Rupanya, ini tulisan pertama saya untuk tahun 2013. Walaupun ada banyak masa lapang, rupanya saya terlupa nak meluangkan masa mengemas-kini laman blog saya yang satu ini.
AlhamduliLlah, segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan saya pelbagai nikmat dan kurnia. Tahun 2012 ialah tahun yang sangat menarik. Penghujung tahun 2011, saya berpindah dari Bangi ke Terengganu, tidak kekal di Terengganu, saya berpindah pula ke kampung asal saya, Parit, Perak. 2012 adalah tahun yang sangat manis, kerana saya berkesempatan menunaikan Umrah pada musim Ramadhan (Umrah Terbaik yang pernah saya alami selepas umrah pertama), dan paling manis ialah dikurniakan seorang cahaya mata.
Terima kasih kepada isteri yang tercinta, Sakinah Binti Ropien, atas segala kenangan manis dan pahit bersama sepanjang tempoh kita bersama. Tuhan saja yang tahu betapa peritnya kesakitan yang ditanggung oleh isteri saya yang tercinta ketika kami mennyambut kemunculan Faruq Bin Mohd Farid ke dunia. Semoga Allah terus memelihara kalian berdua, dan kita sekeluarga. Dan, semoga kehadiran kalian berdua terus mewarnai dan memaknakan kehidupan ini.
AlhamduliLlah, 2012 juga saya bertekad ingin mengambil jalan sendiri. Berpisah dengan Darul Mubarak sebenarnya bukanlah satu perkara yang mudah bagi saya. Darul Mubarak menemukan saya dengan jutaan rahsia dunia yang tidak ramai berpeluang merasainya. Apapun, perjuangan hidup perlu diteruskan, demi mengejar cita dan impian.
Tulisan saya kebanyakannya berkisar mengenai politik. Kata orang, kita hanya mampu menulis dan berkata apa yang berada di keliling kita. Mungkin persoalan politik inilah yang selalu bermain di fikiran, maka persoalan politik ini jugalah yang selalu saya mainkan dan saya putarkan dalam bentuk kata-kata dan penulisan.
Saya agak kebingungan dengan suasana politik semasa di Malaysia. Terkini dan terhangat ialah Bawani. Kemunculan episod Bawani ini sebenarnya rentetan daripada tekanan yang dimulakan oleh pihak pemerintah yang zalim. Pemerintah menjadikan segala instrumen kerajaan sebagai hegemoni untuk terus memerintah.
Pemerintah yang rakus ini, perlu ditamatkan kontraknya dengan segera.
Kita tinggalkan dulu pertembungan politik dan perbezaan pendapat mengenai warna dan rupa antara kita. Saya ingin mengajak kepada persamaan antara kita, iaitu kita masing-masing adalah manusia yang menghuni bumi yang sama, menghirup udara yang sama, dan kita juga melihat pada langit, bulan dan bintang yang sama.
Allah Ta'ala yang menciptakan kita. Dia menciptakan kita lengkap dengan manhaj, atau sistem. Allah Ta'ala jugalah yang telah menciptakan bumi dan seluruh alam ini, juga dengan sistem. Ada manual tertentu yang telah ditetapkan oleh Allah dalam penciptaan seluruh isi langit dan bumi.
"Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.Dan lagi dalil yang terang untuk mereka (berfikir) ialah malam; Kami hilangkan siang daripadanya, maka dengan serta-merta mereka berada dalam gelap-gelita," Surah Yasin, 36:37&38.
Ayat ini menerangkan bahawa Allah yang menciptakan segalanya. Sengaja Allah Ta'ala menceritakan perihal perkara yang berlaku dalam alam ini, untuk membuktikan sesungguhnya alam ini semuanya diciptakan oleh Allah dan Dialah yang mengawal setiap aturan tersebut.
Allah menjadikan pokok, dengan fungsi respirasi dan transpirasi. Tumbuhan menjalankan proses fotosintesis, menukarkan gas Carbon Dioksida kepada Oksigen, menyerak mineral dalam tanah, mencengkam tanah dan bumi, malah menghasilkan buah-buahan dan sayur-sayuran yang bermanfaat kepada seluruh manusia dan haiwan.
Setiap manual ini diserahkan kepada manusia untuk diuruskan. Malah manusia itu sendiri sarat dengan manual yang perlu dipatuhi agar sistem dan manual alam semulajadi yang diserahkan kepada manusia ini ditadbir dengan baik. Manusia sistemnya hampir sama dengan benda hidup yang lain. Manusia memerlukan makanan, minuman, tempat tinggal, dan pasangan untuk hidup dan kelangsungan spesies serta keturunan. Manusia juga sangat memerlukan kepada interaksi untuk menjalankan kegiatan dan kehidupan seharian.
Semua ini adalah manual dan sistem yang Allah Ta'ala jadikan untuk kita patuhi. Keistimewaan manusia ialah, sebagai crowning creature, kita ada tugas tambahan, iaitu kita dilantik menjadi Supervisor kepada segala sistem benda-benda hidup dan benda bukan hidup yang ada di atas muka bumi ini. Tumbuhan, haiwan, batu-batan, air, udara, dan segala isi bumi ini, dipertanggungjawab kepada manusia.
Maka, sekiranya kita faham mengenai hakikat kejadian ini, kita akan faham dan sedar bahawa tugas kita sebenarnya adalah untuk berkhidmat kepada Pencipta kita. Jika pemerintah mendakwa Mahasiswa "tajaan" mereka tidak berhak bersuara, apa pula nilaian kita di hadapan Allah, Pencipta dan Pemilik Mutlak segala-galanya.
Dia berhak menjadikan kita sebagai apa sahaja yang Dia kehendaki. Lalu Dia mengurniakan kita akal, mata, hidung, tangan dan kaki untuk hidup sempurna. Namun manual asal bukanlah untuk kita mengutuk dan merendahkan antara satu sama lain. Manualnya ialah untuk menyambung rantai kehidupan ini dengan aman dan damai. Menjalankan aktiviti kehidupan atas permintaan dan arahan Pencipta.
Kebenaran sebenarnya telah ada. Maka kita bertanggungjawab untuk memastikan kebenaran itu diterima, disokong dan didokong oleh semua pihak.
Kembali kepada topik politik. Jika politik sekadar mencari siapa betul dan salah. Tanpa memberikan tumpuan kepada apa yang sebetulnya dan apa yang salah, maka kita hanya akan terus membazirkan masa kita mencari dan merisik kesalahan orang. Sekalipun kebenaran itu bukan daripada kita, atau tidak bersumber daripada pihak kita, asalkan ia adalah kebenaran, sebagai crowning creature, kita perlu terima, sokong dan dokong.
Kerosakan bukan hanya pada harta benda dan yang bersifat fizikal. Malah kerosakan itu sebenarnya berpunca daripada akal dan hati. Jika rosak akal dan pemikiran, maka rosaklah segala harta benda dan pekerjaan.
Kemuliaan kita bukan kerana harta dan jawatan, tetapi kemuliaan kita ialah nilaian pandangan di sisi Tuhan.
Tahun ini, berazam membina dunia yang lebih baik. Ubah sekarang, Selamatkan Malaysia...