Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Saturday, August 18, 2012

Kemuliaan

Kata-kata hikmat yang pernah dikeluarkan oleh Amirul Mu'minin, Saidinia Omar Ibn Al-Khattab, "Kita pernah menjadi bangsa yang hina, tetapi Allah memuliakan kita dengan Islam. Barangsiapa yang mencari kemuliaan selain dengan Islam, maka kehinaan Allah baginya."


Pesanan yang hebat ini diberikan kepada Sa'ad Bin Abi Waqqas dan seluruh tentera Islam sebelum mereka menghadapi peperangan.

Allah Ta'ala turut menjelaskan dalam puluhan ayat mengenai keistimewaan dan kemuliaan, juga ketinggian darjat bagi mereka yang beriman serta mengamalkan Islam. Melakukan 'amal soleh, seperti yang dianjurkan di dalam banyak ayat Al-Quran sebenarnya merujuk kepada mengamalkan Islam sebagai cara hidup, dengan meletakkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai pedoman utama.

Islam bukan hanya membawa kebaikan dan kesejahteraan, tetapi Islam juga membawa kemuliaan dan bersamanya setiap kebaikan yang ada di atas muka bumi ini. 

Namun begitu, memilih Islam, dan memilih untuk bersama Islam, menyokong dan mendokong perjuangan Islam, tidak menjadikan seseorang itu kebal daripada ditimpa musibah dan cubaan. Hidup dipenuhi dengan cabaran. Sedang mereka yang tidak beriman turut diuji, inikan pula mereka yang beriman, semestinya ujian membuktikan keimanan itu sendiri amat payah, kerana ganjaran syurga bukanlah boleh dibeli dengan peluh keringat semata-mata.

Sebagaimana manisnya syurga, begitulah pahit yang menanti mereka yang ingin mencapainya.

Keistimewaan dan kemuliaan orang yang beriman tidak diukur dari segi ujian yang menimpa diri mereka. Tetapi, diukur hasil daripada kesabaran dan kejayaan mereka melawan cabaran dan dugaan yang menguji diri mereka. 

Kita juga tidak dikira hebat jika tidak menerima ujian atau hanya sekadar berjaya menewaskan halangan dan cabaran yang sedikit. Oleh kerana musuh manusia yang paling utama ialah dirinya sendiri, maka cabaran dan ujian yang paling hebat bagi seseorang muslim itu ialah dirinya sendiri. Nafsu manusia adalah acabaran ujian yang paling hebat yang Allah Ta'ala kurniakan kepada diri kita.

AlhamduliLlah, kita berjaya mengharungi Bulan Ramadhan, di mana nafsu kita dapat dikurangkan berbanding bulan-bulan yang lain. Syaitan dan Iblis dibelenggu untuk memberikan ruang yang secukupnya bagi kita mendidik dan melatih nafsu melakukan kerja taat.

Bermulanya syawal, bererti kita kembali kepada cabaran yang sebenar, dan nafsu yang hampir berjaya dikekang ketika bulan ramadhan akan kembali meronta meminta untuk dipuaskan.

Maka, kemuliaan dan ketinggian darjat adalah milik mereka yang tetap menyerah diri kepada Allah, dan terus melakukan kerja taat dan mengamalkan Islam, sekalipun berada di luar bulan ramadhan.. 

Semoga limpah taufik dan petunjuk daripada Allah terus menaungi kehidupa kita sehari-hari...

Minal Aidin Wal faizin...


No comments:

Antara Yang Menarik