AlhamduliLlah, baru-baru ni diberikan peluang sekali lagi untuk menunaikan Umrah, membawa rombongan yang mengikuti pakej Umrah bersama Darul Mubarak Travel & Tours Sdn Bhd. Rombongan seramai 81 orang termasuk saya ini, merupakan rombongan penerbangan yang paling ramai pernah saya bawa, dan sekali lagi Bangladesh menjadi destinasi transit saya bersama para jemaah.
AlhamduliLlah, walaupun transit selama 23 jam, kami tidak berdepan dengan ujian yang berat, dan perjalanan kami dipermudahkan sehinggalah kami tiba di Jeddah dan seterusnya menaiki bas ke Madinah.
Seperti perjalanan yang sebelum ini, tumpuan dan fokus utama saya dan syarikat adalah memberikan khidmat yang terbaik kepada para jemaah untuk melaksanakan ibadah. Perjalanan melaksanakan ibadah umrah ini, sebenarnya bukanlah perjalanan yang biasa. Ianya penuh dengan tarbiyah dan mau'izah daripada Allah Ta'ala. Sememangnya, Allah Ta'ala itu sentiasa dekat dengan hambaNya. Dia menunaikan permintaan orang yang meminta ketika orang itu meminta (Ayat Al-Quran), lebih-lebih lagi ketika berada di Tanah Haram, dan tempat yang sangat berkat ini, mereka yang menjadi tetamu Allah di Mekah dan Madinah ini akan menerima "perhatian dan layanan" yang jauh lebih istimewa.
Ujian sentiasa ada. Kerana Allah Ta'ala menciptakan ujian untuk menentukan nilaian iman seseorang hamba.
Ibadah yang kita lakukan ditujukan kepada Allah. Dialah yang lebih berhak menerima segala amalan yang kita lakukan. Maka beribadah dan berbuat baiklah kerana Allah.
Persoalannya, apakah ibadah yang paling baik dan paling afdal untuk kita lakukan ketika di Mekah dan Madinah?
Jika di Madinah, kita digalakkan untuk beri'tikaf di Masjid Nabawi, mengejar kelebihan solat fardhu berjemaah di Masjid Nabi, menunaikan solat di Masjid Quba' dan menziarahi RasuluLlah SAW bersama para Sahabat di Baqi' dan juga di Pergunungan Uhud.
Manakala di Mekah, kita digalakkan untuk memperbanyakkan ibadah tawaf, menunaikan umrah, dan beri'tikaf di Masjid Haram. Meluangkan kebanyakan masa kita di Masjid untuk menunaikan solat, berzikir, membaca Al-Quran dan sebagainya. Malah, melihat kaabah sendiri mendapat pahala.
Akan tetapi, sekiranya kita menghayati maksud sebenar ibadah dan perhambaan diri kita kepada Allah. kita akan dapati bahawa rahmat Allah bersama dengan mereka yang beribadah dan berbuat baik keranaNya. Ibadah dalam erti kata yang sebenar, ialah menjadikan seluruh kehidupan kita sebagai ibadah kepada Allah. Kita berjalan, berlari, bercakap, makan, minum, tidur dan sebagainya, semuanya dilakukan kerana Allah. Berbuat baik juga adalah ibadah. Bersangka baik antara saudara seagama juga adalah ibadah. Menerima taqdir dan ujian yang dikurniakan ke atas kita juga adalah ibadah.
Menjadi hamba yang taat dan patuh, ialah menjadikan seluruh kehidupan kita patuh syariat dan dilakukan hanya kerana Allah. Menjadikan Nabi sebagai role model kerana, jika benar-benar mencintai Allah, maka kita pasti akan mengikut jejak langkah Nabi SAW.
Nabi merupakan manusia yang berakhlak mulia malah pekerti Baginda merupakan yang tertinggi dan penyempurnaan akhlak pekerti yang mulia.
Berakhlak mulia juga adalah ibadah yang dituntut.
Rugilah sekiranya kita berlumba-lumba untuk mengerjakan umrah dan solat sunat dengan sebanyak-banyaknya, tetapi lupa akan hakikat bahawa tujuan ibadah tersebut ialah memperhambakan diri kita kepada Allah.
Kesan ibadah ialah pada hati. Di antara kesannya, ialah pada kelapangan dan kebersihan hati.
Semoga perjalanan kita menunaikan umrah atau haji nanti, menjadi perjalanan kerohanian yang terbaik untuk kita, dan benar-benar menepati apa yang disarankan oleh Allah Ta'ala dalam Alquran:
""Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah" Surah Al-Haj, 22 : 28.