Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Monday, October 25, 2010

Mini Islamic State: Mempopularkan kebenaran.


Mungkin ada yang pernah berkata, "Zaman sekarang susah nak cari orang yang jujur. Masing-masing akan berlumba mengejar dan menjaga kepentingan masing-masing. Jika kita jujur dan tidak menipu kita akan ditindas," Malah tidak sedikit pula yang mempercayainya. Falsafah yang dipopularkan oleh P Ramlee dalam Filem "Masam-masam Manis", adegan Ramli ditipu oleh seorang gadis di sebuah kedai makan. 


Benar, kata-kata ini popular dan semakin menular. Tetapi saya masih menanam harapan, kata-kata ini bukan kata-kata yang sebenar. Saya yakin bahawa masih ada yang jujur dan tidak mementingkan diri yang hidup di kalangan kita pada hari ini. Masih ada lelaki yang tidak suka mempermainkan orang lain. Berpolitik untuk menyelesaikan masalah, bukan untuk menghalalkan yang salah. Masih ada ramai wanita yang memiliki harga dan maruah diri. Mahal dan sedikitpun tidak mampu digugat oleh harta benda apalagi kata noda dan nista.


Masih ada pemimpin politik yang benar-benar ikhlas memperjuangkan nilai yang didokonginya. Masih ramai anggota pihak berkuasa yang menjalankan amanah sebaiknya. Masih ramai guru-guru yang bersedia berkorban dan bersungguh mendidik anak bangsa, masih ramai yang tidak terpengaruh dengan dosa yang dipahalakan, neraka yang disyurgakan...


masih ramai yang tidak terpengaruh dengan dosa yang dipahalakan, neraka yang disyurgakan...

Masalahnya berpunca daripada istilah "popular" itu sendiri. Tentu ramai yang sudah terbiasa dengan modul Titik Hitam yang dilukis pada sehelai kertas putih. Jika ditanyakan apa yang kita lihat? Maka respon awal kita ialah, "saya melihat ada satu titik hitam pada sehelai kertas putih," Kemudian kita dididik bahawa sudah menjadi kebiasaan bagi manusia untuk peka dan prihatin terhadap kesalahan, walaupun kesalahan itu hanyalah setitik di tengah-tengah jutaan kebenaran dan keindahan yang ada.

Begitulah halnya yang sedang berlaku sekarang. Perkara-perkara negatif walaupun sedikit, ianya menjadi tarikan perhatian masyarakat, justeru popular dan mendapat tempat dalam medium-medium penerangan. Walhal yang baik dan positif itu juga masih banyak. Media memainkan peranan menceritakan dan menyajikan laporan serta bahan-bahan  yang hanya menarik perhatian, iaitulah yang negatif dan jauh dari kebenaran.

Lama kelamaan, nilai yang negatif ini, walaupun pada asalnya tidak diterima oleh masyarakat, menjadi neutral bahkan akhirnya menjadi "positif" mengikut bacaan dan pandangan semasa. Minat untuk berfesyen misalnya, dahulu dipandang jelek dan janggal dalam masyarakat. Model-model yang memperagakan pakaian diberikan gelaran-gelaran yang tidak enak kerana begitu sekali mereka memandang dan menilai dunia peragaan. Sekarang, model-model ini diangkat dan semakin diberikan tempat. Walhal, tidak sedikitpun "kesenonohan" mereka bertambah berbanding model-model terdahulu. Hanya kerana ianya popular, akhirnya yang salah dibenarkan.

Rasuah juga dibenci dan menjadi musuh utama masyarakat. Asal sahaja diketahui, maka rosak dan hancurlah kariernya sama ada sebagai tokoh sosial, ekonomi, teologi, apalagi politik yang memegang amanah dan tanggungjawab rakyat. Malangnya, disebabkan amalan rasuh ini semakin popular dan istilah "hadiah" dan "wang saku" digantikan untuk memberikan imej yang lebih friendly, maka amalan ini membarah dari sebesar-besar posisi sehinggalah ke sekecil-kecil entiti dalam masyarakat. Permohonan wang zakat juga boleh dipercepatkan dengan wang pengurusan, apalagi wang-wang yang gagal dikenal pasti sumber dan statusnya.

Maka, jalan selamat untuk mengelakkan diri daripada dipengaruhi oleh "populariti" yang menyesatkan ini ialah mewujudkan suasana Islam, atau dengan kata lain menubuhkan negara Islam yang mengawal segala bentuk doktrin dan aktiviti warganya. Di sinilah fungsi yang dimainkan oleh sesebuah persatuan atau organisasi Islam, iaitu menjadi alternatif kepada Negara Islam yang masih belum dibentuk secara fizikal.

Sebab itulah, Kaleem Siddiqui menyatakan bahawa Gerakan atau Jemaah Islam ini sebenarnya adalah sebuah Negara Islam Mini(Mini Islamic State) yang tertegak di dalamnya nilai-nilai Islam yang syumul. Pemimpin gerakan Islam bertanggungjawab mengawal persepsi dan aktiviti ahlinya supaya sentiasa meletakkan keutamaan Allah Ta'ala dan RasulNya di hadapan dan tertinggi di dalam setiap tindakan dan amalan.

Berada di dalam Gerakan Islam, mempopularkan kebenaran. Kebenaran menjadi popular dan kebenaran inilah yang diamalkan. Cuba kita lihat bagaimana perilaku seseorang ketika bersama dengan Gerakan atau Persatuan Islam, berbanding keadaannya di luar Gerakan atau Persatuan Islam itu tadi. Ternyata, kebenaran dan kebaikan yang diamalkan dalam Gerakan Islam itu menjadi popular dan kebenaran itulah yang diamalkan. Sekembalinya ke dunia nyata, nilai-nilai yang tadinya dominan sudah tidak lagi major malah langsung diketepikan, semakin dia berjauhan, semakin tipis iman semakin kurang amalan. Nilai-nilai bukan Islam pula yang popular dan sekiranya tapisan dan dinding yang ada padanya nipis dan rapuh, maka dengan mudah doktirn populariti yang menyesatkan tadi menembusi jiwa dan pemikirannya.

Saya yakin, kerana saya berada dalam sebuah gerakan Islam, di kalangan kami masih ada ramai lelaki idaman dan wanita pilihan yang masih terpelihara serta jauh dari doktirn dan aruhan pemikiran yang menyesatkan. Bagi saya dan mereka, apa yang benar menurut pandangan Tuhan, itulah yang popular dan itu jugalah yang kami amalkan. Apa yang salah menurut pandangan Tuhan, itulah yang lapuk dan itu jugalah sejak awal-awal lagi kami tinggalkan dan kami jauhkan. Pencerahan di kalangan kami sentiasa berlaku kerana di dalam Mini Islami State ini, kami mempopularkan kebenaran.

Dunia semakin menuju kehancuran, dan kehancuran itu bermula apabila manusia putus harapan terhadap usaha pemulihan dan perubahan. Maka, janganlah berhenti daripada mencari dan cuba menjadi harapan untuk perubahan dan kebenaran. Kerana sesungguhnya, janji Allah itu benar dalam kitabNya,

Dan katakanlah:" Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap", Surah al-Isra', 17:81. 

No comments:

Antara Yang Menarik