Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Friday, July 16, 2010

Perjalanan Menjadi Tetamu Allah - Bahagian 14



Setelah hampir semua koleksi surah telah dibaca, dan suara Sheikh Misyari juga sudah serak-serak kerana terlalu lama memperdengarkan ayat-ayat suci Al-Aquran Al-Karim, saya kembali ke tempat duduk di sebelah pemandu mencapai mikrofon dan kembali menghangatkan suasana dengan talbiah selawat dan zikir.

Di celah-celah bacaan talbiah itu terkadang saya berhenti sekejap untuk membasahkan tekak dan menyambung kembali sejurus selepas dua tiga teguk air. Suatu ketika, Ustazah Sa’diah menegur saya dari belakang,

“Ustaz, selawat yang paling afdhal ialah selawat seperti di dalam tahiyyat,” katanya memberikan panduan.

Saya meneruskan dengan menambah selawat seperti nasihat Ustazah Sa'diah dengan memimpin bacaan selawat seperti di dalam tahiyyat awal. Ironinya, di dalam selawat tersebut juga memuatkan ucapan selawat dan salam ke atas Pembina Kaabah yang ketiga selepas para Malaikat dan juga Nabi Adam AS, iaitu Nabi Ibrahim dan keluarganya. Sebagaimana dinukilkan di dalam Al-Quran Surah Al-Baqarah, 2:125-129 yang menceritakan peristiwa Nabi Ibrahim diperintahkan untuk membina kaabah bersama-sama anaknya Nabi Ismail AS. Di dalam ayat-ayat tersebut terkandungnya doa Nabi Ibrahim supaya Allah Ta’ala memelihara Kaabah daripada ancaman, menjadikan manusia terikat dan sentiasa ingin mengunjunginya untuk menunaikan ibadah memperhambakan diri kepadaNya.




Beberapa buah buku menjadi rujukan saya sebelum berangkat ke tanah suci. Antara yang menarik ialah buku “Sejarah Makkah Al-Mukarramah & Madinah Al-Munawwarah” terbitan Al-Shafa yang diterjemahkan oleh Abu Ezzat Al-Mubarak. Buku tersebut memuatkan sejarah pembinaan kaabah, pembukaan kota Mekah dan Madinah serta sejarah-sejarah agung dua tanah haram ini. Buku inilah yang menjadi teman saya selain buku panduan yang diberikan percuma oleh Darul Mubarak.

Bergetar hati dan jiwa saya ketika membaca peristiwa ketika Nabi Ibrahim mula-mula sampai ke Kota Mekah yang dahulunya dikenali sebagai lembah bakkah. Rupa-rupanya, tanah Mekah ini telahpun dipilih oleh Allah sebagai tanah suci di atas muka bumi ini sebelum diciptakan Nabi Adam lagi. Kaabah telah dibina oleh para Malaikat dan Nabi Adam, sebelum Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Ibrahim membinanya semula bersama anaknya, Nabi Ismail AS.

Siti Hajar merupakan isteri kedua yang dihadiahkan oleh Siti Sarah kepada NAbi Ibrahim. Siti Sarah menghadiahkan Nabi Ibrahim isteri kerana ingin mengubati perasaan Nabi Ibrahim yang ingin menimang cahaya mata. Takdir Allah, Nabi Ismail lahir ke dunia. Bagi mengelakkan salah faham dan konflik di dalam keluarga Baginda, Allah Ta’ala memerintahkan supaya Nabi Ibrahim membawa Siti Hajar dan anaknya yang masih bayi ke suatu lembah di kawasan padang pasir yang tandus. Maka berjalanlah mereka bertiga meredah kawasan padang pasir yang sangat luas.

Apabila sampai di tempat yang ditakdirkan oleh Allah, maka Nabi Ibrahim segera meninggalkan Sti Hajar dan anaknya Nabi Ismail. Siti Hajar tersentak dengan tindakan suaminya itu yang sanggup meninggalkan mereka berdua di lemah yang langsung tidak mempunyai tanaman apalagi sumber air untuk dijadikan minuman. Sedih hatinya kerana tergamak suaminya berlalu begitu sahaja sedangkan bekal yang ada pada mereka hanyalah sebotol air yang mungkin tahan tidak sampai sehari dan roti yang sebahagiannya telah dihabiskan semasa dalam perjalanan.

“Wahai suamiku, adakah ini perintah dari Tuhanmu?” soal Siti Hajar yang mula memahami sesuatu.

Nabi Ibrahim memalingkan badannya, hanya mampu mengangguk dan terus berlalu kerana tidak tahan melihat keadaan isterinya dan anak yang masih terlalu kecil. Keimanan yang tebal dalam hati Siti Hajar menguatkan semangatnya untuk mengharungi hidup berdua-duaan bersama anak kesayangannya yang masih perlu disusukan. Dia yakin bahawa Allah Ta’ala tidak akan membiarkan mereka begitu sahaja, dia berserah dan sentiasa mengharapkan agar Allah Ta’ala menetapkan imannya dan menjadikan mereka di kalangan orang-orang yang sabar.

Ketika Nabi Ibrahim sampai di Al-Thaniyah (jalan kecil pergunungan), di mana mereka tidak dapat melihatnya, Nabi Ibrahim menoleh untuk menghadap kaabah dan berdoa dengan kata-kata berikut sambil mengangkat kedua belah tangannya:

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah(tanah suci Mekah) yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar pada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.” (Ibrahim 14:37)

Lama-lama kelamaan, bahang dan terik matahari membakar tekak mereka berdua. Nabi Ismail mula menguek kelaparan. Siti Hajar menjadi resah melihatkan bekalan makanan dan minuman mereka yang kehabisan. Kemudian Siti Hajar pergi ke bukit Al-Safa dan berdiri di puncaknya, sambil memerhatikan kea rah lembah, menatap kalaulah ada orang yang berada di situ, tetapi malangnya dia tidak dapat melihatnya.

Kemudian dia turun ke lembah dan mulai berlari seperti orang yang kehabisan tenaga(berlari anak) sambil memegang kelim skirtnya sehingga menyeberangi lembah dan mendaki puncak Al-Marwah. Sekali lagi dia menatap kea rah lembah, kalaulah ada orang yang berada di situ. Malangnya, dia tidak dapat melihatnya. Nabi Ismail semakin kuat menguek. Teriakan Ismail membuatkan ibunya mundar-mandir berulang-alik antara kedua bukit menyeberangi lembah itu sehingga membentuk 7 pusingan.

Sambil berdoa dan merintih kepada TuhanNya, supaya dikasihani dan ditetapkan iman dan dipertingkatkan kesabarannya. Di sekitarnya bukit-bukau, gunung-ganang dan padang pasir yang seluas mata memandang. Terik matahari semakin menggigit dan membatasi pergerakannya. Demi kasih seorang ibu, Siti Hajar terus berlari sambil memanjatkan doa kepada TuhanNya. Terasa berat sungguh ujian yang ditentukan Allah ke atasnya.

Nabi Ismail menangis dan terus menangis. Tangisannya semakin kuat sambil kakinya menghentak-hentak ke bumi. Siti Hajar semakin resah dan gelisah. Tiba-tiba, Ketika dia berdiri di atas Al-Marwah pada pusingan yang ketujuh, tiba-tiba dia mendengat suara dan dia berkata, “Shh!” memberitahukan kepada dirinya sendiri supaya bertenang. Kemudian dia mendengarkan dan mendengar suara itu lagi. Dia berkata:

“Aku dapat mendengarmu. Dapatkah kamu membantuku?” ujar Siti Hajar.

Kemudian dia melihat Malaikat berdiri di atas zamzam. Malaikat itu mulai menggaruk tanah dengan tumitnya – atau dengan kedua kepaknya – sehingga air mulai memancar. Dia mulai menimbun tanah agar mengelilingi sumber air itu dengan kedua tangannya, dan mulai mencedok air itu ke dalam bekas kulit miliknya. Anaknya diberi minum terlebih dahulu walaupun dahaga tekaknya, hanya Tuhan yang tahu.

Hanya setelah Nabi Ismail diberi minum sehingga kenyang dan ditidurkan, barulah Siti Hajar meminum air tersebut. Lalu mata air tersebut mengalir dan terus mengalir tanpa henti. Berterusan dengan itulah Siti Hajar terus mengambil air untuk merawat anak dan dirinya. Nabi Muhammad pernah menyebut mengenai peristiwa ini dengan sabda Baginda,

“Seandainya dia(Siti Hajar) membiarkan zamzam semula jadi – atau tidak terus mengambil airnya – nescaya Zamzam sudah menjadi mata air yang melimpah.”

Sebelum meninggalkan Siti Hajar dan anaknya, Malaikat itu berkata,

“Janganlah engkau takut ditinggalkan, kerana di sini akan menjadi rumah Allah, di mana anak lelaki dan bapanya yang akan membinanya dan Allah sekali-kali tidak akan membiarkan hambaNya” penawar hati yang diberikan oleh Malaikat kepada Siti Hajar buat dirinya mengharungi dan meneruskan hidup di lembah yang gersang itu.

Peristiwa agung ini menyerap ke seluruh tubuh. Membayangkan perit getir pengorbanan seorang ayah, seorang ibu dan seorang anak menjadikan saya semakin tidak sabar untuk melihat sendiri Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim AS dan juga Nabi Ismail. Selawat dan salam ke atas Baginda, juga selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW juga ke atas seluruh kaum keluarga baginda berdua.

Perjalanan di teruskan, papn tanda menunjukkan tinggal 50 km untuk sampai ke BaituLlah Al-Haram, bermakna tinggal lebih kurang 30 km untuk menjejakkan kaki ke tanah haram Mekah. Talbiah dan selawat semakin kuat meniti di bibir kami semua. Semua jemaah sudah kembali celik dan kami menghabiskan baki perjalanan dengan sama mengucapkan

“Kami sahut (panggilan untuk menjadi tetamuMu) Ya Allah, Kami sahut,” dengan penuh semangat kami mengucapkannya.


Bersambung...

No comments:

Antara Yang Menarik