Apakah sebenarnya yang UMNO cuba buktikan ketika mereka melemparkan pelbagai tuduhan kepada wakil rakyat DAP mahupun PKR mengenai segala salah laku peribadi dan kepimpinan yang ada? YB Teo Nie Ching dipersoalkan ketika menghadiri program senamrobik. Mungkinkah mereka berniat untuk berdakwah dan menyedarkan masyarakat betapa Islam itu, syariatnya hadir untuk memelihara? Mungkinkah mereka melakukan demikian kerana ingin memelihara kesucian Masjid, surau, dan kehormatan umat Islam di Malaysia.
Jika benar, maka tahniah diucapkan kepada UMNO-BN-APCO di atas usaha murni kalian. Sebagai seorang muslim, saya menyambut baik tegurani itu dan memang ada baiknya teguran tersebut, apalagi teguran adalah sangat bermanfaat bagi manusia yang berakal lebih-lebih lagi yang beriman.
Saya setuju, bahawa syariat Islam sebenarnya mampu dan wajar dilaksanakan oleh semua golongan di setiap lapisan masyarakat, baik lelaki mahupun perempuan, tidak dibatasi oleh warna kulit, umur, budaya mahupun agama. Kerana Islam itu adalah cara hidup yang fitrah. Setiap manusia memerlukan suatu undang-undang yang mampu memelihara kebajikan dan keselamatan mereka. Kebajikan dan keselamatan yang merangkumi pembelaan ke atas akal, nyawa, maruah, kesihatan fizikal tubuh badan, harta, dan juga nyawa.
Syariat Islam, selain daripada hukum Hudud terdapat banyak lagi undang-undang yang mampu membela kesemua keperluan asas manusia seperti yang dinyatakan di atas. Tidak syak lagi, teguran UMNO-BN-APCO itu boleh(jika mahu) untuk disifatkan sebagai teguran yang baik dan perlu dilakukan jika syariat Islam ini yang dijadikan asas.
Namun, UMNO-BN-APCO sebenarnya layak juga mampu melakukan lebih dari sekadar itu. Mereka yang memegang amanah dan tanggungjawab mengawal dan menetapkan segala perkara yang berlaku di dalam Malaysia. Aneh, jika mereka mengeluarkan "teguran" kepada YB Teo, sedang dalam masa yang sama berlaku begitu banyak ketirisan maksiat dari segenap sudut kehidupan di Malaysia. Saya tidak menyanggah apa yang dilakukan, barangkali ada benarnya dakwaan atau teguran yang dilakukan oleh UMNO-BN-APCO itu, teruskan usaha moga-moga diberkati. Malah, untuk menjadi sebuah negara yang maju dan bertamadun, kita perlu bebas mengamalkan aktiviti "check and balance". Walaupun logiknya, kerajaan tidak sepatutnya berada di posisi "check and balance" ini kerana merekalah sebenarnya yang menjadi pemegang amanah dan melaksnakan segala keputusan.
Media yang disajikan kepada rakyat, telah berulang kali ditegur oleh begitu banyak pihak, agar dikurangkan segala bentuk hiburan yang melalaikan. Namun, penguatkuasaan "klasifikasi" penyiaran dilihat seolah-olah melepaskan batok di tangga. Tiada pengawasan dan penapisan kecuali dalam perkara-perkara yang melibatkan hal politik dan kepentingan kerajaan. Inilah perkara yang sangat dibimbangi oleh rakyat. Bahawa Kerajaan Malaysia, di bawah pimpinan UMNO-BN-APCO hanya memberikan perhatian terhadap isu-isu yang boleh memberikan mereka kelebihan atau menjejaskan kedudukan mereka sahaja. Semuanya berkisar mengenai kedudukan dan kekuasaan mereka. Tanpa terlebih dahulu memikirkan logik atau rasional di sebalik setiap tindakan.
Sebab itu, kalau kita perhatikan di Malaysia ini, hanya hujan sahaja yang turun, yang lain semuanya naik. Tak lama lagi minyak masak. Walaupun azam tahun baru ini ialah mengurangkan makan di luar, namun memasak di rumah juga memerlukan minyak. Mungkin saya perlu tukarkan azam, mengurangkan makan benda-benda yang berminyak. Jawabnya, tiada lagi tempe goreng.
Politik, bukan semata-mata kuasa. Ianya sepatutnya menjadi seni menyelesaikan masalah. Masalah akan berlaku sekiranya politik ini tidak digunakan untuk menyelesaikan masalah.
Perlukah kita buktikan yang kita ini berkuasa? Perlukah sedaya-upaya kita mendapatkan, mengekalkan kuasa? Apakah sebenarnya yang perlu kita lakukan sekiranya kita berkuasa? Berkuasakah kita sekiranya yang kita lakukan hanyalah mengekalkan kuasa? Kuasa membawa kepada kegilaan dan kehancuran, kuasa yang mutlak akan membawa kepada kemusnahan dan kehancuran yang mutlak. "POWER IS CORUPT, ABSOLUT POWER CORUPT ABSOLUTELY".
Islam mengajar dan mendidik kita untuk memimpin menggunakan pengaruh, bukan menggunakan kuasa. Malah kuasa itu sebenarnya hanyalah amanah dan tanggungjawab yang wajib kita tunaikan.
Sedih bila melihat kedangkalan UMNO-BN-APCO dalam mempertahankan "amanah dan tanggungjawab" mereka. Tetapi yang lebih menyedihkan ialah rakyat terus menerus berada dalam keadaan tidak tahu serta tidak sedarkan diri, akibatnya mereka hidup-hidup ditipu oleh UMNO yang mati-mati mereka percaya.
Saya berpesan kepada diri saya, teman-teman gerakan, teman-teman Pakatan Rakyat(jika ada yang membaca), UMNO-BN-APCO, dan sesiapa sahaja yang membaca entri kali ini, bahawa tidak ada benda sekecil zarah pun yang menjadi milik mutlak kita di dunia. Sedang tahi hidung yang melekat itupun tidak mampu kita miliki, inikan pula harta dan kekayaan dunia, yang jika kita miliki semuanya perlu dijaga dan diagihkan sebaik mungkin, lebih-lebih lagi jika kita memegang amanah kepimpinan dalam negara, negeri, masyarakat mahupun sekecil-kecil keluarga. Semuanya akan dipersoalkan.
Beban negara pada ketika ini, selain daripada kekurangan dan kelemahan pada pentadbiran dan kepimpinan UMNO-BN-APCO, yang paling utama pada ketika ini ialah kefahaman dan kesedaran rakyat. Rakyat yang maju dan bertamadun, ialah rakyat yang bermaklumat. Suatu ketika dulu, ketika berpencak di perbukitan ilmu di Bangi, persoalan inilah yang sering menjadi halangan kepada setiap perubahan yang ingin dilakukan. Perubahan yang hakikatnya, adalah sangat diperlukan oleh setiap jiwa yang berada di situ. Namun, disebabkan oleh pandangan dikelabui tipuan dan hasutan, maka maklumat gagal diberikan dan disampaikan dengan baik.
PENCERAHAN TERLETAK DI ATAS BAHU KITA!!!