Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Thursday, September 30, 2010

Kembalilah ke bumi!!



Saya tidak ingat kali terakhir saya mengunjungi laman Facebook sebelum ianya dinyahaktifkan. Agak lama juga saya tidak mengikuti perkembangan teman-teman dalam laman tersebut. Sedikit perasaan rugi kerana tidak dapat mengikuti perkembangan, tetapi saya melihat lebih banyak kerugian dan kehilangan yang akan saya alami sekiranya terus berada di laman tersebut. Laman sosial yang begitu popular dan masih lagi hangat diperkatakan sebagai medium perhubungan dan informasi terbaru dan terbaik menggantikan blog. Saya agak konservatif apabila membincangkan bab facebook. Semestinya, saya sangat bersetuju dengan pandangan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman terhadap Facebook. Sila baca koleksi artikel dan pandangan bernas beliau di sini

Selain perbuatan maksiat dan dosa yang kadang-kadang tidak disengajakan (boleh ke macam tu?), saya merasakan aktiviti-aktiviti dalam Facebook ini tidak lebih dari sekadar aktiviti sosial yang diselitkan dengan agama atau nilai. Mudahnya, aktiviti keagamaan dan nilai hanyalah tempelan dan selitan supaya aktiviti berFacebook ini kelihatan baik dan menutup keburukan-keburukan yang ada padanya.

Saya mengalaminya, dan sejujurnya saya sendiri merasakan bahawa saya telah kehilangan kawalan terhadap diri saya sendiri. Pertama, disebabkan oleh kawalan diri saya terhadap perkara-perkara yang saya terbitkan sendiri. Keduanya, disebabkan oleh perkara-perkara yang diterbitkan oleh orang lain mengenai diri saya.

TERBITAN SENDIRI

Terbitan sendiri merujuk kepada artikel, status, gambar, komen, respon, "kesukaan" dan macam-macam aktiviti-aktiviti yang terdapat dalam laman Facebook ini. Hilang kawalan boleh berlaku akibat daripada "keinginan untuk bersosial" dan bercampur dengan rakan-rakan lain dalam Facebook. Kita kepingin untuk berkongsi pelbagai berita dan cerita mengenai diri kita dan orang lain kerana sememangnya laman Facebook ini direka untuk perkongsian seperti ini. 

Hilang kawalan terhadap bahan terbitan sendiri pula ditunjukkan oleh pemilihan dan penapisan bahan yang sesuai dan juga kawalan bahan yang mampu menceritakan perihal sebenar kejadian yang berlaku.

Tidak dinafikan, ada yang berjaya mengawal. Hasilnya, karakter dan maruah seseorang itu tetap terpelihara. Bagi yang hilang kawalan, dia menampakkan bahagian dirinya yang tidak sepatutnya dilihat oleh orang lain. Dalam perspektif hukum, mungkin apabila perkara-perkara yang tidak sepatutnya ditonton dan dilihat oleh yang bukan muhrim. Manakala dalam perspektif kawalan terhadap pemikiran dan emosi, dia menunjukkan bahagian-bahagian yang boleh mendedahkan dirinya kepada bahaya.

TERBITAN ORANG LAIN


Bahagian pertama dalam perihal terbitan orang lain ini ialah, apabila suatu bahan yang tidak sesuai dikeluarkan mengenai dirinya diterbitkan oleh orang lain. Dia langsung tidak mampu mengawal perkara ini. Orang lain akan merasakan, tiada masalah untuk dia menerbitkan perkara tersebut, malah semakin ianya "menarik perhatian", semakin baik untuk diterbitkan.

Menerbitkan perkara-perkara yang popular untuk meraih publisiti dan menarik perhatian.

Bahagian kedua merujuk kepada kawalan dirinya dalam menginterpretasi bahan yang diterbitkan oleh orang lain. Sebagaimana orang lain boleh tersalah-anggap terhadap dirinya, begitu pula dirinya sendiri juga berpeluang untuk tersalah-anggap terhadap orang lain.

BAGAIMANA DENGAN PERBINCANGAN-PERBINCANGAN YANG SIHAT???

AlhamduliLlah, terdapat usaha-usaha yang baik dalam mengajak penghuni-penghuni laman Facebook ini untuk berbincang tentang masalah umat dan isu-isu semasa. Semestinya, bagi seorang Muslim dan Mu'min, perkara inilah yang menjadi keutamaan ketika dia berada di laman Facebook ini. Sosial adalah perkara kedua selepas "perbincangan Intelektual dan kritikal ini". 

Berhubung untuk mengikuti perkembangan seharusnya tidak menjadi masalah, apalagi jika kita membincangkan tentang masalah-masalah yang baik untuk dibincangkan. Tapi, jangan sampai kita hilang kawalan terhadap status, maruah dan harga diri. Daie perlu bijak mencairkan diri dan menyesuaikan diri denagn keadaan supaya dapat mempengaruhi. Jika sebaliknya yang berlaku, maka jalan keluar ialah kembali ke pangkal jalan.

PANGKAL JALAN

Sebelum kita memulakan aktiviti berFacebook, tanyakan dulu diri kita "apakah tujuan komentar @ terbitan ini disiarkan?" Tepuk dada tanyalah iman, jangan tanya aiman, nanti dia bilang "Aiman tak kisah!"

Daie ialah mereka yang bertindak atas nilai dan kefahaman. Nilai dan kefahaman itu tidak sekadar terhenti di dalam perbincangan, malah tujuan utama nilai itu dibincangkan ialah untuk dilaksanakan. "Kurangkan Slogan, banyakkan tindakan!!". Atau begini, "Susuli slogan dengan tindakan!"

Saya seronok melihat perbincangan-perbincangan yang sihat dalam Facebook, tidak kurang yang di dalam blog. Malangnya, perbicangan-perbincangan ini semata-mata maya dan tidak pernah berlaku di alam nyata. Berbincang sehingga ke langit, tetapi tidak pernah kembali ke bumi.

Ada yang berani meninggalkan komen yang hebat, tidak ubah seperti Harimau dia mengaum. Malangnya, ngauman itu di alam maya. Sekembalinya di bumi, jangankan mengaum, celik mata pun belum pasti.

Tinggallah bahan-bahan yang menarik itu ditatap dan dibaca atas dasar sosial dan populariti.

Berblog juga tidaklah sesuci mana. Masih berpeluang untuk melakukan dosa yang sama. Cuma ruang lingkup sosial di dalam blog tidak sebebas dan seluas di dalam Facebook.

Sekadar lontaran yang mohon untuk difikir-fikirkan. Mungkin bukan tindakan yang bijak untuk kita keluar daripada Facebook jika hanya tidak mampu mengawal diri atau orang lain. Tetapi adalah tindakan yang paling tidak berakal jika kita terus berada di situ sambil membiarkan diri kita hilang kawalan.

Kita berada dipenghujung zaman. Zaman di mana fitnah begitu berleluasa. Tambahan pula dengan adanya Facebook, fitnah berada di hujung jari. sama ada anda menjadi bahan fitnah, atau penyebar bahan fitnah. Na'uzubillah. 

Jagalah maruah, pemikiran dan kehormatan. 

JOM KEMBALI KE BUMI!!!

Tuesday, September 28, 2010

Saya hormat Najib

Sudah tentu sebagai Perdana Menteri Malaysia, Najib berhak mendapatkan penghormatan daripada saya. Benar, saya hormat dia selaku ketua negara ini dan sama sekali tidak pernah lebih dari sekadar itu.


Islam mengajarkan saya untuk bertindak begini. Saya hormat akan perlembagaan dan undang-undang yang ada walaupun amalan undang-undang di Negara ini begitu mengecewakan. Walaupun saya membencinya, saya perlu akur bahawa ketika ini, mereka yang memegang amanah, maka mereka berhak untuk menjalankan pentadbiran dengan sesuka hati mereka. Lagipun, rakyat yang telah membuat keputusan, maka terimalah keputusan yang ada seadanya.

Namun, Islam juga mengajar saya untuk berjuang memulihkan keadaan.

Sebagaimana Nabi Muhammad tidak pernah memulakan pemberontakan di Mekah. Sekalipun dipulau selama 3 bulan, menurut sesetengah riwayat 3 tahun, namun Baginda meneruskan hidup di Mekah, menyampaikan risalah dan menghormati pembesar-pembesar Mekah yang ada pada kaetika itu. Inilah konsep yang perlu difahami oleh semua rakyat Malaysia.

Benar, kita sebagai rakyat, tiada masalah untuk kita patuh kepada undang-undang dan pentadbiran mereka yang mempunyai kuasa. Bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian. Tetapi, dalam masa yang sama, kita sama sekali tidak boleh memejamkan mata sekiranya berlaku sesuatu perkara yang tidak betul.

Tidak kira siapa pun yang memerintah, mereka semua berhak untuk dinilai dan diberi peringatan oleh mana-mana rakyat Malaysia. Hatta di Kelantan sekalipun, negeri itu bukan milik mutlak PAS, dan rakyat juga perlu kritikal dalam menilai dan memilih pemimpin di kalangan mereka. 

Kita perlu serahkan urusan kepimpinan kepada pemimpin kerana mereka telah dipilih. Namun begitu urusan memilih pemimpin ini adalah urusan kita. 

Saya gemar menggunakan analogi lampu trafik, kebetulan saya dari jurusan kejuruteraan awam. Ada satu kejadian yang benar-benar berlaku di tempat kerja saya baru-baru ini. Lampu isyarat trafik di simpang empat utama yang menghubungkan antara Seksyen 7, Seksyen 8 dan Taman Putra Kajang(lokasi pejabat saya) rosak dan gagal berfungsi selama 24 jam. Dalam tempoh waktu itu, keadaan trafik berada di luar kawalan dan sepanjang tempoh itu, setahu saya ada 2 kemalangan yang berlaku(mungkin lebih sebab saya tidak terpacak di situ). Salah satunya, berlaku di depan mata saya sendiri apabila seorang penunggang motosikal melulu masuk ke simpang dan bertembung dengan sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan yang juga ingin masuk ke simpang yang sama.

Lelaki tersebut bergolek-golek di atas jalan. Ketika pengguna-pengguna lain mengangkat beliau ke tepi, darah mengalir dari mulutnya. Termuntah-muntah darah dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri. Langsung di bawa  ke hospital oleh pemandu kereta yang bertembung dengannya tadi.

Nah, kesan daripada ketiadaan peraturan!

Tidak lama sebelum daripada kejadian di atas, ketika di bulan Ramadhan yang lalu. Selepas menemani sahabat saya yang menyampaikan kuliah di Sepang, kami bertolak ke Gombak untuk menghadiri satu lagi program. Ketika itu jam menunjukkan pukul 10.00 malam. Myvi Hijau milik syarikat saya manfaatkan untuk membawa kami keluar dari Sepang menuju ke Gombak melalui Lebuhraya Putrajaya-Klia.

Sesampai di simpang empat yang menghubungkan antara Dengkil, Sepang, Klia dan Putrajaya, lampu isyarat trafik berfungsi dengan baik dan kami berhenti sebagai mematuhi isyarat lampu merah. Kami berada dari arah Sepang ingin memasuki simpang yang menuju ke Putrajaya. Di tepi kereta kami, dua buah motosikal polis (rempit), dan sebuah motosikal yang ditunggangi oleh seorang lelaki dan membonceng isterinya di belakang.

Sejurus selepas lampu bertukar hijau, kedua-dua buah motosikal polis terlebih dahulu mendahului kenderaan-kenderaan yang ada, kami bergerak agak lambat kerana ada sebuah kereta yang berada di hadapan kami. Tiba-tiba, sebuah kereta viva, yang datang dari arah Putrajaya melulu laju dan merempuh pasangan yang berada di sebelah kami. Lelaki tersebut terpelanting tinggi, lebih tinggi daripada tiang lampu isyarat (bayangkan!) dan perempuan tersebut terperusuk bersama-sama motosikal di bawah kereta viva tersebut.

MasyaAllah. Nah, kesan daripada tidak mematuhi peraturan!

Begitu juga sebagai rakyat Malaysia, saya hormat Najib kerana dia pada ketika ini diikitiraf oleh undang-undang sebagai Perdana Menteri yang sah. Tapi pada bila-bila masa yang saya suka, saya berhak melontarkan pandangan saya kepadanya.

Dia juga berhak untuk menolak atau menerima pandangan saya. (lagipun, siapalah saya ni) Tapi, inilah yang akan menentukan jangka hayat dia sebagai seorang Perdana Menteri. Saya lebih sayangkan negara dan masa depan bangsa dan agama saya berbanding maruah seorang Perdana Menteri yang langsung tidak hormatkan rakyat yang menghormatinya.

Lupakah Najib bahawa kemewahan dan keselesaan hidup yang dia kecapi ini adalah hasil daripada titik peluh rakyat yang mengundinya? Lupakah bahawa dia menjadi Perdana Menteri adalah hasil kepercayaan rakyat kepadanya?

Sekalipun jika dia menyangka rakyat boleh ditipu dengan mudah, apakah dia menyangka ketika dibangkitkan kelak, dia mampu untuk berselindung dan berdolak-dalih dengan kerajaan Allah?

Bersempena dengan kes teman-teman saya di UKM. Saya kira sudah masa kita sedar akan tanggungjawab dan peranan kita sebagai Mahasiswa mahupun sebagai rakyat. Kita punya tanggungjawab dan hak untuk bersuara dan menyatakan pendapat. Sampai bila kita mahu lihat teman-teman kita yang aktif di pentas kebenaran dan keadilan ditindas oleh Kerajaan?

Dan bersempena PRK Dun Galas tidak lama lagi, dan PRU yang semakin hampir, ayuh gerakkan perubahan!!

Hormat-hormat juga, tetapi sampai masa tukar, tukar juga!!! 


Wednesday, September 22, 2010

Bila mata tidak dapat melihat...

Saya serahkan kepada "mereka" untuk menerangkan...

:-)


Mawaddah Kecil: Allah Wajib Ada.


Mawaddah Kecil : Rendahkanlah Dirimu.


Mawaddah Kecil : Tentera Allah.


Hah, macam mana???

Jom, teruskan bersabar dalam ketaatan!!!

Sunday, September 19, 2010

UMNO hanya meneruskan legasi British dan Penjajah

Lucu mendengar ucapan Najib, kononnya menggesa MAJORITI rakyat yang inginkan perpaduan supaya bersuara. Pembaris mana agaknya yang digunakan oleh Najib dalam mengukur ketinggian sokongan rakyat terhadap perpaduan? Sejauh mana Najib menyedari bahawa Rakyat sememangnya sedang menuju ke arah perpaduan, tetapi berpadu menumbangkan BN.

Ya, rakyat sedang berpadu untuk menumbangkan BN. Malaysia hanya ada satu musuh utama, pertama dan selama-lamanya, BN.

Tiada dalam rekod sejarah BN berbakti kepada Malaysia. Malaysia itu sendiri adalah produk kegagalan BN. Saya masih berbangga kerana menjadi rakyat Malaysia, tetapi kerana ketika ini, Malaysia belum dihancurkan sepenuhnya oleh BN.

Jom kita baca sedikit daripada tulisan berkaitan dengan sejarah. Jika terlalu sayangkan duit untuk membeli buku, atau tumit melecet untuk berjalan ke perpustakaan mencari buku, atau telinga kurang daya pendengaran untuk mendengar penjelasan guru, maka taipkan sahaja "Sejarah British Memerdekakan Tanah Melayu", dan kalau masih tidak mampu menaip, klikkan sahaja pada pautan(link) yang saya serta di sini. Jika itupun masih malas, maka saya berhikmat dengan Ujang, "Tak Dapek Den Nak Nolong".

Kita semua tahu dan sedar, kedatangan British ke Tanah Melayu, bersama-sama sekutu-sekutu imperial barat suatu ketika dulu adalah kesalahan besar dan tiada satu jiwa Melayu pun yang sudi memafkan. Begitu sekali pejuang-pejuang yang memusuhi British dan para penjajah ini, sehingga sanggup berkorban ke titisan darah yang terakhir. Berapa banyak nyawa yang terkorban ketika mereka memperjuangkan kemerdekaan. Dato' Maharajela misalnya (bangga teman jadi orang perak), dibunuh selepas peristiwa berdarah di Pasir Salak, yang menyaksikan JWW Birch menerima balasan atas noda yang dia lakukan.

Pelik bukan, begitu sekali susah payah pejuang-pejuang yang berhaluan kiri ini menempuh laluan mendapatkan kemerdekaan dan menghalau penjajah, begitu mudah pula British "memberikan" kemerdekaan kepada UMNO dan parti perikatan. Bacalah dan anda akan akhirnya bersetuju bahawa BN hanya meneruskan legasi British dan penjajah.

Mereka hanya patung suruhan British dan masih akur pada kehendak British, Amerika dan sekutu, sehingga ke hari ini mereka terus diperalatkan..

Biarlah apa kata Najib, rakyat akan terus ketawa dan mentertawakan sandiwaranya, kerana Rakyat secara SELURUHnya sedar, kita perlukan dan membutuhkan perpaduan, BERPADU MENGALAHKAN BN!!!

Friday, September 17, 2010

Menempuh Kesusahan Hidup

Dengan nama Allah yang menciptakan manusia dari segumpal darah..

"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur." (An_Nahl, 16:78)

Benar, kedatangan kita ke dunia ini, dalam keadaan kita tidak mengetahui sesuatu pun. Kita mulakan kehidupan ini dengan mendengar, kerana pendengaran adalah nikmat pancaindera pertama yang Allah Ta'ala berikan kepada kita. Kemudian barulah kita dapat melihat, (kepada yang baru dapat anak, jangan perasan ye, anak itu sebenarnya belum mampu melihat), kemudian diberikan akal fikiran, disebut sebagai mumaiyiz. Seterusnya kita terus membesar sehingga akhirnya kita menentukan jalan hidup kita sendiri. Setiap manusia akan melalui tempoh-tempoh ini. Bezanya, cepat atau lambat.

Allah Ta'ala menceritakan perihal kedatangan kita ke dunia ini untuk mengembalikan kita kepada asal kejadian kita iaitu menjadi seorang hamba yag bersyukur.

Sungguh, kita perlu bersyukur kepada Allah yang telah memberikan kita kehidupan. Walaupun masing-masing akan menempuh cabaran dan kesusahan. Tidak semua yang dihajati akan menjadi kenyataan, tidak semua yang kita inginkan akan kita perolehi. Allah Ta'ala telah siapkan jalan cerita yang unik dan menarik untuk setiap hambaNya. Bagi yang beriman, hiduplah mereka dengan jalan cerita tersebut tanpa keluh kesah, apalagi menyesal atas jalan cerita yang Allah Ta'ala sediakan. Bagi yang tidak beriman, sekalipun dunia mereka dipenuhi dengan pelbagai nikmat dan keseronokan, semua itu hanyalah tipuan yang melalaikan.

Sengaja saya gunakan kata ganti nama yang ketiga ketika merujuk kepada orang-orang yang beriman. Saya khuatir, keadaan saya ketika ini belum mampu diklasifikasikan sebagai beriman. Saya terus menulis tentang kebaikan, walaupun hakikatnya, saya hanyalah seorang manusia biasa yang biasa melakukan kejahatan.

Saya mula sedar, hidup ini susah dan payah. Semakin umur bertambah, semakin berat bebanan (berat badan pun lebih kurang) dan tanggungjawab yang perlu saya pikul. Mujurlah ada teman yang membantu. Mengingatkan saya,

"Farid, daripada ko sedih2 macam ni, baiklah ko solat dua rakaat ke, baca quran ke, mengadulah pada Dia. Dia Maha Mendengar segala permintaan hambaNya, dan teruskan bersabar. 'Mintalah pertolongan dengan jalan sabar dan mengerjakan Solat', ko jugak yang bagitau hari tu," pendek tapi cukup untuk membuatkan saya tersedar...

Encik Otak selalu berpesan,
Farid, hidup ni singkat.. In the blink of eye, you had already become someone in ur life and will be someone in someone's life. Be strong!! Masa yang ada ni, hiduplah elok2..
Bacalah selalu firman Tuhanmu,
"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir". (Al-Baqarah, 2:286)
AlhamduliLlah, saya bersyukur kerana sehingga ke saat ini,kontrak hidup saya dilanjutkan, semoga ketika kontrak ini ditamatkan, ianya ditandatangani oleh diri saya yang beriman...

Thursday, September 16, 2010

Selamatlah Malaysiaku...

Hari ini, Malaysia sudah mencecah umur 47 Tahun. Ramai yang suka, tidak terkecuali saya. Bangga mungkin bukan, tetapi bersyukur kerana dilahirkan sebagai rakyat Malaysia. Mengecapi nikmat dan rahmat pemberian Allah di bumi yang bertuah ini. Sejak di bangku sekolah, kita didedahkan dengan keistimewaan kepulauan Melayu, kerana kedudukannya yang strategik, iklimnya yang baik, serta keadaan sosi0-budayanya yang menarik telah menyebabkan kepulauan Melayu suatu ketika dahulu menjadi tarikan pedagang dan penjajah.

Sungguh, wilayah ini dahulunya cukup terkenal dan kita hidup serumpun dalam rukun dan damai.

Penubuhan Malaysia, idea awalnya ialah cuba menyatukan Kepulauan Melayu dan Borneo. Menggabungkan antara Sabah, Serawak, Persekutuan Tanah Melayu, Indonesia dan juga Singapura. Namun idea ini tidak berjaya, maka tinggallah Sabah, Serawak, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu bergabung membentuk Malaysia. Pemasyhuran Malaysia telah diisytiharkan oleh Perdana Menteri Malaysia YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah pada 16 September 1963 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. 

Pengisytiharan Malaysia dibuat ekoran daripada perjanjian pada 9 Julai 1963 antara Persekutuan Tanah Melayu, United Kingdom, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura. Dengan termaktubnya perjanjian tersebut, negeri Sabah, Sarawak dan Singapura digabungkan dengan Persekutuan Tanah Melayu. Ketiga-tiga negeri tersebut juga tidak lagi menjadi negeri jajahan takluk British.

Mungkin ada yang mengaitkan peristiwa ini dengan komplot British dan sekutunya Yahudi. Agak logik kerana mereka juga dengan matlamat serta niat yang sama telah memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu sebelum daripada itu. Divide and Rules merupakan kaedah yang mereka sendiri cipta, atas alasan apa agaknya mereka ingin menjilat najis yang mereka sendiri keluarkan?

Kepulauan Melayu merupakan satu rumpun yang sangat besar dan berdaulat. Konflik kecil yang berlaku antara pembesar-pembesar tiap negeri diperbesarkan dalam buku sejarah yang barat tulis. Malangnya, kita yang terkemudian ini beriya benar membenarkan kata palsu yang dilemparkan ke atas moyang-moyang kita yang berpenat lelah menjaga kedaulatan negeri ini. Bacalah dengan Nama Tuhanmu Yang Menciptakan...

Mungkin ada benarnya, bahawa kemakmuran yang kita kecapi ini perlu disyukuri, saya hampir separuh hati bersetuju dengan kenyataan ini. Tetapi saya tidak bersetuju jika fakta yang salah ini terus dijadikan sejarah. Lebih pelik, seolah ianya langsung tiada kaitan dengan asal-usul kejadian. Sudah tentu, kita semua berasal dari datuk yang sama, di kalangan datuk-datuk kita ada diutuskan rasul-rasul dan nabi-nabi, sehinggalah diutus Nabi terakhir. Selepas Baginda, tugas tersebut di sambung oleh para 'alim dan ulama'. 

Para ulama' faham benar akan tugas mereka untuk menegakkan agama dan mentadbir bumi ini dengan agama. Atas tuntutan dan seruan ini, maka bertebaranlah generasi cetakan Nabi Muhammad, para Sahabat dan para Tabi'in ke atas muka bumi ini memastikan setiap ceruk rantau, ditinggikan kalimah Allah Yang Maha Esa. Demikian halnya yang berlaku sehingga Islam Parameswara, membawa kepada pengislaman Kerajaan Melayu Melaka. Terdahulu dari itu, Islam bertapak di Acheh, selatan Filipina, wilayah Pattani, dan tempiasnya dirasai di Terengganu. 

Kesemua wilayah ini disatukan di bawah pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah yang berpusat di Turki. Persaudaraan Islam menjadikan kita hidup rukun dan damai, bertolong bantu memelihara seluruh wilayah. Perairan kita selamat daripada ancaman lanun, menjadikan wilayah ini pusat dan tumpuan kegiatan perdagangan. Sehingga pedagang asing sendiri sanggup mempelajari bahasa melayu kerana ingin perdagangan mereka bertapak dengan baik di sini.

Benar, kita serumpun dan hidup sentiasa dalam rukun dan damai.

Ibnu Khaldun pernah menyebut, bahawa setiap tamadun itu akan mengalami kehancuran. Tamadun wilayah ini pernah mencapai era emas dan gemilangnya, dan mula runtuh saat Alfonso De Albuqueque singgah membawa dakyah. Alfonso dan rakan-rakan agamanya yang lain, beriya-iya ingin menguasai wilayah ini. Kerana zaman itu masih belum ada Facebook barangkali, maka dengan mudah salah faham antara pembesar dan raja-raja ditimbulkan. Jika dulu sudah ada YM, mungkin kekeliruan dan salah faham dapat dijernihkan. Namun, tiada yang berupaya menghalang taqdir Allah yang sudah pasti ada hikmah yang tersembunyi, bermulalah era kita dijajah fizikal, mental bahkan spiritual.

Mereka mula memecah-belahkan. Kata buku yang sudah sekian lama menipu kita, orang-orang cina dan india di bawa masuk, kononnya mereka adalah punca melayu hilang taring atas kuasa ekonomi di bumi sendiri. Cukup dengan kita mengenal pasti siapa yang membawa mereka ke sini, sudah dapat membantu kita menjernihkan kembali kekotoran sombong bongkak yang ditanam oleh para penjajah. Jika itu tidak cukup membantu kita untuk celikkan mata, maka perhatikan pula asal jadinya kita, setitis mani yang hina, lahir tidak punya apa, kembali juga tidak membawa apa-apa. Mereka gembira dengan hasil tuaian jajahan yang mereka lakukan ke atas kita, jangan kita tambah suka mereka dengan duka antara kita.

Saya sangat seronok bila membaca sejaraj pemerintah dan pembesar wilayah ini suatu ketika sulu. Ada Kesultanan Sulu, kesultanan pattani, Kesultanan Aceh, kesultanan Melayu Melaka, dan banyak lagi sejarah yang ada sedikit unsur ketulenan seperti buku "Ulama' dalam Sorotan Kemerdekaan" oleh Ust Ridhuan Mohd Noor, guru sejarah yang banyak menulis mengenai kebenaran.

Hari ini sungguh bermakna untuk saya dan kita semua sebagai rakyat Malaysia, tetapi ianya akan lebih bermakna sekiranya kita sedar dari mana sebenarnya datangnya Malaysia? Bak kata orang, tak kenal maka tak cinta. Lain yang kita kenal maka lain yang kita cinta.. Jika kita cintakan Malaysia berdasarkan perkenalan yang palsu dan menipu, jadilah kita pencinta palsu yang tertipu. Nah, saya bawakan wajah sebenar Malaysia agar cinta kita padanya tulus ikhlas sesuci air mutlak yang boleh dibawa sembahyang, suci lagi menyucikan... :-)

Selamat Menyambut Ulang Tahun, Malaysiaku Tercinta.... 

Wednesday, September 15, 2010

Terus Menulis

Dengan Nama Allah Yang Menciptakan manusia dari segumpal darah...

PESANAN MANFAAT UNTUK ORANG BERIMAN

Allah Ta'ala mengulang sebut dalam banyak tempat di dalam Al-Quran mengenai kepentingan pesanan. Bahawa pesanan itu memberikan manfaat kepada orang yang beriman dan pesanan itu juga menjadi tanggungjawab orang yang Beriman. Mafhum daripada kenyataan ini ialah, sekiranya kita benar-benar beriman, kita akan gemarkan pesanan. Orang yang beriman gemar menerima dan juga memberi nasihat.

Berpesan-pesan tidak sedikit pun menjadikan mereka berasa bangga dengan kebaikan diri atau menjatuhkan maruah orang lain. Juga tidak menjadikan mereka berasa lemah dengan diri sendiri atau terlalu kagum dengan orang lain yang juga manusia biasa seperti mereka.

"Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan" (Al-Ghasyiyah, 88:21)

Dalam hubungan mereka dengan manusia lain, mereka faham betapa perlunya konsep memberi dan menerima, begitu juga keperluan untuk memberi dan menerima nasihat dan pesanan. Maka mereka melakukan aktiviti berpesan-pesan ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan juga kasih sayang mereka terhadap sesama manusia, semuanya dilakukan semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah. Menjadikan mereka bangsa yang bertamadun dan hidup dalam lindungan kasih sayang serta rahmat Allah Ta'ala.

BERPESAN PADA DIRI SENDIRI

Walaubagaimanapun, orang-orang yang beriman sentiasa sedar bahawa mereka sentiasa tidak pernah terlepas daripada mengamalkan pesanan yang mereka terima lebih-lebih lagi pesanan yang mereka berikan. Tanggungjawab dalam soal berpesan-pesan ini, tidak terhenti sekadar menyampaikan pesanan, bahkan orang-orang yang benar-benar beriman, akan berlumpa-lumba untuk melaksanakan pesanan tersebut.
"Bahagialah (kerana kebaikan yang amat banyak) bagi orang yang baik kerjanya, baik dan bersih hatinya, mulia pula lahirnya dan jauh manusia dari kejahatannya. Bahagialah orang yang beramal dengan ilmunya, membelanjakan (untuk kebajikan) lebihan dari hartanya dan menahan lebihan dari kata-katanya." (Hadis riwayat Tabrani)
Sejujurnya, saya risau dengan diri saya sendiri, maka saya berpesan kepada diri saya untuk terlebih dahulu membuat koreksi, dalam kehidupan saya yang begini panjang, sejauh mana telah saya manfaatkan pesanan orang lain kepada saya, dan sejauh mana pula pesanan yang saya berikan telah saya amalkan. Mungkin agak mementingkan diri, tetapi, saya rasa ada baiknya untuk saya mengambil tempoh bertenang dan menenangkan diri saya.

Kehidupan umat akhir zaman ini terlalu berkecamuk dan meruntun jiwa dan rohani saya. Sesak dada saya memikirkan nasib diri, orang-orang yang saya sayang, dan generasi akan datang. Adakah Tuhan akan menerima saya, sekiranya saya menghadapNya dalam keadaan begini? Layakkah saya menerima gelaran beriman sedangkan pesanan dariNya tidak saya endahkan? Layakkah saya untuk bersama-sama dengan orang-orang yang soleh apalagi bersama kekasih Allah, Nabi Muhammad di syurga kelak. Ya Allah, tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Engkau, Maha Suci Engkau sesungguhnya aku sedang menzalimi diri aku sendiri. Aku ingin kembali, bertaubat dan memohon ampun dariMu Ya Allah. Sekiranya tidak engkau ampunkan, maka sesungguhnya aku tergolong di kalangan orang-orang yang rugi.


Ayuh!

Monday, September 13, 2010

Berlindung dari syaitan yang direjam

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih.

"Dan sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf?" Ya Sin, 36:62.



Sebelum membaca, jemput untuk menjenguk laman teman saya yang sangat menarik untuk dikongsi dan direnung bersama... klik di sini...

Syawal dikaitkan dengan pembebasan syaitan daripada dibelenggu dan kembali menyesatkan manusia. Semangat dan ruh beribadah berlalu pergi bersama Ramadhan yang telah meninggalkan kita. Suasana yang berbeza, begitu terasa sebaik sahaja Ramadhan melabuhkan tirainya.

Manusia yang beriman meraikan kemenangan atas mujahadah dan amalan yang mereka lakukan sepanjang Ramadhan di bulan Syawal yang mulia. Dengan penuh insaf dan kesyukuran, terus-menerus meletakkan setinggi-tinggi perhambaan kepada Allah Ta'ala.

Ayat di atas menerangkan kepada kita perihal syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkan manusia, dan Allah Ta'ala mengingatkan kita bahawa "jibillan" manusia yang telah disesatkan. Ramai yang disebutkan dalam ayat terebut bukan setakat juta, bahkan kebanyakan manusia di setiap zaman, menunjukkan bilangan yang disesatkan oleh syaitan ini sebenarnya adalah sentiasa majoriti berbanding jumlah manusia yang berjaya dalam ujian dan godaannya. Saya berlindung dengan Allah Ta'ala dari syaitan yang direjam.

Allah Ta'ala menerangkan di dalam ayat yang lain, golongan yang akan berjaya daripada godaan syaitan, iaitu janji Iblis:-

"Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya,"Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang ikhlas", Al-Hijr, 15 : 39-40.

Orang-orang yang ikhlas ialah orang yang bersih hatinya dari sebarang niat dan matlamat selain Allah Ta'ala. Tentu sekali kita yang kerdil, hina dan lemah ini belum mampu untuk menjadi orang yang ikhlas, hati kita tidak bersih, kotor dan mengotorkan. Maka berlindunglah diri daripada Allah dalam setiap perkara yang kita lakukan dengan mengingat dan menyebut namaNya selalu.

Baca di sini untuk banyak lagi kerosakan yang dibawakan oleh syaitan.. Satu daripadanya yang menarik untuk sama-sama kita renungkan,





"Persamaan syaitan, apabila ia berkata kepada manusia, 'Jangan percaya'; kemudian apabila dia tidak percaya, ia berkata, 'Sesungguhnya aku berlepas diri daripada kamu. Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Pemelihara semua alam.'" (Al-Hasyr, 59:16)

Ayat di atas memberikan kita dua pengajaran, pertama syaitan menyesatkan manusia walaupun hakikatnya mereka sentiasa sedar tentang keesaan Allah Ta'ala. Mereka menyesatkan manusia sehingga manusia syirik dan melakukan kerosakan yang terkadang lebih teruk dari kerosakan dan kejahatan syaitan itu sendiri. Kedua, mereka memperdaya kita sehingga kita berasa selamat melakukan dosa dan kejahatan, dan apabila kita terperangkap dan dihukum atas kejahatan dan kerosakan yang kita lakukan, syaitan akan menjawab kepada kita, "Ko yang pilih, ko la yang tanggung, 'aku berlepas diri dari kejahatan kamu' ". Saya berlindung dengan Allah Ta'ala, dari kejahatan syaitan yang direjam.


Syaitan sentiasa mengekori kita, mencuba dan sentiasa berusaha menggelincirkan saya, juga kita semua daripada mengingati Allah. Kelalaian kita daripada mengingati Allah memberikan peluang kepada syaitan untuk menghasut dan memperdayakan kita untuk melakukan dosa dan kejahatan. Saya berlindung dengan Allah Ta'ala, dari kejahatan syaitan yang direjam.

Saya lemah, iman dan amal saya juga sangat lemah dan dengan mudahnya terpedaya pada godaan serta tipu daya syaitan. Hidup penuh dosa dan kesilapan. Saya tidak kebal daripada provokasi syaitan. Kita semua begitu. Maka, mulakanlah setiap aktiviti dan perbuatan kita dengan menyebut namaNya selalu. Dengan nama Allah kami hidup dan kami mati, kami berlindung dengan Allah Ta'ala dari kejahatan syaitan yang direjam.

Semoga kita terus hidup bersamaNya, kekal di dalam jagaanNya, dan ditempatkan di kalangan kekasih-kekasihNya, dari kalangan para Nabi, orang-orang yang sentiasa membenarkan, para syuhada', dan juga orang-orang yang soleh.

Saya berlindung dengan Allah Ta'ala dari kejahatan syaitan yang direjam...

Thursday, September 9, 2010

Selamat Hari Raya

Selamat Hari Raya - Rabbani




Suatu Hari Di Hari Raya - Rabbani



Pertemuan Di Hari Mulia - Nada Murni




Suara Takbir - Rabbani



Jom, pada tahun ini kita sambut hari raya dengan penuh kesyukuran dan keinsafan. Menghubungkan kembali tali persaudaraan, merapatkan hubungan antara kita dan melerai segala rindu di jiwa...

Ya Allah, terimalah segala ibadah kami. Jangan jadikan ramadhan ini yang terakhir buat kami, jika tiada lagi ramadhan untuk kami, semoga kali ini memberikan makna dan diberikan ganjaran syurga... Ameen...


Selamat Hari Raya Aidilfitri,
Maaf Zahir dan batin,
Ikhlas dari,

MOHD FARID BIN HAMLUD.

p/s: bukan main byk lagi lagu.. sekadar nak menghangatkan suasana hari raya...

Tuesday, September 7, 2010

Mati Sebagai Pengajaran Untuk Orang-orang Yang Beriman!!!




Sabda Nabi Muhammad SAW:

"cukuplah mati kepadamua sebagai peringatan"

Pagi tadi saya menerima berita yang mengejutkan, En Mohammad Mustafa Mokhtar, pentadbir UKM telah kembali ke rahmat Allah. Al-Fatihah.

Beliau seorang yang baik, saya kenal beliau semasa saya terlibat dengan kegiatan berpersatuan semasa di UKM. Beliau juga rajin ke surau, di kawasan perumahan beliau di Fasa 2, Bandar Baru Bangi.

Sempat juga saya menziarahi jenazahnya di Surau Damai, Fasa 2, dan mengiringi jenazah ke Tanah Perkuburan Islam, Sungai Tangkas. AlhamduliLlah majlis pengebumian selamat dan selesai pada jam 12.30tghari. Ramai sahabat, jiran, rakan-rakan sekerja yang turut mengiringi jenazah beliau ke tanah perkuburan.

Semasa majlis bacaan talkin, imam sempat membacakan khutbah sebagai peringatan,

"Ketika ini, saudara kita, Mohammad Mustafa Mokhtar telah pun berada di alam kubur. Dia sedang menyaksikan kita yang sedang hidup ini, memandikan jenazahnya, mengebumikan dan membacakan talkin untuknya. Dia melihat siapa jua yang datang pada hari ini menziarahinya," khutbah imam, orang ramai yang hadir terdiam dan sayu mendengar ucapan tersebut.

"saudara kita ini juga telah menyaksikan kebenaran yang telah disampaikan oleh RasuluLlah kepada kita. Maka hendaklah kita yang hidup ini, menjadikan peristiwa ini sebaai pengajaran. Hendaklah kita melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan semasa hayat kita di dunia," sambung imam lagi.

Imam mengakhiri ucapannya dengan mengajak hadirin sekalian mendengar bacaan talkin, seperti bacaan talkin dalam video di atas...

"Semoga kita semua mendapat faedah dan pengajaran darinya," ulas imam di hujung khutbahnya sebelum memulakan bacaan talkin...


Semoga Allah Ta'ala mengampunkan dosa-dosa kita, dosa-dosa En Tapa, serta dosa orang-orang yang terdahulu beriman daripada kita. Semoga Ruh En Tapa dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang Soleh.

Saturday, September 4, 2010

Rimbun Keampunan - Hijjaz





Album : Pelita Hidup III
Munsyid : Hijjaz

Ku mengintai ketenangan di antara kekalutan
Kerana keinginan tidak pernah kesampaian
Ku kutip sisa-sisa dari segala keruntuhan
Bangkit semula meneruskan baki perjalanan

Ku menghimpun kekuatan ku memohon ketabahan
Meredah gelombang hidup dan dugaan mencabar
Ku anggap kegagalan bukan suatu kekalahan
Tapi suatu kejayaan yang masih tertunda

Ku minta diberikan sejenak kesempatan
Untuk ku ulangi kembali langkah pertama
Keperitan yang ku rasa mengajar erti kesabaran
Menyedarkan ku insan memerlukan Mu Oh Tuhan

Di rimbun keampunan ku mencari keredhaan
Melerai segala kusut dan kecamuk dihati
Ku cari kejernihan di segenap ruang maya
Masih ku sedar ku sedang diperhatikan Mu Oh Tuhan


Lagu: Putra Aiman (Hijjaz Records)
Lirik: Itolara (Gurindam Entertainment)

Antara Yang Menarik