Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Wednesday, May 24, 2023

Trip Umrah Oktober dan Disember

Bismillah, dengan izin Allah, insyaAllah saya buka pendaftaran untuk umrah Bulan Oktober dan hujung Disember ni ye... 


Saya bawak sendiri insyaAllah...








Tuesday, May 16, 2023

Jalan Pintas Untuk Bahagia - Siri 1

Memiliki kebahagiaan dalam hidup, tidak sama dengan memiliki kekayaan, atau mempunyai kekuasaan, atau berjaya dalam persaingan. Kerana Kaya, Kuasa, dan kejayaan melibatkan persaingan dan setiap persaingan akan ada pihak yang menang dan pasti akan ada yang kecundang.

                Seseorang itu dikatakan kaya, kerana hartanya lebih banyak daripada orang lain. Seseorang itu berkuasa, berada di atas, apabila dia mempunyai orang bawahan yang mematuhi arahannya atau yang setia menyokongnya. Seseorang hanya dikira berjaya memenangi perlumbaan, apabila ada pihak lain yang dikalahkan.

                Berbeza dengan Bahagia, tidak ada pihak yang perlu kita kalahkan. Tidak ada sesuatu alat, harta, atau matlamat yang perlu kita capai untuk bergelar orang yang Bahagia, maka Bahagia itu adalah sesuatu yang bukan sahaja mampu dimiliki semua orang, bahkan Bahagia juga perlu dimiliki oleh semua orang.

                Kita semua boleh dan perlu hidup dengan kehidupan yang Bahagia. Bahagia itu ibarat udara yang walaupun dikongsi, tetap cukup dan mampu menampung keperluan setiap kehidupan. Seluas bentangan bumi ini, seluas itulah capaian kebahagiaan.

Saturday, April 29, 2023

7 Persiapan Menjadi Tetamu Allah - Penutup

AlhamduliLlah, inilah sedikit sebanyak persiapan yang sempat saya coretkan walaupun sebenarnya masih banyak tips dan nasihat berguna buat para bakal tetamu Allah.

Saya yakin semua tips dan nasihat yang baik ini tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mempersiapkan diri, fizikal, mental, emosi dan spiritual supaya perjalanan Umrah ini menjadi perjalanan yang terbaik dalam hidup.

Buat yang pertama kali akan berangkat, saya sendiri secara peribadi, antara umrah yang paling membekas ialah umrah kali pertama. Perasaan ketika mula-mula kapal terbang mendarat, mula-mula bertemu dengan orang arab, mula-mula menjejakkan kaki ke tanah haram, mula-mula melihat masjid dan mula-mula melihat Kaabah masih sentiasa segar dan terbayang di ingatan. Mungkin bila pertama kali, semuanya begitu istimewa.

Buat yang mungkin telah beberapa kali, perasaan semestinya tidak sama, walaupun setiap perjalanan itu ada keistimewaan tertentu yang berbeza dengan perjalanan yang lainnya. Maka, untuk menjadikan perjalanan itu lebih istimewa, sentiasa beranggapan bahawa mungkin itulah perjalanan terakhir dan mungkin tidak ada lagi kesempatan yang akan datang. Demikian supaya kita menghargai setiap detik dan masa sepanjang berada di sana dan sungguh-sungguh melaksanakan ibadah sebagai bekal sebelum berpindah ke alam lain.

Carilah bekal, kerana sebaik-baik bekal itu adalah Taqwa.




Mohd Farid Bin Hamlud
Seri Iskandar, Perak
Mutawif dan CEO
Darul Mubarak Travel & Tours Sdn Bhd

Friday, April 28, 2023

7 Persiapan Menjadi Tetamu Allah - Persiapan Ketujuh: Persiapan Teknikal dan Keperluan

Bahagian terakhir dalam persiapan untuk menjadi Tetamu Allah ialah persiapan teknikal dan barang-barang keperluan. Ada beberapa perkara penting dalam persiapan teknikal ini antaranya:

        Persiapan Pakaian - Dengan mengambil kira faktor musim, jumlah hari dan jenis aktiviti yang akan dijalani, jemaah boleh memilih dan menentukan jumlah dan jenis pakaian yang ingin dibawa. Ada yang memilih untuk membawa pakaian yang banyak dengan andaian tidak mahu membasuh baju atau mendobi. 
          Ada yang tidak suka membawa terlalu banyak pakaian kerana ingin memberi ruang untuk kurma, kacang atau ole-ole yang ingin dibawa pulang sebagai hadiah buat keluarga, saudara-mara dan kenalan. Ada juga yang tidak membawa pakaian yang banyak kerana ingin membeli pakaian untuk dipakai semasa di Mekah dan Madinah. 

        Jadi, terpulang kepada persiapan masing-masing, cuma perlu diingat jika musim sejuk sebaiknya bawa baju tebal, dan sebaiknya membawa kasut yang sesuai untuk berjalan jauh. Jika ada yang berminat nak mendaki Jabal Nur dan Jabal Thur, boleh juga bersiap dengan pakaian sukan.  

        Persiapan seterusnya ialah jemaah sebaiknya dapatkan maklumat berkaitan aturcara. Aturcara yang dibekalkan biasanya tertakluk kepada perubahan, tetapi menjadi hak jemaah untuk dimaklumkan mengenai setiap perubahan dalam aturcara yang telah dibekalkan. Ambil perhatian terhadap aktiviti lawatan dan ziarah yang akan dilaksanakan, waktu berkumpul, pakaian yang sesuai, apa perkara-perkara yang perlu dilakukan sebelum, semasa dan selepas lawatan diadakan.

        Bagi aktiviti lawatan di Mekah, kebiasaanya akan berakhir dengan bermiqat untuk berniat umrah. Bagi lawatan di Madinah pula, biasanya jemaah dinasihatkan agar siap-siap berwudhuk di hotel kerana akan menunaikan solat sama ada di Masjid Nabawi bagi ziarah dalam, atau menunaikan solat sunat di Masjid Quba bagi ziarah luar.

        Ada juga baiknya, sebelum berangkat kita membuat sedikit ulangkaji sirah berkaitan destinasi-destinasi yang akan dilawati supaya lebih dalam penghayatan ketika mendengar ulasan Mutawif berkaitan destinasi yang dilawati. 

        Ada juga destinasi tambahan yang mengenakan caj tambahan, antaranya ziarah ke lokasi-lokasi sekitar Madinah, Makkah, Taif, dan Jeddah. Terlalu banyak lokasi dan aktiviti tambahan yang boleh dilakukan di bumi Arab Saudi ini.

        Persiapan teknikal seterusnya ialah aplikasi Nusuk. Iaitu aplikasi yang membolehkan kita untuk masuk dan beribadah di dalam Raudhah. Raudhah ini sering menjadi rebutan para jemaah seluruh dunia. Malah ada yang sanggup bersesak-sesak, merempuh dan tidak kurang ada yang sehingga tahap sanggup bergaduh semata-mata ingin masuk ke dalam Raudhah. Jadi aplikasi Nusuk ini boleh dimuatturun melalui Google Play, Apple AppStore dan tutorial pemasangannya juga disediakan di sini:

https://www.facebook.com/watch/?v=492678176072039


        Kenal pasti jadual dan daftar segera bagi supaya tidak terlepas peluang untuk masuk ke dalam raudhah, Taman dari taman-taman Syugra.


        Selain itu, bagi jemaah yang mempunyai keperluan khas seperti berkerusi roda, atau perlu menjalani rawatan cuci darah (Dialysis), perlu mendapatkan maklumat lanjut daripada agensi tentang kaedah pengurusan sepanjang dalam perjalanan dan ketika berada di sana. Termasuk kos-kos tambahan yang diperlukan melibatkan tambang dan saguhati untuk pengiring.

        Bagi jemaah yang berkerusi roda, atau yang mungkin tidak memiliki tahap kesihatan yang baik, mungkin ada keperluan untuk mendapatkan khidmat mutawif yang boleh menolak kerusi roda sepanjang melaksanakan umrah melibatkan tawaf dan saie. Biasanya perkhidmatan disediakan dari bilik ke bilik.

        Begitu juga keperluan dari sudut makan dan minum sepanjang aturcara. Bagi yang memerlukan diet yang khas, mungkin boleh maklumkan kepada pihak agensi, dan boleh juga membuat persiapan dan persediaan dengan membawa bekal makanan yang diperlukan sepanjang tempoh perjalanan.

        Perlu difahami bahawa makanan di tempat orang semestinya tidak menyamai selera di tempat sendiri. Walaupun seleranya melayu, tetapi cara dan rempah masakan semestinya ada sedikit sebanyak berbeza dengan makanan di Malaysia. Cuma, bagi diri saya secara peribadi, belum pernah berjaya saya mengurangkan makan sepanjang di sana. Bak kata orang parit, memanjang je berselera nak makan. 😋


        Jangan lupa bawa bersama ubat-ubatan yang diperlukan. Begitu juga dengan rekod perubatan bagi jemaah-jemaah yang mungkin pernah mempunyai rekod penyakit kritikal yang lampau seperti jantung, kencing manis, darah tinggi, kanser dan sebagainya. Semua perkara ini penting dan sangat membantu bagi persiapan menghadapi perkara-perkara yang tidak diingini. 


        Berbalik kepada persoalan pokok dalam membuat persiapan, berjalanlah atas takdir dan ketentuan Allah kepada kita. Dialah sebaik-baik penolong, sebaik-baik yang menentukan, dan yang Maha Mengetahui akan segala perkara yang berlaku ke atas diri kita. 

Thursday, April 27, 2023

7 Persiapan Menjadi Tetamu Allah - Persiapan Keenam: Persiapan Mental

Persiapan Mental dikaitkan dengan persiapan cara fikir dan kesediaan dari sudut logik dan persepsi. Ini juga persiapan yang penting kerana Allah Ta'ala menyebut di dalam Al-Quran dalam Surah Al-Hujurat ayat 12:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa..."

Para Ulama menjelaskan termasuk dalam sangkaan ini ialah persepsi dan harapan. Elakkan daripada meletakkan harapan yang terlalu tinggi sehingga nanti akan mengakibatkan kekecewaan. Serta elakkan daripada membuat persepsi yang negetif terhadap apa juga entiti atau situasi, kerana bimbang persepsi yang dibentuk itu jauh meleset dari keadaan dan situasi yang sebenar.

Untuk mengelakkan keadaan di atas, usahakan untuk meletakkan sepenuh pergantungan kepada Allah Ta'ala. Percaya sungguh-sungguh pada ketentuan Allah dan berjalanlah atas takdir dan ketentuan Allah. Allah adalah sebaik-baik perancang dan ketentuan Allah itu adalah yang terbaik untuk diri kita.

Betul, perkara ini amat mudah disebut, tapi amat sukar untuk dilaksana. Pujuklah hati dan minda kita untuk cuba sentiasa bersangka baik dengan Qada' dan Qadar Allah.

Saya sendiri mengalaminya dan saya akui ada pasang dan surutnya. Kadang-kadang kita boleh berlapang dada dengan perkara yang berlaku, tapi ada kalanya hati dan diri kita sendiri seperti tidak boleh menerima dan bukan sekali dua timbul rasa kecewa dan marah. Mohon segera ampun dan segera ingat pada Allah, kerana kita adalah insan yang lemah yang tidak pernah lepas dari lupa dan salah. 

Selain itu, antara pesanan yang berguna juga adalah, setkan pada minda dan diri kita, bahawa perjalanan ini adalah perjalanan ibadah. Malah ibadah itu pula, bukan hanya solat dan tawaf, berbuat baik, tolong menolong, memudahkan urusan, berkata dengan perkataan yang baik-baik, menahan diri dari rasa marah juga semuanya adalah ibadah bila dilakukan kerana Allah. 

Cuba bayang, setiap suapan makanan, setiap teguk air, setiap butir perkataan, setiap jejak langkah, semuanya adalah ibadah bila kita lakukan kerana Allah. Sungguh hebat perjalanan haji dan umrah ini. Persis seperti hadith Nabi SAW:

"Dari Ibnu Umar R.A, beliau mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda, Tidaklah unta yang ditunggang oleh jemaah haji menaikkan kaki belakang dan menurunkan depannya melainkan Allah mencatatnya sebagai kebaikan, sebagai penghapus dosa, atau sebagai pengangkatan satu darjat baginya," (HR Al-Baihaqi).

Menunjukkan setiap detik masa kita di sana sebenarnya adalah ibadah, selama kita tidak melakukan dosa dan maksiat. Lalu manfaatkanlah setiap detik dan waktu selama kita berada di sana untuk mengutip seberapa banyak nikmat dan rahmat daripada Allah, serta mohon sungguh-sungguh keampunan, rahmat, keberkatan dan perlindungan dari segala yang tidak baik di dunia dan akhirat.

Selain itu, kita juga boleh menyenaraikan misi dan objektif perjalanan umrah kita. Senaraikan lokasi dan aktiviti yang ingin kita lakukan sepanjang keberadaan kita di sana. Percayalah, persiapan ini sangat baik untuk membantu memandu akal dan fikiran kita supaya lebih terarah pada tujuan asal perjalanan kita ini. 

Perkara yang tidak kurang pentingnya ialah Fikrah Hidup Muslim. Perlu diingat, bahawa Allah Taala menjadikan setiap muslim itu bersaudara, dan setiap muslim itu sifatnya adalah saling bantu membantu antara satu sama lain. 

Malah, boleh dikatakan punca sebenar segala kemusnahan dan petaka yang menimpa umat Islam di seantero dunia pada ketika ini, adalah disebabkan Umat Islam lari dari acuan Fikrah Hidup Muslim yang sebenar. Terlalu banyak kita saksikan pada hari ini, umat Islam bercakaran baik pemimpinnya, agamawannya, sehingga kepada pengikut-pengikut kepada aliran-aliran tertentu, saling berbalah dan bermusuh sehingga permusuhan itu dilihat lebih dahsyat daripada perseteruan mereka dengan musuh mereka dari kalangan mereka yang bukan Islam. 

Jika kita punya semangat toleransi dan semangat persaudaraan dalam Islam yang tinggi, kita akan sedar bahawa semua manusia yang kita temui di Tanah Suci nanti, sebenarnya adalah saudara kita dalam Islam. Kita diikat dengan kalimah yang sama. Malah kita sebenarnya berkongsi tujuan yang sama iaitu melaksanakan umrah dan ziarah. Walaupun akan ada masa turun dan naiknya, persiapkan diri kita sungguh-sungguh supaya apa pun yang terjadi, kita hadap dengan kejelasan minda dan emosi yang terkawal.
Ketika menunggu waktu berbuka di Roof Top, Masjid Haram. Pelbagai latar belakang, tetapi semuanya berkongsi Akidah yang sama.








Friday, April 7, 2023

Sedekah Ramadhan 2023

Assalamualaikum. 

InsyaAllah esok saya akan berangkat untuk menunaikan umrah, membantu Ustaz Ismi dan jemaah bagi Umrah Akhir Ramadhan bersama Darul Mubarak HQ pada hari Sabtu, 8.4.2023. 

Doakan saya dan jemaah ye..

InsyaAllah kali ni sempena bulan ramadhan yang mulia dan penuh berkat, ditambah 10 akhir Ramadhan ni, saya mengajak dan membuka peluang untuk:

1. Waqaf AlQuran - dilaksanakan di Mekah - RM50/naskhah.

2. Set makanan berbuka - infaq sabil istimewa ramadhan - RM20/set.

3. Badal Umrah Ramadhan - RM500/nama.

4. Waqaf kerusi lipat - RM50/sebuah.

InsyaAllah dilaksanakan pada Hari Jumaat, 14 April, bersamaan 23 Ramadhan di Mekah. 

Boleh berhubung terus dengan saya

www.wasap.my/60136727827/infaqramadhan


Salurkan sumbangan melalui akaun

08086010024186
Taybah Enterprise

Bank Islam.

Thursday, April 6, 2023

7 Persiapan Menjadi Tetamu Allah - Persiapan Kelima: Persiapan Fizikal

Selanjutnya, persiapan yang perlu dibuat oleh para tetamu Allah ialah persiapan fizikal, yang berkait dengan kesihatan dan kecergasan tubuh badan juga tip-tip yang baik untuk membantu melancarkan perjalanan umrah.
Vitamin C larut air, antara bekal
yang selalu saya bawa dan amalkan

Petua yang pertama ialah mengamalkan gaya hidup yang sihat. Bermula seawal mungkin, kita dinasihatkan menjaga kesihatan dan elakkan daripada terlibat atau melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh membahayakan kesihatan. Minum air secukupnya, makan dengan gizi yang seimbang, ambil makanan tambahan yang boleh meningkatkan kesihatan tubuh badan. 

Ini sekadar petua umum yang mungkin berguna bagi setengah orang, tetapi mungkin agak sukar untuk diikuti oleh sesetengah yang lain. Boleh juga dapatkan nasihat daripada Doktor dan pakar. Ia nampak remeh tapi sebenarnya ianya banyak membantu.



Bawalah ubat-ubatan yang sesuai sebagai bekal. Antara ubat yang paling berguna dan banyak diperlukan ialah panadol (paracetamol), ubat batuk, ubat sakit tekak, vitamin c, minyak panas atau minyak urut, dan losyen pelembap sama ada kulit, bibir atau tapak kaki. 

Petua yang kedua, bertujuan meningkatkan kecergasan badan, iaitu perbanyakkan aktiviti berjalan kaki. Pengalaman peribadi saya, setiap kali melaksanakan umrah, saya akan berjalan kaki sekurang-kurangnya 5 km. Bagi yang tidak pernah atau tidak membiasakan diri berjalan kaki, mungkin badan akan terkejut. 

Penyakit demam urat, selalu menimpa jemaah yang kurang melakukan senaman sebelum berangkat menunaikan umrah. Tidak perlu jogging atau senaman yang berat-berat, memadai dengan berjalan kaki 2 ke 3 km sehari sudah mencukupi untuk membiasakan tubuh badan dengan aktiviti berjalan kaki sepanjang tempoh melaksanakan umrah. 

Petua yang ketiga pula, pilih dan bawalah kelengkapan pakaian khususya kasut atau selipar yang sesuai dan selesa. Bagi jemaah wanita, tiada masalah untuk memakai kasut sukan sepanjang masa umrah, kerana kasut sukan sangat bagus untuk memberikan keselesaan dan keselamatan pada kaki. Jemaah wanita juga digalakkan memakai stokin yang tebal, dan mempunyai lapik bergetah untuk membantu memberikan cengkaman ketika berjalan kaki khususnya di dalam Masjid Haram.

Cuba perhatikan pekerja-pekerja di Masjid Haram, hampir kesemuanya memakai sama ada stokin yang tebal, kasut, atau selipar khusus untuk bertugas di dalam Masjid, kerana ini sangat baik untuk kaki mereka. 
Contoh kasut dalam Masjid yang baik.
Boleh dibeli secara atas talian




Bagi jemaah lelaki pula, selain ketika menunaikan umrah, boleh juga memakai kasut dan stokin yang tebal dan bersesuaian. Adapun ketika ihram, pilih selipar yang selesa dan sesuai untuk berjalan jauh. Boleh juga bawa selipar khusus untuk dipakai ketika saie. Saie adalah perjalanan berjalan kaki yang paling jauh dalam keseluruhan perjalanan umrah. Sejak saya mula memakai selipar khusus ketika saie, saya dapat rasakan perbezaan dan mampu untuk berjalan dengan lebih baik lagi.

Apa yang menarik daripada segala persiapan ini ialah, jika kita bersungguh-sungguh membuat persiapan, dan persiapan ini pula khusus kita lakukan supaya dapat beribadah dengan baik, yakinlah setiap persiapan itu juga sebenarnya adalah ibadah. Semoga setiap kesusahan dan kepayahan yang kita tempuh walaupun ketika sebelum berangkat ini, dikira sebagai amal kebaikan dan menjadi asbab keringanan dan kelancaran perjalanan kita di sana nanti.

Antara Yang Menarik