Saya rindukan suasana demokrasi yang tulen. Walaupun istilah rindu sebenarnya tidak tepat kerana ianya tidak pernah berlaku, tapi saya sentiasa merasainya dalam mimpi. Bahkan, saya dapat rasakan bahawa inilah sebenarnya yang dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW ketika Baginda memerintah bumi Hijjaz dahulu.
Saya tidak bermaksud bahawa Nabi Muhammad SAW mengamalkan demokrasi. Kerana Islam, pengertiannya jauh lebih murni dan lebih indah daripada Demokrasi. Demokrasi hanyalah sebahagian daripada kesyumulan Islam.
Islam, agama yang sangat toleran. Islam bermakna menyerah diri kepada ALlah. Serahan diri ini membawa kepada kesejahteraan dan keselamatan di dunia dan di akhirat. Menyerah diri, bermakna membiarkan diri diperintah oleh Islam. Bukan memerintah Islam untuk kepentingan diri sendiri. Islam diperlukan, sama sekali tidak pernah memerlukan.
Kembali kepada istilah Demokrasi. Walaupun pengertian asalnya, demokrasi ini merujuk kepada kuasa rakyat. Maka, saya lebih suka kepada istilah demokrasi terpimpin. Walaupun, rakyat memegang kuasa membuat keputusan, namun mestilah berteras kepada nilai yang sejagat. Seringkali, dalam konteks demokrasi yang biasa, sesuatu yang lebih dikenali akan lebih diterima. Maka, penerimaan sesuatu itu, bergantung kepada populariti, walaupun nilai yang dibawa adalah nilai yang tidak sejagat.
Saya ambil contoh, UMNO, sangat popular dan mendominasi media arus perdana. Maka merekalah yang paling dikenali. Liputan mengenai mereka sangat meluas, sehingga rakyat, sekalipun dari parti pembangkang lebih mengetahui hal-hal berkaitan dengan UMNO daripada hal-hal berkaitan parti mereka sendiri. Maka, rakyat yang berada di atas pagar, akan cenderung memilih UMNO, kerana hanya UMNO yang mereka kenali. Mungkin, mereka juga berhikmat dengan amanat Tun M, lebih baik syaitan yang dikenali, daripada malaikat yang tidak dikenali.
Sekali lagi, amanat Tun M ini menjadi bukti bahawa amalan dan pemikiran rakyat Malaysia menjurus kepada politik yang tidak berteraskan kepada nilai, sebaliknya populariti.
Nah, di sinilah timbulnya Demokrasi Terpimpin, iaitu penilaian dibuat berteraskan kepada nilai yang sejagat. Nilai yang sejagat, bererti nilai yang boleh diterima oleh semua. LGBT bukan nilai sejagat, kerana ia tidak boleh diterima oleh semua orang. Nilai ketuhanan, adalah nilai yang paling sejagat. Manusia, walau bagaimana hebat sekalipun, memerlukan kepada Tuhan. Kita menyembah dan berdoa kepada Tuhan, kerana Dia Maha Mengetahui dan menentukan segala-galanya. Islam, adalah agama Tuhan, bukan ciptaan ahli-ahli agama. Tiada seorang pun boleh menafikan kata-kata Allah, sekiranya dia menafikan kata-kata Allah, bahkan menafikan kata-kata Rasul SAW, maka dia tidak lagi dikira sebagai orang yang beragama.
Nilai keadilan dan kebajikan adalah nilai sejagat yang sangat diterima malah diperlukan. PAS menawarkan negara berkebajikan, kerana PAS mengamalkan Islam yang menjaga kepentingan agama dan syariat. Syariat Islam diperjuangkan kerana syariat Islam bertujuan memelihara hak-hak dan tanggungjawab asasi manusia. Paling penting, syariat Islam melunaskan hak-hak Allah.
Dalam prinsip demokrasi, rakyat sebagai kuasa pemutus, maka rakyat perlu dibekalkan dengan maklumat yang cukup. Justeru, pemimpin bertanggungjawab melaksanakan kaedah urustadbir yang telus dan terbuka. Ketelusan menjamin hak-hak rakyat untuk mengetahui bagaimana sesuatu keputusan itu dibuat dan dilaksanakan. Sekiranya maklumat yang dibekalkan mencukupi, barulah keputusan dan penilaian yang dibuat oleh rakyat tepat dan berasas.
Menyembunyikan fakta dan keadaan sebenar, hanya akan mengundang pelbagai persepsi. Islam mengajar kita, persepsi tidak akan dapat membantu kita mencari kebenaran. Bahkan persepsilah yang akan memusnahkan institusi dan menghapuskan nilai serta kepercayaan. Sedang kepercayaan itulah "nadi" utama hubungan antara rakyat dan pemimpin. Rakyat memberontak dan beralih arah, kerana tiada lagi rasa percaya.
Justeru, ditekankan sekali lagi, peri penting ketelusan dan keterbukaan bagi setiap pemimpin.
Sekalipun kita berada di pihak yang benar, Kita tidak boleh menafikan hak-hak orang yang berada di pihak yang salah. Misalnya, seorang yang terbukti mencuri, merompak malah merogol seseorang perempuan di hadapan mata kita sendiri, tidak boleh terus dihukum. Sebaliknya perlu diadili dan perlu diberi ruang untuk membela diri. Ini praktik kerajaan Islam dibawah pentadbiran Nabi dan Khulafa' Ar-Rasyidin.
Islam adalah agama yang benar. Maka orang-orang yang memimpin secara Islam, perlu yakin bahawa mereka sentiasa bersama dengan kebenaran. Kebenaran adalah nilai yang sejagat. Ia juga adalah hak semua manusia, sekalipun mereka belum beragama Islam. Islam sarat dengan hujah yang mampu difikirkan dengan akal. Alam ini adalah saksi dan bukti yang sangat jelas untuk mereka yang mahu berfikir.
Sebab itulah, antara tujuan perlaksanaan Syariah ISlam, ialah memelihara akal fikiran. Manusia perlu dibekalkan dengan ilmu dan pengetahuan. Pemimpin yang demokratik, sangat mengutamakan ilmu dan pengetahuan. Maka mereka akan menyogok rakyatnya dengan ilmu dan pengetahuan. Kebajikan, harta dan hak-hak untuk mendapat kehidupan yang selesa juga tidak dikesampingkan, kerana ini juga tanggungjawab. Namun, bukan ini yang menjadi sogokan utama kepada rakyat.
Pepatah cina berkata, "jika engkau beri ikan, malam ni dia dapat makan, jika engkau beri pancing tiap-tiap pagi, petang, malam di boleh makan."
Sikap menutup mulut dan suara rakyat, sekalipun kita berada di pihak yang benar adalah salah sama sekali. Hal ini, pernah berlaku di sebuah negeri, di mana pemimpin yang benar itu cuba menutup mulut rakyatnya yang ingin mendapatkan penjelasan. Sedangkan, tanggungjawab pemimpin tersebut ialah memberikan penjelasan. Proses pengadilan terbuka adalah sangat diperlukan kerana isu itu adalah isu umum yang menyentuh semua pihak.
Hal kalimah Allah juga begitu. Pengadilan mesti dibuat secara terbuka. Tidak eksklusif apalagi provokasi dan hasutan yang sama sekali tidak menyumbang kepada keharmonian dan kerukunan. Kita tidak layak menghukum, hanya diberikan amanah untuk melaksanakan apa yang telah diturunkan.
In Sya Allah, jika politik seperti ini yang kita amalkan, kita akan dapati, negara ini makmur, berkebajikan, dan mendapat keampunan Tuhan.