Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Wednesday, June 23, 2010

Perjalanan Menjadi Hamba Allah

AlhamduliLlah, sudah enam bahagian yang tersiar. Sengaja dihentikan pengeluaran walaupun baki kisah "Perjalanan Menjadi Tetamu Allah" sudah hampir siap sepenuhnya. Cuma memerlukan sedikit touch-up, dan insyaAllah akan disiarkan tidak lama lagi.

Sekarang, sedang berusaha mengumpul gambar. Akan tetapi, gambar dan tulisan ini sendiri tidak mampu menceritakan perihal sebenar keseronokan menjadi tetamu Allah dan tetamu RasuluLlah di kedua-dua bumi haram tersebut.

Padahal, banyak lagi penerangan-penerangan dan kisah-kisah menarik yang diceritakan oleh mutawwif tidak saya siarkan. Pengalaman bersama mereka, merupakan pengalaman yang sangat menarik dan berharga.

Akan tetapi, ada 2 pengajaran penting yang saya dapat daripada ibadah umrah dan ziarah di bumi Mekah dan Madinah. Pertama, peringatan mengenai tugas dan tanggungjawab seorang manusia. Manusia diciptakan hanyalah untuk beribadah kepada Allah. Sembah sujud, rukuk, takbir dan tahmid perlu dilakukan setiap hari, setiap masa, setiap waktu dan setiap ketika, di mana jua kita berada.

Pengertian dan tuntutan sebenar konsep ibadah ini sebenarnya ialah melakukan segala pekerjaan dan ibadah, urusan kehidupan dan kematian semata-mata kerana Allah. Makan dan minum, kerja dan rehat, tidur dan jaga, berkahwin dan beranak, berjiran dan berkawan, semuanya dilakukan mengikut kehendak Allah dan dilakukan hanya untuk mendapatkan keredhaanNya.

Pengajaran kedua, tuntutan untuk meninggikan kalimah Allah di semua tempat dan di setiap masa. Perjuangan para Nabi dan juga Para Sahabat perlu diteruskan. Jihad menegakkan kalimah Allah mestilah diteruskan sehinggalah datang suatu ketetapan daripada Allah, iaitu hari Kiamat yang sudah semakin hampir dengan kita.

Hakikatnya, jika kita benar-benar faham mengenai tuntutan dan konsep ibadah dalam Islam, maka sudah pasti keutamaan akan diberikan kepada perjuangan menegakkan Kalimah Allah.

RasuluLlah dan para sahabat RA, menjadikan dakwah dan jihad sebagai profession utama dalam kehidupan mereka. Tiada lain yang lebih penting melainkan Allah dan Rasul. Di samping mencari rezeki untuk kelangsungan hidup diri mereka dan juga keluarga mereka, tuaian ladang di dunia sedikitpun tidak mengganggu tuaian ladang untuk Akhirat.

Semasa saya di Mekah, Sait, berasal dari Sabah, mengikuti rombongan yang disediakan oleh agensi dari Sabah pernah menyebut kepada saya.

"Farid, tau tak berapa masa yang kita ada?" tanya Sait kepada saya.

"Farid, saya tak pasti berapa lama," jawab saya setelah agak lama berfikir.

"Sebenarnya, masa yang kita ada hanyalah SEKARANG," jawab Sait, benar-benar menyentuh dan menjentik fikiran saya.

Tuan-tuan, dan Puan-puan, masa yang kita ada hanyalah SEKARANG, maka masa yang ada untuk kita berubah juga hanyalah SEKARANG!!!

Masa yang ada untuk kita benar-benar beribadah dan berjuang di jalanNya juga hanyalah SEKARANG!!!

Jom SEKARANG!!!!

Sunday, June 20, 2010

Perjalanan Menjadi Tetamu Allah - Bahagian 6

Berdekatan dengan kebun kurma tersebut, terdapat sebuah kawasan yang lapang dan kosong. Cuma dipenuhi oleh sisa binaan bangunan. Kawasan tersebut menurut informasi yang diberikan oleh Ustaz Haris merupakan bekas tapak Masjid Dhirar yang dibina oleh Abdullah bin Ubai bapa munafiq Madinah.

“Mengikut informasi, di bukit Uhud inilah terjadinya perang Uhud, di mana ramai para sahabat yang syahid. Sekumpulan pemanah yang terdiri daripada 50 orang sahabat ditugaskan oleh Nabi Muhammad untuk berada di atas bukit dan mengawasinya. Mereka diperintahkan untuk menjaga bukit ini dan tidak meninggalkannya walaupun setelah menang,” Ustaz Haris memulakan bicaranya.

“Perang Uhud merupakan perang kedua yang dialami oleh Nabi dan Para Sahabat. Berpunca daripada perasaan dendam kaum musyrikin di atas kekalahan mereka dalam perang badar. Tentera musyrikin dipimpin oleh Khlid Al-Walid, yang pada ketika it masih belum memeluk Islam. Dinamakan pergunungan Uhud kerana setiap bukit yang ada di sini terbina secara tunggal dan tidak bercantum antara satu sama lain,” ulas Ustaz Haris apabila kami sudah sampai di kawasan meletakkan kereta.

“sebolehnya kita singgah di sini selama 20 minit. Mari sama-sama kita meluangkan masa mengenang sejarah pengorbanan para sahabat. Janganlah kiranya kita terpengaruh dengan harta rampasan perang yang sentiasa cuba mengaburi pandangan,” ujar Ustaz Haris memberikan nasihat. Di sini juga terdapat banyak gerai-gerai dan warga habsyah yang menjual barang-barang. Dengan sehelai kain dihamparkan ke laintai, segala barang-barang jualan ditaburkan untuk menarik minat jemaah yang dating ke pergunungan uhud ini.

Mujurlah, dalam perjalanan menuju ke Bukit Uhud, walaupun cuaca sangat panas dan terik, semua ahli jemaah tidak terpengaruh dengan ghanimah Uhud. Kami teruska perjalanan sehinggalah sampai ke sebuah kawasan berpagar. Di dalam kawasan berpagar itulah dikatakan 70 orang Sahabat Ra disemadikan.

Antara yang gugur ialah Saidina Hamzah, perisai dan singa Allah, diberikan gelaran Saiyidus Syuhada, penghulu orang-orang yang mati syahid. Hamzah mati dicincang oleh tentera musyrik, hati dan jantungnya pula dilapah oleh Hindun yang menyimpan dendam terhadap Hamzah yang telah membunuh suaminya di dalam perang Badar.

Hanzalah juga antara yang syahid dalam peperangan Uhud. Hanzalah yang baru berkahwin dan tidak sempat bermandi junub dimandikan oleh para Malaikat dan disemadikan bersama para sahabat di kaki pergunungan uhud itu.

“Tidak dibenarkan berdoa kepada orang yang telah mati,” lebih kurang begitulah papan tanda yang menghalang para pengunjung bertawasul dengan kubur para syuhada uhud kerana bimbang akan terjejas iman dan juga akidah.

“Salam ke atas mu wahai Saidina Hamzah bapa saudara RasuluLlah, salam ke atasmu wahai penghulu para syuhada, salam ke atasmu wahai singa Allah dan singa RasuluLlah. Salam ke atas mu wahai Abdullah bin Jahsyi, Salam ke atasmu wahai Mus’ab bin Umair, salam ke atas kamu wahai orang-orang yang mati syahid di dalam peperangan uhud, salam ke atas kamu di atas kesabaran kamu menghadapi musuh untuk menegakkan kebenaran Islam, iaitu sebaik-sebaik balasan yang akan kamu terima dari Allah. Ya Allah Ya Tuhanku, gunakanlah pahala amalan mereka yang mereka telah lakukan untuk kesucian agama Islam dan pemeluk-pemeluknya, tinggikanlah pangkat dan darjat mereka dengan kemurahanMu wahai Tuhan yang Amat Pemurah,” Ustaz Azhuri memimpin bacaan doa ketika menziarahi tanah perkuburan syuhada di pergunungan uhud itu.

Perang Uhud merupakan perang yang dahsyat. Begitu sekali dendam dan benci kaum musyrikin kepada kaum muslimin sehingga kesemua mayat dikelar dan dicincang. Telinga, hidung dan kemaluan dipotong-potong dan dicincang-cincang. Sebahagiannya dicucuk dan dibawa pulang untuk menjadi kemegahan dan kebanggan. Anas bin Nadhar RA juga turut syahid dan mayatnya juga dicincang dan dikelar dengan teruk. Mayatnya gagal dikenal pasti sehinggalah adiknya adik perempuannya mengecamnya melalui jari.

RasuluLlah sendiri mengalami kecederaan. Gigi depan RasuluLlah patah, pipinya luka dan kepalanya berdarah.

Sepanjang berada di pergunungan Uhud, kami seolah-olah dapat membayangkan teriakan takbir Nabi Muhammad yang meniup semangat jihad para sahabat. Juga teriakan para sahabat menjerit, “AKU MAHU SYAHID! AKU MAHU SYAHID! AKU MAHU SYAHID!”

Allahu Akbar!

Setelah hamper 20 minit di situ, kami mula melangkah pulang kea rah bas. Akhirya ramai yang tewas dengan harta rampasan perang ketika perjalanan balik ke bas. Saya tidak salahkan mereka kerana cuaca terlalu terik dan panasnya membahang. Ada jemaah yang singgah mendapatkan inai yang terkanl di sini, tidak kurang yang membeli topi ala-ala half-cap untuk berlindung dari panas terik.

“Sabar Farid, Sabar,” pujuk saya di dalam hati.

Kerana kelengahan jemaah yang membeli barang, hamper 40 minit kami di pergunungan uhud.

Mungkin juga jarak berjalan kaki yang agak jauh dari bas, maka perjalanan agak perlahan dan panjang.

Seterusnya kami ke Kilang Percetakan Al-Quran.

Di sinilah dicetak berpuluh-puluh jenis Al-Quran dengan kuantiti pengeluaran yang mencecah puluhan ribu sehari. Pelbagai bentuk, saiz dan warna mashaf dicetak oleh kilang ini.

Wanita tidak dibenarkan masung ke kawasan kilang. Hanya lelaki sahaja yang dibenarkan, dan setiap seorang akan diberikan senashkhah Al-Quran secara percuma. Bagi yang agak muda, akan menerima mashaf dalm saiz yang sederhana, anak-anak kecil akan menerima naskhah Juz ‘Amma, sementara yang “lama” akan menerima nashkhah Al-Quran dengan saiz yang agak besar.

Selain itu, jemaah juga berpeluang membeli naskhah AL-Quran tambahan di galeri di luar kilang tersebut dengan harga yang lebih urah berbanding di pasaran. Di sini juga dijual tafsir dalam pelbagai bahasa termasuk, inggeris, melayu, India, china dan sebagainya.

Jam menunjukkan jam 11.30pg, kami memulakan perjalanan ke destinasi seterusnya, Masjid Qiblatain, masjid di mana berlakunya peristiwa perubahan arah kiblat umat Islam dari Masjid Al-Aqsa ke Kaabah di BaituLLah Al-Haram.

Oleh kerana sudah agak terlewat, kami hanya melewati sahaja masjid berkenaan. Penerangan Ustaz Haris menceritakan bagaimana kedudukan kiblat dan susunan binaan dalam masjid berkenaan. Sukar untuk digambarkan. Namun, untuk mengejar pahala solat berjemaah di Masjid Nabawi, kami meneruskan perjalanan pulang ke hotel.

Dalam perjalanan pulang, suasana menjadi begitu senyap dan sunyi, rupanya para ramai jemaah yang tertidur keletihan. Saya pun memulakan usaha mengikut jejak langkah mereka. :-)

Bersambung….

Perjalanan Menjadi Tetamu Allah - Bahagian 5

Menu sarapan pagi itu, bihun goreng, nasi goreng dan mee goreng, oleh kerana risau terlepas peluang merasai ketiga-tiga jenis masakan itu, saya terpaksa mengaut ketiga-tiga jenis masakan itu ke dalam pinggan. Mujurlah perut saya kurang menerima roti untuk sarapan, jika tidak mungkin roti juga terpaksa saya susun bersama hidangan lain di dalam pinggan yang sama.

Dalam hati berbisik, takpe Farid, ini bekal untuk ziarah hari ini. Lepas ini boleh tumpukan perhatian. :-)

Setelah menghabiskan mee, bihun dan nasi goreng, saya ke meja minuman untuk membancuh sendiri Nescafe O. Rupanya ini yang dimaksudkan dengan kelebihan hidangan melayu, minuman juga menepati selera melayu. Tiga sudu kecil Nescafe dicampur dengan sesudu gula. AlhamduliLLah, kenyang.

Sebelum jam tujuh pagi, saya sudah berada di lobi menunggu jemaah. Sesekali saya menjenguk ke luar, manantikan bas yang sepatutnya sudah sampai seawal jam 7pagi. Dari jauh, saya ternampak kelibat Ust Jajang, juga merupakan wakil agensi yang menguruskan segala urusan jemaah di Madinah.

“Assalamu’alaikum, Kuwais? Kenalkan kawan saya, Ustaz Haris,” sapa Ust Jajang sambil memperkenalkan kawannya yang datang bersama.

“Wa’alaikumussalam. AhamduliLlah. Farid,” sambut saya sambil berjabat tangan dengan Ustaz Haris.

“Ustaz Haris ni kawan saya, dia akan bersama antum dalam ziarah hari ini,” ujar Ustaz Jajang sambil tersenyum.

“AlhamduliLLah,” balas saya sambil menarik nafas panjang. Lega mengingatkan pengalaman memimpin bas dalam perjalanan ke Madinah semalam. Agak terketar-ketar saya ketika berucap dan memberikan penerangan semasa dalam perjalanan semalam. Maklum sahaja, kali pertama sampai dan terlalu banyak perkara yang asing bagi saya di sini.

Bas masih belum sampai. Jemaah sudah hampir kesemuanya sudah berada di lobi menunggu dengan penuh sabar. Seperti biasa, senyuman kekal di bibir sebagai isyarat mengajak semua jemaah untuk sama-sama sabar menunggu.

Jam sudah menunjukkan 7.30 pagi, Ustaz Jajang kata bas sudah ada di Madinah, cuma pemandu kurang arif dengan kedudukan semua hotel di Madinah. Menurut jemaah yang sudah berkali-kali ke sini, Madinah begitu banyak berubah. Dahulunya tiada begitu banyak hotel seperti sekarang. Kini, Masjid Nabawi dikelilingi hotel yang tinggi. Hotel yang kami diami sendiri setinggi 12 tingkat, Funduq Ad-Diar (Hotel Ad-Diar).

“Ada masalah ke Ustat? Mane basnye?” soal Cikgu Zaki, salah seorang jemaah yang berasal dari Bota, Perak. Cikgu Zaki dating bersama isterinya Cikgu Azian juga merupakan antara jemaah yang telah menunaikan haji sebelum ini.

“Pemandunya tak kenal jalan, tapi dah ada dekat sini dah,” jawab saya sambil tersenyum.

“Tumpor nunggunye,” balas Cikgu Zaki juga sambil tersenyum.

Tidak lama kemudian, dua buah bas dari Syarikat Rabitah Makkah, tiba di hadapan hotel. Semua jemaah mengambil tempat masing-masing. Seperti biasa, saya berada di bas no2 bersama Ustaz Haris, dan Ustaz Azhuri memimpin bas no1.

“Khalas?” tanya pemandu bas ingin memulakan panduan.

“La,” jawab saya ringkas. Masih ada sekeluarga yang masih belum menaiki bas.

Selang beberapa masa, “Khalas,” ujar saya selepas memeriksa kali kedua bilangan jemaah di kedua-dua buah bas.

“BismiLlahirrahmanirrahim,” Ustaz Haris memulakan perjalanan dengan doa musafir dan juga memulakan penerangan dan tazkirah kepada kami.

“Tuan-tuan dan puan-puan, para tetamu Allah dan tetamu RasuluLLah yang dimuliakan Allah sekalian, AlhamduliLLah, syukur kepadaNya kerana diberikan kesempatan untuk menjejakkan ke bumi Nabi dan Para Sahabat. Bumi di mana tertegaknya Negara Islam pertama dan bumi yang dipelihara daripada orang-prang kafir serta perbuatan maksiat,” bicara Ustaz Haris dalam pelat Indonesia yang agak kurang pekat berbanding Ustaz Azhuri.

“Sabda Nabi, barangsiapa yang melakukan maksiat di bumi suci Madinah ini ataupun menyara orang yang melakukan maksiat, maka laknat Allah dan semua orang yang beriman ke atasnya,” sambung Ustaz Azhuri menceritakan kehebatan dan keberkatan bumi Madinah serta kelebihannya berbanding bumi-bumi yang lain.

Kami memulakan perjalanan menuju ke Masjid Quba’. Masjid pertama yang dibina oleh Nabi Muhammad semasa tiba di Madinah dalam peristiwa Hijrah.

“Menurut informasi, ketika Nabi Muhammad SAW sampai di Yahthrib, penduduk Yathrib berada di seluruh pelosok bumi. Ada yang berada di atas bangunan, di kaki-kaki lima malah di atas bukit-bukit untuk melihat sendiri batang tubuh Nabi Muhammad SAW. Quba yang terletak sekitar 10km dari Madinah, adalah tempat tinggal Bani Amar bin Auf. Nabi Muhammad SAW dan sahabatnya tiba di Quba pada hari Isnin, 12 Rabi’ul Awal dan tinggal di rumah Kulthum Al-Hadm, kepala suku itu. Nabi Muhammad berada di situ selama sepuluh hari sementara menunggu ketibaan Saidina Ali yang berhijrah 3 hari selepas Nabi dan Abu Bakar.

Sebelum Ali berhijrah, beliau terlebih dahulu memulangkan simpanan orang-orang Quraisy yang ada pada Nabi Muhammad. Ketika dalam perjalanan, Ali ditahan oleh kaum musyrikin Mekah. Keadaan menjadi tegang, turut bersama dengan Saidina Ali, para wanita Bani Hasyim termasuk Fatimah puteri Nabi, dan ibunya Fatimah bin As’ad. Saat itu, tangisan wanita melangit. Ali sedar bahawa tidak ada pilihan lain kecuali berjuang mempertahankan maruah Islam dan kaum muslimin.

“Barang siapa menghendaki tubuh-tubuhnya terpotong-potong dan darahnya tumpah, majulah!” tempik Ali. Tanda marah tampak di wajahnya.

Kaum musyrikin menyedari masalah telah menjadi serius lalu mengambil jalan damai dan berpatah kembali ke Mekah.

Lalu Nabi Muhammad SAW bergabung dengan rombongan yang dipimpin oleh Ali dan menuju ke Yathrib selepas membina batu asas sebagai pendirian masjid bagi suku Bani Auf,” terangUstaz Haris dengan penuh perasaan.

Suasana di dalam bas pada ketika itu menjadi sunyi. Hanya bunyi enjin dan suara sayu penerangan Ustaz Haris yang memenuhi suasana pada ketika itu.

Sambil memerhatikan keadaan rupa bentuk muka bumi Madinah yang dipenuhi bangunan, dan dibina di tepi bukit dan gunung, kami mendengar penerangan Ustaz Haris dengan penuh teliti dan penghayatan. Terasa sayu dan sungguh mengharukan apabila mengenangkan perjalanan hijrah Nabi dan para sahabat yang menempuh pelbagai kesukaran dan rintangan. Sedang kami pula berada di dalam bas berhawa dingin dan duduk di atas kerusi empuk yang mewah.

“Sebab itu Ustat, kita jangan mudah mengeluh. Kita ni baru diuji bas lambat sikit dah nak melatah,” tiba-tiba Ustazah Saadiah mencelah. Memberikan sokongan supaya terus bersabar berhadapan dengan karenah jemaah. Sambil tersenyum dia memandang tepat ke dalam mata saya.

Lain sungguh bicaranya, terkesan dan sungguh mendalam pesanannya. Tiba-tiba ingatan saya melayang mengingatkan ibu ayah di Malaysia. Bagaimana agaknya keadaan mereka. Semoga Allah memelihara mereka.

“Barangsiapa yang berwudhuk di rumah kemudian mengerjakan solat dua rakaat di Masjid ini, maka seolah-olah dia telah mengerjakan umrah,” sambung Ustaz Haris memberikan penerangan mengenai keutamaan dan kelebihan masjid Quba. Mujur saya sempat mengingatkan ahli jemaah untuk siap berwudhuk sebelum berlepas dari hotel tadi.

“Ustaz, keme ni dah tue, "otot" keme pun dah longgar. Tak mahunya ditahan-tahan,” ujar salah seorang jemaah mengeluh kerisauan air wudhuknya terbatal ketika dalam perjalanan.

“Takpe, kat sana nanti ada tempat wudhuk,” balas saya cuba menenangkan.

“Tak dapat le pahala umrah, Ustaz,” balasnya pula.

Saya cuma tersenyum gagal memberikan respon yang diharapkan. Dalam hati berbisik, insyaAllah kalau niat kita baik dan ikhlas Allah Ta’ala akan berikan ganjaran. Sedang kita jejakkan kaki sahaja sudah diberikan pahala apa lagi menunaikan ibadah di dalamnya.

Setelah menunaikan solat tahiyatul masjid, kami mendirikan solat dhuha di Masjid Quba. Perasaan hiba dan sayu menyelimuti kami semua. AlhamduliLlah, Allah Ta’ala memberikan peluang untuk menjejakkan kaki ke sini.

Setelah selesai, saya terus bergegas ke arah bas untuk menunggu jemaah. Di luar kawasan masjid, terdapat gerai dan peniaga-peniaga yang aktif mempromosikan barang masing-masing. Ada minyak attar, ada tasbih yang diperbuat daripada mutiara, ada kurma, dan macam-macam lagi. Seperti biasa, ramai pula yang terpengaruh. Saya meneruskan langkah ke bas bagi memeriksa keadaan jemaah.

“Ustaz, yang anak-beranak lelaki dan perempuan tu tak sampai lagi,” tegur Abg Saiful melaporkan ahli jemaah Pn Alimah yang terpisah daripada kumpulannya.

Pn Alimah datang bersama anaknya Abdul Rahman. Kebetulan Pn Alimah mengalami penyakit Parkinson menyebabkan dia agak sukar bergerak dan sukar mengenal pasti jalan dengan baik.

Abdul Rahman telah terlebih dahulu sampai di bas, gelisah apabila mengetahui ibunya masih belum dijumpai. Airmatanya mengalir, kakinya pula dipijak-pijak tidak mampu diam. Resah yang terpancar di wajahnya sangat ketara. Saya cuba menenangkan dan menasihatinya agar duduk di dalam bas.

“Kalau rahman nak pergi cari, rahman nak cari kat mana?” soal saya mudah.

Rahman tidak mampu menjawab. Sekejap perasaan resahnya mampu saya kekang. Tiba-tiba, Abdul Rahman tidak lagi mampu menahan rasa resahnya, dia terus bergegas kea rah masjid ingin mencari ibunya. Saya hanya mengekorinya rapat di belakang cuba untuk memberikan ruang padanya mencari sendiri ibunya.

Menanti di Masjid, Ustaz Azhuri yang pergi mencari Pn Alimah bersama-sama Abg Saiful. Tidak lama kemudian, Abg Saiful muncul bersama Pn Alimah. Rupa-rupanya Pn Alimah telah tersalah jalan.

Kedua-dua anak beranak itu berpelukan sambil menangis.

“Kenapa mak hilang?” kata Abdul Rahman sambil teresak-esak.

Kami terus pulang ke bas. Dalam hati berbisik, AlhamduliLlah.

Destinasi seterusnya, Kebun Tamar.

Menurut Ustaz Haris, kebun ini merupakan kebun turun-temurun yang dimiliki oleh penduduk Madinah dan telah wujud sejak dahulu lagi. Di sinilah ditanam kurma Al-Ajwa’, yang disebut sebagai kurma yang digemari oleh Nabi Muhammad SAW.

20 minit diberikan kepada ahli Jemaah untuk meluangkan masa di sana. Tetapi, kami tidak melawat keseluruhan kebun, cuma singgah membeli produk yang dijual di sana. Pak arab yang menjaga kedai tersebut sudah agak pandai berbahasa melayu.

“Malizi, bagus,” ujarnya sambil menunjukkan ibu jari, tanda bagus ke arah saya. Senyuman sahaja yang saya balas.

Setelah selesai membeli-belah dan menikmati teh dan kopi arab yang disediakan secara percuma oleh tauke kebun berkenaan, kami menyambung perjalanan. Kali ini, menuju ke Bukit Uhud, tempat para Syuhada’ Uhud disemadikan.


Bersambung…

Saturday, June 19, 2010

Perjalanan Menjadi Tetamu Allah - Bahagian 4

Sesampai di lobi, kelihatan Abang Hashim sedang berehat di sofa tetamu. Rupanya dia juga baru sahaja selesai "melontar"(istilah membeli belah yang diperkenalkan oleh Ustaz Salim, salah seorang ahli lembaga pengarah Darul Mubarak Travel & Tours).

"Hai, beli jubah nampak," sapa Abg Hashim sebaik sahaja saya melabuhkan diri ke sofa di sebelahnya.

"Ha'ah, ada la skit," balas saya sambil tersenyum dan tersipu-sipu.

"Saya pun baru je beli, 20 riyal satu," ujar Abg Hashim sambil menunjukkan jubahnya yang baru dibeli.

Alamak, rupanya boleh tawar lagi harganya. Sebut saya dalam hati.

Kami berbual agak panjang malam itu, masing-masing baru kali pertama menjejakkan kaki ke Tanah Suci Madinah.

Sebaik sahaja Puan Amalinah, isteri Abg Hashim sampai, kami pun berpisah dan kembali ke kamar masing-masing.

Kebiasaan bagi musim panas, waktu siang akan menjadi lebih panjang daripada waktu malam. Di Madinah waktu ini, subuh masuk pukul 4.00 pg, syuruk jam 5.40pg, zuhur 12.22tghari, ‘asar 3.40ptg, maghrib 7.08mlm, sementara Isya’ pula 8.30mlm.

Maka waktu malam hanyalah sekitar 8 jam, manakala siang selama 16 jam. Cuaca pula panas dan bahang. Maka ramailah yang memakai serban bagi melindungi muka dari sinaran terik matahari. Suhu dianggarkan mencecah 41Âșc. AlhamduliLLah, kami dapat menyesuaikan diri dengan cepat dan menganggap ini sebagai peluang untuk mengurangkan tidur dan memanjangkan jaga.

Kira-kira jam 6.00 selepas menghabiskan bacaan Al-Quran, saya kembali ke hotel untuk menikmati sarapan. Sementara beratur, saya berpesan kepada semua jemaah untuk tunggu di lobi jam 7.30 pg untuk menaiki bas melawat tempat-tempat yang menarik di Madinah.

“Hari ni kite ke mane Ustat?” soal Hj Nazri, yang juga berasal dari layang-layang kiri, Parit, Perak.

“Kita akan ke Masjid Quba’, Masjid Qiblatain, Kebun Tamar, Masjid Al-Jumu’ah, Gunung Uhud dan tempat Syuhada’ Uhud disemadikan, dan juga kilang mencetak Al-Quran,” jawab saya dengan penuh yakin dan meyakinkan, walaupun saya sendiri belum mempunyai apa-apa gambaran mengenai tempat yang akan kami lawati itu. Semoga dipermudahkan, doa saya dalam hati.


Bersambung…

Perjalanan Menjadi Tetamu Allah - Bahagian 3

Madinah Al-Munawarah juga merupakan tanah haram di mana orang-orang Bukan Islam tidak dibenarkan untuk memasuki kota tersebut. Kira-kira 1km sebelum memasuki kota Madinah, simpang khusus disediakan kepada “non-muslim” sebagai isyarat bahawa orang-orang bukan Islam tidak dibenarkan untuk memasuki kota suci itu. Ketika itulah, saya da para jemaah membacakan doa ketika mula-mula memasuki kota Madinah.

Menurut panduan, kita disunatkan membaca doa memasuki kota Madinah ketika mula-mula melihat rumah-rumah dan penempatan orang-orang di Madinah.

Malam pertama di Madinah, kami dibawa menziarahi Makam Nabi Muhammad yang ditempatkan bersama-sama Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan juga Saidina Umar Al-Khattab.

Diriwayatkan, ketika Nabi SAW meninggal dunia, sempat terjadi perbincangan di antara para sahabat di mana Baginda harus disemadikan. Mereka pada umumnya tidak mengetahui di mana tempat untuk menyemadikan jenazah Nabi SAW sehingga Abu Bakar r.a datang dan berkata bahawa dia mendengar RasuluLlah SAW bersabda:

“Tidak dikuburkan seorang Nabi kecuali di mana dia meninggal dunia”

Maka mereka memindahkan tilam Baginda dan menggali sebuah lubang baginya di bawah tilam di mana Baginda berada. Hadith Riwayat Ahmad.

Dengan demikian Nabi SAW dikuburkan di bilik yang mulia iaitu di bilik Saidatina Aisyah R.A. Nabi SAW disemadikan di sebelah selatan bilik itu sementara Saidatina Aisyah tetap tinggal di bahagian utara bilik tersebut.

Kedudukan Makam Nabi SAW betul-betul di bawah Ka’abah Hijau Masjid Nabawi yang ada pada hari ini.

Ketika Ustaz Azhuri menceritakan kisah kewafatan Nabi Muhammad SAW di sisi Aisyah dan anaknya Fatimah, menderu air mata kami mengenangkan insan agung itu. Terasa dekat dan hamper benar kami dengan Nabi Muhammad SAW. Menurut Ustaz Azhuri, kita kena yakin bahawa ketika itu, sememangnya Nabi sedang mendengar dan memerhatikan umatnya. Maka berselawat dan ucapkan salam kepada Nabi dengan sesungguhnya. Maka kami pun sama-sama melafazkan:

“Assalamu’alaika Ya NabiyaLlah, Assalamu’alaika Ya KhairataLLah min khalqih, Assalamu’alaika Ya Sayyidil Mursalina Wa Imamal Muttaqin, Asyhadu Annaka Qad Ballaghta Ar-Risalah, Wa Addaita Al-Amanah, Wa Nasahta Al-Ummah, Wa jahada FiLlahi haqqa jihadih.”

“Sejahtera ke atas Baginda Wahai Nabi Allah, Sejahtera ke atas Baginda wahai Sebaik-baik makhluk ciptaan Allah, Sejahtera ke atas Baginda Wahai Rasul pemimpin dan imam orang yang bertaqwa, Aku Bersaksi bahawa engkau telah menyampaikan risalah, dan menunaikan amanah, menasihati umat, dan berjuang di jalan Allah dengan sebenar Jihad”

Semakin deras air mata kami mengalir. Selepas mengucapkan salam kepada RasuluLlah, Ustaz Azhuri memimpin ucapan salam kepada Saidina Abu Bakar dan juga Saidina Umar yang terletak di utara makam Baginda.

Ustaz Azhuri mengulas mengenai kehebatan Saidina Abu Bakar yang sentiasa membenarkan risalah daripada Nabi Muhammad SAW sehingga diberikan gelaran As-Siddiq yang bermakna membenarkan. Ketika ramai para sahabat digoyahkan dengan peristiwa Isra’ dan Mikraj angkara orang-orang Munafiq, Abu Bakar tetap membenarkan segala yang diceritakan oleh Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa tersebut.

“Sekiranya khabar itu benar-benar daripada Muhammad, nescaya jika lebih hebat daripada itu sekalipun aku akan tetap mempercayainya” balas Saidina Abu Bakar ketika dicabar imannya oleh Abdullah Bin Ubai yang galak menggugat iman para sahabat dalam peristiwa tersebut.

Seterusnya kami di bawa melawat dan mengucapkan salam kepada sepuluh ribu sahabat r.a yang disemadikan di Al-Baqi’ yang terletak di timur Masjid An-Nabawi itu. Sambil memalingkan badan kami ke arah kedudukan Al-Baqi’, Ustaz Azhuri memimpin ucapan salam:

“Sejahtera ke atas penghuni tempat ini(iaitu tanah perkuburan) daripada orang-orang yang beriman dan umat Islam, dan semoga Allah memberikan rahmat ke atas mereka yang telah pergi mendahului kami, dan mereka yang dating kemudian, dan sesungguhnya kami dengan IzinNya akan mengikuti kalian” (ucapan seperti yang diriwayatkan dalam Hadith Riwayat Muslim dan An-Nasai, diajarkan oleh Nabi kepada Saidatina Aisyah RA.)

Terus terimbas wajah Datuk saya yang juga disemadikan di sini. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Seterusnya Jemaah dibawa melawat Ar-Raudah, malangnya, saya terpaksa mengiringi muslimat pulang ke hotel kerana waktu itu sudah menunjukkan jam 11.30 mlm. Raudah pula hanya dibuka untuk kaum muslimat pada waktu selepas subuh, selepas zohor dan selepas isya’ sehingga jam 11.30 malam.

Dengan rasa penuh tanggungjawab, walaupun agak berat saya membawa semua muslimat pulang ke hotel yang terletak hampir 300 meter dari pintu Masji Nabawi.(Anggaran perjalanan selama 15 minit).

Sesampai di hotel, selepas sahaja mengumumkan mengenai jadual ziarah untuk esok hari, saya tidak terus ke kamar, sebaliknya berjalan-jalan di sekitar kota suci. Ada juga makcik-makcik yang tidak terus ke bilik, barangkali menunaikan hajat anak-anak dan teman-teman yang mengirimkan sesuatu.

Saya bersimpati dengan mereka yang menerima terlalu banyak kiriman dan pesanan.

“Awak bukan apa, deme pesan kita kenele tunaikan, amanah tu Ustaz,” ujar seorang makcik kepada saya, dengan nada keluh bercampur puas apabila ketemu barang yang dicari.

Terengaruh dengan hasil yang diperolehi oleh ahli jemaah, saya memanjangkan langkah saya ke kedai-kedai berdekatan. Kebanyakan kedai sudahpun mulai membungkuskan barang-barang. Tiba-tiba langkah saya terhenti di sebuah kedai.

Rupa lelaki tersebut seakan mat saleh,

"Apa khabar, mari masuk tengok," tiba-tiba lelaki yang menjaga kedai itu menyapa. Walaupun bahasa melayunya agak kurang fasih, tetapi itu cukup mempengaruhi saya untuk singgah ke kedai pakaian jagaannya.

"Kam(berapa, cuba praktik bahasa arab yang sudah lama ditinggalkan)?" soal saya sambil menunjukkan ke arah jubah coklat yang tergantung di suatu sudut.

"Ini, 50 riyal," balasnya spontan. Sudah menjadi kebiasaan, tiada sebarang tanda harga di semua kedai di madinah. Maka kepakaran dan kehandalan dalam tawar menawar akan menentukan nilai barangan yang akan dibeli.

"La, thalathin, ma'a haza wa haza, khamsin,(Tak, 30, tambah ini dan ini, 50,)," ujar saya memulakan proses penawaran harga, sambil menunjukkan ke arah serban putih dan seluar putih yang biasa dipakai bersama jubah.

"La Ya Sadiq, Sab'in,9Tak boleh kawan, 70)" balas pemuda tersebut, sempat dia menceritakan bahawa dia dari Uzbezkistan.

"Taib, sittin, halal(ok, kalau 60 saya amik)," balas saya pula tidak ingin memanjangkan kalam.

"halal," balas pemuda tersebut sambil membungkus sehelai jubah putih, sehelai serban dan sehelai selendang.

Wah! murahnya. (hati saya menjerit puas kerana berjaya mendapatkan pakaian yang saya cari). Sengaja saya mengurangkan pakaian yang dibawa dari Malaysia kerana memang ingin membeli pakaian di sini, dan akhirnya jubah menjadi barang pertama yang saya beli di Madinah. Pertama kerana saya tahu akan menyusul barang-barang yang lain. (semoga ditetapkan hati. :-) )

Sambil tersenyum membayangkan ziarah esok hari dan mengenakan jubah baru, saya melangkah ringan menuju ke hotel....



Bersambung...

Friday, June 18, 2010

Perjalanan Menjadi Tetamu Allah - Bahagian 2


Kegelisahan berada di bumi Bangladesh yang penuh sesak berkurang sesampainya kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Zia, Dhaka, lapangan terbang utama di Bangladesh. Saya katakan berkurangan kerana masih trauma dengan situasi ketika check-out untuk transit, ketika mula-mula sampai di lapangan terbang tersebut. Kami terpaksa beratur dengan agak panjang untuk melepasi kaunter imigresen tersebut. Kesian juga saya melihat pakcik dan makcik yang keletihan beratur dan terpaksa diarah ke sana dan ke mari oleh pegawai lapangan terbang di sana. Saya cuba sedaya-upaya mengekalkan senyuman untuk mengurangkan tekanan yang dialami oleh ahli jemaah.

Bahasa Inggeris menjadi perantara antara saya dengan pegawai lapangan terbang di sana. Mujur kualiti bahasa kami agak lebih kurang sama, dengan bantuan sedikit "bahasa isyarat", saya dapat bekerjasama dengan Encik Nazrool dengan agak baik, salah seorang pegawai yang kerap bersama saya menguruskan urusan check-out tersebut.

"Deme ni baru dapat komputer gamaknya," ujar salah seorang ahli jemaah sambil tersenyum melihat telatah pegawai lapangan tersebut menaip nama dan butiran salah seorang ahli jemaah. Satu demi satu butang ditekan dengan penuh ketekunan.

"He eh, biru matenye," sambut pula seorang lagi ahli jemaah yang berbaris di barisan bersebelahan.

Seperti biasa, senyuman sahaja yang mampu saya berikan sebagai membalas dialog tersebut.

Begini rupanya pengalaman di transit Bangladesh.

Kumpulan saya yang kedua tiba di Lapangan Terbang untuk urusan check-in di kaunter No-3, untuk mendapatkan boarding pass dari Dhaka ke Jeddah. Kali ini, saya agak lega kerana kesemua boarding pass telah disiapkan kecuali boarding pass seorang ahli jemaah yang tertukar namanya. Namun, hanya sedikit masa yang digunakan untuk membetulkan kesilapan tersebut.

Setelah semua boarding pass telah selamat diedarkan kepada setiap ahli jemaah, saya membawa mereka ke pintu 3/3A untuk menaiki kapal terbang. AlhamduliLlah, kami terpelihara dari masalah "delay" yang selalu melanda penumpang-penumpang BIMAN Airlines. Sesampai saya di tempat duduk, setelah memeriksa keadaan semua ahli jemaah, saya terus melelapkan mata.

Agak keletihan dan mungkin juga kerana tidak sanggup melihat gelagat warga Bangladesh yang berasak-asak mencari tempat duduk yang kosong.

Selang beberapa masa, makanan pun sampai. Hidangan yang seakan Nasi Briani berlaukkan ayam menjadi santapan kami ketika itu. Menu yang agak serupa dengan menu ketika perjalanan dari KLIA ke Dhaka. Untuk mengelakkan risiko kelaparan, walaupun dalam keadaan mamai, dan separuh sedar saya menghabiskan semua hidangan yang disediakan. Sungguh hairan, mata saya pejam semula sebaik semua makanan dihabiskan, dan kembali celik apabila hidangan seterusnya dihidangkan. Kejadian yang sungguh jarang-jarang berlaku.:-)

Sesampai di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, KAAIA, Jeddah, sekali lagi urusan check-out, kali ini beserta dengan urusan bagasi jemaah. Mujurlah semuanya selamat kecuali dua kerusi roda yang terpaksa digantikan dengan kerusi roda milik KAAIA sementara menunggu BIMAN mengirimkannya kemudian.

Kami menaiki dua buah Bas, dan bertolak selepas semua jemaah selesai menunaikan solat subuh di lapangan terang tersebut. Perjalanan ke Madinah itu ditemani oleh seorang Mutawwif, Ustaz Azhuri, kelahiran Borneo, Kalimantan. Beliau memimpin bas yang pertama sementara saya berada di bas yang kedua.

Pemandangan padang pasir mengisi sepanjang perjalanan dari lapangan terbang ke bumi Madinah Al-Munawwarah. Sesekali terdapat RnR yang sangat mirip rupa pekan koboi dalam filem-filem barat. Bezanya, koboi disini memakai jubah dan mengenakan serban. Sherifnya pula memakai kereta SUV Ford.

Musim panas sedang berada di bulan kedua ketika kami sampai di Madinah. Menurut Ustaz Azhuri, Bulan Rejab merupakan kemuncak kepada musim panas di sana. Bahang panas tersebut, bagaimanapun sedikitpun tidak menjejaskan semangat para jemaah yang tidak sabar untuk sampai ke bumi bersemadinya jasad insan agung, Nabi Muhammad SAW dan para sahabat Baginda RA.A. Kami singgah untuk sarapan kira-kira jam 9 pagi, 3 jam daripada lapangan terbang.

Dengan baki hampir 2 jam perjalanan, kami meneruskan perjalanan ke Kota Madinah. Hari ni, hari Jumaat, tidak sabar rasanya ingin merasai solat jumaat di Masjid Nabawi. Tidak sampai 40km sebelum sampai ke Madinah, terdapat sekatan jalan oleh pegawai polis Arab Saudi. Sekatan jalan tersebut menahan pak-pak arab yang memandu melebihi had laju, 120 km/j. Mujurlah bas yang saya naiki, sempat memperlahankan kenderaan sebelum sampai di tempat "menembak" had laju.

Tiba-tiba bas tersebut mengalami masalah clutch, Saya dan beberapa orang ahli jemaah terpaksa menolak bas dengan berat tanpa muatan, BTM seberat 5 tan tersebut ke tepi. Cuaca panas padang pasir sekejap sahaja sudah membakar tekak kami. Pegawai polis tersebut cepat-cepat menyuruh kami masuk ke dalam bas kerana bimbang mudharat cuaca panas tesebut.

Sejam kemudian, bas gantian tiba untuk membawa kami ke Madinah. Malangnya, sesampai sahaja saya di Masjid Nabi, Imam sudahpun duduk tahiyat akhir dan memberikan salam ketika saya dalam perjalanan ke tempat mengambil wudhuk.

Ratusan ribu manusia berada di dalam Masjid berkenaan. Ada yang sampai bersolat di kawasan mengambil wudhuk kerana kepadatan manusia yang membanjiri masjid tersebut.

Selesai menunaikan solat zohor, saya kembali ke hotel untuk menguruskan bilik-bilik para jemaah. Sambil memberikan penerangan mengenai aktiviti ziarah dalam dan luar, saya mengagihkan kunci dan ahli jemaah mengikut bilik masing-masing. AlhamduliLlah, selesai sahaja mengagihkan kunci, azan asar berkumandang. Berpusu-pusu manusia di Tanah Haram tersebut menuju ke Masjid untuk menunaikan solat Asar.

Satu waktu diberikan ganjaran 1000 kali ganda, begitu juga dengan segala bentuk ibadah yang dilakukan di Masjid Nabawi tersebut.

Tidak sabar rasanya ingin memulakan ziarah ke tempat-tempat tinggalan sejarah Nabi Muhammad dan para sahabat. Akhirnya aku sampai di bumi yang pernah dipijak dan dibangunkan oleh Nabi bersama para Sahabat. AlhamduliLLah...


Bersambung...

Perjalanan Menjadi Tetamu Allah.

AlhamduliLlah, selepas 14 hari mengembara menjadi tetamu Allah di tanah suci Mekah dan Madinah, akhirnya saya dan rombongan seramai 61 orang selamat tiba di KLIA dan disambut oleh keluarga masing-masing pada 17 Jun, sekitar jam 2 pagi. Walaupun keletihan masing-masing kelihatan ceria dan seperti tidak sabar untuk menceritakan pengalaman masing-masing menjadi tetamu Allah mengerjakan Umrah dan ziarah di sekitar kota Mekah dan Madinah.

Pengalaman berada di Tanah haram sememangnya sangat sukar digambarkan dengan kata-kata. Hanya mereka yang pernah mengalaminya akan benar-benar faham, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan "kegembiraan menjadi tetamu Allah".

Perasaan yang bercampur ketika mula-mula melihat bangunan kubus yang dselimuti kelambu hitam bertulisan emas benar-benar mengujakan. Suatu perasaan yang belum pernah saya rasakan sebelum ini. Waktu itu, ribuan manusia sedang mengerjakan tawaf mengililingi kaabah. Ratusan mata mengalirkan air mata, merintih bermunajat pada Yang Esa. Beratus-ratus juga berhimpitan menunggu giliran mengucup batu dari syurga, hajarul aswad.

Waktu di Mekah dan Madinah, hanya ada dua jenis kegiatan dan waktu yang menjadi kerisauan semua warganya, Waktu Solat lima waktu dan juga waktu Makan. Pengalaman jemaah, ada juga yang sanggup jama' waktu makan semata-mata ingin meluangkan lebih masa untuk mengerjakan umrah, tawaf sunat dan ibadah-ibadah lain di sana.

Semuanya menjadi sangat mengujakan. Bermula dengan pengalaman pertama menaiki kapal terbang, Bangladesh menjadi negara asing pertama yang saya lawati. Transit selama lebih 15 jam di Dhaka mengubah persepsi saya terhadap mat-mat Bangla di Malaysia.

Di lapangan terbang, askar-askar terpaksa mengawal ketat pelancong-pelancong daripada gangguan penduduk tempatan yang cuba meraih simpati dan meminta sedekah.

"Masyah(Malaysia)! Masyah!" seorang anak kecil menjerit ke arah kami meminta belas dan simpati. Sekejap berbanga, kerana anak-anak kecil pun pandai mengenal pasti warganegara Malaysia.

Bangladesh mempunyai lebih 150 juta penduduk dengan 85% warganya adalah beragama Islam. 20 juta dilaporkan tiada tempat tinggal dan bertaburan di jalan-jalan, merempat di kaki-kaki lima. Malah Bangladesh juga mengalami krisis perdagangan manusia antara yang terbesar dengan hampir 20 juta yang terlibat. Aneh, seperti mana di Malaysia, warga Bangla juga "melimpah" di Mekah dan Madinah.

Jalan raya di Dhaka sentiasa sesak dengan kenderaan. Tidak cukup dengan kenderaan bermotor, jalan rayanya sarat dengan pengayuh beca yang juga merupakan pengangkutan awam paling murah di sana. Untuk perjalanan dari Bangi ke Kajang, relatif kos sebuah beca yang dikayuh dengan susah payah dikenakan kos sebanyak 10 Taka, lebih kurang RM0.50. Tetapi di Dhaka, mereka sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan untuk meneruskan hidup. Di hotel tempat kami menginap, receptionist diupah dengan gaji 400 Taka. Paling mengejutkan, dia memiliki Master dalam bidang pengurusan.

Undang-undan jalan raya ditentukan oleh pengguna. Bas yang kami naiki dari lapangan terbang ke hotel menginap, dipandu oleh seorang anak muda. Hampir setiap meter, hon dibunyikan. dianggarkan jarak antara hotel kami dengan lapangan terbang dalam 2km, maka hampir 2000 kali hon dibunyikan. Walaupun jalan penuh sesak, pemandu bas tersebut jarang-jarang sekali menekan brek apabila ingin masuk ke simpang. Jerit-pekik makcik-makcik yang menaiki bas tersebut tidak sedikit pun memperlahankan kelajuan bas tersebut. Semakin deras pula dia memandu.

Setibanya di hotel, masing-masing melafazkan syukur kerana selamat sampai. Seakan tidak percaya, perjalanan yang mengerikan akhirnya selamat tiba tanpa sedikit pun perlanggaran dan pergeseran.

Sepanjang tempoh transit di Dhaka, saya mengajak kawan-kawan ahli jemaah yang berkelapangan, menaiki bas bersiar-siar di Dhaka. Seawal jam 10.00 pagi kami dah menunggu di Lobi, walaupun jam 12.30 barulah kami dibenarkan keluar. Rupa-rupanya, ribut telah menjadi kebiasaan di Bangladesh. Hujan dan Ribut di Bangladesh begitu kerap berlaku dan setiap kali ianya berlaku, pasti akan ada nyawa yang melayang. Ketika kami bersiar-siar menaiki bas, terdapat banyak pokok-pokok yang tumbang dan juga tiang-tiang yang roboh ditiup angin.

Lewat jam 9 malam, bas membawa kami dari hotel ke Lapangan terbang bagi meneruskan perjalanan ke Jeddah yang dijadualkan berlepas pada jam 11.30malam.



Bersambung....

Tuesday, June 1, 2010

Berfikir sebagai Seorang Muslim

Muslim, dari segi istilah bermaksud orang yang menyerahkan diri kepada Allah. Pelbagai definisi boleh kita berikan terhadap istilah "berserah diri". Misalnya seorang penjahat menyerahkan dirinya kepada pihak polis untuk diadili. Mungkin disebabkan oleh dia merasakan bahawa dia sudah tidak lagi dapat menyembunyikan diri, berasa insaf atau mungkin juga disebabkan oleh dia merasakan dengan cara dia menyerahkan diri, potensi untuk selamat adalah lebih tinggi daripada terus berlari dan menyembunyikan diri. Setidak-tidaknya dapat menyambung sedikit lagi baki nyawa sekiranya dia berhadapan dengan dakwaan atas kesalahan jenayah yang serius.

Sebelum berlakunya perang dunia yang pertama, gerakan imperialisme berlaku dengan kerap dan usaha itu telah berabad lamanya dijalankan oleh kerajaan-kerajaan di dunia. Kerajaan-kerajaan di dunia berlumba-lumba untuk menakluk dan juga mempertahankan kerajaan masing-masing daripada ditakluk. Pelbagai method digunakan oleh kerajaan ini untuk melebarkan jajahan masing-masing. Kaedah awal yang digunakan ialah melalui hubungan diplomatik dengan cara mengutus surat. Katakan kerajaan A ialah sebuah kerajaan yang besar dan ingin menakluk kerajaan B yang agak kecil dan tidak stabil. Maka Kerajaan A akan mengutus surat kepada kerajaan B. Antara isi kandungan surat tersebut ialah meminta agar kerajaan B menyerahkan diri dan bernaung di bawah kerajaan A.

Sekiranya kerajaan B merasakan kerajaan itu sudah cukup kuat untuk menolak tawaran kerajaan A(bermakna bersedia untuk menghadapi peperangan) maka dia akan menolak untuk menyerah diri. Sejarah menunjukkan ada beberapa sebab yang membawa kepada proses penyerahan diri. Pertama, disebabkan oleh tekanan yang hebat daripada kerajaan A. Kedua disebabkan oleh tawaran yang menarik dan lebih baik diberikan oleh kerajaan A. Ketiga, ingin membebaskan diri daripada dikuasai oleh penakluk yang zalim.

Sejarah pembukaan kota-kota oleh Islam membuktikan, semua kerajaan yang menyerah diri kepada kerajaan Islam adalah kerana ingin diperintah dengan nilai-nilai Islam yang syumul dan sejagat. Kerajaan Melaka antara kerajaan di Rantau Asia Tenggara yang menyerahkan diri kepada Kerajaan Islam Uthmaniyyah kerana ingin diperintah dan mendapat perlindungan daripada khilafah Islam tersebut.

Seorang manusia akan menyerahkan dirinya kepada sesuatu yang dia percaya baik dan selamat untuk dia berserah diri. Misalnya, tempat melepak. Manusia biasa mungkin akan "menyerahkan dirinya" kepada komplek membeli belah kerana dia berasa selamat berada di situ berbanding tempat-tempat yang lain. Sebaliknya, seorang Muslim yang sejati akan menyerahkan diri mereka ke tempat-tempat yang baik seperti melepak di Masjid dan surau, majlis-majlis Ilmu dan sebagainya.

Seorang Karkur, menyerahkan dirinya kepada aktiviti TABLIGH kerana dia berasa selamat di situ. Seorang aktivis Mahasiswa Islam akan menyerahkan dirinya kepada program-program aktivisme seperti demonstrasi, rapat umum dan road show kerana dia berasa selamat dengannya.

Muslim, akan menyerahkan diri mereka kepada perlembagaan dan cara hidup Islam kerana dia berasa selamat dengannya. Menyerahkan diri kepada 'aqidah Islam, menyerahkan diri kepada ibadah cara Islam, dan menyerahkan diri kepada pembentukan akhlak islamiyah kerana dia berasa selamat apabila berpegang dengan 'Aqidah Islam, beribadah cara Islam, dan berakhlak dengan Akhlak Islam.

Berfikir sebagai seorang muslim ialah merasa selamat dengan segala peraturan yang ditetapkan oleh Islam. Para Sahabat R.A, merasa selamat berjihad di jalan Allah bersama-sama dengan RasuluLlah kerana mereka berasa selamat dan terjamin.

Sekiranya kita masih ragu-ragu untuk hidup dengan cara hidup Islam dan merasakan ada lagi cara hidup yang lebih selamat atau lebih baik daripada cara hidup Islam, maka ketika itu kita belum betul-betul Muslim kerana belum benar-benar menyerahkan diri kepada Allah.

Qada' dan Qadar yang Allah tetapkan ke atas manusia, difahami dengan jelas menyebabkan mereka sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan nikmat yang telah Allah Ta'ala sediakan untuk mereka.

Peraturan-peraturan di dalam Islam mereka taati dengan penuh rasa tanggungjawab dan senang hati. Menjadikan mereka hamba yang merdeka. Muslimah misalnya, akan menjaga batas dengan baik kerana mereka rasa selamat dengan tuntutan itu. Bagi mereka, semakin mereka menutup aurat dan batas-batas, maka semakin selamatlah mereka.

Selamat bukan sahaja selamat pada pandangan manusia, tetapi yang paling penting ialah selamat di dunia dan akhirat menurut pandangan Allah SWT.


Kutukan Serangan Israel Ke Atas Umat Islam

Serangan kejam dan biadab tentera Israel ke atas konvoi Gaza-Freedom Flotilla yang mengakibatkan 16 nyawa terkorban merupakan secebis daripada jutaan kezaliman yang telah dilakukan ke atas umat Islam khususnya di Palestin. Jika dibandingkan dengan siri-siri kejahatan yang telah mereka lakukan sebelum ini, serangan ini saya sifatkan sebagai serangan PALING BIADAB DAN KURANG AJAR.

Pertama, Tentera Israel menyerang konvoi ini ketika kapal Mavi Marmara berada pada kedudukan 60 Batu nautika dari perairan Negara Haram Israel. Sedangkan jarak sebenar yang membolehkan mereka melakukan serangan hanyalah pada kedudukan 20 batu nautika. Saya sendiri tidak mengiktiraf 20 batu nautika ini kerana Negara Israel adalah negara HARAM maka segala perkara dan ketetapan yang bersangkutan dengannya juga adalah HARAM dan langsung tidak boleh diterima pakai. Disebabkan mereka melanggar ketetapan HARAM yang mereka sendiri ciptakan ini, maka layaklah mereka diberikan gelaran HARAM JADAH dan kekal gelaran itu menjadi milik untuk sekian lamanya.

Kedua, mereka bertindak menyerang konvoi ini walaupun mereka sedia maklum tentang pengetahuan masyarakat dunia mengenai kehadiran konvoi ini. Saya sendiri telah menerima puluhan mesej yang mengajak saya dan rakan-rakan untuk mendoakan keselamatan perjalanan konvoi ini. Bermakna, sebahagian besar rakyat Malaysia, da sudah tentu Rakyat dunia sudah menyedari kewujudan konvoi ini. Insiden ini tidak seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Mesir tempoh lalu, kerana tidak semua rakyat dan masyarakat dunia yang sedar mengenai kejadian tersebut.

Maka tindakan menyerang rombongan "POPULAR" ini meletakkan mereka pada kedudukan yang melampau dari segi ukuran KEBIADAPAN dan KEKURANG AJARAN.

Ketiga, saya agak hairan dengan liputan yang masyarakat dunia terima mengenai serangan ZALIM ini. Ianya begitu meluas dan muncul di semua stesen TV dan ulasan panjang diberikan secara panjang lebar termasuk melakukan ulang-siar serangan ini secara terang-terangan. Saya sifatkan sebagai liputan langsung yang sangat TELUS dan pantas dari tempat kejadian. Disebabkan beberapa faktor, saya sentiasa menyimpan prasangka bahawa, zionis ini sentiasa melakukan sesuatu dengan penuh muslihat dan tipu daya. Maka untuk dia mensasarkan serangan kepada kapal Mavi marmara ini, dan secara kebetulan mendapat liputan langsung yang sangat pantas, merupakan tindakan yang paling licik dan SANGAT KURANG AJAR.

(Harap dapat berkongsi dengan saya carutan yang lebih teruk, kerana saya rasa tulisan ini masih belum mampu mengalirkan sepenuh emosi saya ketika ini)

Keempat, saya mengesyaki, di samping mesej kejam dan jahat yang ingin mereka sampaikan kepada kita, ada mesej lain yang sebenarnya menjadi objektif utama serangan ini. Pada hemat saya, mereka sudah sedia maklum bahawa masyarakat dunia secara keseluruhannya benci dan melaknati Israel dan dipaksa(kononnya) untuk menerima Negara Haram ISRAEL. Oleh itu, saya merasakan mesej mereka kali ini ialah untuk menguji tahap kekuasaan mereka ke atas dunia melalui media.

Secara tidak langsung, serangan ini menceritakan kepada kita bahawa hakikatnya kita sedang dipermainkan dan diperkotak-katikkan. Serangan ini membuktikan bahawa dunia tidak mampu lagi menggugat kuasa zionis dan sekutu.

Saya bangga dengan semangat dan kepekaan komuniti muslim yang ada di seluruh dunia. Terutamanya kepada negara-negara dan perubuhan Muslim yang lantang dan mengambil inisiatif tertentu untuk mendesak supaya serangan dihentikan dan Israel perlu bertanggungjawab dan di bawa ke muka keadilan. Akan tetapi, seperti yang saya nyatakan serangan ini sebenarnya merupakan KUTUKAN SINIS KE ATAS MASYARAKAT DUNIA TERUTAMANYA MUSLIM.

Ayuh, kita perlu gerakkan sesuatu, setidak-tidaknya menyumbang dengan sama-sama kita laungkan, YA ALLAH KAMI SERAHKAN TENGKUK-TENGKUK YAHUDI dan MUSUH MU INI KEPADA MU YA ALLAH!!! HANCURKAN MEREKA YA ALLAH!!

Masa semakin suntuk untuk kita melakukan sesuatu, ayuh sahut seruan HAMAS mengisytiharkan KEBANGKITAN (INTIFADHA') seluruh umat Islam di dunia.

Antara Yang Menarik