Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Monday, April 19, 2010

Cita-cita sebagai ahli gerakan...

AlhamduliLlah, keputusan Pilihanraya Kecil, P094, Hulu Selangor telah pun kita ketahui. Maka pelbagai reaksi negatif dan positif terhadap keputusan itu dapat kita ikuti. Seperti kebiasaannya, media terus memainkan peranan untuk mengelirukan rakyat, keadaan sebenar yang sedang berlaku di dalam negara kita.

Ada yang berkata, ini semua politik, menang jadi arang, kalah jadi abu.

Kerja-kerja pembodohan rakyat terus berlaku. Malang sungguh, terutama bagi mereka yang beragama Islam sekalipun, menyalahkan takdir dan enggan berusaha memperbaiki keadaan yang semakin meruncing ini.

Ketepikan dahulu soal siapa yang menang atau siapa yang kalah. Ini bukan lagi masa kita bergaduh mengenai peribadi, apalagi semangat kepartian atau kebangsaan yang melampau. Bukalah mata untuk menilai keadaan sebenar yang berlaku di dalam negara bahkan di dunia.

Saya tertarik dengan pidato yang disampaikan oleh Jonah(AMK) di dalam satu ceramah di Rasa, Hulu Selangor, baru-baru ini, dia berkata, "Harga undi tuan-tuan dan puan-puan(rakyat hulu selangor) bukanlah sekadar sebatang tiang lampu, ataupun sebatang jalan, tetapi undi tuan-tuan dan puan-puanlah yang akan menentukan masa depan negara, anak-anak dan cucu-cucu kita."

Sistem demokrasi yang digunapakai di dalam sistem pentadbiran Malaysia pada ketika ini, memerlukan kepada kebangkitan dan kesedaran daripada rakyat sendiri. Kelompok kecil manusia yang melibatkan diri dalam arena politik sebenarnya tidak mampu memberikan jalan keluar, apalagi Kerajaan menutup segala ruang dan peluang untuk rakyat mengetahui isu-isu dan masalah sebenar yang sedang berlaku di dalam negara pada ketika ini.

Jepun dan Amerika telah pun mengalami proses reformasi pentadbiran negara masing-masing,

"Contoh terkenal proses tranformasi ini ialah kemenangan Barrack Obama di Amerika Syarikat. Rakyat Amerika memilih Parti Demokrat dalam Pilihanraya Presiden dan menolak parti republikan yang sebelum ini memrintah Amerika Syarikat. Di Jepun, Parti Liberal Demokratik Jepun(LDP) yang telah memimpin Jepun lebih 50 tahun sejak perang dunia ke-2 tewas kepada Parti Demokratik Jepun (DPJ) dalam pilihanraya september tahun ini dan Fukio Hatoyama telah dipilih menjadi Perdana Menteri yang baru." - petikan artikel terdahulu, BERSAMA MEMIMPIN PERUBAHAN - bahagian 2(situasi selepas)

Malaysia sudah jauh ketinggalan, bukan sahaja dari segi kebendaan, malah kerosakan teruk pada rohani dan keintelektualan menyebabkan UMNO dan Barisan Nasional terus memerintah Malaysia, melakukan segala jenis kerosakan dan kemusnahan.

"Cara hidup(Deen) manusia ditentukan oleh cara hidup pemimpinnya," sabda Nabi Muhammad SAW 1400 tahun dahulu. Menceritakan perihal kepentingan dan keperluan untuk rakyat memilih pemimpin yang terbaik. Saya yakin tentang kebenaran hadith ini sepenuh jiwa dan raga saya. Maka saya menolak sama sekali pemimpin yang meminta jawatan, apalagi yang membeli jawatan dengan harga yang sangat murah. Sudah pasti mereka yang berebut mendapatkan jawatan ini, akan berakhir dengan menjadi sampah yang mengotorkan dan membusukkan rakyat yang di bawah jagaan dan tanggungjawabnya.


Saya beriman dan menyakini bahawa Allah Ta'ala lebih berhak menentukan bilakah masanya kita akan mengecapi kemenangan. Saya tidak berniat ingin mempersoalkan hakikat ini. Akan tetapi, saya beriman dengan Qada' dan Qadar Allah, bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, sehingga kaum itu mengubahnya sendiri. Maka perlu dikumpulkan kekuatan, strategi dan perancangan yang sangat tersusun, untuk berjuang menegakkan kebenaran dan keadilan di atas muka bumi ini.

Dunia umumnya, dan Malaysia khususnya memerlukan kepada kelompoj manusia yang bersedia untuk melakukan apa sahaja demi mengembalikan Al-Haq(kebenaran) ke tempat yang selayaknya. Kebenaran akan tetap muncul, sekalipun bukan kita yang menyaksikannya. Pun begitu, kita perlu terus berusaha untuk menjadi agenNya.

Saya dapat merasakan, ramai ahli-ahli gerakan yang dilanda masalah ketumpulan idea dan pemikiran, saya sendiri tidak terkecuali. Terutama dalam mencari dan menjadi solusi kepada situasi yang meruncing ketika ini. Punca dan bagaimana ia berlaku, bagi saya pelbagai dan mungkin menyempitkan ruang berfikir. Saya lebih gemar kita berbincang mengenai bagaimana meletakkan diri kita sebagai sebahagian daripada solusi dan mengambil tanggungjawab untuk melahirkan generasi yang mampu berfikir ke arah itu.

Mungkin di peringkat awalnya, kita perlu memahami apa yang dimaksudkan dengan "Qaedah sulbah". Iaitu pembinaan generasi dan barisan "front-liner" dalam gerakan Islam. Ianya melibatkan pelbagai proses tapisan dan saringan. Qaedah sulbah mempunyai peranan,

1-Sebagai tapak yang kukuh dalam merancang dan merencanakan. Mastermind di dalam kegiatan-kegiatan dakwah yang dijalankan.

2. Kumpulan yang penting yang akan bertindak sebagai pemangkin di dalam skop dakwah dan pentarbiahan .

3. Tulang belakang dalam jamaah Islam dan masyarakat Islam.

4. Golongan yang sentiasa konsisten, iltizam dan istiqamah terhadap dasar dan manhaj yang benar.

Saya tinggalkan artikel ini di sini untuk kita memikirkan, apakah ciri-ciri qaedah sulbah yang perlu dilahirkan? Adakah kita perlu mencetak lebih ramai "kita" atau kita perlu melihat kepada potensi dan kualiti tersendiri yang ada pada mereka?

Tuesday, April 13, 2010

Bekas Menteri, Zaid Ibrahim bakal bertanding di Hulu Selangor


Parti Keadilan Rakyat telah mengisytiharkan calon yang akan bertanding dalam pilihanraya kecil di Hulu Selangor. Bekas Menteri yang juga seorang peguam itu pernah berada di dalam barisan kabinet Abdullah Ahmad Badawi sebagi menteri di Jabatan Perdana Menteri. Dato' Zaid Ibrahim yang dipecat dari Umno, 2 Disember 2008 yang lalu, dikatakan berpunca daripada kritikannya terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri, ISA, selain surat terbuka yang ditujukan kepada Perdana Menteri yang juga merupakan Presiden UMNO, Abdullah Ahmad Badawi.

"YAB Perdana Menteri, saya mengingati dengan sangat jelasnya apa yang anda sebutkan dahulu, iaitu bahawa jika seseorang itu mempunyai kesempatan untuk melaksanakan apa yang baik dan betul untuk negaranya, maka dia mestilah melaksanakan tugasan itu. Saya sangat menghormati anda kerananya. YAB, anda masih lagi Perdana Menteri buat masa ini dan masih lagi mempunyai kesempatan untuk meninggalkan jejak anda dalam sejarah Malaysia. Saya menyeru anda berbuat begitu dengan memansuhkan terus ISA." petikan dari Surat terbuka Zaid kepada Abdullah.

Surat ini telah memaksa Abdullah, yang sebelum ni terkenal dengan "slow"nya, bertindak pantas memecat Zaid daripada keahlian UMNO. Ada yang berkata, inilah satu-satunya tindakan Abdullah yang disifatkan sebagai laju daripada banyak-banyak isu yang memerlukan kepada bekas pemimpin No 1 Malaysia itu.

Mic-BN-APCO pula masih berkira-kira ingin menamakan calon yang sesuai. Dihimpit dengan desakan daripada pelbagai pihak, UMNO bakal mengumumkan calon yang akan mewakili parti itu pada 15 April, dua hari sebelum tempoh penamaan berlangsung.

Saya menyokong penuh mengembalikan Zaid Ibrahim ke Parlimen, supaya beliau dapat meneruskan agenda memerangi Akta Zalim ISA.

Monday, April 12, 2010

PRK Hulu Selangor: Hapus Kira dengan BN-UMNO...

Setelah pelbagai isu yang melanda Negara Malaysia pada sejak kebelangan ini, rakyat tidak patut sama sekali untuk berkira-kira dengan UMNO-BN dalam memilih wakil parlimen di Hulu Selangor nanti. 17 April adalah tarikh rasmi penamaan calon, Parti Keadilan Rakyat pula akan mengisytiharkan calon yang akan mewakili Pakatan Rakyat pada 13 April ini, manakala G Palanivel disebut-sebut sebagai calon yang akan mewakili BN-MIC pada pilihanraya kecil kali ini. Bahkan sudah ada pemimpin tempatan yang bersedia untuk bertanding atas tiket BEBAS dalam PRK tersebut.

Rakyat yang mengikut perkembangan Siasah di Malaysia sudah pasti akan mengetahui secara jelas kenapa UMNO-BN perlu ditunjukkan jalan keluar dari Dewan Rakyat. Namun ada juga segolongan yang tidak menerima maklumat selain yang dibekalkan oleh media arus perdana, maka mereka akan cenderung untuk mengekalkan penguasaan UMNO-BN. Lebih-lebih lagi, apabila pemimpin parti itu dilihat seperti satu-satunya parti yang mampu menjalankan pembangunan di Malaysia.

Pelbagai perancangan pembangunan di Negara pada ketika ini bertumpu di kawasan Hulu Selangor, isteri Perdana Menteri sendiri turut terlibat dalam menabur janji-janji manis untuk memperdayakan pengundi di kawasan tersebut. Hampir kesemua pemimpin tertinggi parti-parti politik di Negara pada ketika ini menumpukan perhatian terhadap pengundi-pengundi di Hulu Selangor.

Pakatan Rakyat, mungkin tidak ketinggalan kerana Negeri Selangor ini adalah di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat. Namun, bukan soal janji pembangunan mahupun perubahan yang lebih utama untuk dibincangkan di dalam Pilihanraya Kecil kali ini. Sebaliknya usaha ke arah menyelamatkan Negara dari segala macam masalah adalah jauh lebih penting dari segala kepentingan politik yang ada.

Rakyat Perak mengalami proses kartunisasi. Perlembagaan Persekutuan yang selama ini menjadi sandaran dan tempat berlindung daripada penindasan ditikam lima kali oleh penjaga undang-undang itu sendiri. Tambah menyedihkan apabila kronologi kejadian tersebut melibatkan institusi yang selama ini dianggap berdaulat.

Isu keselamatan Negara sudah sekian lama terdedah kepada ancaman. Jawapan kepada kehilangan jet masih belum dijelaskan, muncul pula isu APCO-PDRM yang sama sekali mengundang kemarahan rakyat. Menteri Dalam Negeri sendiri mengakui kehadiran Asiasoft, syarikat yang mempunyai cawangan di Singapura dan berpengakalan di Tel Aviv, Negara Haram Israel. Haram lagi mengharamkan. Lebih malang lagi, Najib bertalakki dengan Ulama' dari Israel itu untuk mencipta slogan Satu Malaysia yang dibangga-banggakan itu.

Akhbar tidak sunyi dari melaporkan kesan daripada kebejatan sosial yang melanda remaja dan anak muda di Malaysia. Sistem pendidikan yang ada gagal sama sekali di dalam fungsinya untuk mendidik dan melahirkan anak bangsa yang benar-benar merdeka jiwanya. Isu remeh 10 subjek SPM, masalah PPSMI, aliran vokasional, lambakan guru, penempatan guru-guru, masih gagal ditangani dengan baik, timbul pula projek Permata Pintar yang sangat diragui tahap "keikhlasan"nya dalam usaha membantu memulihkan prestasi akal, sosial dan rohani anak muda. Tidak cukup dengan kegagalan sistem yang ada, ditambah pulak dengan usaha memasukkan elemen pendidikan seks dalam Sukatan pelajaran yang sedia ada.

Bermula dari sekecil-kecil masalah sehinggalah kepada sebesar-besar masalah ini tidak akan selesai dengan tamatnya Pilihanraya kecil Selangor. Keputusan mengenai siapa yang akan diberi kepercayaan oleh rakyat tidak akan menamatkan segala penderitaan yang dialami oleh semua rakyat Malaysia. Tidak terlampau sekiranya saya katakan, langsung tidak memberikan kesan dan perubahan.

Namun begitu, ianya dapat mengukur sejauh mana rakyat kebanyakan sedar mengenai keadaan sebenar yang berlaku di Malaysia pada ketika ini. Sekiranya BN-UMNO masih mempunyai tempat di hati rakyat Hulu Selangor, maka amatlah Jauh Panggang Dari Api, untuk melihat perubahan di Malaysia. Sekiranya Pakatan Rakyat berjaya mendidik pengundi di kawasan tersebut sedikit sebanyak harapan untuk melihat keamanan dan kesejahteraan di Malaysia ini akan pulih dan mententeramkan hati ramai pihak.

BN-UMNO langsung tiada tempat di hati mereka untuk mewujudkan suasana yang penuh dengan keadilan dan kesejahteraan, apalagi untuk menjadi Juara kerana merekalah punca segala kemalangan dan kecelakaan yang menimpa rakyat Malaysia pada ketika ini. Pakatan Rakyat masih belum sepenuhnya teruji, tetapi mereka adalah satu-satunya alternatif untuk rakyat yang cinta akan kesejahteraan dan kebajikan.



Wednesday, April 7, 2010

Bicara pelajar Tahun Akhir...

Setelah sekian lama mencari dan mengutip mutiara di lautan ilmu UKM ini, akhirnya tibalah masa yang ditentukan oleh Allah, pengakhiran kepada jodoh dan pertemuan di UKM. Sukar untuk disebutkan betapa kasih dan sayang saya terhadap bumi UKM ini. penghayatan yang mendalam terhadap "lagu varsiti kita", saya kira dapat memberikan penjelasan kenapa bumi ini sangat bermakna buat saya dan teman-teman saya yang lain.

FALSAFAH UKM

Saya mulakan dengan membuat koreksi terhadap falsafah penubuhan UKM itu sendiri. Secara jeas menyatakan kepentingan Ilmu, Iman dan Amal sebagai teras dalam pembangunan Universiti, pembudayaan dan perkembangan Ilmu, serta pembentukan masyarakat terpelajar. Saya jatuh cinta pada UKM disebabkan oleh kemurnian dan keindahan falsafahnya, sekaligus mengubah persepsi saya terhadap apa yang sebenarnya dikatakan "belajar dan mencabar".

UKM ditubuhkan oleh generasi terdahulu yang ingin benar menyelamatkan rakyat Malaysia daripada kematian adat dan asal-usul. Bukan sekadar bahasa yang ingin dipertahankan, bahkan mereka meletakkan nilai-nilai murni dan keunggulan budaya yang baik dalam masyarakat pada ketika itu, sebagai salah satu sebab utama yang membawa kepada penubuhan UKM ini.

Malangnya, keindahan itu semakin dicabuli. Bermula dengan salah anggapan penghuni dan warganya tentang kepentingan Bahasa, sehinggalah akhirnya menggadaikan hampir kesemua nilai-nilai murni yang terkandung di dalamnya.

Saya tertarik dengan kata kunci "pembentukan masyarakat terpelajar". Masyarakat terpelajar seperti yang pernah saya keutaraakan sebelum ini, merupakan masyarakat yang dipimpin oleh ilmu. Merasai kepentingan ilmu, mengutamakan kefahaman dalam tindakan dan perbuatan sehari-hari. Masyarakat yang terpelajar dicerminkan melalui tindakan, bukan sekadar kertas kerja yang berlambak, tetapi tiada satu kerja pun yang benar-benar berjaya dilaksanakan.

GMUKM sebagai wadah

Maka saya dan rakan-rakan saya membentuk dan memperkukuhkan kembali GABUNGAN MAHASISWA, GMUKM, sebagai wadah untuk kami perjuangkan kembali cita-cita murni Falsafah UKM ini. Anehnya, saya merasakan sendiri tekanan yang tersangat berat diberikan terhadap kelompok kami ini. Sebaliknya, golongan yang sentiasa kontra dengan falsafah UKM, diberikan tempat yang istimewa di kalangan pentadbir dan pihak pengurusan UKM, termasuklah kedua-dua Naib Canselor, dan Timbalan Naib Canselor yang sempat saya kenali sepanjang berada di UKM ini.

Idea penubuhan GMUKM ini bermula apabila Membina Mahasiswa Penggerak Ummah, MAMPU, merasakan perlunya kepada suara yang lebih padu dan besar di kalangan Mahasiswa yang pelbagai bangsa, agama, dan pandangan. Sehingga sekarang, GMUKM telah mempunyai lebih daripada 22 persatuan yang secara tidak langsung menyatakan sokongan mereka terhadap perjuangan mengembalikan UKM ini kepada keadaan asal penubuhannya. 3 teras, kebajikan, keintelektualan, dan falsafah UKM, telah berjaya menyatukan ramai aktivis Mahasiswa yang mencintakan kebenaran, keadilan dan kesejahteraan.

KELESUAN DAN RETORIKA PERJUANGAN MAHASISWA

Pun begitu, perjuangan Mahasiswa semakin hari disempitkan dengan pelbagai kekangan dan doktrin yang melesukan. Saya terkesan dengan rakan-rakan Mahasiswa yang berada di luar negara. Di Thailand misalnya, Mahasiswa bukan sahaja memimpin kampus dengan baik, malah turun ke dalam kancah masyarakat dan tampil membawa solusi kepada masalah yang membelenggu rakyat di negara itu. Krisis di selatan Thai misalnya, ketumbukan Mahasiswa mampu menggerakkan rakyat untuk turun menyatakan bantahan mereka terhadap kerajaan Thai yang sehingga sekarang enggan memberikan kuasa autonomi kepada wilayah di selatan siam itu.

AlhamduliLlah, saya diberi kesempatan untuk bertemu dan bertukar-tukar pandangan dengan mereka, dan sejak daripada saat itu, saya mula merasakan, perjuangan Mahasiswa Malaysia ini sarat dengan retorika dan kelesuan. Bagaimana dengan nilai intelektual Mahasiswa Malaysia? Bagaimana pula dengan suasana "mencabar" di kalangan Mahasiswa di IPT mahupun di peringkat nasional? Apakah sebenarnya nilai yang diperjuangkan oleh Mahasiswa secara konsiten dan berkesan, berbanding populariti dan publisiti, yang pada pendapat saya terlebih diberikan penekanan?

Sejauh mana kesan yang terhasil daripada gerakan dan aksi-aksi yang telah dilakukan oleh Mahasiswa selama ini terhadap masyarakat kampus? Begitu susah dan payah Mahasiswa Malaysia merancang dan berfikir, adakah begitu kesan yang diterima oleh masyarakat kampus masing-masing? Ini baru masyarakat kampus, bagaimana pula kehadiran Mahasiswa ini, adakah disedari kewujudan mereka oleh rakyat?

AGENDA REFORMASI

Saya ingin membawa perbincangan ini ke arah sudut yang lebih luas, iaitu menegakkan Islam di bumi masing-masing. Reformasi yang terbaik, ialah melkukan reformasi daripada keadaan tidak Islam kepada keadaan lebih Islam. Islam bukan sekadar anutan, memperjuangkan Islam bukanlah sekadar memperjuangkan agar Islam dianuti oleh semua manusia. Bahkan memperjuangan Islam itu ialah sehingga nilai-nilai sejagat yang diajarkan oleh Islam itu menjadi nilai pegangan semua manusia.

"Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan cara hidup yang benar (Islam), supaya Ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala cara hidup yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya." As-Saff, 61:9.

Maka KPI yang sewajarnya dijadikan ukuran bukanlah kuantiti mahupun kualiti sokongan yang diperolehi terhadap persatuan mahupun figure sesebuah gerakan, sebaliknya sejauh mana NILAI dan CARA HIDUP ISLAM itu mendominasi pemikiran dan tindakan masyarakat di dalam dan di luar kampus.

Walaubagaimanapun, trend perkembangan gerakan Mahasiswa Islam semakin berkembang dan menjadi bertambah mantap. Saya melihat sendiri kreativiti dan produktiviti Mahasiswa pada hari ini, sudah jauh meninggalkan generasi terdahulu sebelum mereka. Semakin banyak idea-idea baru yang lahir, begitu juga dengan aksi-aksi yang sangat menghiburkan hati pencinta keadilan dan kebenaran. Mungkin kita perlu mempergiatkan sesi kerahan minda supaya idea-idea yang lebih membumi dan memberi kesan dapat dihasilkan.

Idea untuk melakukan reformasi terhadap umat mesti dipercambahkan supaya berkembang dan menusuk ke dalam hati dan pemikiran setiap ahli gerakan.

Kita perlu terus membina idea-idea mengenai gerakan, dalam masa yang sama idea-idea ini diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan aksi yang benar-benar mendatangkan kesan dan membawa transformasi pada diri Mahasiswa dan masyarakat. Saya menyatakan kesediaan saya untuk terus bersama dalam perjuangan ini, dan bersedia melapangkan pemikiran, masa dan tenaga saya untuk gerakan.

Salam ikhlas daripada Pelajar Tahun Akhir,

Hidup mulia, atau mati syahid!!!

Beramal kerana dan ke arah Allah....

Antara Yang Menarik