Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Thursday, November 20, 2008

Jangan Masuk campur urusan kami!!!

Tidak cukup dengan dosa silam yang masih belum terampun, pihak Hal Ehwal Pelajar UKM(HEP), cuba untuk menambah koleksi dosa mereka. Terbaru, mereka menguar-uarkan bahawa akan diadakan kursus untuk Mahasiswa yang akan menyertai Pilihanraya Kampus(PRK).

Di dalam surat yang ditujukan kepada semua Mahasiswa UKM, menyatakan secara terbuka bahawa mana-mana pelajar UKM yang berminat untuk bertanding dalam PRK '09 akan datang WAJIB menyertai kursus yang akan diadakan pada awal tahun hadapan, iaitu 1-4 Jan '09.

Jelas terbayang wajah penakut dan zalim para pegawai HEP yang bertanggungjawab, khususnya Dato' Wahid, TNC HEP UKM. Walaupun sememangnya kami bermusuh, namun tindakan ini jelas menunjukkan ketidakmatangan percaturan Dato' Wahid dalam menghadapi Pemimpin Mahasiswa UKM.

Beberapa perkara yang wajar kita teliti bersama dalam hal ini adalah,

1.Kenapa buat latihan sebelum menang? Bukankah selepas menang adalah masa yang lebih relevan dan menjimatkan. Bagaimana sekiranya terjadi limpahan pelajar yang ingin menyertai program tersebut?

2.Kenapa tempoh penghantaran borang adalah sebelum 19 Dis? Bukankah waktu itu, cuma kroni anak emas HEP sahaja yang berada di UKM. Maaf kalau ada yang terasa.... Maklumat yang diberitahu, teman-teman di kolej kediaman, ramai jentera Aspirasi yang telah sedia menempah bilik di kolej untuk cuti ni... (tak tuduh bersubahat, sekadar makluman)

3.Apakah agaknya senario pilihanraya kampus akan datang, JIka semua yang akan bertanding "dijinakkan" oleh HEP?? Puan Rosma Ayu antara yang terlibat dalam program ni, boleh jadi dia berharap nak jadi Heroin, semoga berjaya dan beroleh petunjuk.Pn Rosma Ayu, Sabar ye, masa anda untuk mengasah bakat sudah habis.. Berilah peluang kepada mereka yang masih muda..


Pilihanraya kampus ini sebenarnya adalah proses pemilihan pemimpin di kalangan mahasiswa. Dalam PRK inilah peluang untuk mahasiswa mengasah bakat kepimpinan masing2. JIka wujudnya pertandingan yang sihat, kita akan dapat saksikan perkembangan idealisme mahasiswa berlaku dan pertembungan yang shat inilah yang akan menghasilkan kematangan dalam berfikir dan bertindak dikalangan Mahasiswa.

Dalam proses mendidik anak sekalipun, takkan sampai ke tua nak disuapkan makanan, nak dikerusi rodakan,

Kami bukan gembala yang dicucuk hidung, diasung ke sana dan ke mari. Kami manusia yang perlukan ruang untuk matang dan berdikari. Berilah kami tempat untuk dilayan seperti manusia, bertatih, berjalan, dan kemudiannya dibiarkan berlari...

Mahasiswa sebenarnya yang bakal mengisi tempat kosong pegawai-pegawai HEP pada masa akan datang. Apa agaknya bala yang akan menimpa?? sekiranya yang bakal menggantikan pegawai-pegawai ini tidak matang fikirannya, dan hanya tahu mengikut dan menurut tanpa punya matlamat perjuangan hidup yang jelas...

Friday, November 14, 2008

Pintal otak untuk pintar...




Manusia disebut sebagai crowning creature. Punya kelebihan berbanding mana-mana benda dan makhluk yang ada di atas muka bumi, malah apa jua jirim dan jisim yang ada di alam semesta. Mahkota ketinggian martabat penciptaan manusia disebut dalam banyak ayat Al-Quran, antara yang selalu kita bacakan, surah At-Tin, ayat 4, yang berbunyi,

"Telah diciptakan manusia itu dengan sebaik-baik ciptaan" At-Tin:4

Sebelum lebih lanjut, suka saya ingatkan bahawa manusia yang dirujuk di atas tidak terkecuali seorang pun, termasuk anda yang membaca artikel ini. Akal adalah sifat unggul pertama seorang manusia, namun bukan hanya akal yang menyebabkan manusia itu diberi jolokan crowning creature, tetapi sebenarnya kebolehan manusia menterjemahkan perkara yang difikir dalam bentuk tindakan adalah sifat unggul yang tidak dimiliki oleh mana-mana creauture atau creations yang ada di dunia.

Manusia tanpa mereka sedar, punya kebolehan luar biasa dan sangat istimewa. Walaupun tanpa pengiktirafan, manusia dengan sendirinya telah menjalankan peranan khalifah iaitu mentadbir bumi dan memakmurkan bumi ini hasil perahan otak yang dikurniakan kepada mereka. Crowning creature, oleh kerana hanya manusia yang ada kelebihan ini, tanggungjawab mereka bukanlah ke atas sesama manusia, malah semua makhluk dan benda yang wujud di dunia dan alam semesta. Percaya atau tidak, percayalah!

Dengan kelebihan otak dan praktikal otak ini, manusia telah berkurun lamanya memerintah atas muka bumi ini, sejak bermulanya kepenghunian manusia bermula zaman Nabi Adam AS. Sesuai dengan keterangan ayat Allah dalam kitabNya,

"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berkata kepada para malaikat,
sesungguhnya telah aku jadikan atas muka bumi ini khalifah" Al-baqarah,
30.
Saya petik kata-kata nenek spiderman, "Kekuatan datang bersamanya tanggungjawab". Maka, setiap crowning creature juga disebabkan oleh kelebihan yang mereka ada perlu melaksanakan tanggungjawab.

Tanggungjawab yang pertama adalah berfikir perkara kebaikan dan melaksanakan kebaikan(bukan sekadar menulis dan bercakap yang baik). Menulis dalam blog ini, hanya menepati sepicis daripada jutaan tanggungjawab yang ada. Hal ini bertepatan dengan ayatNya,
"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan, yang
menciptakan manusia dari tanah. Bacalah dan Tuhanmu yang Memuliakan. Yang
mengajarkan dengan pena, mengajarkan perkara yang mereka tidak tahu"
Al-'Alaq, 1-5.
Perkataan "baca" adalah satu manifestasi yang terbaik penggunaan akal manusia. Menariknya, Allah Ta'ala tegaskan bacalah dengan namaNya, menunjukkan kepentingan agama dalam memandu pemikiran manusia. Maka, berfikir dan acula pemikiran dengan agama. Kerana agamalah yang memandu manusia ke arah kebaikan. Firmannya,

"Allah adalah 'ketua' bagi orang-orang yang beriman, mengeluarkan
mereka daripada kegelapan(kezaliman dan kejahatan) kepada keterangan cahaya(kebaikan dan keadilan)
,
(sedangkan) orang-orang yang kufur itu,
ketua-ketua mereka adalah thoghut(kejahatan) yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan.." Al-Baqarah:257.

Perhatikan, Allah Ta'ala adalah subjek tunggal manakala thoghut adalah subjek jamak(plural) menunjukkan hanya agama yang satu akan menjadi penyelamat, manakala terdapat banyak kejahatan yang akan menyesatkan manusia.

Untuk itu, teruskan berfikir, pintal otak untuk pintar

p/s: bantu saya juga untuk berfikir dengan baik untuk yang baik2...


Thursday, November 13, 2008

Silakan, jemputlah jangan malu-malu...


Ada tak bangsa lain di dunia ni yang mengamalkan jalan bertunduk merendahkan bahu apabila berjalan di hadapan orang selain daripada bangsa melayu.(tanya sebab benar2 tak tahu)

Ada tak bangsa lain yang mengamalkan "buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali". Pepatah paling lama dan paling terkenal.

Ada tak bangsa lain di dunia yang sanggup membiarkan mati anak tapi jangan mati adat, sudah tentu ada tapi dengan frasa dan gaya yang berlainan.

Ada tak bangsa selain melayu yang punya kata-kata indah seperti

Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga;
Yang cantik itu budi,
Yang indah itu bahasa.
Baik, kalaupun ada, saya memberi jaminan penuh, tidak sepertinya.

Saya mengambil melayu dalam konteks rantau asia tenggara yang dahulunya dikenali dengan kepulauan tanah melayu. Kerana campuran budaya dan adat kemelayuan ini sememangnya unik sesuai dengan ayat Al-Quran yang menceritakan kejadian manusia yang dijadikan lelaki, perempuan, berbilang kaum dan bangsa dan kabilah. Justeru, saya yakin melayu adalah salah satu bangsa yang dimaksudkanNya.

Demi satu tujuan, untuk berkenalan, sementara nilaian taqwa itu juga menjadi batas yang membezakan.

Maka, di sini timbul satu persoalan, apakah perihal kedudukan dan darjat melayu di Malaysia, Asia Tenggara, Asia, Dunia, dan Alam Semesta?

Adakah hanya kerana mereka unik dan istimewa kerana (sememangnya) tiada yang sepertinya, maka mendabik dada melangitkan hidung berjalan penuh bangga di atas muka bumi??

Bukankah sifat istimewa melayu itu sendiri terbukti ciptaan Allah, kedudukan, rezeki, darjat, bahasa, kualiti dan kuantiti itu juga tidak terlepas daripada perancangan Allah.

Pelik bukan, di awalnya memuji keindahan melayu, de tengahnya pula memprotes sikap "ketuanan melayu". Hakikatnya, bangsa arab itu juga tidak mulia kerana arabnya, tidak hebat inggeris kerana englishnya, tidak maju jepun kerana nipponnya, malah jatidiri dan daya usaha yang menentukan segalanya.

Perjuangan menegakkan nama, keturunan, bangsa, dan warna kulit ini sebenarnya terlalu jauh mundur dari ketamadunan manusia dewasa ini. Cukuplah dosa yaang kita lakukan kepada asal kita, jangan ditambah dengan memadamkan sinarnya dengan kerakusan dan keterlampauan diri kita.

Asal mengingatkan usul diri kita, usaha meningkatkan imej dan jatidiri kita, agama juga menjadi cahaya penunjuk sepanjang jalan.

Wednesday, November 12, 2008

Konflik emosi, sosial, parti dan undi??

Konflik?? bukan perkataan baru, malah sinonim dengan bijirin sarapan yang enak dicampur dengan susu-Cornflake.

Tetapi konflik tidak sepertinya(cornflake), manusia tak pernah sukakan konflik walau seenak mana pun ia di"advertise"kan. Sejujurnya walaupun manusia tak suka akan kedatangan konflik, manusia jugalah pengundang setia bahkan konflik menjadi teman setia setiap saat dan ketika.

Ramai orang suka berkonflik, bagi saya, teruskan minat itu, tiada salahnya pada naluri penciptaan manusia. Namun... Perlu dinoktahkan.

Jangan biar ianya berlarutan dan hanyut tanpa batasan. Jangan sampai hilang kawalan, dikhuatiri akan hilang pula kewarasan.

Cuba kenangkan waktu kita kecil-kecil dahulu, kalau kita bergaduh dengan adik lelaki@perempuan dsb, maka ayah akan mengadili dan kita terpaksa menerima walaupun berat. Di dalam perlawanan bola sepak, pengadil melayangkan kad kuning mengadili konflik kekerasan bentesan. Dalam pilihanraya (sepatutnya) rakyat yang mengadili siapa pemimpin yang paling layak mereka wakilkan. Dalam mahkamah, peguam berhujah, hakim dan juri juga yang menentukan.

Ironinya, menjadi suatu perkara yang pelik walaupun ia biasa terjadi, kita kerap kali memilih untuk tidak bersetuju dengan pengadilan terhadap konflik tersebut(di atas). Tapi, walau bagaimanapun ianya disudahkan, perasaan lega tetap walaupun sedikit akan menyapa tatkala melihat konflik itu beredar meninggalkan kita. Terbukti, Apa yang penting di sini adalah kita berusaha menyelesaikanya. LIFE MUST GO ON!!!

Selesaikan konflik antara GMUKM dan ASPIRASI, UMNO dan PAS, BN dan PR, dsb. Kerana konflik ini juga adalah konflik yang biasa berlaku, cuma kerakusan sesetangah pihak cuba menafikan hak kita untuk berkonflik dengan cara memandulkan akal dan mengherotkan fakta. Keadaan normal bagi orang yang berfikir ialah mempertikaikan sesuatu perkara, dalam istilah yang lebih saintifik ialah kritis. Yang terbaik daripada itu adalah dengan menggunakan akal mencari jalan menyelesaikan kritikal itu tadi, kreatif. Maka, jika anda normal, gunakan akal untuk menilai dan mengkritis, carilah jalan penyelesaian agar konflik itu tidak berulang.
Percayalah, untuk menyelesaikan konflik antara manusia, hanya bukan manusia yang akan mengadilinya dengan adil.

Bagi yang beragama Islam, jangan menyalahkan IPU, PAS dsb kerana menggunakan Islam sebagai pendekatan mereka menyelesaikan masalah umat. Kerana mereka juga manusia seperti kalian kerana mereka menggunakan akal untuk mencari jalan penyelesaian, bezanya Al-Quran dan Sunnah dijadikan lilin menerangi kegelapan fikiran umat yang dibelenggu jahil dan kezaliman. Saya juga begitu.(lebih kepada berusaha ke arah itu, sebab belum perfect!!)

Percayalah, untuk menyelesaikan konflik antara manusia, hanya "bukan manusia" yang akan mengadilinya dengan adil.


Monday, November 10, 2008

tidak sepertinya...

Isnin 10 Nov 2008, musim peperiksaan di UKM dan beberapa IPT yang "sewaktu" dengannya telahpun rancak berjalan. Dilaporkan terdapat beberapa kejadian aneh yang melibatkan jumlah mahasiswa/i yang agak ramai berlaku di kampus-kampus tersebut. Menurut beberapa teman saya yang melihat sendiri kejadian tersebut, Mahasiswa/i yang telah pun menduduki peperiksaan menyatakan kekecewaan masing-masing kerana gagal menjawab soalan peperiksaan dengan baik.


Malah, ada juga yang dilaporkan "menonggeng" kerana kecewa dengan prestasi masing-masing dalam peperiksaan tersebut. Menurut seorang siswi yang hanya mahu dikenali dengan nama ct, peperiksaan kali ini benar-benar di luar dugaan kerana begitu banyak soalan yang tidak pernah terfikir dek akalnya yang waras dan sihat.

Pihak kacapermata.blogspot.com cuba mendapatkan pandangan beberapa orang pakar mengenai hal tersebut. Antara yang sempat ditemui adalah Prof Ir Mohd Farid Bin Hamlud, yang juga sedang membuat persiapan untuk menghadapi kertasnya yang kedua khamis nanti. Beliau menyatakan bahawa, sebenarnya gejala "frust menonggeng" ini sudah biasa terjadi kerana beberapa sebab yang begitu ketara dikalangan Mahasiswa/i di IPT tempatan. Antaranya:-

1. Tidak hadir ke kuliah.
2. Tidak menyiapkan tutoran "sendiri"
3. Melawan kata pensyarah(tidak berkat).
4. Kurang ulangkaji.
5. Yang paling teruk antara semua sebab, kurang berminat untuk belajar.

Justeru, Prof Ir Farid menyarankan kepada semua mahasiswa/i di luar sana agar terus berusaha, kerana hanya usahalah yang layak menjadi tangga kejayaan. Namun begitu, bagi kes (5) di atas, tiada yang dapat membantu melainkan diri sendiri. Jika kita sedar akan kepentingan dan kegunaan perkara apa yang kita sedang lakukan, maka sudah pasti kita akan memberikan tumpuan terhdapnya.

Sebagai seorang manusia yang dikurniakan akal fikiran, kita jangan mudah tewas dengan tekanan yang sebenarnya datang dari diri kita sendiri. Pokoknya, sendiri buat, sendiri tanggung. Ujian adalah untuk menguji sejauh mana diri kita layak untuk meningkat, Ujian periksa untuk menguji kelayakan kita dalam akademik, ujian hidup untuk menguji kelayakan kita mendapatkan gelaran kematangan. Jangan kusutkan pemikiran anda, usaha terus sehingga anda layak memiliki gelaran "berjaya dalam hidup".

Berkenaan dengan akademik ini bukanlah satu-satunya kayu ukur untuk menentukan kejayaan. Apalagi untuk digunakan sebagai "life jacket", sebaliknya ianya hanyalah sebagai satu suntikan untuk kita lebih berusaha mendapatkan ilmu supaya menjadi orang yang berguna. Menggunakan ilmu yang kita pelajari dengan sebaiknya adalah lebih baik daripada berhempas pulas menuntut untuk meninggalkan ilmu di dalam dewan peperiksaan semata-mata.
"Menggunakan ilmu yang kita pelajari dengan sebaiknya adalah lebih baik daripada berhempas pulas menuntut untuk meninggalkan ilmu di dalam dewan peperiksaan semata-mata."


Semalam adalah kenangan yang tidak dapat diubah,
Esok adalah ramalan yang cuacanya sukar ditelah,
Hari ni gunakan sebaiknya kerana ia adalah anugerah....

p/s: apalah maknanya berjaya dalam sistem pendidikan yang sekular dan caca merba ni kalau jatidiri masih songsang dan mundur serta jauh dari ketamadunan insan.

Undergoing MyBlogLog Verification

Thursday, November 6, 2008

Sokongan kepada TSB-Aspirasi-Umno-BN??




Jawapan yang paling tepat untuk soalan di atas bagi saya, Tak Pasti.

Adakah boleh kita sokong ASPIRASI @ TSB @ UMNO @ BN?-Tak Tentu.

Bagi saya, kebenaran kepada jawapan di atas terletak kepada penilaian masing-masing. Saya kelompokkan isu di atas di dalam golongan "kaca permata". Gagasan pemikiran yang ingin saya bawakan buat renungan diri saya dan juga teman-teman semua.

Namun saya mencadangkan beberapa perkara yang perlu diteliti dan diambil kira oleh semua, baik sebagai Mahasiswa, Rakyat, mahupun pemimpin di pelbagai peringkat dan lapisan masyarakat.

Gagasan saya yang pertama, ialah berkenaan tujuan dan matlamat hidup kita sebagai manusia. Saya yakin dan saya amat pasti, tidak ada mana-mana agama yang meletakkan kejahatan, kezaliman dan penganiayaan sebagai tujuan dan cara hidup. Apalagi Islam, yang menganjurkan umatnya agar sentiasa dalam keadaan bertaqwa(sentiasa menjaga diri untuk melakukan perkara yang ma'ruf(baik) dan mengelak dari melakukan kejahatan).

Malah matlamat untuk menghambakan diri kepada Allah yang dianjurkan oleh Islam juga bertujuan menyelamatkan manusia daripada kezaliman dan kejahatan.

Gagasan saya yang kedua, Pemimpin. Saya rasa, setiap daripada kita akan bersetuju bahawa pemimpin menggalas tugas untuk memimpin. Melaksanakan amanah yang telah diberi sama ada menjadi pemimpin melalui jalan lantikan ataupun pilihanraya, semuanya tertakluk kepada "kerja" yang perlu dilakukan bagi membalas keyakinan yang telah diberikan. Dalam perihal pemimpin ini juga, saya yakin kita bukan sahaja melihat dari segi kelakuan seseorang pemimpin, malah perkara yang terlebih dahulu perlu kita lihat adalah ketika proses pemilihan pemimpin itu sendiri.

Aspek dan ciri-ciri yang melayakkan seseorang itu mengetuai sesebuah organisasi mestilah ditentukan terlebih dahulu oleh orang yang melantik atau mengundinya dalam pilihanraya. Tidak wajar sama sekali, kita membiarkan sahaja seseorang itu dilantik menjadi pemimpin sedangkan ciri-ciri dan sifatnya sebagai pemimpin diragui. Saya pertegaskan sekali lagi, tidak kira pemimpin itu dilantik atau dipilih melalui pilihanraya, pemimpin itu mesti memiliki ciri-ciri yang melayakkan dia diberikan jawatan itu.

Gagasan yang ketiga,
soal hak asasi manusia. Barat menyebut bahawa, setiap manusia ada hak dalam masyarakat untuk memberi dan menerima. Mereka juga mengatakan bahawa dalam soal hak asasi manusia ini, tiada ruang untuk sebarang kezaliman melainkan diadili, tiada tempat untuk kesalahan melainkan diperbetulkan, dan tiada ruang untuk kebodohan melainkan diajari. Islam turut menggariskan bahawa setiap manusia memikul tanggungjawab(bagi saya tanggungjawab ini adalah hak). Islam menyusun keutamaan tanggungjawab kepada 5 perkara, Agama, nyawa, akal, maruah, dan harta. Tanggungjawab atau hak untuk mendapatkan tempat di dalam masyarakat perlu diberi secara adil dengan kata lain, tiada siapa yang layak merampas atau menafikan hak dan tanggungjawab mana-mana pihak atau individu.

"tiada ruang untuk sebarang kezaliman melainkan diadili, tiada tempat untuk kesalahan melainkan diperbetulkan, dan tiada ruang untuk kebodohan melainkan diajari"

Masih terdapat beberapa perkara yang saya rasakan penting, namun saya sudahkan dulu untuk 3 gagasan yang utama ini. Sama ada BN @ TSB @ Aspirasi mahupun IPU @ GMUKM @ PAS @ PR sekalipun, layak untuk memimpin terletak kepada 3 kondisi di atas. Sejauh mana ciri-ciri di atas dipenuhi dalam proses kepemimpinan yang ada di negara kita?

1. Sudahkah kita jelas dengan matlamat masing-masing?
2. Apakah mereka dan kita faham apa yang diperjuangkan?
3. Adakah mereka benar-benar memperjuangkan matlamat yang mereka uar-uarkan?
4. Kebaikan atau kejahatan yang mereka bawakan?
5. Kebaikan atau kejahatan yang mereka lakukan?
6. Sejahterakah kita bersama mereka?
7. Bagaimana pula mereka dipilih?
8. Adakah hak kita mereka penuhi?
9. Bagaimana pula dengan tanggungjawab kita sebagai manusia, adakah kita diberi peluang untuk menunaikannya?

Jika kita teliti, hakikatnya semua 9 soalan di atas wajib kita jelaskan terhadap diri kita terlebih dahulu. Saya tidak maksudkan inilah satu-satunya, bahkan inilah salah satunya keperluan yang perlu ada pada kita sebagai manusia yang mampu berfikir dan menilai. Soal tanggungjawab kita sebagai manusia, apalagi sebagai seorang muslim, yang dipertanggungjawabkan untuk menyeru yang baik dan mencegah kejahatan, perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin dan perlu memberrespon dan tindak balas sekiranya tanggungjawab ini dihalang oleh mana-mana pihak. Mengajak manusia seluruhnya kepada sistem hidup yang terbaik, Islam Is The Way Of Life!

Sunday, November 2, 2008

berhenti? Jangan, teruskan berjalan!!!

Hidup, bagi sesetengah orang hanyalah terletak pada nafas dan degupan jantung.
sesetengah yang lain pula beranggapan, hidup ini pada pergerakan tubuh badan.
Tak kurang yang merasakan hidup ini hanya sekadar punya roh di jasad.

Maka saya bertanya, bagi yang koma, hidupkah dia???
Hidupkah mereka yang ketagihan dadah dan berkhayal sehingga melupakan bumi tapak dia berpijak???
Adakah masih dianggap hidup, manusia yang sanggup membunuh anak-anak kecil tanpa belas dan kasihan???
Hidupkah MEREKA???

Jika memandang kepada definisi yang popular mengenai hidup, maka MEREKA semua yang di atas digolongkan dalam kelompok Manusia Hidup.

Bagi saya seharusnya kita tukar, bukan manusia hidup, tetapi manusia yang masih bernyawa, punya roh, degupan jantung, dan masih mampu bergerak masih belum melayakkan manusia itu untuk hidup.

Mereka MATI, namun jasad masih bernyawa.

Kenapa begini?? kerana hidupnya manusia ini pada akal dan perasaan. Layaklah kita untuk hidup, jika punya akal dan perasaan. Akal yang digunakan untuk menilai, hati yang digunakan untuk merasakan sesuatu.

Maka dalam usaha kita untuk terus hidup, bukanlah tumpuan pada roh, degupan jantung dan kemampuan pergerakan yang perlu diutamakan. Bahkan perkara yang jauh lebih penting daripada itu, adalah tumpuan untuk mengasah akal dan mendidik perasaan agar kekal hidup sebagai manusia. Jika tanpa akal dan perasaan, maka layaklah binatang sebagai gelaran, bangkai sebagai jawatan, dan kubur sebagai kediaman.

Justeru, jangan khuatir untuk melangkah dan terus melangkah. Kerana sebagai orang Islam, kita memberikan sepenuh keyakinan kita kepada takdir dan ketentuan Tuhan. Walaupun seberat gunung yang meninpa, sehebat tsunami yang melanda, yakin dan percayalah bahawa Tuhan lebih berkuasa menentukan.

Maka bahagian kita sebagai manusia, seharusnya terus menerus berusaha mematangkan akal dan fikiran, mendidik hati dan perasaaan agar terus hidup sebagai manusia. Memenuhi tuntutan dan keperluan untuk HIDUP sebagai manusia.

"Dan janganlah kamu (merasa) lemah, dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi(darjatnya), jika kamu orang beriman. Jika kamu mendapat luka, maka mereka juga mendapat luka yang serupa. Dan masa (kejayaan dan kekalahan) itu, Kami pergilirkan di antara manusia(agar mereka mendapat pelajaran), dan agar Allah membedakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) dan agar sebahagian kamu dijadikanNya (gugur sebagai) syuhada', dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim."
(surah ali-Imran, 3:139-140)

teruskan berjalan orang-orang yang beriman, kerana sungguh fikiran dan perasaan kamu, membezakan kamu dengan orang kafir.

Antara Yang Menarik