Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Thursday, August 30, 2018

احد: Erti Kemerdekaan Sebenar.



Tiada sebarang bentuk sembahan, kebergantungan, pujian, harapan, dan kehebatan yang sebenar-benarnya melainkan Allah Ta’ala. Dialah yang telah mencipta dunia serta seluruh isinya, mentadbir, memelihara dan menetapkan peraturan-peraturan ke atas segala kejadian. Dialah Allah, yang telah mengutuskan pesuruh dan hambaNya yang paling dikasihi sebagai utusan untuk menyampaikan perkhabaran kepada seluruh manusia, ancaman azab bagi yang ingkar, ganjaran nikmat bagi mereka yang tunduk patuh.

Tiada erti kebebasan di dunia ini jika tidak tunduk kepada Allah, dan mengakui akan kebenaran risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Kongkongan dan jajahan ke atas manusia, bukan hanya perlu dilihat pada jajahan bersifat politik urustadbir kenegaraan, bahkan lebih daripada itu kongkongan yang paling teruk dan paling banyak menjajah manusia ialah kongkongan “duniawi” itu sendiri.

Tatkala manusia tenggelam dan hilang punca arah yang ingin dituju dalam kehidupan yang sementara ini, Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai duta untuk menyelamatkan manusia seluruhnya. Mengeluarkan manusia dari perhambaan terhadap makhluk, supaya menghambakan diri kepada Allah. Mengeluarkan manusia dari kesempitan dan kegelapan dunia yang penuh kezaliman, kepada cahaya dan keluasan akhirat yang benar lagi kekal abadi.

Allah menggelar Nabi Muhammad SAW sebagai “hamba”Nya yang dikasihi, kerana kedudukan hamba adalah kedudukan yang mulia. Semulia-mulia manusia, ialah yang paling tunduk dan akur pada perintah dan ketentuan Allah, maka bagindalah semulia-mulia manusia.

Pengisian paling penting dalam sambutan kemerdekaan pada kali ini, ialah membebaskan diri kita dari segala bentuk kebergantungan terhadap makhluk, kepada bergantung hanya kepada Allah.

Menjadikan kompas perjalanan kehidupan kita ini untuk meraih redha dan syurga Allah.

Lihatlah kejayaan yang Berjaya dilakar oleh Nabi Muhammad SAW, Berjaya mengubah satu bangsa yang dilihat lekeh, kepada satu bangsa yang Berjaya dan disegani, malah sejarah ketamadunan Islam pernah berada di puncak dunia, melahirkan ribuan tokoh ilmuan yang memberi kesan terhadap perkembangan teknologi dan keilmuan, sehingga ke hari ini, sekalipun sudah begitu lama generasi itu meninggalkan kita. Menawan dua pertiga dunia, sehingga dilihat sebagai satu kuasa besar.

Demikian adalah kerana Nabi Muhammad SAW Berjaya membentuk satu bangsa yang benar-benar merdeka. Bebas dari rantaian kemalasan dan kejahilan, apalagi kongkongan makhluk yang begitu kerdil. Harapan dan cita-cita mereka begitu besar, sehingga membawa kepada kesejahteraan dunia dan seluruh isi alam.

Inilah jiwa merdeka yang perlu ada pada diri kita, generasi umat Islam akhir zaman. Dunia ini pasti akan berada dalam genggaman hamba-hamba Allah yang merdeka. Tiada yang mampu menghalang kejayaan umat Islam, kerana kita ada Allah yang Maha Perkasa, Maha Besar, lagi Maha Kuasa… Tiada pula yang mempu membantu kita sekiranya terus hidup dalam belenggu dunia, dan segala bentuk penjajahan mental, fizikal mahupun emosi.

Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ke-61.

MOHD FARID BIN HAMLUD
Sriti At-Ta’alim
Darut Taybah
30 Ogos 2018

Antara Yang Menarik