Najib sebenarnya sedar bahawa kedudukannya sebagai PM dan Pengerusi BN, malah Presiden UMNO juga belum terjamin. Justeru, Najib pasti sedang mencari-cari formula dan kaedah untuk memastikan karier politiknya tidak terkubur begitu sahaja.
Saya tak pasti sama ada, beliau masih belum puas mengaut keuntungan, atau mungkin juga Hajah Rosmah sendiri mendapati ada kekurangan dalam koleksi perhiasan yang beliau kumpul sepanjang menjadi FLOM. Tapi, saya rasa untuk menyelamatkan maruah diri sendiri, langkah terbaik untuk Najib ialah berundur. Secara jelas, rakyat bencikan Najib. Slogan Better Nation, kini difahami sebagai Buang Najib.
Hanya dengan ketiadaan Najib, barulah ada kemungkinan untuk direalisasikan Better Nation tersebut.
Kadang-kadang saya sendiri pelik, kenapa pipi kita tersorong-sorong, sedang hidung kita sudah tak mancung?
Rakyat dan buat keputusan.
BN sepatutnya menunjukkan contoh teladan sebagai Pemerintah Paling Lama dalam sejarah Malaysia, untuk menerima dengan lapang hati keputusan PRU-13. Kenyataan yang berbaur perkauman sebenarnya menunjukkan BN sendiri tidak dapat menerima hakikat bahawa majoriti Rakyat, khususnya bangsa cina, inginkan perubahan. Sewajarnya, keputusan PRU-13 ini dijadikan medan muhasabah dan diambil sebagai kritikan membina buat kepimpinan BN.
Rakyat dan saya sendiri mahukan Perubahan. Sehingga ke saat ini, kami masih menanti-nanti dan sentiasa berharap agar ada perubahan positif dalam negara. Jika tidak mahu kecundang, strategi terbaik bagi UMNO-BN ialah berubah.
Najib sendiri mengakui, bahawa belajar dari kesilapan adalah erti kepimpinan yang sebenar. Nah, kamu sendiri sedar salah kamu, mengapa kamu tidak berubah?
Adakah kesalahan kamu ialah KALAH semata-mata?
Adakah kesalahan kamu ialah gagal memikirkan strategi untuk meraih undi semata-mata?
Kamu perlu sedar, rakyat khususnya di Negeri Selangor, di Bandar2 besar yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India, kesemuanya menolak kamu atas 3 sebab utama.
Pertama ialah kerana Rasuah. Rasuah diakui ialah penyakit terbesar bagi pemimpin khususnya di negara demokrasi. Penyakit rasuah dalam UMNO-BN membarah sehingga ke Usus, diakui sendiri oleh Tun Dr Mahathir.
Kedua hilangnya rasa percaya kepada sistem pentadbiran dan penyampaian Kerajaan Persekutuan. Rakyat yang celik, melihat dengan mata kepala mereka sendiri bahawa pihak keselamatan dan badan-badan yang sepatutnya menjaga kepentingan rakyat gagal berfungsi dengan baik. Sebagai contoh, pihak polis dan SPR hanya menjaga kepentingan UMNO-BN. Kerajaan sepatutnya insaf dan bertaubat. Semakin ditutup pekung, semakin pula ia terdedah. Contoh lain, ketika kenaikan harga barang dan pelbagai taktik menghisap darah rakyat dikenakan, alasan tidak logik yang diberikan oleh pihak kerajaan menyebabkan rakyat berasa terhina dan direndahkan akal mereka.
Kami bukan budak kecil. Ada di kalangan kami yang juga bekerja sebagai kakitangan kerajaan, melihat sendiri bahawa apa yang disebut oleh Kerajaan tidak serupa dengan apa yang dibuat. Cakap tak serupa bikin. Kamu suruh rakyat berjimat, tapi kamu sanggup membazir ratusan ribu hanya untuk nombor plat kereta. Ke mana letaknya akal?
Ketiga, diskriminasi dan penindasan. Banyak hak rakyat yang kamu abaikan. Hak kebebasan untuk bersuara adalah hak paling ketara yang kamu nafikan. Guru-guru yang lantang ditukarkan. Begitu juga pegawai-pegawai kerajaan yang tidak sebulu kamu pecat atau tukarkan. Lihat apa yang terjadi pada ratusan guru yang telah dipindahkan dalam tempoh 24 jam. Tidakkah kamu terfikir tentang anak murid mereka yang sangat memerlukan gurunya? Bagaimana dengan keluarga mereka yang terpaksa berpisah? Patutkah mereka didera untuk berjalan jauh semata-mata hanya kerana mereka mengkritik tindakan kamu?
Layakkah kamu digelar pemimpin jika tidak berani bersemuka dengan orang yang mengkritik diri kamu?
Begitu juga dalam siri-siri himpunan rakyat yang dianjurkan oleh Parti yang tidak sealiran dengan kamu. Kamu nafikan hak mereka, dan kamu tindas dan zalimi mereka. Ke mana letaknya undang-undang yang sepatutnya kamu tegakkan?
Apapun, segala kesilapan ini sepatutnya tidak perlu diulang. Rakyat hendakkan BRIM, tapi rakyat perlukan pemimpin yang baik. Pemimpin yang baik tidak akan mengumpan rakyatnya.
Akhir sekali, ancaman perang antara kaum ini, rakyat amat berharap ia dihentikan.
Cukuplah.
Sekarang adalah masa untuk kita bina kekuatan. Negara semakin nazak disebabkan permainan politik kamu sendiri. Rakyat hanya mahukan pemimpin yang adil, telus, dan berkebajikan. Jika kamu tidak mampu untuk telus, berlaku adil dan membuat kebajikan, tinggalkanlah kerusi itu untuk orang yang lebih baik...
No comments:
Post a Comment