Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Monday, October 26, 2009

Inni Akhafullah...

Orang-orang yang beriman wajib mempercayai akan adanya hari kebangkitan. Beriman dengan hari kebangkitan ini termasuklah beriman bahawa semua manusia akan dibangkitkan semula, dihitung segala amalan, dan diberikan ganjaran syurga atau dibalas dengan api neraka. Malah turut beriman bahawa alam akhirat ini adalah alam yang kekal abadi. Kemewahan dan kenikmatan dunia hanyalah bersifat sementara.

Hadith Nabi yang masyhur menerangkan perihal hari kebangkitan ini antaranya

RASULULLAH SAW bersabda yang maksudnya: "Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah: (1)Pemerintah yang adil, (2)pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya, (3) orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, (4) dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, (5) orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: "Aku takut kepada Allah!", (6) orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan (7) orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah." (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Perkara utama yang perlu menjadi pengajaran terhadap orang-orang yang beriman ialah hari kiamat ini adalah hari milik Allah Ta'ala secara mutlak, dan Dialah Raja Yang berkuasa,. Hari di mana tiada yang lebih berkuasa melainkan Allah Ta'ala. Sepertimana diperjelaskan bahawa hari kiamat ini tiada naungan melain naungan Allah Ta'ala.

Jika di dunia, mungkin ada yang berbangga dengan lindungan dan pertolongan daripada pihak kerajaan, pemimpin yang berkuasa, orang-orang yang kaya atau individu-individu yang berpengaruh, maka Nabi Muhammad SAW mengingatkan kita dalam hadith ini bahawa pada hari kiamat nanti, semua individu dan mana-mana kerajaan yang besar yang pernah wujud di dunia ini akan tunduk kepada Allah Ta'ala di hari kiamat.

Hari kiamat ini adalah hari milik Allah Ta'ala secara mutlak, dan Dialah Raja Yang berkuasa. Hari di mana tiada yang lebih berkuasa melainkan Allah Ta'ala.

Seterusnya Nabi membuat klasifikasi manusia yang akan berada di bawah naungan Allah Ta'ala. Kesemua tujuh golongan ini, walaupun tidak disebutkan, adalah beriman kepada Allah Ta'ala kerana ianya menjadi syarat wajib untuk berada di dalam Parti Allah Ta'ala, firman Allah Ta'ala:

"Sesungguhnya pemimpin kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya dan orang mukmin, iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat, dan mereka adalah orang-orang yang rukuk (tunduk dan patuh pada perintah Allah). Barang siapa yang memilih Allah, Rasul dan orang mukmin (sebagai pemimpin), maka sesungguhnya itulah Parti Allah. Merekalah yang akan berjaya." Al-Maidah, 5:55-56)

Bagi mereka yang beriman, sudah pasti akan berebut-rebut untuk menjadi salah satu daripada golongan yang disebutkan dalam hadith dan ayat Al-Quran di atas. Mereka percaya bahawa kesusahan dan derita yang mereka alami di dunia ini hanyalah bersifat sementara, sebaliknya dalam azam dan amal mereka sentiasa mengharapkan ampunan dan rahmat Allah Ta'ala agar terhindar daripada kesusahan dan derita di Akhirat.

Maka benarlah sabda Nabi bahawa, Orang yang paing bijak ialah orang yang paling banyak mengingati mati dan paling bersedia untuk menghadapinya. Tidak cukup sekadar kita ingat dan bercakap tentang mati, malah kita dituntut untuk sentiasa melakukan persediaan yang cukup untuk menghadapinya.

Saya meyakini hakikat ini seluruh dan sesungguhnya, justeru saya sentiasa berharap dan berusaha ingin mencapainya. Jom ikut saya, atau jadilah rakan yang membantu saya, tetapi Jangan rosakkan impian saya untuk menggapai CintaNya. Inni AkhafuLlah.

Hanya cintaMu ku harap tumbuh, dibajai bangkai dunia yang ku bunuh!!!

No comments:

Antara Yang Menarik