Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Wednesday, August 26, 2009

Terima Kasih Tuhan...

Aku meyakini Ya Allah,
Bahawa kesempatan untuk berada di bulan mulia ini,
Sememangnya adalah pemberian tanda kasih dan sayangMu.
Maha Suci Engkau yang masih menerima wajah ini dipalingkan ke arahMu.
Engkau izinkan hamba yang lemah ini bersujud dan memujiMu.
Tiada kekuatan untuk menahan lapar dan dahaga,
melainkan kudrat dariMu.
Terima Kasih Tuhan,
kerana memberikan aku kesempatan.
Memberi kelapangan untuk mengingatiMu dalam Doa dan Pujian.
Tetapkan iman, suburkan cinta dan kerinduan.
Tiada lain yang ku harap, selain RedhaMu,
Tuhan yang memiliki segala sifat kesempurnaan...

Sungguh, Allah Masih Sayangkan UMNO..

Sebelum meneruskan penulisan ini, ingin diingatkan kepada semua bahawa semua kenyataan dan pandangan daripada manusia adalah bersifat boleh-diragui kecuali ayat-ayat dan kenyataan yang datangnya daripada Nabi Muhammad SAW dan juga daripada Allah SWT. Barangsiapa yang meragui kedua ini, maka sesungguhnya dia berada dalam kesesatan yang nyata.

Susulan kemenangan PAS di Permatang Pasir, dengan majoriti 4551 undi atau mafhum mukhalafah daripada persitiwa ini ialah penolakan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional, sememangnya merupakan isyarat yang jelas oleh rakyat kepada Najib dan kerajaan di bawah pimpinan beliau. Jika diperhatikan, BN hanya menang sekali daripada 7 Pilihanraya kecil yang telah diadakan. Kerusi tunggal milik BN hanyalah di Batang Ai, Sarawak.

Sementara enam lagi kerusi termasuk 3 kerusi Parlimen telah berjaya dimenangi oleh pembangkang. Sekalipun kesemua 7 kerusi menyaksikan kesemua parti penyandang mengekalkan kerusi masing-masing, namun tepat seperti apa yang dikatakan oleh Najib kepada media, UMNO dan BN perlu membuat kajian yang terperinci mengenai faktor kekalahan UMNO dan BN dalam siri pilihanraya sebelum ini.

Gesaan untuk diadakan satu bedah siasat dan rombakan besar-besaran yang bersifat dalaman terhadap BN dan UMNO telah lama disuarakan baik daripada pimpinan, ahli parti, pihak pembangkang, mahupun rakyat jelata sendiri. Semua pihak mahukan perubahan drastik oleh UMNO dan BN. Jika permintaan itu datangnya daripada Encik Otak, mungkin BN boleh pandang sebelah mata kerana mungkin ada unsur-unsur politik di sana. Namun apabila luahan tersebut datang dari setiap unsur dalam dan luar parti, maka sememangnya sudah tiba masa untuk perubahan drastik dilakukan.

Perubahan drastik oleh rakyat sudah kelihatan. Mungkin faktor perubahan itu adalah disebabkan rakyat inginkan pembangkang mengambil-alih kerajaan. Namun kefahaman yang jelas di sini adalah rakyat mahukan perubahan. Perubahan perlu dilakukan, sekarang!

Kata kunci perubahan ini sangat tepat untuk ditujukan kepada UMNO dan BN kerana mereka memiliki kuasa untuk mengubah dan desakan yang tinggi untuk berubah. Jika dilihat dengan lebih positif, maka ini menunjukkan bahawa Tuhan masih sayangkan UMNO dan BN. Tuhan berikan kepada UMNO dan BN peringatan supaya bertaubat dan tidak mengulangi kesilapan.

Malang buat UMNO, sekiranya mereka enggan bertaubat dan berubah. Kerana seperti kebanyakan peristiwa yang pernah berlaku, amaran akan disusuli dengan hukuman.

Walaupun saya sudah sekian lama ingin menghukum kesalahan oleh UMNO, namun sekiranya mereka bertaubat, siapalah saya untuk menidakkan peluang mereka. Akan tetapi, jangan salahkan saya kerana tidak mengingatkan sekiranya UMNO dan BN di kemudian hari mendapati diri mereka di dalam kemusnahan dan kehancuran sebagai balasan Tuhan di atas kerosakan yang mereka sendiri lakukan...

Tahniah PAS, ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN....

Monday, August 24, 2009

Ayuh, Bebaskan Malaysia yang Merdeka!!!

Malaysia akan menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ke-52. Sudah pasti laungan merdeka akan menghiasi segenap pelusuk negara bagi meraikan kemerdekaan yang sudah sekian lama dikecapi bersama. Perayaan meraikan kemerdekaan ini adalah perlu, mengenang segala jasa dan bakti pejuang-pejuang kemerdekaan Negara yang berkorban jiwa dan raga demi keamanan Tanah air dari cengkaman penjajah.

Sebagai rakyat Malaysia yang merdeka, kita perlu bersyukur kepada Tuhan di atas nikmat ini dan berusaha untuk mempertahankan dan mempertingkatkan kemakmuran bumi bertuah ini supaya keamanan dan kesejahteraan akan terus dinikmati bersama.

Malangnya, Negara Malaysia pada ketika ini berada dalam keadaan yang sangat kritikal. Ibarat retak menanti belah. Kerosakan yang teruk berlaku di segenap segi dalam setiap inci kehidupan rakyat dan pemerintah. Pemerintah bergelumang dengan dosa dan maksiat, malah dosa dan maksiat itu mereka kongsikan bersama rakyat kebanyakan.

Sebut sahaja apa jenis dosa, semuanya berlaku di kalangan pemerintah. Namun, tidak sedikitpun usaha dilakukan untuk memperbetulkan keadaan. Lantaran setiap detikan usaha itu akan dipadamkan sepantas mungkin oleh pemerintah yang semakin gila dengan kuasa mereka.

Politik bukan lagi menjadi alat mengurus kegiatan seharian dan mencari jalan keluar kepada masalah yang menimpa, sebaliknya dijadikan politik digunakan sebagai baju yang mengkebalkan pemerintah dari dosa dan kesilapan.

Hari demi hari, kejahatan dan keburukan pemerintah itu semakin terdedah. Namun, rakyat yang melihat hanya memandang sebelah mata. Disuruh angguk, angguk. Disuruh geleng, geleng.

Inilah bahaya yang paling bahaya di antara semua jenis bahaya. Iaitu apabila yang buruk ditimbang sama berat dengan yang baik. Malah mungkin lebih berat timbangannya apabila melibatkan pemerintah.

Rakyat perlu bangkit, berani untuk membuat keputusan. Sememangnya perubahan itu sangat memerlukan pengorbanan.

Ayuh, Bebaskan Malaysia yang Merdeka!!!

Monday, August 17, 2009

Jangan Takut Untuk Membuat Kesalahan


Jika kita didapati bersalah, jangan biarkan kesalahan itu mengalahkan kita. Kerana manusia sentiasa ditemani dengan kealpaan dan kesalahan. Sekiranya kita menganggap kesalahan dan kekurangan itu sebagai hukuman yang diturunkan untuk mengalahkan, maka hidup kita hanya akan diselubungi kekesalan yang tidak berkesudahan.

Sebaliknya jadikanlah kesalahan dan kekurangan itu sebagai pengajaran yang akan mengikat hati kita untuk terus berada di bawah naunganNya. Kesalahan dan kekurangan yang diakui itu akan menjadi bekal yang paling berguna untuk mengekalkan jejak di atas jalanNya.

Kita tidak perlu menyesal dengan kesalahan yang kita lakukan, begitu juga kita tidak perlu marah atau kecewa dengan kesalahan yang orang lain lakukan. Berkemungkinan besar, kesalahan mereka itu sebenarnya adalah refleksi kepada suatu kesalahan yang pernah kita lakukan sebelumnya bahkan mungkin juga yang terkemudian darinya.

Sebab itu, Kejayaan yang sebenar bukanlah kerana sentiasa berada di tempat yang pertama. Kejayaan yang sebenar apabila kegagalan itu menjadikan kita orang yang lebih baik dari sebelumnya.

Friday, August 14, 2009

Tak tahu boleh belajar, kalau tak mahu perlu di"ajar"..

Cuba letakkan diri kita sebagai seorang guru yang mengajar mata pelajaran Matematik. Kita mempunyai dua orang murid, melayu dan cina. Yang melayu bernama Najib, yang Cina bernama Lim. (mungkin ada kaitan dengan yang hidup sebab mereka belum mati)

Pada suatu hari anda memberi soalan matematik kepada dua orang anak murid ini. Soalannya seperti berikut:-

45 x 3 + 45 x 2(3-1) = ?

Maka, Najib memberikan jawapan = 45 x 7

Manakala Lim memberikan jawapan = 720.

Seterusnya anda memberitahu bahawa jawapan sebenar adalah = 315.

Najib bertegas dengan jawapannya yang betul tetapi kurang tepat dengan niat mempersendakan ajaran gurunya. Manakala Lim mengakui kesilapan dan bersedia untuk belajar dari kesilapan. Anak murid manakah yang lebih baik pada pandangan kita?

Dari segi kebijaksanaan mengolah dan memutarbelit, memang Najib yang lebih terkehadapan. Tetapi, Lim lebih terkehadapan dari segi kesungguhannya untuk belajar, justeru Lim pasti akan mempunyai masa depan yang lebih cerah berbanding Najib sekalipun Melayu dan Bijak kononnya.

Situasi ARAK di Selangor juga begitu, UMNO sudah sekian lama memerintah namun tidak pernah sekali terlintas untuk menghadkan penjualan ARAK apalagi mengharamkannya. DAP baru sahaja berkenalan dengan PAS dan setakat ini masih menunjukkan minat untuk belajar dan menghormati PAS sebagai sebuah Parti Islam yang menjaga kepentingan dan kehormatan orang-orang Islam di Malaysia.

Umno sudah terbukti dari dulu lagi menolak Islam. Dalilnya, lesen judi, arak, babi, rasuah, riba, ketiadaan akta murtad, menolak hukum hudud, konsert-konsert maksiat semuanya daripada UMNO dan Barisan Nasional yang diketuai oleh seorang Muslim bernama NAJIB. Malah sejak 50 tahun sebelum ini, ketuanya semuanya beragama Islam walaupun kemelayuan mereka diragui.

DAP dan Pakatan Rakyat, walaupun banyak isu yang dibangkitkan, satu-persatu berjaya diselesaikan hasil perbincangan dan rundingan yang penuh hikmah oleh pimpinan PAS.

Kalau PAS semata-mata bermatlamatkan Politik, sudah tentu YB Dato' Hassan Ali tidak akan mengeluarkan kenyataan yang sebegitu keras. Tetapi bagi gerakan Islam seperti PAS, matlamatnya hanyalah untuk menegakkan Kalimah Allah Yang Maha Tinggi.

Islam Memimpin Perubahan!!!

Mana Milik Kita - A Tribute To My Beloved Asri Ibrahim

(Lagu ini ditulis sendiri oleh Ust Asri 18 Tahun yang lalu)

Mana milik kita?
Tidak ada milik kita.
Semua yang ada Allah yang punya
Tidak ada kita punya
Kita hanya mengusahakannya
Apa yang kita dapat
Allah sudah sediakannya

Kita Allah punya
Bumi langit ciptaanNya
Miliklah apa saja
tidak terlepas dari ciptaanNya
Mana kita punya?
Tidak ada kepunyaan kita
Kita hanya mengusahakan apa yang telah ada.

Mana milik kita?
Tidak ada milik kita.
Semua yang ada Allah yang punya
Tidak ada kita punya
Kita hanya mengusahakannya
Apa yang kita dapat Allah sudah sediakannya

Mengapa kita sombong memiliki Allah punya?
Mengapa tidak malu kepada Allah yang empunya?
Patut bersyukur kepada Allah yang memberi segalanya
Malulah kepada Allah kerna milik Ia punya.

Janganlah berbangga apa yang ada pada kita.
Kalau Allah tidak beri kita tidak punya apa-apa.
Janganlah mengungkit, mengungkit jasa kita
Jasa kita disisiNya, yang sebenarnya Allah punya

Marilah kita bersyukur bukan berbangga,
bersyukur kepada Allah bukan mengungkit jasa,
Gunakanlah nikmat Allah itu untuk khidmat kepadaNya
Selepas itu lupakan saja, agar tidak mengungkit-ungkitnya.

Mana Milik Kita?
Tidak Ada Milik Kita.
Semua Yang Ada Allah Yang Punya
Tidak ada kita punya
Kita hanya mengusahakannya
Apa yang kita dapat
Allah Sudah Sediakannya

Tuesday, August 11, 2009

Pembentukan Masyarakat Terpelajar

Masyarakat menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga merujuk kepada kumpulan manusia yang hidup bersama (di sesuatu tempat dengan aturan dan cara tertentu). Terpelajar pula merujuk kepada telah mendapat pelajaran,berpelajaran tinggi, berpendidikan tinggi, kaum atau golongan orang cerdik pandai.

Secara ringkasnya, Pembentukan Masyarakat Terpelajar merujuk kepada suatu usaha menyusun perkembangan golongan manusia yang terpelajar dan berilmu. Dalam konteks artikel ini, merujuk kepada warga kampus secara keseluruhannya. Bermula daripada golongan penuntut, pentadbir, kakitangan akademik dan lain-lain.

Penubuhan UKM tertakluk kepada misi ini, iaitu menjadikan seluruh warganya terpelajar. Terpelajar bermakna cerdik dan pintar, berilmu dan berpengetahuan seperti yang dinyatakan di atas.

Perkara ini menjadikan warga kampus lebih rasional, iaitu bertindak mengikut hujah dan alasan yang munasabah. Ringkasnya, menjadikan ilmu sebagai landasan tindakan dan perlakuan semua warga kampus. Lawan kepada situasi ini ialah tindakan yang tidak rasional, dengan kata lain menjadikan emosi dan intuisi sebagai panduan tindakan.

Situasi ini akan menyebabkan tiada ruang untuk perbahasan yang sihat di kalangan anggota. Perbezaan pendapat akan menjadi punca perbalahan dan permusuhan. Fahaman asabiah dan jahiliyyah adalah model terbaik kepada situasi seperti ini.

Ilmu perlu memimpin masyarakat, inilah teras kepada pembentukan masyarakat terpelajar. Ilmu akan menjadikan perbezaan pendapat sebagai ruang untuk penambahbaikan antara satu sama lain. Perbezaan akan menjadikan masyarakat menjadi lebih baik.
Justify Full
GMUKM dan ASPIRASI perlu memahami hakikat ini. Barulah ASPIRASI akan menyedari bahawa tindakan mereka menyekat suara mahasiswa hanya mendatangkan kerugian. Begitu juga segelintir pihak pentadbiran UKM yang kerap kali menjadikan perasaan dan emosi mereka sebagai pemandu tindakan mereka.

GMUKM akan terus memperjuangkan keintelektualan Mahasiswa. Mencanai keilmuan Mahasiswa supaya terbentuknya Masyarakat Terpelajar.

Saturday, August 8, 2009

Lelaki yang perkasa, Wanita yang istimewa...

Hidup merupakan satu kitaran sempurna kerana kitaran itu diaturkan oleh Tuhan Yang Maha Sempurna. Dia bebas dari segala bentuk kekurangan dan kelemahan. CiptaanNya yang paling hebat di atas muka bumi ini, tidak lain dan tidak bukan, manusia.

Manusia diciptakan sendiri oleh Allah dengan TanganNya Yang Mulia. Diciptakan Adam dan Hawa sebagai generasi pertama manusia. Maka lahirlah keturunan demi keturunan yang meneruskan kelangsungan umat manusia di atas muka bumi ini. Meneruskan kesinambungan amanah yang diwariskan oleh para Nabi dan Rasul, atau mengikut jejak langkah iblis dan syaitan.

Lelaki dan wanita kedua-duanya adalah manusia yang sama tetapi berlainan sifatnya. Manusia lelaki diciptakan dengan keperkasaan, biarpun ada yang lembut atau kasar, fitrah kejadian lelaki adalah perkasa. Sebaliknya wanita diciptakan dengan kelemah-lembutan dan keistimewaan, biarpun ada yang lembut atau kasar, fitrahnya adalah lemah lembut dan istimewa.

Lelaki miliki sifat akal yang baik, wanita mempunyai sifat hati yang baik.

Sebagai tambahan untuk wanita, tidak cukup dengan sekadar aktif, hebat dan mantap. Malah perlu ada mahal yang dijaga dengan baik. Bagi saya, wanita perlu mengekalkan sifat mahalnya, kerana mahal itu menjadikan wanita lebih wanita dari wanita-wanita yang lain.

Lelaki perlu bijak menggunakan akalnya, bukan kuasa atau tenaga yang ada padanya. Kerana akal lelaki akan menjadikan lelaki, lebih lelaki daripada lelaki-lelaki yang lain.

Lelaki-lelaki lain dan wanita-wanita lain di sini, mungkin sekali merujuk kepada sesuatu yang selain daripada manusia. Ini jelas kerana ada juga lelaki dan wanita yang bukan manusia yang merujuk kepada binatang, jin, mahupun segala macam benda yang bukan manusia.

Jika manusia, maka lelaki perkasa pada akalnya, wanita istimewa pada mahalnya.

Antara Yang Menarik