Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Thursday, June 1, 2023

Mencari Kehidupan Yang Bermakna

    
Steven R Cover dalam bukunya “7 Habits Of Highly Effective People” ada menyatakan antara ciri orang yang mempunyai kehidupan yang terbaik ialah mereka yang memikirkan terlebih dahulu apa yang berada di hujung minda sedar dan separa sedar. “Begin with the end of mind” merujuk kepada kaedah berfikir manusia yang memiliki kehidupan terbaik ialah mereka yang menjelaskan terlebih dahulu persoalan utama iaitu tujuan.

Apa sebenarnya tujuan kita hidup dan kenapa kita perlu terus hidup? Ibarat bermain bola, jika kita tahu sasaran kita ialah menjaringkan gol dalam ruang masa yang ada, maka kita akan focus kepada tujuan kenapa kita berada di atas padang. Apa peranan yang sedang dan patut kita mainkan? Apa strategi untuk sama ada mengekalkan kemenangan, membuat jaringan kemenangan, menyamakan kedudukan, atau sekurang-kurangnya mengurangkan defisit jaringan?


Demikian juga hidup. Apa sebenarnya yang kita nak capai dalam hidup?

Sebab itu, orang cerdik pandai selalu mengingatkan, bermimpi dan berangan-angan bukan hanya percuma, mimpi dan angan-angan ini jugalah sebenarnya yang memberikan kekuatan untuk kita meneruskan hidup malah berjuang atas apa juga mimpi dan cita-cita yang ada.

Dulu, ketika kecil ramai orang selalu bercita-cita untuk menjadi seseorang dengan kerjaya atau profesion tertentu. Kebanyakannya terpengaruh dengan contoh dan model yang tampak di depan mata. Ini cuma salah satu bentuk cita-cita tapi ini bukan satu-satunya.

Ada ramai orang yang memiliki pekerjaan bukan daripada apa yang telah mereka pelajari sama ada di peringkat sekolah atau institusi pengajian tinggi, malah ramai yang sekadar belajar sesuatu bidang yang mereka sendiri tidak akan ceburi nanti.

Mungkin ada yang mengganggap perbuatan itu sebagai sesuatu yang sia-sia, tetapi adalah menjadi suatu perkara yang lebih merugikan jika kita sendiri tidak jelas, dan melakukan sesuatu yang kita sendiri pun tidak sedar tujuan dan alasannya.

Peluang untuk melakukan sesuatu yang bermakna dalam kehidupan tidak akan datang berulang kali. Jadi, rebut dan manfaatkan sungguh setiap peluang, menjadikan setiap langkah perjalanan kehidupan kita lebih berarah dan bermakna.




Cari dan temui alasan dan tujuan besar kenapa kita mengambil sesuatu keputusan dan sebab di sebalik setiap langkah yang kita lakukan. Kitalah yang lebih jelas malah perlu lebih sedar, ke mana sebenarnya kehidupan kita ini ingin dibawa? Kenapa kita buat sesuatu dan kenapa pula kita tidak berbuat sesuatu?

Dengan mengetahui setiap punca dan arah tuju, kita akan mempunyai lebih kawalan terhadap tindak-tanduk, pemikiran, jiwa dan perasaan kita sendiri. Kita akan lebih jelas, kenapa selepas kita tewas dalam satu-satu pertandingan, kita tidak perlu mengambil masa yang lama untuk termenung dan memikirkan sebab kita tertewas, sebaliknya bangun dan bangkit untuk mencari jalan untuk kembali menang kerana kita punya sebab untuk berjaya dalam persaingan.  

Antara Yang Menarik