Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Tuesday, June 1, 2010

Kutukan Serangan Israel Ke Atas Umat Islam

Serangan kejam dan biadab tentera Israel ke atas konvoi Gaza-Freedom Flotilla yang mengakibatkan 16 nyawa terkorban merupakan secebis daripada jutaan kezaliman yang telah dilakukan ke atas umat Islam khususnya di Palestin. Jika dibandingkan dengan siri-siri kejahatan yang telah mereka lakukan sebelum ini, serangan ini saya sifatkan sebagai serangan PALING BIADAB DAN KURANG AJAR.

Pertama, Tentera Israel menyerang konvoi ini ketika kapal Mavi Marmara berada pada kedudukan 60 Batu nautika dari perairan Negara Haram Israel. Sedangkan jarak sebenar yang membolehkan mereka melakukan serangan hanyalah pada kedudukan 20 batu nautika. Saya sendiri tidak mengiktiraf 20 batu nautika ini kerana Negara Israel adalah negara HARAM maka segala perkara dan ketetapan yang bersangkutan dengannya juga adalah HARAM dan langsung tidak boleh diterima pakai. Disebabkan mereka melanggar ketetapan HARAM yang mereka sendiri ciptakan ini, maka layaklah mereka diberikan gelaran HARAM JADAH dan kekal gelaran itu menjadi milik untuk sekian lamanya.

Kedua, mereka bertindak menyerang konvoi ini walaupun mereka sedia maklum tentang pengetahuan masyarakat dunia mengenai kehadiran konvoi ini. Saya sendiri telah menerima puluhan mesej yang mengajak saya dan rakan-rakan untuk mendoakan keselamatan perjalanan konvoi ini. Bermakna, sebahagian besar rakyat Malaysia, da sudah tentu Rakyat dunia sudah menyedari kewujudan konvoi ini. Insiden ini tidak seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Mesir tempoh lalu, kerana tidak semua rakyat dan masyarakat dunia yang sedar mengenai kejadian tersebut.

Maka tindakan menyerang rombongan "POPULAR" ini meletakkan mereka pada kedudukan yang melampau dari segi ukuran KEBIADAPAN dan KEKURANG AJARAN.

Ketiga, saya agak hairan dengan liputan yang masyarakat dunia terima mengenai serangan ZALIM ini. Ianya begitu meluas dan muncul di semua stesen TV dan ulasan panjang diberikan secara panjang lebar termasuk melakukan ulang-siar serangan ini secara terang-terangan. Saya sifatkan sebagai liputan langsung yang sangat TELUS dan pantas dari tempat kejadian. Disebabkan beberapa faktor, saya sentiasa menyimpan prasangka bahawa, zionis ini sentiasa melakukan sesuatu dengan penuh muslihat dan tipu daya. Maka untuk dia mensasarkan serangan kepada kapal Mavi marmara ini, dan secara kebetulan mendapat liputan langsung yang sangat pantas, merupakan tindakan yang paling licik dan SANGAT KURANG AJAR.

(Harap dapat berkongsi dengan saya carutan yang lebih teruk, kerana saya rasa tulisan ini masih belum mampu mengalirkan sepenuh emosi saya ketika ini)

Keempat, saya mengesyaki, di samping mesej kejam dan jahat yang ingin mereka sampaikan kepada kita, ada mesej lain yang sebenarnya menjadi objektif utama serangan ini. Pada hemat saya, mereka sudah sedia maklum bahawa masyarakat dunia secara keseluruhannya benci dan melaknati Israel dan dipaksa(kononnya) untuk menerima Negara Haram ISRAEL. Oleh itu, saya merasakan mesej mereka kali ini ialah untuk menguji tahap kekuasaan mereka ke atas dunia melalui media.

Secara tidak langsung, serangan ini menceritakan kepada kita bahawa hakikatnya kita sedang dipermainkan dan diperkotak-katikkan. Serangan ini membuktikan bahawa dunia tidak mampu lagi menggugat kuasa zionis dan sekutu.

Saya bangga dengan semangat dan kepekaan komuniti muslim yang ada di seluruh dunia. Terutamanya kepada negara-negara dan perubuhan Muslim yang lantang dan mengambil inisiatif tertentu untuk mendesak supaya serangan dihentikan dan Israel perlu bertanggungjawab dan di bawa ke muka keadilan. Akan tetapi, seperti yang saya nyatakan serangan ini sebenarnya merupakan KUTUKAN SINIS KE ATAS MASYARAKAT DUNIA TERUTAMANYA MUSLIM.

Ayuh, kita perlu gerakkan sesuatu, setidak-tidaknya menyumbang dengan sama-sama kita laungkan, YA ALLAH KAMI SERAHKAN TENGKUK-TENGKUK YAHUDI dan MUSUH MU INI KEPADA MU YA ALLAH!!! HANCURKAN MEREKA YA ALLAH!!

Masa semakin suntuk untuk kita melakukan sesuatu, ayuh sahut seruan HAMAS mengisytiharkan KEBANGKITAN (INTIFADHA') seluruh umat Islam di dunia.

Monday, May 31, 2010

Bangladesh ikut Pakistan sekat Facebook

Sekurang-kurangnya ada dua (2) tindakan yang boleh kita lakukan untuk mengatasi masalah ini bagi dua kelompok yang berbeza. Pertama, bagi mereka yang masih memiliki akaun facebook, cuba sedaya-upaya untuk menguasai tajuk dan menjadikan facebook ini lebih kaya dengan ilmu dan perkara-perkara yang bemanfaat. Dengan cara ini, kita dapa menyediakan pelan pemulihan (recovery plan) kepada usaha menghancurkan pemikiran dan cara hidup umat Islam.

Kedua, bagi mereka yang tidak menggunakan facebook, teruskan dengan TIDAK MENGGUNAKAN FACEBOOK.. hehe..

Testimoni daripada saya, Facebook sebenarnya telah mencuri begitu banyak masa saya, sedangkan manfaat yang saya dapat daripada Facebook ini hanyalah faedah dari segi hubungan sosial dan jaringan perhubungan antara manusia. Walaupun jaringan sosial ini sebenarnya amat membantu dalam banyak perkara, namun jika dibandingkan dengan mudharat daripada aktiviti membuang masa itu, saya memilih untuk tidak bersosial daripada sosial yang membuang masa, ditambah dengan potensi dipengaruhi oleh aktiviti yang melalaikan dan merosakkan. Jangan salah anggap, saya masih lagi berpendapat bahawa kita perlu bersosial dan mencairkan diri dengan masyarakat. Malah seorang Daie dan ahli gerakan perlu lebih "Sosial" daripada manusia yang lain.

Justeru, langkah apa pun yang kita gunakan untuk aktiviti membina dan mengukuhkan jaringan ini, kita perlu sentiasa berfikir dari pelbagai sudut supaya tidak mudah terjerumus ke dalam pelan-pelan yang telah musuh sediakan untuk memerangkap kita.

Ada seorang teman, yang juga seorang pengguna Facebook, mengingatkan kita dengan katanya yang lebih kurang begini ayatnya, "Jangan terlalu banyak menumpukan masa bermain facebook, sesungguhnya kewajipan itu lebih banyak daripada masa." :-)









Sunday, May 30, 2010

Mungkin bukan Najib yang bersalah.

Serendah, 29 Mei - Lesen judi Bola Sepak Piala Dunia diberikan kepada Vincent Tan dengan jumlah bayaran sebanyak RM500,000,000. YB Ir Nizar di dalam satu ceramah umumnya di Serendah, menyatakan sebenarnya ada Tauke Judi antarabangsa yang ingin mendapatkan lesen tersebut pada harga RM1,200,000,000, iaitu hampir 2.5 kali ganda lebih tinggi daripada jumlah bayaran yang dibuat oleh Vincent Tan.

Najib memberikan lesen tersebut pada harga yang rendah sedangkan dia sebenarnya mampu mendapatkan harga yang lebih baik. Menjawab persoalan ini, YB Nizar menambah bahawa, Najib berhutang dengan Vincent Tan yang telah membantu UMNO membeli Adun-adun Pakatan Rakyat, sehingga mampu melakukan rampasan kuasa di Perak dan cuba menggugat beberapa buah negeri yang lain.

Kerana risaukan maklumatnya didedahkan oleh Tauke Judi tersebut, maka Najib telah bertindak secara terpaksa memberikan lesen judi tersebut, sekalipun dia faham dan sedar akan komplikasi yang akan diterimanya. Termasuk, kecaman daripada ahli-ahli UMNO sendiri.

Mujurlah kerajaan negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat seperti di Pulau Pinang dan Kedah mengambil langkah mengharamkan kegiatan judi bola sepak di negeri berkenaan. Jika tidak, sudah tentu judi akan menjadi kegiatan dan cara hidup 1 Malaysia. Najib serta orang-orang UMNO yang beragama Islam perlu berasa malu dengan YAB Lim Guan Eng, kerana masih konsisten dengan pendiriannya yang ingin menjadikan pemerintahan Umar Abd Aziz sebagai contoh.

Turut hadir dalam majlis makan malam anjuran Jabatan Amal Malaysia dan ceramah umum tersebut ialah Tn Hj Mohd Bin Sabu, yang turut membuat ulasan mengenai bacaan ekonomi oleh bekas Ceo MAS, Tan Sri Idris Jala, yang meramalkan Malaysia akan jatuh ke status bankrupsi pada 2019 ekoran lebihan perbelanjaan yang sedang ditanggung oleh kerajaan.

Sambil mengingatkan hadirin supaya bersiap-sedia menghadapi kenaikan harga minyak dan harga barang ekoran penarikan semula subsidi tidak lama lagi, Tn Hj Mohd Sabu menyatakan bahawa kerajaan sepatutnya menumpukan usaha pemulihan dengan cara memerangi amalan rasuah dan penyelewengan. Ini kerana dalam tempoh dua tahun pemerintahan, melalui kaedah pemerintahan dan pentadbiran yang telus dan menolak amalan rasuah, kerajaan Pulau Pinang mencatatkan jumlah lebihan perbelanjaan sebanyak RM30j berbanding defisit RM70j semasa kerajaan BN memerintah negeri itu.

Selain itu, YB Ronnie Liu juga turut hadir dan menyampaikan ceramah beliau selaku wakil pemimpin parti DAP. Beliau menjelaskan bahawa sepanjang Pakatan Rakyat memerintah Negeri Selangor, belum pernah satu lesen pun diberikan untuk pembukaan rumah urut dan pusat-pusat perjudian di Selangor. Sebaliknya, lambakan pusat-pusat kegiatan yang tidak sihat yang ada di Selangor pada hari ini merupakan najis dan sampah tinggalan UMNO dan BArisan Nasional.

Malangnya, maklumat mengenai situasi sebenar yang berlaku gagal untuk disampaikan kepada pengetahuan rakyat disebabkan kawalan ketat UMNO-APco ke atas media di Malaysia.

Majlis Makan Malam yang diadakan di Serendah itu merupakan anjuran bersama Jabatan Amal Malaysia, di bawah Dewan Pemuda Pas Pusat, dengan kerjasama Dewan Pemuda Pas Kawasan Hulu Selangor. Bertujuan mengutip dana untuk aktiviti amal badan beruniform tersebut. Selain bertujuan mengadakan ceramah penerangan isu semasa bersama tokoh politik daripada Pakatan Rakyat yang hadir pada malam tersebut.


Wednesday, May 26, 2010

Aktiviti Mendengar pendengar memperdengarkan pendengaran...

Hidup ini merupakan satu jenis kemahiran. Kemahiran untuk hidup terdiri dari segala jenis perbuatan wajib dan aktiviti-aktiviti lazim seorang manusia. Misalnya berjalan, merupakan sejenis kemhiran yang dipelajari ketika kecil. Walaupun manusia yang normal mampu berjalan sendiri ketika berumur sekitar setahun, hakikatnya kemahiran berjalan ini adalah pelbagai. Jika kita membuat kajian tambahan, barangkali kita akan menyedari bahawa, selama berpuluh-puluh tahun hidup kita ini, kita masih gagal berjalan dengan mahir. Tahukah anda, bagaimana yang dikatakan mempunyai postur badan yang betul semasa berjalan?

Selain berjalan, manusia normal akan melakukan pelbagai aktiviti dalam kehidupan seharian. Aktiviti-aktiviti ini, semuanya memerlukan kepada kemahiran. Berfikir, bercakap, melihat, makan, minum, sehinggalah kepada membuang air juga merupakan antara aktiviti manusia yang memerlukan kepada kemahiran. Kemahiran di sini bermaksud, melakukan aktiviti dengan berkesan dan memberikan keputusan yang terbaik.

Saya yakin, walaupun kita tidak pernah belajar mengenai kemahiran makan, semua manusia akan secara sendiri tahu bagaimana untuk makan. Akan tetapi, manusia yang cemerlang akan mencari bagaimanakah kaedah yang terbaik untuk makan. Bermula dari proses menyediakan makanan, memilih waktu makan, sehinggalah kepada aktiviti yang boleh dilakukan ketika proses penghadaman.

Mendengar juga merupakan sejenis kemahiran. Komunikasi memerlukan kepada aktiviti memberi dan menerima. Ada rangsangan dan juga tindak balas daripada rangsangan. Keberkesanan aktiviti mendengar ini memunyai dua kayu ukur yang utama. Pertama, proses menerima isyarat dan gelombang. Proses ini berkait rapat dengan penggunaan telinga dan nada yang sesuai semasa berkomunikasi.

Telinga manusia mampu menyerap lebih dari satu gelombang bunyi pada satu-satu masa. Untuk itu, kemahiran asas pendengaran yang pertama ialah memilih gelombang bunyi yang ingin diproses oleh otak. Dengan kata lain memberikan tumpuan terhadap sumber gelombang bunyi yang ingin kita dapatkan itu. Alternatif kepada memberikan tumpuan ialah menghapuskan segala gangguan bunyi yang ada.

Pendengar yang mahir ialah pendengar yang mampu menggunakan seluruh deria yang ada padanya untuk aktiviti pendengaran. Mata misalnya, boleh membantu kita menjadikan pendengaran kita menjadi lebih berkesan dengan cara kita melihat kepada sumber bunyi tersebut. Sebab itu, di dalam komunikasi kita seharian, kita digalakkan untuk bertentang muka dan mata dengan subjek. Mata akan memainkan peranan mentafsir riak muka, selain membantu dalam mentafsirkan isyarat bunyi yang dihantar dengan membaca gerak bibir. Sekurang-kurangnya kita akan mampu membezakan isyarat "baris atas", "baris bawah" atau "baris depan" pada nada yang disampaikan oleh subjek. Mislanya perkataan "tiga" akan disebutkan dengan isyarat "baris bawah" diikuti dengan isyarat "baris atas".

Mereka yang mampu membaca gerak bibir, juga memerlukan seseorang itu mengenal pasti secara jelas "makhraj" huruf-huruf yang disebut oleh subjek. Dengan cara ini, input pada deria mata akan melakukan "cross-check" kepada isyarat bunyi yang diterima oleh deria pendengaran.

Proses kedua ialah, mentafsir dan memproses gelombang bunyi untuk menghasilkan gerak balas. Setelah kita berjaya memilih gelombang yang betul. Kita perlu mahir dalam membuat tafsiran mengenai apa yang perlu kita dengar dan apa yang tidak. Perkara yang perlu didengari seharusnya diberikan lebih perhatian dan memberikan arahan kepada otak untuk menyimpan data atau maklumat perkara yang didengar itu tadi.

Untuk itu, kita perlu terlebih dahulu meletakkan objektif utama dalam aktiviti pendengaran yang akan kita lakukan. Setiap kali kita ingin mendengar, pastikan kita sudah meletakkan objektif yang ingin dicapai supaya dengan mudah kita dapat melakukan proses memilih dan menentukan keutamaan maklumat yang akan kita dengar.

Kegagalan utama manusia dalam kemahiran mendengar ini ialah gagal mengenal pasti objektif yang sepatutnya dan juga gagal mengenal pasti maklumat yang penting semasa mendengar. Pada kebiasaannya, manusia hanya akan mendengar apa yang dia ingin dan suka dengar. Sedangkan, hakikatnya semua perkara adalah penting dan kepekaan kita semasa aktiviti mendengar ini akan menentukan kejayaan dan keberkesanan proses mendengar itu sendiri.

Kegagalan ini pula bermula dengan kita mengabaikan pengetahuan asas tentang apa yang dikatakan sebagai "kemahiran mendengar".

Kita perlu mendengar sekalipun kesimpulan awal yang dibuat oleh otak kita menyatakan bahawa maklumat yang akan kita dengar itu adalah tidak penting. Kita tidak akan tahu sejauh mana pentingnya sesuatu maklumat itu tanpa terlebih dahulu mendengar. Oleh kerana itu, kita perlu mahir dalam mendengar dan mahir dalam mentafsir maklumat yang diperolehi. Gerak balas kita akan ditentukan melalui tafsiran yang otak kita berika terhadap maklumat yang telah diproses.

Percayalah, banyak masalah yang akan dapat diselesaikan dengan baik melalui aktiviti mendengar yang berkesan. Bahkan saya percaya, 50% masalah telah selesai semasa aktiviti mendengar yang berkesan itu sedang berjalan.

Jom mendengar pendengar memperdengarkan pendengaran.... :-)

Monday, May 24, 2010

Kalimah Syahadah: Tuntutan Literal dan Realiti - Part2


Masih terngiang kata-kata Ustaz Adam, ketika itu saya menghantarnya pulang ke Jalan Tun Sambanthan, di Pusat Jagaan Latihan Gurney Bagi Orang Buta di Jalan Tun Sambanthan. Kebetulan waktu itu, bulan puasa dan saya menghantarnya pulang selepas selesai solat maghrib dan kami berbuka puasa bersama-sama di Fakulti Kejuruteraan, UKM.

"Farid, kamu tahu tak, walaupun kami ni buta dan semuanya gelap. Tetapi kami dapat bezakan antara siang dan malam,"

Saya terkedu dan gagal membalas kata-kata tersebut. Tanpa saya sedari, airmata saya mengalir mengenangkan ujian yang Allah Ta'ala berikan kepada insan hebat ini sehingga dia dipilih menerima hidayah. Walaupun buta matanya, tetapi sungguh celik hati dan jiwanya.

Peristiwa ini, merupakan salah satu bukti bahawa Allah Ta'ala sentiasa mengasihi hambaNya. Maha Penyayang dan Maha Memberi hidayah kepada sekalian hambaNya. Setiap manusia akan diberikan ingatan, dan ujian untuk membuktikan persaksian mereka.

Berulang kali saya menyebutkan mengenai "persaksian". Saya lebih gemar menggunakan istilah ini berbanding "memeluk agama Islam". Istilah memeluk seolah-olah memberikan gambaran bahawa Islam ini berbentuk agama dan penyertaan. Hakikatnya, Islam tidak pernah datang mahupun pergi. Ianya bukan suatu jelmaan atau rekaan manusia seperti agama-agama lain di dunia. Islam adalah cara hidup, dan satu-satunya cara hidup seluruh manusia. Perlembagaan dan aturan dalam Islam, merupakan perlembagaan dan aturan yang digunapakai oleh semua haiwan, tumbuhan, air, udara, langit, bumi, planet, bulan dan seluruh isi cakerawala.

Di dalam sebuah diskusi, Ustaz Wan Abd Rahman Wan Abd Latif, menjelaskan bahawa kalimah syahadah ini sebenarnya membawa kepada tiga tuntutan utama. Iaitu tuntutan dari segi membenarkan dalam hati, iaitu mengakui dengan sebenar dan sesungguh-sungguhnya bahawa Tiada Tuhan Yang Layak Disembah Melainkan Allah dan mengakui Bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Bererti, tiada syak dan ragu mengenai persaksian itu. Tiada dalam hatinya, perkara-perkara yang lebih besar atau lebih baik daripada Allah dan Rasul. Menyerah diri secara total kepada cara hidup Islam.

Seterusnya tuntutan dari segi literal dan verbal. Verbal bermaksud melafazkan kalimah syahadah ini secara terbuka dan secara zahir. Lafaz ini membawa kepada dua natijah iaitu, menjadikan seseorang itu, dari segi hukumnya adalah Islam. Di samping itu, ada ganjaran yang disediakan bagi mereka yang memperbanyakkan sebutan kalimah mulia ini. Di dalam kitab Tanbihul Ghafilin, ada menyebut secara panjang lebar mengenai perihal orang-orang Islam, bahawa setiap muslim akan dimasukkan ke dalam syuirga kerana mereka menyebut kalimah syahadah. Namun, mereka akan terlebih dahulu dimasukkan ke dalam neraka atas dosa dan maksiat yang mereka lakukan. Hal ini bertepatan dengan firman Allah, bahawa Allah Ta'ala tetap akan menghapuskan segala dosa kecuali dosa mensyirikkan Allah.

Ramai yang berjaya melaksanakan kedua-dua tuntutan ini, namun gagal untuk menyempurnakan tuntutan yang ketiga, iaitu manifestasi kefahaman terhadap persaksian ini dalam kehidupan seharian. Penyerahaan diri secara total terhadap segala hukum-hakam, melaksanakan suruhan dan meninggalkan larangan di samping sentiasa menempatkan diri di atas jalan yang ditinggalkan oleh para Nabi dan Rasul.

Ini kerana, sampel terbaik terjemahan konsep "persaksian" dalam kehidupan sehari-hari semestinya para Nabi dan Rasul. Mereka lebih arif dan lebih berjaya dalam memenuhi ketiga-tiga tuntutan ini.

Pelbagai kesimpulan dapat dibuat daripada memahami tuntutan kalimah syahadah. Antaranya ialah meletakkan sepenuh kepercayaan dan keimanan kepada Allah dan Rasul melalui penyerahan diri secara total kepada Islam dan segala perlembagaan dan aturan yang terkandung di dalamnya.

Yang kedua, Islam bukan sahaja menuntut umatnya menjaga hati dan perkataan supaya tidak tersasar, malah memperkukuhkan "persaksian" dalam bentuk tindakan dan amalan.

Dan yang terakhir sebagai kesimpulan, kita sebenarnya sentiasa berada di dalam wilayah Islam. Di mana sahaja kita berada, apa sahaja pekerjaan yang sedang kita lakukan, dan apa sahaja tahap keimanan kita waktu itu, kita tidak pernah lari walau seinci atau sesaat daripada wilayah Islam. Negara Islam itu ada pada diri, dan seluruh isi dunia.

Saturday, May 22, 2010

Kalimah Syahadah: Tuntutan Literal dan Realiti - Part1

Allah menerangkan di dalam Al-Quran, surah Al-A'raf ayat 172,

"Dan ingatlah ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam daripada tulang sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman), 'Bukankah aku ini Tuhanmu?' Mereka menjawab, 'Betul (engkau Tuhan kami) kami menjadi saksi.' (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari Kiamat kamu tidak mengatakan, "Sesungguhnya ketika itu kami lengah terhadap ini,"

Ayat ini memberik ingatan kepada semua manusia, bahawa Tuhan kita hanyalah Allah Ta'ala. Dialah yang menjadikan kita, menghidupkan dan mematikan kita. Memberikan kita segala keperluan dan mentadbir bumi serta alam ini dengan fitrah dan sunnahNya. Terdapat beberapa pengajaran penting yang terdapat dalam ayat ini, antaranya ialah:

1.Proses penciptaan manusia. Diterangkan secara ringkas proses kelahiran manusia. Kajian saintis telah membuktikan kebenaran ayat ini, sekalipun ayat ini telah diturunkan sekurang-kurangnya 1000 tahun sebelum ianya dibuktikan melalui kajian saintis. Ayat ini bertujuan mengukuhkan hujah Keesaan dan kebesaran Allah Yang Maha Pencipta.

2.Dialog antara Allah Ta'ala dengan sekalian ruh manusia. Ada pendapat mengatakan bahawa setiap ruh akan ditanyakan soalan ini sebelum ditiupkan ke dalam jasad manusia. Ada juga yang berpendapat bahawa peristiwa ini berlaku ketika semua ruh-ruh manusia dikumpulkan bersama dan Allah Ta'ala bertanya kepada sekalian ruh. Namun, semuanya bersetuju bahawa setiap ruh manusia akan berdialog dengan dialog di atas ketika di alam ruh sebelum dilahirkan ke dunia.

Walaupun kita tidak akan mampu mengingat kembali peristiwa di alam ruh itu, namun kita akan sentiasa diperingatkan dan diberikan ruang untuk melakukan koreksi hakikat penciptaan kita semasa di dunia. Alam sekitar, silih pergantian malam dan siang, proses kelahiran dan kematian, semuanya bertujuan memberikan isyarat dan ingatan tentang siapakah kita sebenarnya.

3.Peristiwa hari kebangkitan. Ayat ini juga menerangkan bahawa kita akan dipersoalkan di hari kiamat mengenai persaksian ini. Memberi isyarat bahawa terdapat tuntutan dan perkara yang perlu kita laksanakan sebagai membuktikan kesaksian kita tersebut. Secara jelas memberikan amaran bahawa, tiada manusia yang dapat memberikan alasan untuk mengelak daripada dikenakan hukuman dan balasan terhadap tuntutan persaksian ini.

AlhamduliLlah, saya ditemukan dengan Ustaz Adam Abdullah, seorang cina muslim yang cacat penglihatan. Saya sempat berbual panjang mengenai bagaimana dia mendapat hidayah untuk menyatakan kesaksian bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan Nabi Muhammad itu rasul dan pesuruhNya.

Ustaz Adam dilahirkan buta dalam sebuah keluarga cina beragama buddha. Dia tertarik untuk mengkaji mengenai agama Islam ketika di Tingkatan 4. Kebetulan, waktu itu dia mengambil subjek Tasawur Islam sebagai subjek tambahan untuk SPM. Dia merupakan pelajar istimewa yang belajar di sekolah menengah biasa di ibu kota.

Suatu hari dia bertanya kepada Ustazah yang mengajarnya subjek Tasawur tersebut, "Ustazah, dalam Al-Quran ada menyebut, Allah akan memberikan hidayah kepada orang yang Dia kehendaki, dan sesatkan orang yang Dia kehendaki. Zalimlah Allah ni Ustazah." Ustaz Adam membuat kenyataan yang menimbulkan tanda tanya kepada ustazah.

Ustazah itu, dengan tenang menjawab, "kamu sedar tak walaupun kamu ni buta dan tidak dapat melihat, sebenarnya kamu sendiri mempunyai pelbagai kelebihan?" Ustazah membalas dengan pertanyaan.

Ustaz Adam terpinga-pinga dan gagal memahami maksud soalan Ustazah. Melihat Ustaz Adam semakin berminat untuk mendengar jawapannya, Ustazah menyambung, "walaupun kamu buta, tetapi kamu diberikan Allah kelebihan pada deria-deria kamu yang lain. Malah manusia lain juga memberikan kamu keistimewaan yang tidak ada pada manusia yang biasa. Sebab itu kamu ni istiimewa. Kamu lebih tahu berapa buah anak tangga di sekolah, di mana ada selekoh dan di mana ada lubang, yang orang biasa seperti saya sendiri pun tidak tahu," Balas ustazah.

Ustaz Adam mula menunjukkan reaksi yang berbeza, seakan terpukau dengan penjelasan Ustazah itu tadi. Lantas Ustazah menyimpulkan, "Begitu juga dengan hal hidayah, Allah Ta'ala yang jadikan manusia, Dia memberikan penjagaan yang cukup terhadap hambaNya. Tiada satu pun yang dijadikan secara sia-sia. Dia menentukan malam dan siang supaya memberikan petunjuk kepada manusia tentang kewujudanNya dan mengingatkan manusia tentang asal-usul kejadiannya."

Dia mulai sedar keistimewaan yang ada padanya, dan betapa rahmat serta kasih-sayang Allah telah menjaganya selama ini. Dialog ini menjadikan Ustaz Adam semakin berminat untuk mendalami Islam. Dia akhirnya bersaksi bahawa Tiada Tuhan Yang Layak Disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruhNya, ketika dia berumur 17 tahun.

Bersambung....

Friday, May 21, 2010

Islam adalah satu-satunya Cara Hidup.

Mutakhir ini, banyak berita yang menyedihkan dan mengelirukan. Antara yang paling mengharukan ialah tindakan Kerajaan Malaysia memberikan lesen perjudian kepada Syarikat Berjaya Holdings Sdn Bhd, juga tindakan seorang peguam bukan Islam, Victoria Jayaseele Martin, memohon untuk menjadi peguam syarie.

Pelik tetapi ini yang benar-benar sedang berlaku. Jika dipergiatkan bacaan dan pemerhatian, kita akan dapati sebenarnya terlalu banyak masalah dan isu yang melibatkan kedudukan Islam sebagai satu-satunya cara hidup. Pertama, dari segi hukum yang terdapat dalam ajaran Islam, sering dipertikai dan dipermainkan oleh orang-orang Islam sendiri. Maka tidak hairanlah, jika orang-orang bukan Islam melakukan perkara yang sama. Orang No 1 di Malaysia yang beragama Islam itupun, tidak mampu berbuat apa-apa kerana mungkin dia sendiri menghadapi masalah tertentu dalam persoalan hukum-hakam dalam Islam.

Keduanya, kedudukan agama-agama lain dalam Islam. Termasuklah kedudukan orang-orang bukan Islam di dalam Islam. Persoalan ketiga pula ialah, bagaimanakah yang dikatakan sebagai menerima Islam sebagai cara hidup, bagi orang-orang Islam dan juga orang-orang bukan Islam.

Mengenai hukum, sumber rujukan utama ialah Al-Quran dan As-Sunnah. Adapun kesepakatan (Ijma') para Ulama' (pakar dan ilmuan), kiasan hukum terdahulu yang telah ada nas (Qias), dan sumber-sumber lain seperti adab dan kebiasaan (Uruf) dan laia-lain, disepakati oleh sebilangan Ulama' dan ada juga yang tidak menerimanya.

Namun, secara jelas disebut dalam Hadith Nabi Muhammad SAW, bahawa Al-Quran dan Sunnah merupakan sumber utama dalam menentukan sebarang hukum. Mengikut perlembagaan dalam Islam, sebarang undang-undang mahupun hukum ang bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah adalah terbatal dan tidak boleh dipakai sama-sekali.

Secara jelas, judi diharamkan oleh Islam, maka sebagai pemerintah, perlu menerima undang-undang ini untuk dilaksanakan kepada seluruh manusia. Kerana Islam bukan untuk orang Islam semata-mata, bahkan untuk semua manusia di seluruh dunia. Melaksanakan hukum-hukum yang telah diperintahkan oleh Allah merupakan kewajipan bagi setiap muslim. Apalagi, jika mereka yang memegang kuasa dan jawatan penting dalam kerajaan. Walaupun di sana, ada kelonggaran untuk orang-orang bukan Islam, tetapi jika dipandang dari segi penerimaan masyarakat umum terhadap kegiatan judi, saya teramat yakin bahawa semua manusia termasuk mereka yang berjudi akan mengakui bahawa berjudi itu tidak baik untuk manusia.

Maka, atas dasar apakah lesen judi ini perlu diberikan oleh kerajaan yang dipimpin secara majoriti dan hierarki tertinggi oleh orang Islam?

Seterusnya, mengenai kedudukan agama-agama selain daripada agama Islam. Sebenarnya, tiada agama selain agama Islam. Kerana Islam adalah satu-satunya agama, kepercayaa, dan car hidup manusia. Islam juga merupakan satu-satunya ajaran yang diterima oleh Allah, Tuhan yang menciptakan seluruh alam.

Justeru, secara jelas menyatakan bahawa agama-agama lain sebenarnya tidak layak disebut agama, mungkin sekadar ajaran dan kepercayaan. Bila menyebut tentang agama, perlu di sana hukum-hakam dan cara hidup yang lengkap dan sempurna, serta praktikal untuk dilaksanakan dalam kehidupan.

Walaupun begitu, Islam tidak pernah memaksa manusia untuk memeluk Islam (bersaksi bahawa Tiada Tuhan Yang Layak Disembah Melainkan Allah, dan Bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah). Manusia diberikan pilihan untuk menentukan jalan hidup mereka masing-masing. Jika baik jalan yang mereka pilih, maka baiklah kesudahan dan balasan yang akan mereka terima, jika tidak, maka bersedialah untuk menerima balasan yang setimpal dengan perbuatan mereka.

Sebab itulah, kelonggaran perlaksanaan hukum-hakam Islam ini hanya diberikan kepada orang-orang bukan Islam. Sewaktu Nabi Muhammad menjadi Presiden/Raja di Negara Islam Madinah, Baginda memrintah menggunakan perlembagaan Al-Quran, dan Baginda merupakan contoh manifestasi perlembagaan dalam Al-Quran itu sendiri. Akan tetapi, bagi mereka yang tidak memeluk Islam, boleh memilih sama ada ingin dibicarakan menggunakan undang-undang Islam ataupun undang-undang biasa. Dalam Al-Quran juga ada diperjelaskan mengenai kedudukan rumah-rumah Ibadah orang nasrani dan yahudi, malah ketika dalam perang sekalipun, kita perlu menghormati rumah-rumah Ibadah agama-agama lain.

Timbul persoalan di sini, adakah apabila kita menerima hukum-hukum agama bukan Islam itu bermakna kita memperakui kewujudan dan kedudukan agama mereka? Tidak sama sekali. Kita hanya meraikan mereka, kerana Islam mengutamakan konsep keterbukaan dan toleransi. Indah bukan, toleransi dalam Islam sebenarnya jauh lebih indah daripada apa yang pernah diamalkan oleh kerajaan kita sekarang ini. Keadaan menjadi lebih parah, apabila ramai pula rakyat yang terpengaruh dengan doktrin sesat yang diajarkan oleh kerajaan.

Sekali lagi ditekankan, keterbukaan ini hanyalah untuk orang-orang yang belum memeluk Islam. Adapun, tiada kompromi dari segi iktikad dan aplikasi bagi muslim. Bagi muslim, mereka diberikan rukhsah dalam keadaan-keadaan mudharat. Iaitu kelonggaran dari segi hukum apabila berdepan dengan situasi yang memerlukan mereka melanggar atau melonggarkan hukum-hukum yang telah jelas. Solat, puasa, haji, zakat, perkara halal dan haram, dan bermacam perkara lagi, semuanya terdapat kelonggaran-kelonggaran tertentu apabila berdepan dengan situasi-situasi tertentu.

Namun, untuk menghalalkan sesuatu yang haram, atau mengharamkan sesuatu yang halal, perlu kepada situasi yang benar-benar meruncing dam mengelakkan mudharat sekiranya tidak dilakukan kelonggaran hukum. Sebelum sesuatu fatwa mengenai sesuatu hukum dikeluarkan, perlu kepada kajian yang menyeluruh dalam konteks semasa, jangka pendek dan jang panjang. Yang paling layak menentukan perkara ini, sudah tentunya mereka yang alim dalam bidang tersebut. Sedangkan muslim yang kurang arif juga tidak dibenarkan untuk menentukan hukum sesuka hati, inikan pula mereka yang bukan Islam.

Mengenai isu peguam syarie bukan Islam, bukan sahaja kefahaman, niat dan keadilan yang menjadi persoalan utama di sini, jika benar anda faham dengan undang-undang Islam, maka perkara pertama yang akan anda lakukan ialah memeluk agama Islam itu sendiri.

Jika kita berjaya merungkai persoalan-persoalan di atas, maka dengan mudahnya kita akan mampu menjawab persoalan yang ketiga iaitu bagaimana yang dikatakan menerima Islam sebagai satu-satunya cari hidup bagi orang-orang Islam dan bukan Islam. Pertama dalam persoalan ketiga ini, jika diteliti hanya Islam sahaja yang mengajar umatnya manual lengkap kehidupan.

Pernahkah kita menjumpai kaedah pewarisan harta, hukum hutang-piutang, kaedah menentukan nasab(keturunan), hukum perkahwinan, penentuan halal-haram, kehidupan sebelum dunia, semasa di dunia, dan selepas mati, persoalan spesifik mengenai perhubungan sesama manusia, menguruskan kerajaan, menguruskan harta rampasan perang, dan ratusan masalah-masalah biasa dalam kehidupan manusia? Selain daripada mengajarkan secara teliti kaedah ibadah yang perlu dilaksanakan oleh setiap orang yang beriman, seperti solat, puasa, umrah, zakat, haji dan sebagainya.

Dalam bab perundangan misalnya, tamadun bukan Islam, menyedari kepentingan "Natural Justice" hanya setelah berlakunya krisis pembersihan etnik terbesar atau dipanggil sebagai holocaust, hampir 1300 tahun selepas Islam memperkenalkannya melalui Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad. Dalam banyak ayat Al-Quran, Allah Ta'ala menjelaskan mengenai kepentingan berlaku 'adil dan berbuat baik. Al-Quran juga menjelaskan fenomena kejadian alam dan manusia secara tepat menurut kajian saintis.

Tiada ragu mengenai ketepatan fakta, juga tiada ragu dari segi kebenaran dan kerelevanan akta yang terdapat dalam Al-Quran dan Sunnah. Natural Justice yang diperkenalkan juga, tidak mampu menyelesaikan masalah undang-undang, apalagi nak menegakkan keadilan.

Sebagai orang Islam, tiada ragu lagi bahawa kita perlu menegakkan hukum Allah di atas muka bumi ini. Bagi mereka yang tidak mahu memeluk Islam, kaji dan telitilah ayat-ayat Allah supaya jelas bahawa hukum-hukum dan undang-undang Islam adalah yang terbaik dan satu-satunya cara hidup manusia.

Semoga Allah Ta'ala memberikan hidayah dan petunjuk kepada kita, juga kepada orang-orang yang bersama kita, dan kepada manusia seluruhnya. dan menjadikan kita asbab bagi orang-orang yang diberikan petunjuk.

Antara Yang Menarik