Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Friday, July 30, 2010

Perjalanan Menjadi Tetamu Allah - Bahagian 18

Sebaik sahaja selesai menunaikan solat sunat tawaf, jam sudah pun menunjukkan pukul 7.15 malam. Kelihatan lantai utama telah pun dipenuhi oleh ramai umat Islam. Polis-polis Arab Saudi pula sibuk mengusir muslimat dari lantai utama ke kawasan solat untuk muslimat. Rupa-rupanya, sebelum setiap waktu solat jemaah muslimat dikehendaki beredar ke kawasan solat yang dikhususkan untuk muslimat.

“Hajjah! ‘Alat tul!” tempik salah seorang pegawai polis kepada seorang muslimat yang kelihatan agak lambat bergerak. Kasihan juga saya lihat muslimat tersebut kerana terpaksa bergelut di kalangan muslimin yang jauh lebih besar dan bergerak jauh lebih kasar darinya. Beginilah hiruk-pikuk baituLlah al-haram. Namun kesibukan ini terasa begitu indah, jauh sekali nak dibandingkan dengan hiruk-pikuk pasar atau mana-mana pesta.

Keriuhan dalam pesta ibadah ternyata membuahkan perasaan yang cukup luar biasa. Keseronokan berada di dalam keadaan ini begitu sukar dilepaskan walaupun sesaat ketika berada di sini.

Hari ini hari khamis, maka ramai pulalah jemaah yang berpuasa. Terdapat ramai petugas-petugas Masjid yang mengagihkan kuih-muih serta tamar secara percuma kepada semua jemaah yang berada di lantai utama tersebut. Wah, ini iftar besar-besaran yang paling indah pernah saya lihat dalam hidup!!!

Kagum melihat komitmen petugas yang sentiasa memnuhi kehendak jemaah yang ingin menambah air. Sudah semestinya yang meminta air tambahan itu tidak berpuasa, namun sepertinya jugalah dilayan semua jemaah sama rata dan sama rasa. Kebetulan saya menunaikan solat sunat tawaf berhampiran dengan kedudukan tong air zam-zam. Selang dua saf, terdapat seorang warga Mesir sedang sibuk mengagihkan minuman, membantu petugas tersebut.
“Syai?” ujar pemuda tersebut kepada saya.

“Boleh juga,” terlepas juga bahasa melayu sambil tersenyum meraikan pertolongan yang dihulurkan.

Seolah-olah faham bahasa melayu yang saya tuturkan, dia lantas memanggil petugas masjid yang menuangkan air teh tersebut. Lalu dihulurkan air teh itu kepada saya. Dihulurkan juga kurma dari bekas kecil yang semenjak tadi berada dalam genggaman tangan kirinya.

MasyaAllah, pemuda ini juga sedang berpuasa, malah sanggup berkongsi kurma yang tidak sampai pun 5 biji. Hebat sungguh suasana ibadah di Masjid Haram ini. Kali ini, saya tersenyum tawar, “syukran ya akhi,” ujar saya sopan tidak mahu mengecewakan hatinya.

Langsung berubah riak mukanya, tangannya diangkat dan diletakkan di dada, sekali lagi menghulurkan bekas kurma itu mahu saya menjamah juga tamarnya itu. Reaksinya itu menggambarkan betapa ikhlas dan bersungguhnya dia mahu meraikan saya. Demi kebaikan budinya dan meraikan pelawaannya, saya mencapai sebiji tamar. Saya membahagikan isinya kepada dua bahagian dan diberikan kepada En Hashim yang berada di sebelah kiri saya.

Tidak lama kemudian, azan berkumandang. Muazzin Mekah yang sebelum ini suaranya hanya didengari melalui corong radio dan televisyen kali ini secara langsung. Sekali lagi air mata menitis di pipi. Ya Allah, Engkaulah Yang Maha Pengasih, Maha Pengampun segela dosa. Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosaku, dosa kedua ibu-bapaku, kasihani mereka sebagaimana mereka mengasihaniku semenjak kecilku. Bahkan merekalah yang menyebabkan aku dapat menjejakkan kaki ke sini melihat tanda-tanda kebesaranMu Ya Allah. SubahanaLlah.

Sebak sungguh mendengar suara muezzin yang menyeru manusia mengerjakan solat maghrib. Terharu pula melihat begitu ramai jemaah yang berbuka puasa dengan kuih muih yang dikongsi beramai-ramai, teh, kopi, air zam-zam menjadi santapan mereka. Kelihatan begitu berselera mereka menjamu rohani mereka. Tempias kenyang itu sedikit sebanyak dapat dirasa.
Pandangan saya jauh melayang ke tanah air, mengenang perjuangan menegakkan kalimah Allah yang terasa begitu longlai dan longgar. Betapa sebenarnya terlalu banyak perintah dan amanah yang telah dilanggar dan gagal disempurnakan. Demi kasih dan sayangNya terhadap hambaNYa, masih lagi memberikan peluang untuk menjejakkan kaki ke bumi suci yang mulia ini.

Sebaik sahaja muezzin memulakan iqamah, maka seluruh jemaah bingkas bangun memenuhkan dan meluruskan saf. Belum pun sempat iqamah disudahkan, saf-saf sudah hamper 80% terbentuk dengan baik. Garisan yang ada pada lantai dijadikan panduan kepada jemaah untuk meluruskan saf masing-masing. Pantang ada sahaja jari atau sebahagian kecil tumit yang tidak betul kedudukannya, pasti akan ditegur oleh orang-orang yang berada di kiri dan kanan saf.

Tumpuan diberikan sepenuhnya terhadap solat maghrib berjemaah bersama imam besar Masjid Haram,. Bacaan yang merdu dan syahdu begitu menusuk ke dalam kalbu. Sejurus selepas solat maghrib, seperti juga di Masjid Nabawi, muazzin mengumumkan mengenai solat jenazah yang akan didirikan sebentar lagi. Begitu ramai yang meninggal dunia di Mekah dan Madinah ini, beruntung sungguh mereka. Teringat pula kepada arwah atuk yang juga meninggal di Madinah kira-kira 20 tahun lalu.

Selepas solat jenazah, saya bangun untuk mendirikan solat sunat. Kemudian terus bergegas menuju ke tempat lampu hijau seperti yang dijanjikan di awal tadi. Setibanya saya di situ, kelihatan sebahagian jemaah sudah pun menanti dengan sabar di tengah-tengah kesesakan manusia. Rupanya, kawasan “bawah lampu hijau” ini memang menjadi pilihan tempat berkumpul yang paling terkenal. Maka berhimpit-himpit dan bersesak-sesaklah kami menunggu sambil tertinjau-tinjau mencari jemaah yang mungkin berada di sekitar.

Seperti biasa, jemaah yang dating dari Malaysia memiliki kesoapanan dan kesantunan yang paling tinggi. Tidak hairan, budaya melayu ini adalah budaya yang sangat unik dan terlalu istimewa. Di sinilah baru saya mengerti, kenapa melayu sering dikaitkan dengan budaya kesopanan dan kesusilaan. Memang ternyata orang-orang Melayu, jauh lebih sopan dan beradab, malah sangat merendah diri, lemah lembut jika dibandingkan dengan orang arab dan bangsa-bangsa lain yang terdapat di sana. Paling ketara, perbezaan antara orang arab dengan orang melayu.

Terutamanya orang Iran, dalam keadaan biasa sahaja suara mereka sudah seperti menjerit, inikan pula menjerit untuk memanggil temannya yang terpisah. Seperti mahu didengari oleh seluruh penghuni masjid. Sementara saya(contoh orang melayu) hanya mampu melambai-lambai dan sekadar berbisik dengan harapan “telepati” bisikan itu sampai ke telinga ahli jemaah yang sedang berpusu-pusu menuju kearah kami. Sungguh mengharukan.

“Ustaz, yang anak-beranak dari Ipoh itu takde kat sini,” salah seorang ahli jemaah mengadu.

Di suatu sudut yang lain, “Ke mana kamu pergi? Risau betul dibuatnya!” tempik Hajah Salmah bile bertemu semula anak bongsunya yang terpisah semasa mengerjakan tawaf. Sekeluarga menangis dan agak kecoh sebentar di situ apabila Najmi ditemui semula. Saling tak tumpah suasana dan emosinya seperti rancangan Jejak Kasih TV3 yang cukup popular suatu masa dahulu. Terharu pula melihat hubungan rapat keluarga tersebut. Indahnya berkeluarga.

Tiba-tiba dating pula lagi seorang jemaah, “Ustaz, orang rumah saya tak mandang(“tak mandang = tak ada” dalam loghat perak),” ujar Hj Nazri yang terpisah dengan isterinya.
Sebentar kemudian, datang pula lagi seorang, “Farid, Puan Alimah dengan Abdul Rahman ada jumpa tak ustaz?” Puan Zaiton pula bertanyakan perihal dua ahli jemaah yang juga anak-beranak. Puan Alimah agak menjadi perhatian semenjak tersesat tempoh hari di Masjid Quba’.
Saya mula resah dengan laporan-laporan tersebut. Dalam masa yang sama, ibadah saie perlu diteruskan. Ya Allah bantulah aku.

Daripada kira-kira 50 ahli jemaah yang bersama-sama bergerak dari hotel, di kawasan lampu hijau tersebut hanya terdapat kira-kira 30 orang. 20 lagi masih berkeliaran di dalam masjid haram. Lalu, Ustaz Azhuri memberikan cadangan, “Begini, mana yang ada kita teruskan dengan ibadah saie, yang tiada ini insyaAllah, mereka boleh meneruskan ibadah saie dan selepas habis, insyaAllah saya dan Ustaz Farid akan menguruskan mereka,” ujar Ustaz Azhuri sambil menjeling ke arah saya meminta pandangan.

“Terbaik!” balas saya spontan, sambil tersenyum. Seperti biasa, senyum terus sahaja terukir setiap kali saya berhadapan dengan jemaah. Pada fikiran saya, apa yang perlu dirisaukan, kita sudah pun berada di rumah Allah, tempat yang paling aman dan selamat yang dijamin oleh RasuluLlah dan Allah Ta’ala di atas muka bumi ini. InsyaAllah semuanya akan selamat.

Maka berjalanlah kami beramai-ramai menuju ke bukit Safa utuk memulakan ibadah Saie.

“Aku mulakan dengan apa yang dimulakan oleh Allah dan RasulNya, ‘Sesungguhnya Safa dan Marwah dari syi’ar-syi’ar Allah, barangsiapa yang menunaikan haji dan umrah maka tidak mengapa mereka bersa’ie di antara keduanya, dan sesiapa yangmelakukan kelebihan ibadah, sesungguhnya Allah Maha member syukur dan Maha Mengetahui’”

Doa ketika dalam perjalan menuju ke bukit Safa. Berderau darah, meremang bulu roma apabila membacakan doa ini, yang juga merupakan petikan dari Surah Al-Baqarah, 2 : ayat 158. Perasaan gemuruh dan bercampur-baur menyelimuti perasaan saya ketika itu. Sukar digambarkan dengan kata-kata. Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Laungan takbir dilafazkan, disunatkan ketika memanjat bukit Safa tersebut.

Tidak dapat saya bayangkan betapa bersemangat dan gembiranya saya dapat memanjat Bukit Safa yang pernah digunakan oleh Nabi Muhammad SAW suatu ketika dulu untuk menyampaikan pidato Baginda kepada seluruh penduduk Mekah. Di atas bukit inilah, Baginda mengumpulkan seluruh penduduk Mekah setelah mendapat perintah daripada Allah untuk berdakwah secara terang-terangan kepada umatnya. Lalu memulakan pidatonya dalam perhimpunan aman tersebut dengan berkata...


Bersambung...

Thursday, July 29, 2010

Perjalanan Menjadi Tetamu Allah - Bahagian 17


“Ya Allah ya Tuhanku, Engkaulah yang bersifat As-Salam (sejahtera), dan daripada Engkaulah sahaja kesejahteraan, maka hidupkanlah kami dengan kesejahteraan, dan masukkanlah kami ke salam syurga tempat yang sejahtera. Maha Suci dan Maha Tinggi Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan,ya Allah ya Tuhan, kurniakan daku rahmat dan keampunan Engkau, masukkan daku ke dalamnya dengan nama Allah dan segala puji-pujian itu tertentu bagi Allah, selawat dan salam ke atsa junjungan kami RasuluLlah.”

Beramai-ramai kami membaca doa di atas, doa ketika melangkah masuk Masjidil Haram. Setelah melihat kaabah pula, kami bertakbir,

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!
Diikuti dengan bacaan doa,

"Tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagi Engkau sekali-kali, Tuhan yang memerintah segala sesuatu, bagiNya segala kepujian dan Dialah Tuhan Yang Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu, aku berlindung dengan Tuhan yang mempunyai BaituLlah ini daripada kekufuran, kemiskinan, azab kubur dan sempit fikiran. Allah merahmati dan mengurniakan kesejahteraanNya, mencucuri ke atas Saiyidina Muhammad SAW, keluarganya dan sahabat-sahabatnya. Wahai Allah tambahkanlah BaituLlah ini dengan kemuliaan, kebesaran, keagungan, kebaikan begitu juga tambahkanlah kurnia Engkau kepada sesiapa juga yang memuliakan (BaituLlah) dan akan membesarkannya daripada kalangan yang mengerjakan haji dan umrah dengan kemuliaan, kebesaran, ketinggian dan kebajikan.”


Ustaz Azhuri memimpin bacaan doa-doa di atas. Ramai juga di kalangan ahli jemaah yang membaca sendiri doa-doa tersebut. Setiap ahli jemaah dibekalkan secara percuma buku panduan umrah dan ziarah, “Teman Tetamu Allah” terbitan Darul Nu’man. Di dalam buku tersebut, terdapat doa dan terjemahan. Ustaz Azhuri memimpin bacaan doa tersebut di dalam bahasa arab dan sememangnya, adalah lebih afdhal untuk beribadah menggunakan bahasa arab. Namun begitu, tidaklah menjadi halangan untuk kita menambahkan penghayatan dengan membaca terjemahan.

“Saya lebih suka membaca doa yang terjemahan, lebih penghayatan,” teringat pula kata-kata En Hashim ketika kami bersembang panjang di Madinah mengenai ibadah ziarah di sana.

Titisan air terus mengalir di pipi. Dengan perasaan sebak kami terus melangkah menuju ke Hajarul Aswad bagi memulakan tawaf. Dalam perjalanan menuju ke hajarul Aswad, disunatkan untuk berdoa,

“Ya Allah, kerana keimanan kepadaMu, membenarkan kitabMu, menunaikan janjiMu, dan menurut sunnah NabiMu, aku melakukan amalan ini.”

Diulang-ulang membaca doa ini supaya menetapkan hati untuk melakukan tawaf dengan niat yang sepenuh dan sesungguh-sungguhnya kerana Allah semata-mata. Keadaan penuh sesak dengan manusia. Pelbagai ragam, rupa, dan warna kulit manusia ada di situ. Di lantai utama inilah kami akan memulakan tawaf bermula dengan penjuru hajaraul aswad.

Sebelum ini, dikatakan terdapat garis hijau di atas lantai yang terletak betul-betul segaris dengan penjuru kaabah yang terletaknya hajarul aswad. Namun atas factor-faktor tertentu, pihak pengurusan Masjidil Haram, Kerajaan Arab Saudi sendiri, telah memadamkan garisan tersebut. Cuma lampu hijau dan kedudukan hajarul aswad sahaja yang membantu para jemaah mencari lokasi yang sepatutnya untuk memulakan tawaf.

Ibadah Umrah dimulakan dengan niat, diikuti dengan tawaf, saie dan kemudiannya bercukur dan dilakukan mengikut tertib. Sebenarnya, ibadah tahiyyatul masjid yang khusus untuk Masjidil Hara mini adalah ibadah tawaf itu sendiri. Sebab itu, tidak hairanlah jika terdapat ramai manusia yang berpusu-pusu dan bersesak-sesak melakukan tawaf, samada tawaf wajib )untuk umrah atau haji) mahupun tawaf sunat (tahiyyat atau semata-mata sunat) dan kedua-duanya dilakukan sebanyak 7 kali mengikut lawan arah jam.

Jika mengikut petua tangan kanan, sebarang putaran yang mengikut arah lawan jam, akan menghasilkan arus ke atas (mengikut arah ibu jari). Mungkin itu adalah salah satu hikmahnya, sebagai menunjukkan ibadah tawaf ini menghasilkan suatu perasaan pengabdian kepada Allah. Hakikatnya, para Malaikat juga bertawaf menglilingi Baitul Ma’mur. Baitul Ma’mur merupakan tempat dimana para Malaikat beribadah kepada Allah, dan dikatakan terletak betul-betul di atas Baitullah Al-Haram ini. SubhanaLlah.

Perasaan sebak semakin menghilang dan menipis kerana himpitan manusia. Perasaan sedikit terganggu dengan kacau ganggu manusia. Masya Allah, begini rupanya keadaan bersesak-sesak di depan kaabah. Lantai utama waktu itu dipenuhi dengan ramai orang terutamanya dari kalangan bangsa arab. Berbetulan dengan cuti musim panas Negara-negara arab, maka ramailah orang-orang arab di sana. Iran dengan kekasaran Iran, Turki dengan kemegahan Turki, Pakistan dengan kesesakan Pakistan serta sekutunya Bangladesh, Indonesia dengan cara Indonesia, sedang Melayu Malaysia, dengan kesopanan dan kesantunan Melayu Malaysia.

Sedang saya pula, cuba mengikut rentak dan membiasakan diri mencari kaedah penyesuaian diri yang terbaik agar kualiti ibadah saya terpelihara. Pada mulanya, agak sukar untuk memulakan langkah, kerana bimbang tersentuh dengan wanita yang bukan mahram (memang tiada mahram saya di sana). Berpegang dengan formula, asal bukan kita yang menyentuh kulit yang bukan mahram secara sengaja, maka wudhuk kita tidak akan terbatal., saya meneruskan juga langkah saya menuju ke garisan permulaan untuk memulakan ibadah tawaf pertama dalam hidup saya. Tak sabar rasanya ingin melakukan tawaf mengelilingi kaabah yang mulia ini. Terima kasih Ya Allah.

Untuk memulakan tawaf, berdiri di garisan yang setentang dengan Hajarul Aswad, menghadapkan tubuh kea rah Hajarul Aswad serta berniat tawaf umrah.
“Ya Allah, aku hendak melakukan tawaf BaituLlahil Haram sebanyak tujuh pusingan, Tawaf umrah kerana Alalh Ta’ala, maka permudahkanlah bagiku dan terimalah daripadaku.”
Kemudian, selepas berniat disunatkan untuk melakukan istilam, iaitu melambai ke Hajar Aswad dan lalu mengucup tangan itu, sambil menyebut,

“Dengan nama Allah dan Allah Maha Besar, semua pujian adalah tertentu kepada Allah.”
Di dalam ibadah tawaf ada 12 syarat sah. Selain daripada berniat tawaf, bermula di garisa yang setentang dengan Hajarul Aswad, membuat 7 pusingan mengikut lawan arah jam, berwudhuk, dan lain-lain, tawaf juga mestilah dilakukan dengan semata-mata untuk melakukan tawaf dan bukan untuk mencari orang atau sebagainya. Bermakna, sekiranya kita terpisah dengan jemaah, pusingan tersebut dikira batal dan tidak sah sekiranya dilakukan sambil mencari orang atau mencari barang yang tercicir atau sebagainya. Sekiranya terpisah atau tercicir sesuatu atau sebagainya, maka sebaiknya meneruskan tawaf dan mencari semula setelah menamatkan tujuh pusingan yang menumpukan perhatian sepenuhnya pada ibadah tersebut.

Sebab itulah, ibadah tawaf mahupun saie, tidak boleh dilakukan dengan sambil lewa, bahkan ianya perlu dilakukan dengan niat yang berpusat dan berfokus kepada penyempurnaan ibadah semata-mata kerana Allah Ta’ala.

Oleh kerana kumpulan kami agak ramai, kami terpecah-pecah, saya telah mengingatkan para jemaah terlebih awal bahawa doa dan istilam serta segala perbuatan selain daripada mengelilingi dengan tujuh pusingan (beserta syarat-syarat sah), hukumnya adalah sunat dan boleh ditinggalkan. Jadi, kepada yang terpisah, sebaiknya selesaikan dahulu tujuh pusingan dan kami menetapkan untuk berjumpa semula di bawah lampu hijau, iaitu tempat mula-mula kami berkumpul.

Mujurlah ramai ahli jemaah yang sudah biasa dengan ibadah umrah, ada yang memimpin keluarga masing-masing, ada juga yang sempat mengekori Ustaz Azhuri, dan ada dua tiga orang yang bersama saya yang sebenarnya baru kali pertama mengerjakan umrah. Sayamemulakan dengan beridtiba’, iaitu menampakkan bahu sebelah kanan, disunatkan kepada orang-orang lelaki sebagai mengikut sunnah Nabi SAW yang juga beridtiba’ menurut hadith yang diriwayatkan oleh Ya’li bin Umaiyah. Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah, Ad-Darini, Al-Baihaqi dan At-Tarmidzi.

Saya memimpin mereka dengan sama-sama membaca doa yang terdapat di dalam buku panduan tersebut. Satu demi satu pusingan diteruskan sehinggalah ke pusingan yang ketujuh sambil melakukan istilam, berdoa, bertakbir dan memperbanyakkan zikir, akhirnya selesailah tawaf umrah sebanyak 7 pusingan. Tawaf pertama dalam hidup. TERIMA KASIH YA ALLAH!!!

Bersambung...

Monday, July 26, 2010

Perjalanan Menjadi Tetamu Allah - Bahagian 16

Tepat jam 4.30 petang, kami sampai di Hotel Muhajirin yang terletak di Gaza. Pada mulanya, saya sendiri agak terkejut, rupanya di Mekah pun ada tempat yang dipanggil Gaza, terletak berdekatan dengan Masjid Kucing, menurut informasi awal yang saya terima, kira-kira 300 meter dari Masji Haram. Semua aktiviti pemindahan bagasi diserahkan kepada pekerja hotel, yang juga hampir kesemuanya berasal dari Bangladesh.

“Ahlan, ahlan!” sambut Ustaz Shamsudin, wakil daripada muasasah yang bertanggungjawab terhadap segala urusan di Mekah dan urusan menyambut jemaah di Lapangan Terbang Jeddah. “Langsung sahaja ke tingkat M untuk makan, kemudian kita pergi menunaikan umrah bersama-sama.” Ujarnya lagi mengarahkan jemaah yang baru untuk terus ke tingkat M untuk makan tengah hari.

Saya pula terus ke kaunter untuk urusan tempahan bilik, menggunakan senarai yang telah ditambah baik, sekejap sahaja semua bilik sudah diagihkan kepada para jemaah di dewan makan.

“InsyaAllah, kita kumpul di bawah jam 5.30 petang, sementara tu boleh masuk ke bilik dan buat apa yang patut ye,” umum saya di dewan makan yang agak kecil. Mujurlah kami sampai lewat, jika tidak mungkin terpaksa bersesak dan berebut-rebut dengan jemaah lain yang juga menginap di hotel yang sama.

“Kad ni simpan, kalau berlaku apa-apa boleh tunjukkan alamat hotel yang ada pada kad,” ujar saya kepada setiap jemaah yang datang mengambil kunci bilik masing-masing.

Sebaik sahaja semua urusan pembahagian bilik selesai, saya terus menuju ke meja hidangan. Seperti di Madinah, hidangannya adlah secara buffet, dan menunya juga agak lebih kurang sama. Kali ini, sedikit sahaja makanan yang saya ambil, sebaliknya hampil separuh daripada pinggan saya dipenuhi buah anggur.

Sejurus selepas menghabiskan makanan dan minuman, saya terus menuju ke lobi untuk menaiki lif. Reka bentuk hotel ini agak lama, malah fesyen lifnya juga agak “old-skool”.

“Macam peti ais lif ni, ada bukak tutup pulak,” ujar Najmi, 14, kedua paling muda selepas Abdul Rahman, 13.

Memang jika dilihat dari luar dan dalam, rupa bentuk lif tersebut saling tak tumpah dengan peti ais daging. Ada juga yang mengatakan rupa bentuknya seperti almari, memang inilah kali pertama saya berjumpa dengan lif yang pintunya dibuka seperti peti ais.

Tepat pukul 5.15, saya telah pun berada di lobi menunggu beberapa orang jemaah yang masih sedang bersiap barangkali. Umrah kali pertama ini disertai hampir kesemua jemaah kecuali beberapa orang muslimat yang uzur dan tidak berapa sihat. Ada juga yang memohon untuk menggunakan khidmat ‘arabi’(kerusi roda) kerana tidak larat berjalan jauh. Ustaz Azhuri sendiri mempunyai beberapa orang kenalan yang menyediakan perkhidmatan tolak ini. Lebih kurang 5 orang jemaah yang menggunakan kerusi roda dan mereka bertolak ke Masjid Haram lebih awal kerana perjalanan mereka tidak sama dengan perjalanan mereka yang tidak menggunakan kerusi roda.

Tiga orang jemaah yang dipimpin oleh Haji Nazir, juga bertolak awal ke Masjid Haram kerana mahu menunaikan umrah secara sendiri. Sememangnya, bagi mereka yang sudah biasa menunaikan umrah, saya menbenarkan mereka untuk pergi berasingan kerana jika mengikuti rombongan mungkin akan memakan masa yang lebih panjang.
Sementara menunggu jemaah, beberapa orang arab telah pun menunggu di pintu hotel ingin menawarkan perkhidmatan menolak kerusi roda.

“’Arabi?” salah seorang daripada mereka menawarkan perkhidmatan kepada salah seorang jemaah.

Berkali-kali orang arab itu menawarkan perkhidmatan tersebut kepada para jemaah. Ada juga jemaah yang kelihatan runsing dan takut dengan tindakan orang arab itu yang agak “bersungguh-sungguh” mahu mendapatkan pelanggan. Melihat keadaan jemaah yang agak tidak selesa, saya terus menerpa kea rah orang arab itu, sambil menarik bahunya ke belakang, saya berkata,
“La sheikh, bass(cukup),” ujar saya yang hampir hilang sabar. Cepat-cepat saya beristghfar, Ya Allah, lindungi aku dan para jemaah, doa saya di dalam hati.

Saya hairan dan pelik kenapa begitu cepat saya naik angin sedangkan saya sepatutnya boleh bersabar dengan karenah orang arab itu tadi. Perasaan bersalah menghantui saya, sejenak saya terlupa bahawa ada urusan yang jauh lebih penting daripada mengendahkan orang arab itu tadi, iaitu menguruskan jemaah yang akan menunaikan umrah sebentar lagi. Cuma tinggal sekeluarga lagi yang masih belum turun, saya cuba menenangkan jemaah yang sudah semakin resah kerana agak lama menunggu di situ.

Setelah jam 6 petang, barulah kami semua bertolak menuju ke Masjid Haram. Sepanjang perjalanan kami menuju ke masjid haram, saya terus memimpin bacaan talbiah yang dilaungkan bersama-sama dengan para jemaah. Darah saya bergemuruh kerana suasana ketika itu begitu bersemangat malah lebih bersemangat berbanding ketika berarak dalam demonstrasi di tanah air dan di UKM sebelum ini.

Begitu semangat kami melaungkan lafaz talbiah, berulang-ulang sehinggalah sampai di pintu masuk Masjid Haram. Saya menggelarkan perarakan itu sebagai perarakan Demonstrasi Umrah Darul Mubarak. Kami memperlahankan lafaz talbiah sewaktu tiba di masjid kerana bimbang akan mengganggu ibadah orang lain yang berada di Masjid. Kami memasuki masjid melalui pintu berdekatan dengan bukit Marwah kerana pintu tersebut merupakan pintu yang awal sekali kami temui, dan pintu itulah yang biasa digunakan oleh jemaah yang menginap di sekitar Masjid Kucing dan Gaza.

“Kita disunatkan untuk memasuki masjid haram melalui Bab As-Salam(Pintu As-Salam) yang terletak di antara bukit Safa dan Marwah,” ujar Ustaz Azhuri sambil menunjukkan kami kea rah pinta As-Salam yang telah diubahsuai dan dipadam tandanya oleh Kerajaan Arab Saudi. “Oleh kerana kita ada jemaah yang agak kurang sihat, kita masuk sahaja menggunakan pintu ini, jika ada kesempatan bolehlah menggunakan bab As-salam di lain waktu,” ujar Ustaz Azhuri lagi.

Setelah itu kami sama-sama membcakan doa memasuki Masjid Haram. Semakin kencang jantung saya berdegup, semakin laju darah saya mengalir, Ya Allah ampunkan dosaku, dosa kedua ibu bapaku, serta dosa seluruh muslimin-muslimat, doa yang tidak putus saya ucapkan.

Pintu yang kami gunakan merupakan pintu di mana terletaknya Bukit Marwah, iaitu penghujung kepada ibadah Saie. Kelihatan ramai jemaah yang baru sahaja menunaikan Saie bercukur di atas saki-baki batu yang masih ada, kebanyakan permukaan bukit Marwah telah pun ditutup oleh lantai marmar. Ribuan manusia sedang berjalan-jalan ulang-alik antara Bukit Safa dan Marwah. Wah, begini rupanya bukit marwah. Keadaannya yang sebenar begitu berbeza dari yang dikhabarkan atau yang pernah terlintas di fikiran.

Setiap permukaan lantai di situ terdapat garisan saf, maka dengan mudahnya saya dapat meneka arah kedudukan kaabah. Hati saya semakin gementar, degupan jantung kencang tidak terkata. Langkah diteruskan sehinggalah sampai di sebuah pintu dari laluan saie tersebut. Bayang-bayang kaabah dari celahan dinding yang diukir dengan begitu cantik sudah mula kelihatan. Lafaz talbiah masih meniti di bibir.

Ketika mula memasuki pintu, bangunan kubus hitam itu sudah jelas kelihatan. Secara tiba-tiba berderau darah, suatu perasaan yang sukar digambarkan, bahkan hamper tidak mempunyai perasaan. Pandangan saya tidak terlepas daripada kaabah walaupun keadaan begitu sesak dengan ragam manusia yang macam-macam. SubhanAllah. Maha suci Allah yang telah menemukan aku dengan tanda-tanda kebesarannya.

Kami berjalan melalui lorong tersebut sehingga sampai ke hujung bahagian berbumbung, betul-betul di bawah lampu hijau yang menandakan garisan penjuru hajarul aswad.

Air mata mengalir deras, perasaan sayu, hiba, terharu, gembira dan pelbagai perasaan datang sekaligus. Ya Allah, terima kasih kerana mengizinkan aku menjadi tetamuMu Ya Allah. Doa dan zikir tidak putus keluar dari bibir, sejenak terlupa bahawa ada jemaah yang perlu diuruskan. Sejenak kemudian, saya kembali menenangkan diri dan beralih ke lantai utama untuk memulakan ibadah umrah, iaitu tawaf menglilingi kaabah.


Bersambung...

Friday, July 23, 2010

Terrorisme : Lagi Pengaruh Yahudi dalam Kerajaan.

Dunia digemparkan dengan insiden pengeboman World Trade Centre, Washington, Amerika Syarikat yang menyaksikan gerakan Islam dijadikan sasaran yang kononnya menjadi dalang kepada insiden tersebut. 11 September 2001 menjadi tarikh bermulanya kecaman dunia barat dan sekular ke atas dunia Islam dengan melabelkan kelompok yang memperjuangkan Islam sebagai pengganas, ekstremis, dan juga terroris. Bermulalah kempen fitnah "Terrorisme = Islam" yang secara tidak sengaja disebarkan dan diakui oleh seluruh dunia.

Atas misi menyelamat, Amerika dan sekutunya, Britain bertindak menghantar tenteranya untuk memerangi pengganas di Iraq dan Afghanistan dalam Perang Anti Pengganas 2003. Hasilnya, ratusan ribu umat Islamdan rakyat yang tidak berdosa terbunuh atas fitnah yang dimulakan oleh dunia barat.

Hakikatnya, perang dan kecaman ke atas dunia Islam telah bermula jauh lebih awal dari 2003 apabila di beberapa tempat di dunia ini, kelompok yang memperjuangkan Islam ditindas dan dinafikan hak mereka untuk mendapatkan pengadilan. Malaysia, sebenarnya telah lama bersekongkol dengan dunia barat dalam misi ini. Peristiwa Memali adalah salah satu bukti yang menunjukkan bahawa pentadbiran Malaysia sebenarnya di bawah pengaruh dan kawalan dunia barat dan sekular ini.

MILF atau lebih dikenali dengan Abu Sayyaf merupakan antara mangsa fitnah di Filipina apabila dikaitkan dengan gerakan militer walaupun pada asalnya hanyalah kelompok yang berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan daripada Filipina yang pada ketika itu mengamalkan sistem pentadbiran yang sekular. Mereka berjuang untuk membebaskan selatan Filipina daripada cengkaman kristian dan sekular dan akhirnya menerima nasib yang malang apabila dikecam sebagai pengganas.

Ulama' mereka ditangkap sehingga menimbulkan kemarahan di kalangan pengikut, kemudian perangkap di pasang oleh golongan pemerintah supaya para pengikut itu ditangkap dan kemudiannya terus diberikan label pengganas.

Kejadian yang hampir serupa berlaku di wilayah selatan Thai, apabila golongan yang dilihat sebagai kuat berpegang dengan agama ditangkap ditindas sehingga menimbulkan kemarahan. Rakyat yang bangkit untuk membela para cendekiawan Islam ini kemudiannya ditangkap dan diperangkap kononnya terlibat dalam kegiatan keganasan sedangkan apa yang mereka lakukan hanyalah semata ingin menuntut supaya dibebaskan dan diberikan pengadilan. Letupan bom dan kejadian tembak yang "misteri" terus dikaitkan dengan rakyat yang tidak bersalah. Anehnya, mereka yang menumpukan usaha mengajar agama pula yang dipersalahkan. Menariknya di sini, pergolakan memuncak ketika kerajaan Thailand cuba melaksanakan dasar One Thai iaitu dasar yang cuba untuk meng"siam"kan seluruh Thailand.

Jika dikaji dan diteliti, kejadian Memali juga mempunyai turutan dan rentetan peristiwa yang hampir serupa di kesemua tempat di atas. Kaji dan analisislah bagaimana kecaman yang dilemparkan kepada Taliban di Afghanistan, Jamaat Islami, di Pakistan, Gerakan Rakyat Pattani, GRP, dan banyak lagi gerakan Islam yang ingin menuntut kemerdekaan dan bagaimana kesudahan yang menimpa mereka.

Sifir yang digunakan untuk memahami proses ini ialah, asalkan gerakan itu menuntut supaya dibebaskan daripada wilayah sekular @ wilayah bukan Islam oleh kelompok Islam, maka sudah pasti kelompok ini akan dilabelkan sebagai puak pelampau, ekstremis, terroris, dan sebagainya. Hakikatnya, gerakan Islam ini hanyalah ingin menuntut pembelaan, pembebasan, keadilan dan diberikan hak mereka yang sewajarnya.
Bagi merealisasikan doktrin terrorisme ini, Amerika dan sekutu(yang saya yakin di bawah pengaruh Yahudi LaknatuLlah) telah melancarkan kempen anti pengganas di seluruh dunia termasuk Malaysia. Kempen yang dilancarkan ini pula meletakkan fokus dan tumpuan mereka kepada Gerakan Islam di seluruh dunia. Seolah-olah, hanya gerakan Islam sahaja yang menjadi dalang kepada aktiviti keganasan. Mereka berjaya kerana, asal ada sahaja keganasan atau sebarang laporan tentang kegiatan keganasan maka kelompok yang berpegang kuat dan teguh terhadap Islam akan menjadi mangsa kecaman.

Malaysia turut serta dalam kempen ini, malah mengaitkan rakyat Malaysia dengan sebuah pertubuhan yang pada hakikatnya hanyalah direka untuk meng"halal"kan kempen dunia barat ini, iaitu JI. Apa itu JI, dan di mana mereka beroperasi? Saya yakin kerajaan tidak akan mampu menjawab soalan yang begini mudah apalagi ingin menjawab secara spesifik siapakah yang kerajaan maksudkan sebagai terlibat dengan JI.

Malaysia meneruskan kempen memerangi Keganasan ini apabila Kementerian Pengajian Tinggi, melalui Timbalan menterinya, Dato' Saifuddin Abdullah, menubuhkan Jawatankuasa Khas memantau terorisme di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta. Akhbar Sinar Harian, Khamis, 22 Julai, m/s 4, melaporkan bahawa KPT akan bekerjasama dengan pihak Polis DiRaja Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, dan Kementerian Luar untuk menangani isu ini secara serius. Beliau dipetik sebagai berkata "Pelajar IPT sudah dewasa dan mampu berfikir dengan sendiri. Namun dalam konteks menangani terrorisme di kalangan mereka, kerajaan tidak akan mengambil sikap lepas tangan dan akan melakukan pemantauan untuk menbanteras kegiatan ini," katanya sebagai menjawab soalan Senator Datuk Zaitun Mat pada Sidang Dewan Negara hari sebelumnya.

Sebagai seorang manusia dan beragama Islam, saya menyokong penuh usaha ini. Kerana sudah semestinya, saya juga menginginkan kedamaian dan kesejahteraan apalagi di bumi tempat tumpah darah saya lebih-lebih lagi di tempat saya menimba ilmu.

Namun, perhatian serius perlu diberikan oleh kerajaan supaya tidak tersasar daripada matlamat memerangi keganasan kepada memerangi kumpulan yang berpegang teguh dengan ajaran Islam seperti yang berlaku di Thailand, Filipina, Indonesia, Russia, Afghanistan, Pakistan, Mesir, dan sebagainya. Bimbang sekiranya usaha ini dibuat kerana pengaruh dunia barat khususnya Yahudi yang sentiasa memerangi dan memusuhi orang-orang Islam. Malanglah kiranya, jika sebuah negara yang mengaku Islam sebagai agama rasmi menuruti jejak langkah Yahudi dan sekutu.

Sebagai seorang muslim, menjadi tanggungjawab saya untuk membantu usaha memerangi keganasan ini. Bahkan saya sendiri menyatakan kerelaan dan kesudian saya untuk membantu pihak berkuasa dalam menyiasat perkara ini agar pengganas yang sebenar dapat diberkas dan disekat daripada terus berleluasa. Saya yakin, inilah juga harapan seluruh rakyat Malaysia. Cuma sekali lagi, saya menyatakan kerisaauan saya terhadap kempen anti pengganas yang dilancarkan oleh kerajaan, bimbang kerana marahkan nyamuk kelambu pula yang dibakar.

Semoga Negara ini terus menerus di berkati dan dirahmati Allah Ta'ala. Menjadikan penduduknya beriman dan beramal soleh.

Tuesday, July 20, 2010

Tenang


Dalam zaman yang serba moden ini, kita terdedah kepada pelbagai jenis cabaran, mehnah dan tribulasi. Semakin pesat pembangunan, semakin hampir manusia kepada tahap kehancuran. Akan tetapi, seorang mukmin dan muslim mestilah memandang setiap sesuatu secara positif dan optimis dengan peluang dan ruang yang Allah janjikan untuk perubahan. Kerana janji Allah itu sentiasa benar, dan kemenangan itu amat hampir bagi orang-orang yang beriman.

Mendepani cabaran memerlukan kepada persiapan yang rapi dan berkesan. Persiapan untuk menyelamatkan diri dan orang lain. Tidak dapat tidak, seorang mukmin perlu menyimpan sedikit daripada bahagian akal dan jiwanya untuk kepentingan umat. Bahkan Nabi menyebut dalam hadith yang sohih dan masyhur bahawa, mereka yang tidak mengambil berat akan urusan kaum muslimin bukanlah dari golongan Baginda, kita berlindung daripada Allah agar tidak tergolong di dalam golongan yang tidak peduli di atas.

Nabi Muhammad juga pernah berpesan, "Bagi Tuhanmu ke atas mu hak, bagi nabimu ke atas mu hak, bagi setiap jiwa ke atas mu hak, bagi jiwa mu ke atas mu hak, maka tunaikanlah setiap hak itu haknya." atau seperti kata-kata Nabi SAW yang mulia dan benar.

Maka, perlu diingat bahawa kita juga bertanggungjawab ke atas diri kita. Iaitu menyempurnakan hak diri untuk hidup dan meneruskan kehidupan di atas muka bumi selaras dengan segala ketetapan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Mengabaikan salah satu daripada hak diri, adalah sama dengan mengabaikan hak Pencipta diri kita yang telah menjadikan kita dengan sebaik-baik ciptaan.

Manusia terbentuk daripada empat elemen penting, iaitu Rohani, Jasmani, Akal, dan Emosi. Keempat-empat elemen ini ada pada semua manusia. Semua manusia diciptakan Allah dilengkapi dengan elemen ini. Allah Ta'ala meminjamkan kemampuan akal, emosi, rohani dan jasmani kepada manusia untuk meneruskan kehidupan di samping melaksanakan dua tugas utama iaitu berperanan sebagai hamba dan wakil kepada pentadbiran Allah di atas muka bumi ini, iaitu berfungsi sebagai khalifah.

Saya suka mendefinasikan "tenang" sebagai keupayaan untuk mengawal tahap keempat-empat eleman ini dan tidak membiarkan mana-mana elemen menguasai tindakan dalam keadaan-keadaan tertentu. Definasi tenang ini perlu dibezakan daripada pengertian "cool" di dalam bahasa inggeris, iaitu seolah-oleh tenang dikaitkan dengan keupayaan untuk sentiasa sejuk dalam apa jua keadaan.

Definasi cool seperti ini telah merosakkan ramai manusia khususnya kaum lelaki yang sentiasa ingin dipandang "cool". Pertembungan antara kepentingan diri dan kepentingan umat sering kali disalah ertikan oleh sesetengah pihak sebagai menjaga tepi kain. Maka di sinilah gunanya tenang dalam mengawal tindakan dan aksi bagi membolehkan mesej yang cuba disampaikan dapat diterima dengan baik tanpa sebarang konflik atau provokasi yang merugikan.

Ketika dilanda masalah, seorang yang tenang akan dengan bijak mengawal emosinya supaya tahap keprihatinannya berada pada paras yang baik, keupayaan akalnya untuk berfikir digunakan dengan sebaik mungkin, kedudukan rohaninya dipastikan berada pada landasan yang betul, seterusnya menunaikan hak-hak dirinya supaya stamina dan ketahanan badannya terjamin dalam misinya untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

Pemimpin yang baik perlu ada sifat simpati dan empati, sifat ini adalah sifat yang dimiliki dan dikawal oleh perasaan dan emosi. Kegagalan kita mengawal simpati dan empati akan menyebabkan kita disifatkan sebagai kejam atau over acting, di mana kedua-duanya akan menghalang mesej disampai dengan baik.

Seorang mukmin perlu sentiasa mengawal tahap rohaninya dengan memastikan keadaan nafsu @ keinginan kita terhadap sesuatu itu dihalakan kepada tempat yang sepatutnya. Mengawal rohani bererti memastikan ianya berada pada landasan yang betul. Misalnya, kesunyian cenderung membuatkan manusia mencari sesuatu untuk menjadi temannya. Maka dia perlu mengawal rohaninya supaya sentiasa meletakkan setinggi-tinggi pergantungan kepada Allah. Keutamaan Allah melebihi keutamaan makhluk bahkan dirinya sendiri. Sebab itulah tangisan seorang mukmin yang mengadu dan merintih kepada Tuhannya membuahkan suatu ketenangan yang tidak terhingga nikmatnya. Tiada kehidupan yang lebih baik daripada kehidupan bersama Ilahi. Ianya selalu disebut sebagai ketenangan yang abadi.


Keupayaan mengawal akal juga disebut sebagai kemahiran berfikir. Kemahiran berfikir pula bermaksud keupayaan mengoptimumkan fungsi otak. Semakin banyak otak dan sel-selnya berfungsi, maka seseorang itu dikatakan sebagai mahir berfikir atau memiliki keupayaan mengawal tahap akal yang baik. Seperti yang diketahui oleh para saintis, jumlah sel-sel neuron otak adalah sebanyak 1 trilion. Jumlah ini merupakan 126 kaliganda penduduk bumi dan sudah semestinyalah ia mempunyai keupayaan yang jauh lebih besar daripada ‘super computer’.

Percaya atau tidak, semakin kita meningkat dewasa, jumlah sel otak semakin berkurang. Jika sejak lahir kita memiliki beberapa ribu sel otak, jumlahnya akan semakin berkurang seiring dengan pertambahan usia. Pengurangan menjadi semakin cepat jika kita tidak menggunakan sel-sel otak yg ada ke tahap maksimum. Dari hasil kajian, sel otak hanya akan berkembang pada bahagian yg paling sering digunakan sahaja. Jika anda tidak mahu berlakunya penurunan atau pengurangan sel otak anda, amalkan beberapa tip di bawah :

Aktiviti Fizikal
Lakukan aktiviti-aktiviti fizikal seperti larian marathon atau berjogging. Aktiviti ini akan meningkatkan jumlah sel otak pada hippocampus iaitu di bahagian otak yg mengatur memori dan proses belajar.

Aktiviti Baru dan Berbeza
Lakukan sesuatu aktiviti yg baru seperti mencuba menu makanan yg baru, wangian yg berbeza. Atau, jika anda sering menggunakan tangan kanan utk melakukan kerja, anda boleh cuba menggunakan tangan kiri pula.

Mungkin juga anda boleh cuba mengunjungi tempat-tempat baru, mencipta sesuatu yg baru seperti kraf tangan, seni, atau menulis puisi utk menggalakan proses berfikir, dan mengolah mental.

Elakkan dari memakan makanan ringan atau makanan yg mengandungi hydrogenated oils. Lemak mengurangi aliran darah yg kaya dgn oksigen ke otak dan menghambat metabolisme glukosa yg digunakan otak utk berfikir.

Cubalah tips ini. Moga-moga sel otak kita akan bertambah bukan sebaliknya.
(dipetik dari blog http://villaqaseh.blogspot.com/2006/11/pelihara-sel-otak-anda.html)

Seterusnya, aspek fizikal. Keupayaan mengawal fizikal ini agak sukar untuk diterangkan memandang aspek fizikal saya masih lagi berada di tahap yang kurang memuaskan. Aspek fizikal meliputi peredaran darah(tekanan darah), keboleh fungsian organ dan sistem dalam badan, imunisasi dan juga kandungan gula dan lemak dalam darah. Selain itu, seseorang yang mempunyai keupayaan fizikal yang baik sentiasa dikaitkan dengan cergas, responsive dan bertenaga kerana sistem dalam badannya berfungsi dengan baik. Sekiranya peredaran darh kita baik, maka oksigen dapat dislaurkan denngan baik ke seluruh anggota badan terutamanya otak, maka di situ akan mempercepat dan mempermudahkan sel-sel otak berhubung dan neuron-neuron juga dapat berfungsi dengan baik. Hati dan jantung yang sihat juga membuahkan kehidupan yang ceria dan bersemangat.

Inilah hak-hak diri dan perlu dijaga dengan baik untuk mencapai maksud TENANG.

Bersama mencari dan memiliki ketenangan Abadi...

Saturday, July 17, 2010

Perjalanan Menjadi Tetamu Allah - Bahagian 15


Hati saya semakin berdebar-debar ketika mula melihat bangunan-bangunan yang mulai padat susunannya, sebagai tanda bumi Mekah sudah semakin dekat. Bangunan yang tinggi juga rumah-rumah yang dibina dari tanah liat dan juga batu-bata menghiasi pemandangan sebelum memasuki kota Mekah. Tiba-tiba di 20 km terakhir, suatu sekatan jalan dibuat oleh pihak berkuasa Arab Saudi. Kami melepasinya dengan mudah, tiba-tiba, pemandu bas mengeluh. Gear tersangkut, dan gayanya memulas gear saling tak tumpah dengan gayanya memulas ketika dalam perjalanan ke Madinah tempoh hari. Tumpuan saya sedikit terganggu dengan situasi tersebut walaupun lidah tidak henti melafazkan talbiah dan selawat. Sempat lagi saya bertukar pandangan dengan pemandu bas tersebut, bimbang kalau-kalau masalah clutch menimpa kami semula.

Tiba-tiba, dengan satu sentakan, akhirnya gear berjaya dimasukkan dan kami meneruskan perjalanan. AlhamduliLlah, di dalam hati saya berbisik, “sempat lagi dia berseloroh dalam keadaan kritikal macam ini”. Bisik saya, meneka, mungkin pemandu bas tersebut sengaja ingin mengusik.

Sejurus melepasi sekatan jalan tersebut, kami bersama-sama membacakan doa memasuki tanah haram,

“Ya Allah, Tanah Haram ini Tanah HaramMu dan negeri ini negeriMu dan keamanan ini keamananMu maka haramkanlah kami daripada api neraka dan amankanlah kami di hari Engkau membangkitkan hamba-hambaMu”

Selang beberapa ketika, kami pun sama-sama membacakan doa ketika melihat kota Mekah, iaitu ketika mula melihat bangunan-bangunan yang terbina di situ:

“Ya Allah, jadikanlah negeri ini tempat yang tenang bagi kami, dan kurniakanlah kamirezeki yang halal di dalamnya, Ya Tuhan kami, berikanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan selamatkanlah kami dari seksa api neraka. Ya Allah, negeri ini negeriMu, dan rumah ini rumahMu, kami datang memohon rahmatMu dan menuju ketaatan kepadaMu, menurut perintahMu, mengharapkan keredhaanMu, dan berserah kepada perintahMu, kami bermohon permohonan orang yang terdesak yang takut daripada azabMu, kami harap Engkau menerima kami dengan kemaafan , mengampuni dosa kami dan memasukkan kami ke dalam syurgaMu.”

Saya teringat akan kata-kata sepupu saya, Ali Taib, yang baru sahaja membimbing jemaah umrah pada bulan Mei yang lalu. Dia menceritakan keadaan di Mekah yang mengalami banyak perubaha dan sedang berada dalam tempoh pembinaan. Sebaik sahaja memasuki kota Mekah sudah pasti akan terlihat bangunan pencakar langit yang sedang dibina oleh Kerajaan Arab Saudi. Bangunan yang menempatkan sebuah jam besar dan terletak bersebelahan dengan Masjid Haram.

“Tuan-tuan, kita sudah semakin menghampiri BaituLlah Al-Haram. Jika dilihat dari sini, terdapat sebuah bangunan pencakar langit yang sangat tinggi yang menjadi mercu tanda kedudukan Masjid Haram. Di tempat itulah, (sambil mengarahkan pandangan jemaah kea rah bangunan tinggi tersebut) terletaknya Masjidil Haram,” terang saya kepada jemaah sambil tumpuan mata kami berfokus kea rah bangunan yang separuh siap itu.

“Bangunan yang dikenali sebagai Menara Jam Diraja Saudi tersebut merupakan bangunan yang bakal menjadi bangunan tertinggi di Mekah, dan kedua tertinggi di dunia mengalahkan Menara berkembar KLCC. Dari jauh lagi, kita akan nampak bangunan tersebut. Bahkan jam yang diperbuat dari Jerman itu juga akan menjadi jam yang terbesar di dunia. kompleks hotel gergasi itu bakal menjadi bangunan kedua tertinggi di dunia dan di atasnya akan dibina sebuah jam yang enam kali lebih besar daripada jam Big Ben di London. Kompleks tujuh menara hotel yang dikenali sebagai Menara Abraj al-Bayt itu akan mengandungi 3,000 buah bilik dan suite, kebanyakannya menghadap Masjidilharam. Ketinggian kedua-dua menara itu hanya kurang kira-kira 11 meter daripada ketinggian menara tertinggi di dunia, Burj Khalifa yang mencecah 828 meter,” terang saya lagi berpandukan sebuah artikel yang sempat saya temui di dalam internet.

“Menara Jam Diraja Mekah itu akan dibina daripada struktur konkrit setinggi 662 meter dan puncak menara logam setinggi 155 meter yang dilitupi dengan simbol bulan sabit. Malah struktur konkrit Menara Jam Diraja Mekah itu adalah lebih tinggi daripada bangunan kedua tertinggi di dunia pada masa kini iaitu Taipei 101 di Taiwan, yang setinggi 508 meter. Fasa pertama hotel akan dibuka pada akhir Jun 2010 ini, manakala jam itu akan mula beroperasi pada akhir Julai 2010, iaitu menjelang bulan Ramadan yang dijangka bermula sekitar 10 Ogos,”

“Jam buatan Jerman itu, digambarkan sebagai 'yang terbesar di dunia', mempunyai muka selebar 45 meter dan setinggi 43 meter di keempat-empat sisi menara, katanya. Jam tersebut dijangka boleh kelihatan sejauh 17 kilometer pada waktu malam dan 11 hingga 12 kilometer pada waktu siang. Kompleks itu dibina oleh syarikat hartanah gergasi, Bin Laden Group, bagi pihak kerajaan Saudi,” penerangan itu berakhir apabila kami mula memasuki sebuah terowong.

Sebaik sahaja melepasi terowong tersebut, bangunan menara jam tadi kelihatan begitu hampir menandakan kedudukan kami juga semakin hampir dengan Kaabah. Hati semakin berdebar-debar, sehinggalah sampai di suatu selekoh, tersergam indah sebuah komplek Ibadah yang paling indah pernah saya saksikan sepanjang hidup saya. Begitu cemerlang dan bergemerlapan pantulan cahaya yang terpancar dari bangunan yang diperbuat daripada Marmar itu. Menaranya yang tinggi dan begitu ta’ajub saya melihatnya. SubhanaLlah. Tidak putus kalimah syukur yang terbit dari mulut dan hati saya kerana akhirnya berpeluang melihat dan bakal menjejakkan kaki ke Rumah Haram Allah ini.

Bersambung…

Friday, July 16, 2010

Perjalanan Menjadi Tetamu Allah - Bahagian 14



Setelah hampir semua koleksi surah telah dibaca, dan suara Sheikh Misyari juga sudah serak-serak kerana terlalu lama memperdengarkan ayat-ayat suci Al-Aquran Al-Karim, saya kembali ke tempat duduk di sebelah pemandu mencapai mikrofon dan kembali menghangatkan suasana dengan talbiah selawat dan zikir.

Di celah-celah bacaan talbiah itu terkadang saya berhenti sekejap untuk membasahkan tekak dan menyambung kembali sejurus selepas dua tiga teguk air. Suatu ketika, Ustazah Sa’diah menegur saya dari belakang,

“Ustaz, selawat yang paling afdhal ialah selawat seperti di dalam tahiyyat,” katanya memberikan panduan.

Saya meneruskan dengan menambah selawat seperti nasihat Ustazah Sa'diah dengan memimpin bacaan selawat seperti di dalam tahiyyat awal. Ironinya, di dalam selawat tersebut juga memuatkan ucapan selawat dan salam ke atas Pembina Kaabah yang ketiga selepas para Malaikat dan juga Nabi Adam AS, iaitu Nabi Ibrahim dan keluarganya. Sebagaimana dinukilkan di dalam Al-Quran Surah Al-Baqarah, 2:125-129 yang menceritakan peristiwa Nabi Ibrahim diperintahkan untuk membina kaabah bersama-sama anaknya Nabi Ismail AS. Di dalam ayat-ayat tersebut terkandungnya doa Nabi Ibrahim supaya Allah Ta’ala memelihara Kaabah daripada ancaman, menjadikan manusia terikat dan sentiasa ingin mengunjunginya untuk menunaikan ibadah memperhambakan diri kepadaNya.




Beberapa buah buku menjadi rujukan saya sebelum berangkat ke tanah suci. Antara yang menarik ialah buku “Sejarah Makkah Al-Mukarramah & Madinah Al-Munawwarah” terbitan Al-Shafa yang diterjemahkan oleh Abu Ezzat Al-Mubarak. Buku tersebut memuatkan sejarah pembinaan kaabah, pembukaan kota Mekah dan Madinah serta sejarah-sejarah agung dua tanah haram ini. Buku inilah yang menjadi teman saya selain buku panduan yang diberikan percuma oleh Darul Mubarak.

Bergetar hati dan jiwa saya ketika membaca peristiwa ketika Nabi Ibrahim mula-mula sampai ke Kota Mekah yang dahulunya dikenali sebagai lembah bakkah. Rupa-rupanya, tanah Mekah ini telahpun dipilih oleh Allah sebagai tanah suci di atas muka bumi ini sebelum diciptakan Nabi Adam lagi. Kaabah telah dibina oleh para Malaikat dan Nabi Adam, sebelum Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Ibrahim membinanya semula bersama anaknya, Nabi Ismail AS.

Siti Hajar merupakan isteri kedua yang dihadiahkan oleh Siti Sarah kepada NAbi Ibrahim. Siti Sarah menghadiahkan Nabi Ibrahim isteri kerana ingin mengubati perasaan Nabi Ibrahim yang ingin menimang cahaya mata. Takdir Allah, Nabi Ismail lahir ke dunia. Bagi mengelakkan salah faham dan konflik di dalam keluarga Baginda, Allah Ta’ala memerintahkan supaya Nabi Ibrahim membawa Siti Hajar dan anaknya yang masih bayi ke suatu lembah di kawasan padang pasir yang tandus. Maka berjalanlah mereka bertiga meredah kawasan padang pasir yang sangat luas.

Apabila sampai di tempat yang ditakdirkan oleh Allah, maka Nabi Ibrahim segera meninggalkan Sti Hajar dan anaknya Nabi Ismail. Siti Hajar tersentak dengan tindakan suaminya itu yang sanggup meninggalkan mereka berdua di lemah yang langsung tidak mempunyai tanaman apalagi sumber air untuk dijadikan minuman. Sedih hatinya kerana tergamak suaminya berlalu begitu sahaja sedangkan bekal yang ada pada mereka hanyalah sebotol air yang mungkin tahan tidak sampai sehari dan roti yang sebahagiannya telah dihabiskan semasa dalam perjalanan.

“Wahai suamiku, adakah ini perintah dari Tuhanmu?” soal Siti Hajar yang mula memahami sesuatu.

Nabi Ibrahim memalingkan badannya, hanya mampu mengangguk dan terus berlalu kerana tidak tahan melihat keadaan isterinya dan anak yang masih terlalu kecil. Keimanan yang tebal dalam hati Siti Hajar menguatkan semangatnya untuk mengharungi hidup berdua-duaan bersama anak kesayangannya yang masih perlu disusukan. Dia yakin bahawa Allah Ta’ala tidak akan membiarkan mereka begitu sahaja, dia berserah dan sentiasa mengharapkan agar Allah Ta’ala menetapkan imannya dan menjadikan mereka di kalangan orang-orang yang sabar.

Ketika Nabi Ibrahim sampai di Al-Thaniyah (jalan kecil pergunungan), di mana mereka tidak dapat melihatnya, Nabi Ibrahim menoleh untuk menghadap kaabah dan berdoa dengan kata-kata berikut sambil mengangkat kedua belah tangannya:

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah(tanah suci Mekah) yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar pada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.” (Ibrahim 14:37)

Lama-lama kelamaan, bahang dan terik matahari membakar tekak mereka berdua. Nabi Ismail mula menguek kelaparan. Siti Hajar menjadi resah melihatkan bekalan makanan dan minuman mereka yang kehabisan. Kemudian Siti Hajar pergi ke bukit Al-Safa dan berdiri di puncaknya, sambil memerhatikan kea rah lembah, menatap kalaulah ada orang yang berada di situ, tetapi malangnya dia tidak dapat melihatnya.

Kemudian dia turun ke lembah dan mulai berlari seperti orang yang kehabisan tenaga(berlari anak) sambil memegang kelim skirtnya sehingga menyeberangi lembah dan mendaki puncak Al-Marwah. Sekali lagi dia menatap kea rah lembah, kalaulah ada orang yang berada di situ. Malangnya, dia tidak dapat melihatnya. Nabi Ismail semakin kuat menguek. Teriakan Ismail membuatkan ibunya mundar-mandir berulang-alik antara kedua bukit menyeberangi lembah itu sehingga membentuk 7 pusingan.

Sambil berdoa dan merintih kepada TuhanNya, supaya dikasihani dan ditetapkan iman dan dipertingkatkan kesabarannya. Di sekitarnya bukit-bukau, gunung-ganang dan padang pasir yang seluas mata memandang. Terik matahari semakin menggigit dan membatasi pergerakannya. Demi kasih seorang ibu, Siti Hajar terus berlari sambil memanjatkan doa kepada TuhanNya. Terasa berat sungguh ujian yang ditentukan Allah ke atasnya.

Nabi Ismail menangis dan terus menangis. Tangisannya semakin kuat sambil kakinya menghentak-hentak ke bumi. Siti Hajar semakin resah dan gelisah. Tiba-tiba, Ketika dia berdiri di atas Al-Marwah pada pusingan yang ketujuh, tiba-tiba dia mendengat suara dan dia berkata, “Shh!” memberitahukan kepada dirinya sendiri supaya bertenang. Kemudian dia mendengarkan dan mendengar suara itu lagi. Dia berkata:

“Aku dapat mendengarmu. Dapatkah kamu membantuku?” ujar Siti Hajar.

Kemudian dia melihat Malaikat berdiri di atas zamzam. Malaikat itu mulai menggaruk tanah dengan tumitnya – atau dengan kedua kepaknya – sehingga air mulai memancar. Dia mulai menimbun tanah agar mengelilingi sumber air itu dengan kedua tangannya, dan mulai mencedok air itu ke dalam bekas kulit miliknya. Anaknya diberi minum terlebih dahulu walaupun dahaga tekaknya, hanya Tuhan yang tahu.

Hanya setelah Nabi Ismail diberi minum sehingga kenyang dan ditidurkan, barulah Siti Hajar meminum air tersebut. Lalu mata air tersebut mengalir dan terus mengalir tanpa henti. Berterusan dengan itulah Siti Hajar terus mengambil air untuk merawat anak dan dirinya. Nabi Muhammad pernah menyebut mengenai peristiwa ini dengan sabda Baginda,

“Seandainya dia(Siti Hajar) membiarkan zamzam semula jadi – atau tidak terus mengambil airnya – nescaya Zamzam sudah menjadi mata air yang melimpah.”

Sebelum meninggalkan Siti Hajar dan anaknya, Malaikat itu berkata,

“Janganlah engkau takut ditinggalkan, kerana di sini akan menjadi rumah Allah, di mana anak lelaki dan bapanya yang akan membinanya dan Allah sekali-kali tidak akan membiarkan hambaNya” penawar hati yang diberikan oleh Malaikat kepada Siti Hajar buat dirinya mengharungi dan meneruskan hidup di lembah yang gersang itu.

Peristiwa agung ini menyerap ke seluruh tubuh. Membayangkan perit getir pengorbanan seorang ayah, seorang ibu dan seorang anak menjadikan saya semakin tidak sabar untuk melihat sendiri Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim AS dan juga Nabi Ismail. Selawat dan salam ke atas Baginda, juga selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW juga ke atas seluruh kaum keluarga baginda berdua.

Perjalanan di teruskan, papn tanda menunjukkan tinggal 50 km untuk sampai ke BaituLlah Al-Haram, bermakna tinggal lebih kurang 30 km untuk menjejakkan kaki ke tanah haram Mekah. Talbiah dan selawat semakin kuat meniti di bibir kami semua. Semua jemaah sudah kembali celik dan kami menghabiskan baki perjalanan dengan sama mengucapkan

“Kami sahut (panggilan untuk menjadi tetamuMu) Ya Allah, Kami sahut,” dengan penuh semangat kami mengucapkannya.


Bersambung...

Perjalanan Menjadi Tetamu Allah - Bahagian 13

Jam sudah pun menunjukkan jam 1.30 tengahhari. Rupanya, baru 2 jam perjalanan. Saya terjaga kerana terasa bas seperti semakin diperlahankan. Rupanya, pemandu bas membawa kami berhenti di sebuah kawasan rehat dan rawat. Seperti dirancang, kami memang dijadualkan untuk berhenti bagi menunaikan solat jama’ antara solat zuhur dengan solat asar.

“InsyaAllah kita berhenti untuk solat jama’ taqdim selama 30 minit,” umum saya ringkas sebelum turun daripada bas.

Keadaan cuaca di kawasan tersebut tidak banyak beza dengan keadaan cuaca ketika di Madinah, malah lebih terik dan bahang. Kepanasan dan keterikan padang pasir membuatkan kami tidak begitu banyak menghabiskan masa ketika berjalan, apalagi untuk berlengah. Para jemaah terus sahaja menuju ke ruang wudhuk yang terletak lebih kurang 30 meter dari musolla.

Di ruang wudhuk, Ustaz Azhuri tekun memerhatikan keadaan jemaah, bimbang jika ada permasalahan, maka kehadirannya di situ diharapkan dapat menjadi rujukan kepada mereka yang mempunyai sebarang persoalan.

“Hati-hati, jangan sampai terkena sabun, kerana baunya wangi,” tegur Ustaz Azhuri melihat kepada sabun yang begitu banyak disediakan di tempat wudhuk.

Selepas menunaikan solat, para jemaah kemudiannya berpusu-pusu menuju kea rah kedai dan restoran yang terletak betul-betul di hadapan tempat letak bas. Mungkin untuk melapik perut sementara sampai ke hotel di Mekah, ramai juga yang membeli sedikit makanan dan minuman. Pelbagai jenis roti dijual selain daripada kebab ayam dan daging yang sungguh enak dipandangan mata.

“Ustaz nak makan apa?” soal saya kepada Ustaz Azhuri, cuba menawarkan untuk membelanjanya makan.

“Saya makan nanti di hotel saja,” jawabnya mudah. “Bimbang kalau ada jemaah yang tidak makan, tak enak kalau kita makan tetapi jemaah melihat sahaja,” jelasnya lagi.

Wah, murni sungguh hati budinya. Dengan dendangan keroncong mulai mengisi kekosongan, saya menahan lapar dengan hati yang cemburu pada keikhlasan dan kebaikan budi yang ada pada Ustaz Azhuri. Tak mengapa, kalau kenyang nanti susah pulak nak pimpin talbiah, bisik saya memotivasikan diri. Saya mula menanamkan azam untuk menemani jemaah, memenuhi baki perjalanan yang ada dengan alunan zikir, talbiah, selawat dan sebagainya. Aktiviti pembersihan jiwa dan mencari seberapa banyak ketenangan di sepanjang perjalanan.

Di dalam fikiran saya, sering terbayang pengalaman-pengalaman jemaah yang terdahulu yang bersama dengan Darul Mubarak, diuji dengan pelbagai bentuk ujian. Pernah dalam suatu rombongan yang dipimpin oleh Ustaz Salim, ketika mula-mula menjejakkan kaki ke masjidil Haram, seorang ahli jemaah menegur Ustaz Salim.

“Ustaz, mana kaabah? Tak Nampak pun,” ujar lelaki tersebut cemas kerana tidak dapat melihat kaabah.

“Itu dia ha,” balas Ustaz Salim pula sambil menunjukkan ke arah bangunan segi empat yang diselimuti kain berwarna hitam, berada betul-betul di hadapan mereka.

“Ish Ustaz ni, mana? Tak Nampak pun,” ujar lelaki itu lagi.

“Cuba pejamkan mata tu, istighfar banyak-banyak,” nasihat Ustaz Salim kepada lelaki tersebut yang sudah semakin cemas kerana tidak dapat melihat kaabah.

Lelaki itu pun memejamkan mata, sambil beristighfar teresak-esak dia menangis. Laju air matanya mengalir di pipi. Sambil mengusap belakang lelaki itu, Ustaz Salim bersama-sama lelaki itu beristighfar memohon ampun. Kedua-duanya menangis.

Seketika kemudian, mungkin setelah mendapati dirinya sudah kembali tenang, lelaki itu membuka matanya semula, “Allahu Akbar!” tempik lelaki tersebut, akhirnya diperlihatkan kaabah yang sebenarnya berada betul-betul di hadapannya. Semakin deras pula air matanya mengalir.

Banyak lagi pengalaman Ustaz Salim dan Ustaz Ismi semasa mengendalikan jemaah. Sememangnya bumi ini, adalah bumi yang penuh barakah dan mendapat perlindungan istimewa daripada Allah. Kita diingatkan supaya sentiasa memperbetulkan niat dan menjaga amalan bermula di tanah air kita lagi. Supaya kita dijauhkan daripada ujian yang tidak mampu kita pikul.

Ustaz Ismi pernah berpesan, seperti mana amalan-amalan dan ibadah-ibadah yang lain, Umrah dan haji ini juga sangat bergantung kepada niat. Barangsiapa yang hadir ke bumi ini untuk melihat kebesaran Allah, menambahkan iman dan amal, nescaya Allah Ta’ala dengan kuasaNya akan memperlihatkan tanda-tanda kekuasaan dan kebesarannya, serta mempermudahkan segala urusan hambaNya. Sebab itu, tidak hairanlah, sekalipun 3 juta manusia yang mengunjungi baituLlah Al-Haram, bersesak-sesak dan berhimpit-himpit, mereka terpelihara dan mampu melakukan ibadah dengan sempurna. SubhanaLlah.

Jika hati kita ikhlas, maka sudah semestinya Allah Ta’ala akan mempermudahkan dan memberikan rahmat dan berkatNya.

Setelah hampir setengah jam berhenti di kawasan tersebut, kami menyambung perjalanan meneruskan baki kira-kira 150 km dari Masjid Haram. Sepanjang perjalanan kami ditemani oleh alunan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Sheikh Misyari Rashed Al-Afasy, dipasang terus dari telefon bimbit Nikia 3500classic.

Bersambung...

Wednesday, July 14, 2010

Perjalanan Menjadi Tetamu Allah - Bahagian 12

Bermulanya ibadah umrah itu ialah dengan berniat ihram di miqat. Miqat terbahagi kepada dua, iaitu miqat makani dan miqat zamani, miqat makani merupakan tempat tertentu yang lazim dijadikan tempat untuk berniat ihram, kecuali bagi penduduk Mekah yang berniat ihram di rumah mereka. Miqat zamani pula merupakan sempadan atau had masa tertentu untuk mengerjakan ibadah umrah atau haji. Bagi umrah ialah pada bila-bila masa, sementara bagi ibadah haji miqat zamani ialah bermula dari awal syawal sehingga 10 zulhijjah.

Oleh kerana kami memulakan perjalanan mengerjakan Umrah dari Kota Madinah, maka destinasi miqat kami ialah di Zul Hulaifah atau lebih dikenali dengan miqat Bir Ali, yang merupakan kawasan sumber air bagi Bani Jasyum. Bir Ali merupakan miqat yang paling jauh iaitu sejauh 450 km. Setelah 30 minit perjalanan, maka kami semua tiba di Masjid Bir Ali.

“Tuan-tuan dan Puan-puan, AlhamduliLlah kita telah pun sampai di Bir Ali, insyaAllah kita berniat ihram dan melakukan solat sunat ihram di sini. 30 minit ye,” umum saya kepada para jemaah dengan yakin walaupun saya sendiri agak kurang pasti yang mana satu yang dikatakan masjid Bir Ali.

Mujurlah sewaktu turun dari bas, Ustaz Azhuri telah pun menunggu dengan lebih awal dan memberikan sedikit penerangan mengenai kedudukan bilik wudhuk, tandas, dan dewan solat bagi muslimin dan muslimin. Kami pun berpecah antara muslimin dan muslimat untuk memperbaharui wudhuk masing-masing. Saya terus sahaja ke bilik mandi, yang mungkin disediakan untuk mereka yang masih belum mandi sunat ihram. Mandi sunat ihram ini sama sahaja seperti mandi sunat hari raya atau mandi sunat hari jumaat yang boleh dilakukan sebelum solat subuh lagi.

Seperti dalam taklimat, saya menasihatkan para jemaah untuk melaksanakan mandi sunat ihram sebelum solat subuh supaya tidak terkejar dan mempunyai lebih masa untuk melakukan persiapan yang lain. Namun, saya ke bilik mandi, sekali lagi untuk memperbetulkan kain ihram. Agak sukar untuk saya mempercayai mutu ikatan kain ihram saya. Setelah berhempas pulas, memulas dan mengikat dengan kemas, akhirnya saya menyudahkan ikatan dan menyerahkan segalanya kepada Allah. Saya teringat pesan Ustaz Ismi, kalau di Mekah ni, jangan selalu baying yang buruk-buruk. Ingat yang baik-baik, walau macam mana buruk pun kena anggap dan kata yang baik-baik sahaja.

Pesan itu akhirnya menggagahkan dan mengemaskan langkah saya. Akhirnya, saya temui keyakinan untuk membuang rasa takut yang lebih banyak dibayangi rasa malu. Sungguh, umrah ini cabaran yang agak kuat dan lebih besar untuk kaum lelaki, lebih-lebih lagi yang pemalu seperti saya.

Sejurus memperbaharui wudhul, berniat ihram saya langsung masuk ke dalam dewan solat muslimin untuk menunaikan solat sunat ihram. Selain daripada niat ihram di Miqat, amalan-amalan lain hanya merupakan amalan sunat, namun disebabkan kehebatan luar biasa dari ibadah umrah ini, kami sebolehnya ingin merebut segala peluang pahala yang disediakan.

Setelah selesai menunaikan solat sunat ihram, saya keluar dan terus berjalan menuju ke arah bas. Sambil berjalan, saya sempat perhatikan gelagat jemaah, ada yang bergambar, membeli minuman dan makanan sebagai bekal. Sampai di sebuah kedai, saya menunggu Ustaz Azhuri. Kami dah berjanji untuk membelikan para jemaah air mineral sebagai bekal.

Seperti biasa, kami berdua memastikan jumlah jemaah dan mengedarkan air mineral yang dibeli. Agak terlewat, kami menghabiskan hampir 45 minit di masjid tersebut. Selanjutnya meneruskan perjalanan menuju ke Makkah Al-Mukarramah.

“InsyaAllah kita sama-sama berniat ihram sebagai memastikan yang kita tidak terlupa berniat ihram,” saya memulakan bicara.

“ BismiLlahiRrahmaniRrahim, Nawaitul Umrata, wa ahramtu biha, liLlahi ta’ala,” saya memimpin bacaan niat sambil diikuti satu-persatu oleh para jemaah. “InsyaAllah kita bertalbiah bersama-sama,” sambung saya lagi mengajak semua jemaah untuk bertalbiah.

Maka kami pun mengucapkan lafaz talbiah dengan penuh semangat. Terkadang sebak mengenangkan kesempatan yang diberikan oleh Allah menjejakkan kaki di bumi suci ini. Tersekat-sekat suara saya menahan sebak, apalagi bila wajah orang yang tersayang dan mereka yang saya kasihi muncul dalam ingatan. Semoga Allah Ta’ala memberkati mereka semua.

Lafaz talbiah ini memenuhi segala ruang yang ada dalam bas. Lafaz inilah yang telah dilafazkan oleh Nabi Muhammad SAW seperti yang diriwayatkan oleh Abdullah Bin Umar. Setelah mengulang-ulang talbiah, mungkin sehingga 10 kali ulangan, saya berhenti sejenak dan membuat pengumunan,

“InsyaAllah, kita disunatkan untuk memperbanyakkan talbiah, selawat, zikir, dan membaca Al-Quran sepanjang perjalanan. Jadi saya menjemput dan mengalu-alukan mana-mana jemaah yang ingin sama-sama memimpin bacaan talbiah, zikir mahupun selawat, bolehlah terus datang ke depan dan memimpin bacaan talbiah,” umum saya sambil memerhati jemaah, cuba mengesan ahli jemaah yang agak bersedia. Hampir semuanya memalingkan muka, tidak kurang yang tunduk dan berpura-pura memejamkan mata. Tiba-tiba, Haji Nazir, yang sudah masuk kali ketiga mengerjakan umrah bersama Darul Mubarak, menawarkan diri.

“Ana kejap je Ustaz,” bicara Haji Nazir. Kami memang terbiasa dengan panggilan “ana anta”, hasil tarbiyah dan penglibatan dalam persatuan Islam di Malaysia. Kebetulan, anak lelaki Haji Nazir terlibat bersama-sama saya dalam Unit Amal Kawasan Serdang.

“Bismillahirrahmanirrahim,” Haji Nazir memulakan dengan membaca Al-Fatihah, bertalbiah, diikuti dengan zikir munajat yang dimulakan dengan tasbih. Semakin rancak dan bertenaga kami mengikut alunan zikir munajat yang dipimpin oleh Haji Nazir, maklum sahaj dengan pengalaman yang dia ada.

Begitu syahdu dan tenang dia memimpin. Suasana begitu gamat, dan perasaan bercampur antara sebak dan syukur, puji-pujian dilafazkan dengan penuh penghayatan. Mengalir air mata kami bila Haji Nazir memulakan membaca,

“Hasbi rabbi JallaLlah, Ma fi qalbi ghairuLlah, nur Muhammad sollaLlah, La ilaha IlaLlah (Cukuplah Allah bagiku, tiada dalam hatiku melainkan Allah, nur Muhammad selawat ke atas Baginda, tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah).”

Sehinggalah ke akhir zalunan zikir munajat dan Haji Nazir menutupnya dengan bertalbiah. Setelah itu, saya mempelawa lagi jemaah haji dan mengusik mereka untuk mempengaruhi dan mencabar mereka, namun tiada yang berminat.

“Silalah Ustaz, orang muda suara kuat sikit,” ujar Haji Nazri meminta saya menyambung bacaan talbiah.

Setelah menunggu beberapa ketika, sambil meneguk air, saya kemudiannya mencapai mikrofon dan memulakan bacaan talbiah. Di celah-celah talbiah, saya selitkan bacaan selawat, syahdu pula bila mengenangkan setiap bait selawat dan salam yang diucapkan ke atas Baginda RasuluLlah SAW. Terbayang bagaimana penduduk Madinah yang bergembira sambil berselawat menyambut Nabi dengan selawat:

Thola’al Badru ‘alaina Telah datang bulan purnama kepada kami
Min Thaniyyatil wada’ Dari lembah Wada’
Wajaba syukru ‘alaina Wajib kami mensyukuri rahmat ini
Ma da’a liLlahi da’ Seruannya adalah kepada Allah.

Semakin mendayu dan merdu saya memimpin alunan selawat dan talbiah semakin sayup pula kedengaran suara jemaah yang mengikut di belakang. Barangkali mereka lebih gemar mendengar dan menghayati suara saya daripada mengikut dan mengalunkannya bersama-sama.

“Tuan-tuan dan Puan-puan, dalam perjalanan ini kita disunatkan untuk memperbanyakkan talbiah sehinggalah ketika kita mula-mula melihat ka’abah, selawat, zikir, dan membaca ayat-ayat suci Al-Quran,” sengaja saya mencelah dengan sedikit tazkirah untuk menyegarkan semangat para jemaah, sambil meneguk air membasahkan tekak. Bersedia untuk alunan yang lebih merdu.

Lalu, setelah agak kering tekak saya dikerah, saya menangguhkan dahulu. Ustazah Sa’diah pun sudah memberikan signal, “Ok dah Ustaz,” ujarnya sambil tersenyum dan mencapai tafsir yang diletakkannya di dalam beg. Saya tersenyum tanda faham dan meletakkan kembali mikrofon di tempatnya semula. Sebaik saya menoleh rupa-rupanya ramai juga yang lena didodoi oleh alunan selawat yang merdu daripada saya.

“AlhamduliLlah, semoga dapat mereka mengumpul tenaga sebaiknya,” bisik saya di dalam hati sambil tersenyum bangga. Saya melabuhkan badan saya di tempat duduk penumpang biasa, terus sahaja terlelap, mungkin kemerduan suara boleh mendodoikan diri sendiri. Hanya tinggal suara Syeikh Mahir Muaiqely(Imam Masjid Haram) yang memperdengarkan surah Al-Baqarah, dimainkan oleh pemandu bas sebaik sahaja saya meninggalkan tempat duduk “co-pilot” di sebelahnya.


Bersambung…

Sunday, July 4, 2010

Perjalanan Menjadi Tetamu Allah - Bahagian 11

“Farid nak pergi Mekah awal ke lambat?” Ustaz Salim, salah seorang ahli lembaga pengarah Darul Mubarak, bertanyakan soalan yang agak mengejutkan saya.

Saya kaku dan gagal memberikan jawapan. Di dalam hati, berbelah bagi antara Mekah dan Madinah. Tambahan pula, berat juga rasa hati ingin berpisah dengan para jemaah.

Pagi itu, seramai 61 orang termasuk saya dijadualkan meninggalkan Madinah untuk menunaikan umrah di Masjid Haram. Selain kami, terdapat dua kumpulan lagi dengan jumlah jemaah masing-masing seramai 35 dan 48 orang. Ustaz Salim merupakan pembimbing bagi group yang ketiga seramai 48 orang. Isterinya, Pn Jamaliah dijadualkan tiba di Jeddah pada hari Selasa, selain 3 kumpulan yang menjadikan jumlah jemaah yang menyertai pakej umrah Darul Mubarak seramai lebih 240 orang.

Kumpulan saya adalah yang paling ramai. Satu-satunya kumpulan yang memerlukan dua bas untuk pengangkutan. Sebuah bas di Arab Saudi, kebanyakannya mempunyai 50 tempat duduk penumpang. Mungkin kerana risaukan keadaan saya dan jumlah jemaah yang ramai, Ustaz Salim menawarkan dirinya untuk membantu.

“Lagipun, nanti kat sana kita jumpa lagi, biar Pakcu bawak deme, bila kamu sampai nanti kita tukar(kumpulan) balik,” ujar Ustaz Salim, membahasakan diri sebagai “Pakcu” kerana dia merupakan adik bongsu kepada ibu saya. Ustaz Ismi pula adik ibu saya yang ke-12, pengurus besar Darul Mubarak. Mereka berdualah merupakan tulang belakang dan nadi utama syarikat.

Melihatkan saya teragak-agak memberikan jawapan, Ustaz Salim pun berkata, “mana-mana pun tak ngape.”

Saya menarik lafaz lega, sambil menuju ke ruang makan. Setiap langkah saya memikirkan mengenai tawaran untuk dipanjangkan jodoh dengan bumi Madinah. Mungkin inilah peluang untuk saya masuk ke dalam Raudhah, cuba mengambil perspektif yang lain sebelum membuat keputusan. Kagum sungguh saya dengan komitmen Ustaz Salim, dia baru sahaja sampai di Madinah jam 3 pagi tadi. Belum pun sempat berehat sudah menawarkan diri membantu saya menguruskan jemaah.

Nasi goreng menjadi pilihan saya pagi itu. Bihun dan mee goring sedikit pun tidak saya sentuh memandangkan ruang pinggan telah terlebih dahulu dipenuhi oleh nasi dan telur goreng. Hairan, banyak juga saya makan pagi itu, walaupun pada kebiasaannya tidaklah begitu banyak. Mungkin, untuk persiapan dan bekalan tenaga mengerjakan Umrah untuk pertama kali dalam hidup.

Sebaik sahaja menghabiskan dua gelas Nescafe O panas, saya terus menuju ke bilik. Jam 7, semua bagasi yang ingin dimuatkan dalam bonet bas perlu diletakkan di luar bilik. Petugas hotel akan membawanya turun dan mengangkatnya masuk ke dalam bas. Nampaknya sudah ada beg yang “beranak”, mungkin hasil rampasan perang yang terlalu banyak diperolehi sepanjang ziarah dan kesempatan masa yang ada sepanjang 3 hari di Madinah.

Sebaik memastikan semua jemaah siap meletakkan barang masing-masing di luar bilik, saya terus menuju ke lif, untuk turun ke bawah. Sampai di tingkat 4, lif terbuka, rupa-rupanya Ustaz Salim juga ingin turun. Di dalam lif, saya menyatakan keinginan saya untuk pergi ke Mekah awal.

“Tak sabar pulak nak tengok Kaabah,” ujar saya sambil tersenyum, dalam masa yang sama bangga kerana mempunyai Bapa Saudara yang hebat dan penyayang. Sedikit sebanyak kehadiran Ustaz Salim mengubat rasa rindu saya kepada keluarga di tanah air.

Seawal jam 8 pagi, ramai ahli jemaah yang sudah berada di lobi hotel. Belajar dari kesilapan, pihak Syarikat Rabitah Mekah telah lebih awal dimaklumkan. Hari ini, saya berharap semuanya berjalan lancar. Jantung saya berdegup agak kuat, perasaan gembira dan excited untuk memulakan kembara menuju ke bumi Mekah Al-Mukarramah. Bumi kelahiran Nabi Muhammad SAW dan juga bumi yang dipelihara oleh Allah semenjak penghijrahan Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan anak mereka Nabi Ismail.

Semua jemaah lelaki sudah siap berpakaian ihram. Saya pula kerap kali ke bilik air, membetulkan ihram. Sentiasa rasa ragu-ragu dan tidak senang, bimbang kalau-kalau tersalah memakai kain ihram. Setelah agak pasti dan terjamin keselamatan, saya menggagahkan diri untuk berhadapan dengan jemaah. Farid, kamu ada tugas besar yang perlu diselesaikan, bisik saya meyakinkan diri.

Pakaian ihram terdiri daripada dua bahagian, iaitu bahagian bawah dan bahagian atas. Bahagian bawah diikat dari atas pusat dan dilabuhkan melebihi paras lutut untuk menjaga dan menutup aurat. Bahagian atas pula untuk menutup bahagian badan. Selain daripada dua helai kain dan sehelai tali pinggang untuk mengikat kain bahagian bawah, tiada pakaian lain yang dibenarkan. Ujian pertama bagi mereka yang kali pertama menunaikan umrah seperti saya.

Kebanyakan ahli jemaah lelaki, ada yang telah mempunyai pengalaman mengerjakan umrah dan haji. Lagak dan langkah mereka begitu yakin dan berani sekalipun mereka juga memakai kain ihram yang sama seperti saya. Merek begitu selamba dan kelihatan tidak begitu risau dengan kualiti ikatan kain ihram mereka. Terlalu risau menyebabkan saya agak sukar bergerak.

Dengan langkah yang kecil, tangan yang sentiasa di sisi memegang kain ihram, perlahan-lahan saya menapak menuju ke bas.

“ayu sungguh Ustaz kita ni,” tegur Hajah Saadiah, sengaja dia mengusik.

“He’eh, tarik kainnya baru tahu,” Hj Saleh pula menambah, suami Hajah Saadiah.

Suasana begitu ceria, mungkin semangat mengerjakan Umrah dan melihat Kaabah sudah membakar jiwa dan perasaan kami ketika itu. Tersipu-sipu saya menahan malu, mungkin terlalu ketara gelagat saya yang begitu risau dengan kain ihram yang saya pakai.

“Duduk diam-diam ye, saya nak ngira ni, nama yang saya panggil sahut ye,” sebut saya dengan nada separuh bergurau.

“Baik, Ustaz!” balas sebahagian jemaah. Sambil ketawa dan tersenyum semuanya.

Setelah semua nama telah dipanggil dan semuanya dalam keadaan baik, saya kembali ke tempat duduk paling hadapan, di sebelah pemandu. Sebentar kemudian, Ustaz Azhuri tiba dari bas No 1, melaporkan basnya juga sudah berseida untuk berangkat.

“Khalas ya akhi,” lapor saya pada pemandu yang berasal dari Sudan itu. Pemandu dan bas no 2 yang dinaiki oleh saya dan 30 ahli jemaah yang lain merupakan bas yang sama yang membawa kami dari lapangan terbang Jeddah tempoh hari. Terus terbayang pengalaman ngeri menolak bas di tengah-tengah padang pasir ketika mula-mula sampai ke Arab Saudi. Semoga kali ini semuanya berjalan lancar, doa saya di dalam hati.

“BismilLlahirrahmanirrahim,” saya memulakan bacaan doa musafir dan mengucapkan salam yang terakhir kepada Nabi Muhammad SAW ketika bas mula bergerak.
Bermulalah perjalanan kami ke Masjid Haram di Mekah Al-Mukarramah yang dijangka selama 5 jam.


Bersambung…

Perjalanan Menjadi Tetamu Allah - Bahagian 10

Malam ini adalah malam terakhir kami di Tanah Haram Madinah. Selepas siap mengemaskan barang dan beg, saya sempat mencuba memakai pakaian ihram. Dibantu oleh Haji Saleh, saya dan dua orang lagi rakan sebilik mempelajari teknik-teknik yang paling berkesan untuk memakai kain ihram.

“Dua benda kita kena elak waktu pakai kain ihram ni, terlucut dan terselak,” ulas Hj Saleh sambil berkongsi cara dia mengenakan pakaian ihram. Menurutnya lagi, sebenarnya terpulang pada kita asalkan dapat menjaga aurat dan jaminan “keselamatan”.

“Haa, sekarang ni baru kita tahu macam mana susahnya,” celah Hj Baharuddin sambil menunjukkan cara dia yang tersendiri. “Orang laki yang kena lebih banyak berhati-hati dalam ibadah umrah ni,” sambungnya lagi.

Benar kata Hj Baharuddin, dalam ibadah Umrah, terdapat 3 larangan yang dikhususkan untuk kaum lelaki, selain kain ihram dan larangan mengenakan pakaian berjahit, lelaki dilarang untuk menutup kepala dan memakai sepatu yang menutup mata kaki. Hikmahnya, supaya kaum lelaki ini sedar bahawa mereka memikul amanah yang besar dan lelaki sepatutnya menjalani hidup yang lebih “tough” berbanding kaum wanita, dan bukanlah yang sebaliknya. I should work and live this life harder!!! Mungkin ini mesej yang ingin diberikan kepada semua kaum lelaki.

Kali ini, saya tidur awal. Sebaik sahaja bangun dari tidur saya terus mengenakan pakaian yang paling kacak(menurut pandangan saya) dan bergegas awal ke masjid. AlhamduliLlah dapat menunaikan solat subuh tidak jauh dari belakang imam. Kagum sungguh dengan suara merdu dan kualiti bacaan imam tersebut. Sejurus selepas solat subuh, saya memasuki barisan yang beratur untuk memasuki raudah. Inilah peluang terakhir untuk saya.

Masa yang ada sangat suntuk, pukul 7 muslimin akan dihalau keluar dari raudah dan kawasan-kawasan berdekatan bagi member laluan kepada muslimat. Setiap hari, hanya ada tiga waktu yang diperuntukkan untuk muslimat memasuki raudah, selepas subuh, selepas zuhur, dan selepas isya’ sehingga jam 11.30 malam. Raudah merupakan ruang antara mimbar dan rumah Nabi Muhammad SAW. Saya masuk melalui Pintu As-SAlam (Bab As-SAlam). Dinamakan Bab Salam kerana kedudukannya yang sejajar dengan kedudukan Maqam Nabi Muhammad SAW. Di bina oleh Saidina Omar Al-Khattab sebagai penghormatan kepada Maqam Nabi Muhammad.

Kerana kesesakan manusia, saya hanya sempat melihat tempat terletaknya mihrab, tempat di mana Nabi Muhammad SAW sentiasa mendirikan solat. Juga kedudukan mimbar serta tiang yang ketika Nabi Muhammad SAW masih hidup tempat itu ditumbuhi pohon kurma yang sentiasa menjadi tempat sandaran Nabi ketika membacakan Khutbah. Sehinggalah sampai suatu ketika, salah seorang perempuan daripada kaum ansar berkata:

“Wahai RasuluLlah, tidak bolehkah kami membuatkan untukmu sebuah mimbar dengan tiga anak tangga yang diperbuat daripada pohon kurma?”

Lalu Nabi membenarkan dengan sabdanya, “Jika kalian berkeinginan”.

Kemudian apabila tiba hari Jumaat, Nabi Muhammad SAW naik ke atas mimbar tersebut. Tiba-tiba pohon tersebut menangis kerana rindukan sentuhan Nabi Muhammad SAW. Lalu Nabi Muhammad SAW turun dan memeluknya sambil bersabda,

“Ia sedang menangis kerana zikir yang sentiasa terdengar di dekatnya,”

Terpegun saya mengenangkan kisah tersebut. Terbayang pergerakan dan terasa kewujudan Nabi dan Para Sahabat yang sentiasa memenuhi ruang masjid itu. Perasaan hiba menyelimuti. Terasa berat kaki melangkah meninggalkan tempat itu. Mahu rasanya bermalam dan berada di situ merasai setiap tempat yang dahulunya pernah dipijak oleh insan mulia yang dicintai itu.

Namun, asakan manusia memaksa saya terus melangkah keluar dari masjid. Polis-polis yang bertugas menjaga ruang itu juga begitu kasar dan sentiasa menjarit-jerit ke arah jemaah yang tidak mahu bergerak.

Sambil bergerak dan melangkah, saya memperbanyakkan ucapan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

“’Ala Tul Ya Haj!” pekik salah seorang polis sambil menolak-nolak menyuruh saya mempercepatkan langkah, cuba mengganggu konsentrasi.

Tanpa mengendahkan polis tersebut perlahan-lahan saya melangkah keluar dari Masjid Nabi melalui pintu Jibril (bab Al-Jibril). Wahai Nabi, terimalah aku sebagai umatmu.

Walaupun agak terkilan dan sedih kerana tidak berpeluang untuk merasa berada di dalam taman dari taman-taman syurga, tetapi saya sangat bersyukur kerana setidak-tidaknya saya dapat menyaksikan sendiri raudah, mimbar dan makam Nabi Muhammad bersama dua orang Khalifah Ar-Rasyidin.

Ketika hendak meninggalkan masjid nabi untuk kali yang terakhir, disunatkan untuk melakukan ziarah wada’.

“Selamat tinggal wahai RasuluLlah, Sudah tiba masa berpisah wahai Nabi Allah. Amanlah dikau wahai kekasih Allah. Semoga Allah tidak menjadikan pertemuan kita ini sebagai hari terakhir denganmu untuk menziarahimu ataupun berada di sisimu. Kecuali Allah mengurniakan kebajikan sihat dan afiat serta selamat. Jika ada umur panjang, InsyaAllah aku akan datang menziarahimu semula. Tapi jika aku mati dahulu, maka sekarang aku tinggalkan di sampingmu ikrar sumpah setiaku dari hari ini hinggalah ke hari kiamat. Iaitu pengakuanku yang sesungguh-sungguhnya, bahawa tiada Tuhan yang lain disembah dengan sebenar-benarnya kecuali Allah Tuhan Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagiNya dan aku bersaksi dengan sesungguhnya bahawa Nabi Muhammad adalah hamba dan pesuruhNya. Maha Suci Tuhanmu, Tuhan yang mempunyai kemuliaan dari segala yang mereka sifatkan. Salam sejahtera ke atas para rasul. Segala puji untuk Allah, Tuhan yang mentadbirkan seluruh alam,” doa dan ucapan salam ketika berpisah dengan Nabi Muhammad SAW.

Kaki melangkah perlahan dan lemah kea rah hotel. Sesekali sempat saya menoleh ke belakang, bila lagi agaknya dapat kita bertemu??


Bersambung…

Antara Yang Menarik