bakar ialah:

اني وليت عليكم و لسن بخيركم

Sesungguhnya aku diwakilkan kepada kami, 
sedang aku bukanlah yang terbaik dari kalangan kamu.

Ucapab yang cukup menyenangkan dan melihat ketinggian laras bahasa juga ketokohan kepimpinan yang ada pada beliau. Beliau dipilih secara sepakat, bahkan sebelum daripada itu begitu banyak peristiwa yang menggambarkan beliau sememangnya adalah pilihan Khalifah Rasul pertama yang sangat tepat. Beliau juga, tatkala para Sahabat termasuk Saidina Omar tidak dapat menerima berita kewafatan Nabi Muhammad SAW, sehingga Saidina Omar menyebut, "sesiapa yang mengatakan Nabi telah wafat, nescaya aku penggal kepala dia," tempik Saidina Omar..

Lalu datang Saidina Abu Bakar menenangkan dan menjernihkan keadaan, dengan kata-kata hikmah yang cukup mendalam, "Barang siapa yang menyembah Muhammad, sesungguhnya Muhammad telah wafat, namun sesiapa yang menyembah Allah, ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Hidup dan tidak akan mati"

Kalimah yang hebat datang dari manusia hebat, yang menerima tarbiah, didikan daripada manusia yang terhebat. Kehebatan generasi ini, meski tidak dapat dinilai dari ukuran kejayaan teknologi dan ketamdunan material, namun jiwa-jiwa yang dibangunkan oleh Nabi Muhammad SAW, didikan, pengajaran, kesan kehadiran Nabi Muhammad SAW di kalangan Sahabat pada ketika itu, melahirkan generasi pejuang-pejuang kental, sehingga kesannya dapat dilihat sehingga ke hari ini.


Hari ini, kemunduran umat Islam adalah disebabkan oleh jauhnya kita dengan didikan Nabi Muhammad SAW, harta yang paling bernilai yang telah ditinggalkan oleh Nabi, iaitu Al-Quran dan Hadtih tidak lagi menjadi rujukan utama Umat Islam. Semakin kuat iman kita, sepatutnya semakin kuat semangat untuk melakukan yang terbaik dalam hidup.

Kami meneruskan perjalanan menuju ke Pasar Kurma, terletak di luar pintu 6 Masjid Nabi.

Setelah selesai mendapatkan Ghanimah masing-masing, kami pun berjalan pulang ke Hotel. Saya dan jemaah lelaki, mengambil keputusan terus masuk ke Masjid kerana hampir masuk waktu Maghrib.

Bersolat di kawasan Pintu Quba.

Menarik ayat yang dibaca oleh Imam pada malam itu. Kesannya mendalam...


Bersambung....

Wednesday, January 9, 2019

Perjalanan Penyucian Jiwa- Umrah Hilton Dis 2018 (Bahagian 4)





Hari ni hari Sabtu, seperti yang dirancang, hari ini adalah tempoh bagi program Ziarah Luar. Ziarah Luar merujuk kepada aktiviti ziarah di luar kawasan Masjid Nabi, iaitu Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Jabal Uhud, Ladang Kurma, dan Masjid Sab'ah.

Banyak perkara menarik dalam aktiviti Ziarah Luar, selain latar belakang sejarah yang mewarnai setiap tempat yang akan dilawati, pelbagai bentuk jualan juga sedia menanti para jemaah. Membeli, sama hukumnya dengan perbuatan-perbuatan lain, boleh dikelaskan antara 5 hukum, Wajib, Sunat, Harus, Makruh, Haram. Tergantung kepada situasi, hukum membeli belah boleh sahaja berubah dari sunat menjadi makruh dan sebagainya.

Orang kata, belilah buat ole-ole. Ada juga yang kata, kalau setakat kurma, kat Malaysia pun banyak, harga lebih kurang. Tapi, saya berpandangan, belilah ikut keperluan dan kemampuan.

Kali ini duit Riyal yang saya bawak cuma SR300 sahaja. Haa, cukup tak? Tentu tak cukup kalau banyak barang yang nak dibeli, tapi jika bukan kerana mengenangkan ahli keluarga saya di Malaysia, silap-silap langsung tiada barang yang saya beli melainkan apa yang saya betul-betul perlu.

Lawatan kami pagi ini dimulakan dengan perjalanan menuju ke Masjid Quba. Masjid yang pertama dibina oleh Nabi Muhammad SAW. Ia disebut dalam Surah At-Taubah,ayat 108, 

"Sesungguhnya Masjid yang dibina atas dasar Taqwa dari awal pembinaan, adalah lebih baik bagi kamu mendirikan solat di dalamnya. Di dalamnya ada pemuda yang ingin menyucikan diri, dan sesungguhnya Allah menyukai orang yang menyucikan diri."

Masjid Quba juga disebut dalam Hadith, bahawasanya sesiapa yang berwudhuk dari rumahnya kemudian menunaikan solat dua rakaat di Masjid Quba, maka baginya pahala satu umrah. Nabi Muhammad SAW juga kerap kali ke Quba', untuk menunaikan solat di sana.

Cuba bayangkan, berwudhuk, solat dua rakaat, bersamaan ganjarannya dengan 7 pusingan tawaf, 7 pusingan saie dan bercukur. Bermakna, hebat dan besar ganjarannya.

Kali ini, rutin ziarah sedikit berbeza, pada kebiasaannya kami akan pergi ke ladang kurma dan terus ke jabal Uhud. Namun, ziarah kali ini, selepas selesai ke ladang kurma, kami mengikut jalan lain melewati Masjid Qiblatain, kemudian melewati Masjid Sab'ah, dan akhirnya baru menziarahi Jabal Uhud.

Rutin dahulu, Masjid Quba' - Ladang Kurma - Jabal Uhud - Kilang Cetak Al-Quran - Masjid Qiblatain - Masjid Sab'ah, dan akhirnya pulang ke hotel.

Jadi, cuma kilang cetak Al-Quran yang tidak dapat diziarahi. Kalau ke kilang cetak Al-Quran, semua pengunjung akan diberi Al-Quran percuma, jadi beza kali ini hanyalah, tiada lagi Al-Quran percuma.

Sebelum menunaikan umrah pada kali ini, berkesempatan berprogram bersama Al-Fadhil Ustaz Hasnul Jamal (Vokalis kumpulan Diwani). Kebetulan program ketika itu ialah sambutan Maulidur Rasul. Banyak kisah-kisah menarik yang baru pertama kali didengari.

Dalam banyak-banyak kisah dan teladan yang Al-Fadhil Ustaz sampaikan, saya tertarik dengan pengajaran dari kisah Perang Uhud.


Beliau menyebut, kita pada hari ini sibuk dengan analisis Pasca Perang Uhud, dengan pelbagai Post Morterm, yang kononnya bernilai sebagai muhasabah untuk gerak kerja. Tapi, Nabi Muhammad SAW sendiri sebenarnya tak pernah buat post mortem Perang Uhud, dan tidak meletakkan beban kesalahan yang besar kepada tentera muslimin. Kesalahan dan kesilapan adalah lumrah dalam kehidupan. Kita tidak dituntut untuk merenung terlalu dalam kesalahan yang kita buat.

Semuanya dah berlalu, yang paling penting pacu kehidupan mendatang dengan lebih baik dan cuba sedaya upaya mengelak dari melakukan kesalahan yang sama. Mustahil bagi manusia lemah seperti kita, hatta generasi emas Para Sahabat untuk tidak melakukan kesalahan sama sekali. Namun, yang membezakan antara manusia yang melakukan kesalahan ini ialah siapa yang benar-benar bertaubat, dan tidak putus asa untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik.

Allah sebut secara jelas dalam Surah Ali Imran, rangkuman ayat-ayat yang khusus menceritakan Ibrah dari Perang Uhud. Antara yang menarik ayat 139, 

"Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman."
Antara mesej yang jelas, ialah segala keputusan dalam hidup ini, melibatkan kaya atau miskin, lapang atau sempit, sihat atau sakit, menang atau kalah, senang atau susah, segalanya adalah ketentuan Allah Ta'ala, bukanlah persoalan-persoalan ini yang penting, sebaliknya sejauh mana kita berusaha memperbaikinya, menghadapi apa pun keputusannya dengan penuh sabar, syukur dan akur kepada ketentuan Allah Ta'ala.

Kita mulia kerana dan hanya kerana Islam. Itupun, kemuliaan semuanya dari Allah, Allah memuliakan sesiapa yang Dia kehendaki, Allah hinakan sesiapa yang Dia kehendaki, natijah akhirnya tetap kebaikan yang berpanjangan bagi mereka yang beriman dan bertaqwa.

Kita sama-sama berharap agar ibrah ini dapat menyerap dalam kehidupan kita selama hayat masih di kandung badan.

Monday, January 7, 2019

Perjalanan Penyucian Jiwa- Umrah Hilton Dis 2018 (Bahagian 3)

Kami tiba di Madinah tempoh hari pada hari Rabu, hari ini hari khamis, cuma sempat melakukan aktiviti ziarah dalam, dan kemudiannya aktiviti bebas. Allah Maha Besar, Maha Agung, diberikan peluang membimbing jemaah yang hampir kesemuanya sudah kerap kali datang ke Masjid ini. Saya berpeluang mendapatkan "masa" yang lebih untuk bersendiri di Masjid Nabawi.

Suatu ketika, waktu subuh, saya bergerak awal ke Masjid, (awal jika nak dibandingkan dengan waktu Malaysia) Jam 4.00 pagi saya sudah berada di Masjid. Tapi masyaAllah, ruang solat raudhah, dan ruang solat berdekatan raudhah semuanya telah ditutup kerana telah dipenuhi para jemaah. Kalau di Malaysia, selepas azan pun masih sempat merebut saf pertama. Di sini, perlu sekurang-kurangnya 3 jam lebih awal dari waktu Subuh.

Tiba-tiba saya disapa oleh seorang lelaki dan saudaranya. Saya lupa nama yang diperkenalkan beliau kepada saya, Namun katanya, dia baru sahaja sampai, dan ini kali pertama beliau menjejakkan kaki ke Masjid Nabi. Beliau meminta saya menunjukkan di mana kedudukan Rumah dan Maqam Nabi Muhammad SAW. Rupanya, dia mendahului jemaahnya pergi awal ke Masjid, lalu saya memimpinnya dan membawa beliau keluar menuju ke Bab As-Salam.

Ketika itu, hanya Bab As-Salam dibuka, dan ketika ini, laluan Bab As-Salam dikosongkan sama sekali dari para jemaah yang ingin beriktikaf. Saya kira ini sebagai salah satu nilai tambah yang baik pada pengurusan Pihak Masjid. Syabas.

Saya menunjukkan sambil menerangkan, inilah pintu laluan masuk ketika Nabi mula-mula sampai ke Madinah bersama para Sahabat. Ketibaan Nabi disambut meriah oleh penduduk Madinah. Penduduk Madinah sebenarnya telah lebih setahun menunggu detik kedatangan Nabi Muhammad SAW ini. Tahun sebelumnya, hanya wakil yang menemui Nabi Muhammad SAW, lalu dihantar Mus'ab Bin Umair untuk mengajar Al-Quran kepada mereka.

Selepas setahun, mereka membuat pelbagai persiapan untuk menyambut Baginda. Lalu tatkala Nabi sampai melalui jalan Bab As-Salam ini, berpusu-pusu orang Madinah ingin mengajak Nabi singgah dan menetap di rumah mereka masing-masing. Namun, Nabi menyebut "biarkan Unta ini berjalan, dan dia akan berhenti di tempat yang dia akan berhenti,". Lalu unta baginda berhenti di sana, sambil saya menunjukkan lokasi rumah Nabi Muhammad SAW yang kini dipagari kemas, dihiasi dengan Kalam Allah yang agung. Setiap kalam itu, apabila dibaca, cukup meruntun hati dan jiwa.


Melihat dinding rumahnya sahaja, mendatangkan sebak. Entah dari mana datangnya perasaan rindu yang begitu mendalam kepada Baginda Nabi Muhammad SAW. Lelaki tadi, bercucuran airmatanya melihat rumah Nabi dan Maqam Nabi, sambil teresak-esak menyampaikan salam buat Baginda.

 Salam Sejahtera ke atas mu wahai Kekasih Allah, Kami bersaksi bahawa tiada Tuhan Selain Allah dan bahawasanya dikau adalah rasul dan pesuruhNya. Kami bersaksi bahawa engkau telah menyampaikan risalah, menasihati ummah, berjihad dengan sebenar erti jihad di jalan Allah. Ya Allah kurniakanlah kepada kekasih kami, Nabi Muhammad SAW kedudukan dan pangkat yang tinggi lagi terpuji seperti yang telah Engkau janjikan, sesungguhnya Engkau tidak pernah memungkiri janji.


Selesai menunjuk jalan, kami mengambil haluan kami masing-masing. Saya membawa diri ke suatu sudut di dalam Masjid. Kawasan yang pada ketika awal saya masuk tadi masih lengang, kini sudah dineuhi dan hampir tiada lagi ruang kosong.

Inilah kali kedua saya bertembung dengan jumlah Jemaah Umrah yang begitu ramai, sehingga melimpah-limpah. Rupanya pagi itu, pagi jumaat. Memang jumaat, jumlah jemaah jauh lebih ramai dari biasa. Penduduk Madinah, dan Arab Saudi sekitar juga kerap mengambil peluang hari jumaat untuk mengimarahkan Masjid Nabi ini. Awal mereka tiba di Masjid.


Ketika solat subuh, Imam membaca bacaan Surah As-Sajadah. Sepanjang pengalaman saya membawa jemaah Umrah, seingat saya baru kali kedua imam membaca Surah As-Sajadah di Masjid Haramain. Kali pertama, saya tak ingat tarikhnya, tapi ketika itu kami juga baru sampai di Mekah, dan baru sahaja selesai menunaikan umrah pertama.

Pengalaman kali ini luar biasa, ketika sampai ayat sujud, imam bertakbir dan bersujud, saya pun turut bersujud. Tapi, ramai di kalangan jemaah yang lain tidak turut sujud sekadar ruku'. Di sinilah, kelebihan membaca ayat sajadah di pagi Jumaat di Malaysia. Sebenarnya bacaan surah As-Sajadah bukanlah rutin biasa di Madinah atau Mekah, bahkan di Negara lain umat islam juga tidak menjadikan amalan rutin setiap minggu.

Walaupun di Malaysia, menjadikan amalan membaca surah As-Sajadah sebagai rutin sehingga ada yang terlalu memberatkan, bahkan ada yang sampai kecewa dan tidak berpuas hati jika imam tidak membaca surah tersebut, namun di negara-negara umat Islam yang lain, ianya bukanlah rutin dan sebenarnya tidak sedikitpun mencacatkan. Saya secara peribadi, lebih cenderung untuk menjadikannya sebagai rutin. Alasan saya, jika 34 waktu solat yang lainnya, kita baca surah yang pendek, apalah sangat satu waktu solat ini sahaja yang dibaca dengan bacaan panjang.


Apalagi, bacaan imam yang cukup merdu, suara yang jelas, dan sangat menusuk.


Ketika pulang ke hotel, rupanya, ada jemaah lain yang mengalami kehairanan dan terjebak dengan situasi yang sama. Bahkan, di tempat beliau bersolat, hampir tiada yang sujud. Nah, inilah kelebihannya. Di Malaysia kalau diperhatikan, subuh jumaat, jemaahnya akan lebih ramai berbanding subuh-subuh yang lainnya.

Saya siap-siap berpesan kepada jemaah semasa ziarah dalam kami, supaya datang awal ke Masjid pada hari jumaat, kalau boleh seawal jam 10. Zuhur masuk 12.30. Jadi kebanyakan kami memang bergegas awal ke Masjid. AlhamduliLlah saya juga dapat bergerak awal ke Masjid.

Namun, seawal jam 11 pagi, beberapa pintu utama Masjid sudah ditutup kerana sudah penuh. Lebih kurang sejam sebelum masuk waktu, pintu yang menghubungkan escalator untuk ke bahagian atas dibuka, menandakan limpahan jemaah yang hadir untuk solat Jumaat pada hari tersebut.

Jemaah yang tiba awal, cukup sedikit yang tidur. Kebanyakan mereka mengisi masa dengan merakam video, bergambar, membaca Al-Quran, menunaikan solat sunat, berkenal-kenalan dari jemaah pelbagai negara. Ada yang dari South Africa, New Zealand, Chicago Amerika Syarikat, Perancis, dan begitu banyak negara. Maha Suci Allah. 

Hadirnya kami kerana kasihMu Ya Allah, rahmatilah kami dan eratkan hubungan antara hati-hati kami keranaMu...


bersambung....

Perjalanan Penyucian Jiwa- Umrah Hilton Dis 2018 (Bahagian 2)

Menu makan pagi di Madinah, biasanya Nasi Lemak, nasi goreng, bihun, maggi goreng, dan sandwich layan diri. Tapi antara yang paling dirindui ialah teh dan kopi layan diri. Teh uncang, dengan sesudu gula, ditambah dengan susu tepung. SubhanaLlah.

Kadang-kadang saya rasa, sebenarnya yang membuatkan sesuatu makanan itu sedap atau tidak, bukanlah semata-mata pada cara masak, tetapi memori yang bersangkutan dengannya. Teh dan kopi ini, mungkin tidak secanggih teh atau kopi di hotel-hotel, disediakan oleh pakar kopi dan sebagainya, namun teh ini tetap sangat sedap dan rasanya melekat ke dalam hati.

Tepat pukul 7.30 saya menanti di Lobi. Dalam jemaah kami, ada jemaah yang dijadualkan membuat rawatan Dialisis, isitimewanya Arab Saudi, kos rawatan Dialisis bagi pemegang Visa Umrah dan Haji, adalah percuma. Untuk berapa kali pun, tetap percuma. Jadual Dialisisnya jam 9, di bawa oleh Ustaz Jajang.


Setelah menunggu, akhirnya cukup korum jam 8,.00 pagi, kami pun berjalan beramai-ramai ke Masjid An-Nabawi. Ziarah Dalam, adalah aktiviti ziarah yang biasanya termasuk dalam semua pakej Umrah. oleh semua syarikat. Yang termasuk dalam ziarah dalam ialah menziarahi Masjid Nabawi dan tempat-tempat penting di sekitarnya. Termasuk Raudhah, Maqam Nabi Muhammad SAW, Maqam Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar, dan Perkuburan Baqi'.

Seperti selalunya, walauapun sudah hampir 4 tahun tidak ke sini, saya membawa jemaah mengikut jalan kebiasaan, yang akan menemukan kami dengan Bab As-Salam, iaitu pintu As-Salam. Tidak seperti di Makkah, Bab As-Salam di Masjid Haram dinamakan demikian kerana pintu itulah yang selalu digunakan oleh Nabi Muhammad untuk masuk ke Masjid Haram. Namun, di Madinah, Bab As-Salam dinamakan demikian kerana setentang di bahagian luarnya ialah jalan yang dilalui oleh Nabi Muhammad SAW bersama para Sahabat R.A. ketika mula-mula sampai ke Yathrib.

Bumi Madinah di beri gelaran Al-Munawwarah, bermaksud yang bercahaya, bergemerlapan. Semestinya kerana cahaya yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Nabi Muhammad wajahnya ibarat bulan dan matahari, bersinar menerangi seluruh pelusuk bumi Madinah. Bahkan setelah wafatnya Nabi Muhammad SAW, bumi ini terus disimbahi cahaya, bersinar, meriah dan bergemerlapan. Para tetamu Allah membanjiri bumi ini, tiap kali ingin menunaikan haji dan umrah.

Banyak kelebihan, antaranya Sabda Nabi,
من زار قبري وجبت له شفاعتي

"Barangsiapa yang menziarahi kuburku, wajib baginya syafaatku,"

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ إِلَّا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ

Maksudnya: “Solat di masjidku ini (masjid Nabawi) lebih baik daripada seribu kali solat di tempat lain kecuali masjid al-Haram”. [Riwayat Muslim (1394)]

Banyak lagi kelebihan lain, ziarah dan solat di sini. Di Madinah sahaja ada 3 syurga, disebut dalam Hadith.

1. Raudhah, "Di antara mimbarku dan rumah ku, ialah taman dari taman-taman syurga (Raudhah)

2. Baqi', Nabi menyebut perkuburanBaqi' ini sebagai "Jannatul Baqi'" yang bermaksud Syurga.

3. Gunung Uhud, "Sesungguhnya bukit Uhud adalah bukit dari bukit-bukit Syurga, kami mencintai dia, dan dia mencintai kami."


Perkara paling menarik bagi saya secara peribadi, selain ziarah, menunaikan solat dan berdoa di Raudhah, ialah melihat dan mendekatkan diri dengan kesan peninggalan Nabi Muhammad SAW. Melihat bagaimana rupa rumah Nabi. Melihat dan merasai sendiri udara dan persekitaran yang pernah didiami oleh Nabi. Memijak bumi yang dahulunya dipijak oleh Nabi. Berada di tempat-tempat berlakunya perang yang diketuai sendiri oleh Nabi, kesemuanya didirikan Masjid untuk mengembalikan segala ingatan dan sandaran kepada Allah Ta'ala.

Menariknya, semua lokasi ini didirikan Masjid, kerana ingin mengingatlkan kepada kita semua, bahawa segala aktiviti ibadah dan ziarah, tujuan utamanya ialah untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah.

Bukan sekadar mengisi kekosongan jiwa, mencari dan merekod pengalaman, bersiar-siar dan melancong.

Bahkan lebih dari itu, ianya merupakan perjalanan penyucian jiwa,kerana dan ke arahNYa.

Apa yang ingin kita rebut semasa berada di Madinah dan Makkah? Selain berebut untuk memasuki Raudhah, selain berebut untuk solat di Belakang Imam, selain berebut untuk merakam detik terbuka atau tertutupnya payung di halaman Masjid Nabi, rebutlah kemaafan, keampunan, keredhaan, keberkatan, keimanan, kerinduan, kecintaan kepada Allah. Jika kita temui dan mendapat redhaNya, kita temui harta yang paling bernilai dan seperti memiliki segalanya.

Jika sebaliknya yang dicari hanyalah kesempatan berdoa di raudhah, atau merakam detik tatkala melalui Maqam Nabi Muhammad SAW yang mulia, maka kesempatan itu hanya akan mengisi catatan dalam memori dan tidak lebih dari sekadar itu.

Rebutlah apa sahaja peluang yang manis dan hebat ketika berada di Madinah dan Mekkah. Rebutlah semuanya kerana dan ke arahNYa.


Bersambung

Perjalanan Penyucian Jiwa- Umrah Hilton Dis 2018

"Aku memulakan seperti mana telah dimulakan oleh Allah Ta'ala dan RasulNya, 'Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian dari syiar (lambang) Agama Allah, maka sesiapa yang menunaikan Haji di Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah salah ia bersaie (berjalan berulang-alik) di antara keduanya. Dan sesiapa yang bersukarelah mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui" 

Inilah doa ketika memulakan perjalanan mendaki Bukit Safa untuk memulakan perjalanan Ibadah Saie yang wajib ke atas semua tetamu-tetamu Allah yang ingin mengerjakan Umrah mahupun Haji.

Perjalanan UMRAH Disember 2018 sebenarnya memberi makna yang begitu mendalam. Walaupun setiap perjalanan Umrah mahupun Haji itu sememangnya istimewa, namun setiap perjalanan Allah tetapkan kelainan. Selain ini adalah umrah pertama sejak kali terakhir pada empat tahun yang lalu, ini juga adalah umrah pertama yang saya bimbing menetap di hotel berhadapan Masjid Haram (Sangat dekat), dan ini juga kali pertama saya menjejakkan kaki ketika musim sejuk berada di kemuncaknya, dan pertama kali membawa jemaah ziarah ke bumi Taif.

Kesemua pengalaman pertama termasuk kali pertama bilik dimasuki pencuri, dan kali pertama kehilangan wang yang cukup besar nilainya.

Allah Maha Besar.

Saya sedih dan menitiskan air mata, bukan kesal kerana kehilangan duit , tetapi bimbang, adakah ujian yang berat ini tanda Allah murka dan marah dengan saya. Saya tak tahu jawapannya, tetapi saya menyerahkan segalanya kepada Allah dan memohon maaf kepada yang terlibat dalam hal tersebut.

Setiap kali saya ditugaskan untuk membawa jemaah umrah, saya sentiasa memfokuskan tujuan saya untuk memberi khidmat kepada Jemaah. Setiap trip, saya akan membayangkan itu sebagai tugas untuk saya memastikan jemaah mendapat apa yang sepatutnya mereka dapat. Untuk saya secara peribadi, ada, namun keperluan jemaah adalah lebih utama.

Jika difikirkan, memang kalau boleh saya nak beriktikaf sepanjang masa, menghabiskan masa menunaikan umrah sebanyak mungkin, tawaf sunat sebanyak mungkin, solat setiap waktu di belakang imam, menghabiskan 30 juz Al-Quran di Masjid Haram, merebut kelebihan berpuasa pada setiap isnin dan khamis, begitu juga hari-hari putih sepanjang masa berada di sana, mengikuti kelas-kelas kuliah agama di sebanyak sudut yang ada di Masjid, dan banyak lagi kelebihan amal dan ibadah yang boleh direbut di sana.

Namun, keutamaan Jemaah adalah lebih utama.

Misi kali ini tidak ubah seperti misi-misi trip Umrah saya yang sebelumnya. Memastikan Jemaah dapat menunaikan ibadah dengan baik, lengkap dan sempurna.

Kita tidak akan dapat lari dari melakukan kesilapan, namun, janganlah sampai kesilapan dan kekurangan kita memberi kesan kepada orang lain.

Perjalanan kali ini juga sangat mendebarkan. Ketika awalnya saya dijadualkan membawa jemaah pada tarikh 15 Disember 2018, iaitu trip biasa (Bukan Hilton). Namun, kemudiannya saya diminta untuk membawa jemaah pada tarikh 19 Disember 2018, sedikit lewat, dan akan menetap di Hilton. Jauh di sudut hati ada sedikit kerisauan, kerana cabaran hotel dekat ini sebenarnya berbeza dengan cabaran hotel jarak sederhana yang lain, biasalah, lain padang lain belalang.

Ternyata, perancangan Allah sangat sempurna, rupanya tarikh yang dilewatkan ini ada hikmah yang banyak dan besar. Rupanya, tarikh peperiksaan pengajian saya (sambung belajar) ialah pada 17 dan 18 Disember, ini hikmah pertama, dan hikmah kedua ialah saya sempat menyiapkan beberapa persiapan awal sebelum buka sekolah. 

Alhamdulillah. Saya hanya sempat menelaah kembali ibadah umrah, buku-buku dan perkara-perkara berkaitan umrah ini minggu-mingu akhir sebelum berangkat. Terima kasih kepada sepupu saya, Ust Falihin, kerana memberi banyak tunjuk ajar, sempat menuntut dulu dengan beliau sebelum berangkat.

Ustaz Ismi dan Ustaz Salim, tidak perlu diceritakan lagi banyaknya jasa dan pertolongan yang mereka berikan. 






18 Disember 2018, setelah selesai menduduki peperiksaan, saya bingkas balik, menyiapkan beberapa tugasan sepanjang peninggalan saya. Beberapa wasiat perlu ditinggalkan, untuk Pusat Pengajian Taybah, dan SRITI At-Ta'alim. Pada awalnya kami bercadang nak bergerak lewat pagi sekitar jam 4 pagi, ke Kelang, lokasi pemukiman Isteri dan 5 orang cahaya mata kami, namun perjalanan dimulakan awal. Sekitar jam 12 malam kami tiba di kelang, dan keesokan harinya selepas Subuh saya dihantar oleh Isteri, ditemani adiknya ke KLIA.

Sudah agak kekok, kerana 4 tahun lamanya tidak menguruskan jemaah, namun Staf Darul Mubarak Kajang, Darul Mubarak Batu Caves, begitu cekap menguruskan hal-hal daftar masuk penumpang dan bagasi, urusan selesai agak awal, sekitar jam 10 pagi, kami sudah boleh masuk ke dalam terminal menuju ke pintu untuk menaiki Kapal Terbang (Boarding Gate).

Pada awalnya, jadual solat zuhur dan Asar ialah di dalam Kapal Terbang, kerana masa berlepas ialah 11.50 minit pagi. Namun, sekali lagi, Takdir mengatasi tadbir, Allah lewatkan perjalanan kami, sehingga dapat kami menunaikan solat secara jamak zuhur dan asar di Lapangan Terbang.

Tepat 2.30 petang kami menaiki pesawat dan berlepas ke Lapangan Raja Muhammad Bin Abdul Aziz, Madinah, Arab Saudi. Kami tiba sekitar jam 6.30 petang, waktu tempatan, setelah menempuh penerbangan selama lebih kurang 8 jam setengah.

Selesai menuntut bagasi dan menunaikan Solat Jamak Taakhir Maghrib dan Isya', kami disambut oleh petugas Darul Mubarak di Madinah, Ustaz Jajang. Di Madinah, ketika musim sejuk, malamnya lebih awal, masuk waktu Isya jam 7 malam, maka malam lebih panjang dari siang. Jika musim panas, siang lebih lama dari malam, masuk maghrib sekitar jam 7 seperti di Malaysia.

Perasaan yang begitu menggembirakan, menenangkan, dan begitu bersemarak tatkala melihat bangunan-bangunan, bukit-bukit dan orang ramai yang berada di bumi bersemadinya Insan Agung, RasuluLlah SAW. Hampir sahaja mulut kelu dari berkata-kata, Allahumma Salli 'Ala Habibina Al-Mustafa Saiyidina Muhammad Wa 'Ala aalihi wa ashabihi ajmain.


Usai memberikan taklimat kepada jemaah, sesampai di hotel, sambil menunggu kunci bilik masing-masing, dan barang-barang di angkat oleh عمال hotel, saya menetapkan temu janji untuk berkumpul di lobi jam 4.00 pagi untuk saya bawa ke Masjid, bagi menunaikan solat Subuh keesokan harinya. Saya memberi peluang kepada jemaah untuk berehat.

Tepat Jam 4.00 pagi, saya menunggu di Lobi, setelah dipastikan tiada lagi jemaah yang mahu turut serta, kami bergerak perlahan-lahan menuju ke Masjid. Suhu dianggarkan sekitar 19 darjah celcius. Sejuknya, masyaAllah. Setiap langkah dipenuhi dengan tuturan selawat dan salam buat Baginda. "Ya Allah, segala puji bagiMu Ya Allah, Engkau izinkan hambaMu yang berdosa ini untuk menjejakkan kaki ke bumi RasulMu ini. Segala puji bagiMua Ya Allah."

Terasa besarnya anugerah Allah, atas peluang menziarahi Nabi, beribadah di Masjid Nabawi ini dan menyampaikan Salam buat Baginda. Selesai memberi panduan perjalanan pergi dan balik kepada jemaah, kami berpisah, lelaki dan perempuan. Saya membawa sebahagian bersama yang ingin masuk ke masjid bersama.


Selesai solat subuh, kami pulang ke hotel, menikmati sarapan. Jadual kami pagi tersebut ialah Ziarah Dalam. Janji temu dibuat jam 7.30 di Lobi untuk memulakan Ziarah, dibimbing oleh saya sendiri.


Bersambung....

Antara Yang Menarik