Saya yakin semua tips dan nasihat yang baik ini tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mempersiapkan diri, fizikal, mental, emosi dan spiritual supaya perjalanan Umrah ini menjadi perjalanan yang terbaik dalam hidup.
Buat yang pertama kali akan berangkat, saya sendiri secara peribadi, antara umrah yang paling membekas ialah umrah kali pertama. Perasaan ketika mula-mula kapal terbang mendarat, mula-mula bertemu dengan orang arab, mula-mula menjejakkan kaki ke tanah haram, mula-mula melihat masjid dan mula-mula melihat Kaabah masih sentiasa segar dan terbayang di ingatan. Mungkin bila pertama kali, semuanya begitu istimewa.
Buat yang mungkin telah beberapa kali, perasaan semestinya tidak sama, walaupun setiap perjalanan itu ada keistimewaan tertentu yang berbeza dengan perjalanan yang lainnya. Maka, untuk menjadikan perjalanan itu lebih istimewa, sentiasa beranggapan bahawa mungkin itulah perjalanan terakhir dan mungkin tidak ada lagi kesempatan yang akan datang. Demikian supaya kita menghargai setiap detik dan masa sepanjang berada di sana dan sungguh-sungguh melaksanakan ibadah sebagai bekal sebelum berpindah ke alam lain.
Carilah bekal, kerana sebaik-baik bekal itu adalah Taqwa.
Mohd Farid Bin Hamlud
Seri Iskandar, Perak
Seri Iskandar, Perak
No comments:
Post a Comment