Bernas Kenyataan Rasmi Presiden, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, yang menitik-beratkan perpaduan dalam pembentukan Kerajaan Negeri dan Pusat, saya rasa ada kewajaran bagi semua ahli PAS, berehat daripada membuat serangan-serangan, begitu juga berehat daripada memberi respon terhadap serangan-serangan bersifat politik kebencian.
Saya rasa, ahli PAS perlu melakukan muhasabah dan ini adalah masa yang terbaik untuk membuat koreksi dalaman.
Kita sedia maklum, bahawa kekalahan PAS di kebanyakan kerusi didorong oleh banyak faktor sama ada luaran atau dalaman. Namun, kita tidak akan dapat berkembang atau menambah baik usaha, sekiranya kita hanya menumpukan kepada kesalahan orang lain.
Jika kita meletakkan kesalahan kepada penyebar fitnah, kita juga perlu meletakkan kesalahan kepada diri kita sendiri kenapa begitu mudah fitnah disebarkan dan apa inisiatif di peringkat kita sendiri untuk mencegah atau membaik-pulih kerosakan akibat fitnah?
Saya yakin, masyarakat di Malaysia tidak menolak Pas atau Islam. Bahka saya cukup yakin, walaupun mereka mengundi PH atau BN, mereka tetap Islam dan mereka tetap berkeyakinan bahawa hanya Islam yang boleh menyelamatkan keadaan.
1. Rakyat tidak menolak Islam, dan tidak juga menolak PAS kerana membawa Islam. Sebaliknya, PAS gagal dalam usaha menyampaikan Islam dan mengajak rakyat untuk bersama dengan ISlam.
Bentuk dakwah yang PAS lakukan selama ini seperti Kuliah di Masjid, Ceramah di Markaz, Usrah di rumah ahli PAs, semuanya bersifat inklusif dan tidak mempunyai capaian (coverage) yang menyeluruh. Hanya segelintir sahaja yang terlibat itupun boleh dibilang dengan jari.
Sedangkan masih ramai yang dahagakan Ilmu, dan hanya mengintai dari jauh, mungkin kerana "GAP', atau jurang yang ada, atau mungkin kerana ruang dan kepelabagaian yang terhad.
Jangan pula kita menyalahkan orang yang mengintai, salahkanlah diri sendiri kenapa tidak turun dan bertemu terus dengan mereka.
2. Kekuatan Utama PAS ialah dakwah Islamiah. Dakwah ertinya membina jambatan, bukan mencipta sempadan. Dakwah untuk semua manusia. Kita hanya bertanggungjawab menyampaikan, sedang Allah yang menentukan siapa yang akan diberikan petunjuk. Kita tidak berhak memilih kepada siapa hendak disampaikan Islam.
Dakwah juga bererti nadi kekuatan PAS yang utama ialah menyantuni masyarakat dan membina persekitaran yang baik, sebagai manifestasi kepada penghayatan Islam. Islam memimpin dan mendominasi pemikiran dan tindakan dalam masyarakat.
Untuk menjayakan misi ini, kita perlu menggalas tugas sebagai duta penyelamat dan kasih sayang.
3. Kekuatan utama PAS juga ialah budaya politik Matang dan Sejahtera. Pru14, PAS sertai dengan berbekalkan pelbagai senjata dan kelengkapan yang cukup menarik. WINS, Dokumen Hijau, MAnifesto dan lain-lain tawaran PAS, merupakan tawaran yang cukup menarik.
Malangnya, budaya matang dan sejahtera ini hanya terlihat pada sebahagian pimpinan dan ahli, tidak terlihat pada sebahagian yang lain.
Inilah yang saya maksudkan, "mesej Islam" yang dibawa oleh PAS tidak terlihat dari kaca mata rakyat terbanyak.
Kita jangan terlalu seronok berada di pihak yang benar, jika tindakan kita tidak mencerminkan kebenaran. Kata-kata yang tidak disusun, emosi yang tidak terkawal, bahkan tembakan rambang selalu dilepaskan menyebabkan kadang-kadang kita tertembak orang yang tidak bersalah.
Kematangan bukan pada rupa dan nama, kematangan pada kata dan perbuatan. Jangan terikut dengan budaya serang-menyerang yang dimainkan oleh pihak lain, kerana kita ada kaedah yang lebih baik daripada itu. Jika tidak, maka tiadalah beza antara kita dan mereka, melainkan nama sahaja..
4. PAS merupakan wadah terbaik. Pas memberikan tawaran yang terbaik. Pemimpin PAS juga adalah pemimpin yang terbaik. Mesej PAS adalah Islam, mesej yang terbaik. Namun, kekurangan kita masih ada, iaitu belum melakukan yang terbaik.
Berhenti daripada menyalahkan orang lain, fikirkan ruang dan peluang yang boleh diteroka pasca PRU14 ini. Masih banyak yang boleh dan perlu kita perbaiki bersama..
Maka benarlah kata Timbalan Presiden PAS, Dato Tuan Ibrahim Tuan Man, Allah tak tanya kita berjaya memenangkan Islam atau tidak, Allah tanya apa yang kita buat untuk memenangkan Islam?
Mohd Farid Bin Hamlud
PAS Parit, Perak.