Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Monday, October 27, 2014

PRIME CARE - PROGRAM BEDAH DITERUSKAN, PRIME CARE BERSEDIA KENDALI WACANA


PRIME CARE MALAYSIA

"PROGRAM BEDAH DITERUSKAN, PRIME CARE BERSEDIA KENDALI WACANA."

- PRIME CARE menghormati pendirian Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah(BPPNK) mengenai larangan ahli BPPNK untuk menyertai program pada 27.10.14. Walau bagaimanapun, program tersebut akan tetap berjalan seperti biasa dan Saudara Mohd Sayuti Omar, akan tetap bersama dalam program ini.


PRIME CARE bersedia mengendalikan wacana.

Berhubung kenyataan rasmi media Pas Kedah, Prime Care sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Pas Kedah untuk mengadakan program berbentuk wacana bagi memberi penjelasan terhadap fakta-fakta yang tidak benar yang terkandung dalam buku Kejatuhan Pas Kedah, karangan Saudara Mohd Sayuti Omar, MSO.

PRIME CARE juga amat berbesar hati sekiranya Pas Kedah mengambil langkah proaktif untuk menyertai program wacana yang bakal berlangsung, pada 27.10.2014, kendalian Prime Care dengan menjemput sendiri penulis buku tersebut.

Konflik yang telah didedahkan secara terbuka sewajarnya diselesaikan secara terbuka. Jika PAS Kedah mendakwa terdapat kekeliruan fakta pada buku tersebut, maka penulis buku tersebut juga perlu diberikan ruang untuk membela diri.

Pendirian Pas Kedah bahawa terdapat fakta yang mengelirukan perlu diperjelaskan dengan segera. Begitu juga tindakan Sdr Phahrol Razi yang masih bergiat secara aktif dalam PASMA dilihat seolah-olah membelakangkan keputusan BPPNK dan tindakan sewajarnya perlu diambil supaya BPPNK dilihat adil dan tidak bersikap pilih kasih.

Perbincangan yang sihat pasti akan memberikan jalan keluar yang baik untuk semua pihak. PRIME CARE sentiasa percaya bahawa setiap konflik perlu diselesaikan secara berhemah dan adil.

Justeru, PRIME CARE juga sentiasa bersedia menyediakan platform, ruang dan peluang kepada mana-mana pihak atas apa jua isu yang boleh dibincangkan secara sihat untuk kebaikan semua pihak dan mencambah pemikiran masyarakat di Malaysia.

Abdul Syukur
Setiausaha,
Prime Care Malaysia

27.10.2014

Tuesday, October 21, 2014

Anjing dan teori konspirasi....

Jika bukan kerana saya telah membaca dan mendapatkan laporan mengenai penganjuran acara memegang anjing, tentu sekali saya akan terikut rentak mereka yang melatah dan mengeluarkan pelbagai hasutan untuk memanjangkan sengketa antara kaum di Malaysia. 
Namun begitu, saya suka nak menyatakan pendirian saya dalam isu anjing ini,

1. Islam tidak memandang hina kepada anjing, bahkan memberi makan kepada anjing yang lapar adalah suatu perbuatan mulia di sisi Islam.

2. Umat Islam tetap tidak dibenarkan membela anjing melainkan untuk tujuan tertentu.

3. Namun begitu umat Islam tidak berhak menghalang orang bukan Islam untuk membela anjing sebagai binatang peliharaan mereka.

4. Seringkali terjadi, anjing yang terbiar menimbulkan keadaan tidak senang di kawasan penempatan. Biasanya sampah akan bertaburan akibat daripada perbuatan anjing terbiar ini. Maka anjing-anjing terbiar ini perlu diuruskan sebaik mungkin.

5. Untuk mengatasi perbezaan budaya antara orang Islam dan orang bukan Islam, bukanlah dengan cara orang Islam meniru apa yang dilakukan oleh orang bukan Islam dan sebaliknya. Akan tetapi, cara yang terbaik ialah masing-masing cuba memahami adat kebiasaan masing-masing, menerima seterusnya menghormati perbezaan yang wujud antara agama dan kaum.

6. Toleransi tidak boleh dicapai dengan cara paksaan atau asimilasi. Sebaliknya, toleransi ialah hasil daripada interaksi dan persefahaman yang dicapai daripada interaksi yang berkesan.

7. Interaksi antara agama perlu lebih digiatkan supaya jurang perbezaan agama dan kaum dapat dikurangkan.

8. Saya percaya, acara tersebut sedikit sebanyak membawa kebaikan untuk memperbetulkan persepsi bagi orang Islam, bahawa anjing tidak boleh dihina apalagi dizalimi.

9. Program tersebut juga baik untuk membuka minda orang bukan Islam dan menarik minat mereka untuk mendampingi umat Islam, kerana ajaran Islam bukanlah ajaran yang jumud dan kuno, sebaliknya Islam adalah cara hidup yang sejagat dan bertamadun.

10. Memegang anjing, bergaul mesra dengannya, tetap bukan cara terbaik untuk menunjukkan bahawa Islam ini indah. Keindahan Islam terdapat pada larangan membela anjing. 

Tuesday, September 2, 2014

Membina Negara - Kebebasan Beragama

Jika kebebasan bersuara dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dalam perkara 10, maka perkara 11 Perlambagaan Persekutuan Malaysia pula menjamin hak kebebasan beragama. Selalu dipersoalkan, jika seorang Muslim boleh mengajak orang-orang bukan Islam untuk memeluk agama Islam, mengapa orang-orang bukan Islam tidak boleh mengajak orang Islam untuk murtad? Kenapa orang Islam punya mahkamah sendiri yang menghalang orang-orang Islam untuk tidak mengamalkan Islam atau murtad?
Adakah kita, sebagai orang Islam ada jawapan lain selain daripada alasan undang-undang?

Agama Islam adalah agama yang membawa rahmat kepada sekalian alam. Islam bukan hanya untuk diamalkan oleh orang Islam, bahkan keindahan ajaran Islam sesuai untuk praktis semua manusia, sekalipun mereka masih memeluk agama mereka masing-masing. Islam mementingkan hujah, sebab itu Al-Quran sarat dengan hujah dan keterangan yang dapat membantu kita memilih dan membuat keputusan.

Jika kita lari daripada berpandukan Al-Quran, maka kita sebenarnya telah memilih untuk sesat dan binasa. 

Di manakah titik penyelesaian bagi konflik antara agama dan kaum di Malaysia?

Mengapa sehingga ke hari ini, orang-orang Melayu dan Islam sukar untuk mendapatkan pengaruh dan sokongan daripada orang-orang bukan Islam?

Di manakah batas "meraikan" perbezaan antara agama" di Malaysia?

Berdasarkan kepada hakikat ini, kemerdekaan Malaysia sebenarnya hanyalah satu sandiwara. Rakyat Malaysia belum benar-benar merdeka untuk berfikir menjangkaui sempada perbezaan agama dan kaum. Walaupun Negara kita telah 57 tahun Merdeka, pemikiran rakyat terus dikongkong oleh semangat perlembagaan yang feudal dan autokratik.

Jawapan sebenar ada pada Islam.

Kenapa Islam tidak membenarkan orang-orang Islam murtad? 

Sebelum menjawab persoalan ini, kita perlu terlebih dahulu jelas bahawa Islam adalah agama yang benar di sisi Allah Ta'ala. Ia diturunkan kepada seluruh umat manusia melalui utusan Allah, Nabi Muhammad SAW. Ajaran asas dalam Islam tidak pernah ditokok tambah. Hanya sebahagian sahaja yang berubah dari sudut perlaksanaan, tetapi asas setiap sesuatu itu masih kekal seperti dahulu. Misalnya, jika dahulu Al-Quran dihafal, kemudiannya telah ditulis, dan hari ini Al-Quran boleh di dapati secara atas talian. Namun, ketetapan dan keistimewaan membaca Al-Quran, juga kewajipan melaksanakan segala isi kandungannya tidak pernah berubah.

Hal ini, disebabkan oleh, ianya adalah agama yang diturunkan oleh Allah Ta'ala kepada manusia seluruhnya. Allah Ta'ala yang telah menjadikan segala makhluk, bulan, bintang, bumi dan matahari. Segala yang ada di atas muka bumi ini adalah ciptaan Allah. Dia melestarikan alam ini dengan segala peraturan yang telah ditetapkan olehNya. Al-Quran menceritakan bahawa Allah Ta'ala yang menetapkan peredaran dan putaran bumi pada paksinya. Begitu juga silih pergantian malam dan siang, segalanya diterangkan di dalam Al-Quran.

Lalu, untuk manusia Allah Ta'ala menurunkan Al-Quran sebagai petunjuk dan bimbingan. Kenapa diturunkan kepada manusia? Tidak kepada haiwan atau tumbuhan? Kerana hanya manusia sahaja yang memiliki akal, dengan akal manusia membuat keputusan untuk sekalian makhluk. Malah pemimpin di kalangan manusia membuat keputusan untuk sekalian manusia. Jika salah manusia membuat keputusan, maka natijah kerosakan akan dirasai oleh semua makhluk.

Justeru, perintah melarang orang-orang Islam daripada murtad adalah perintah Allah yang telah sedia ada ditetapkan dalam Al-Quran. Ianya bukan pilihan, tapi ketetapan. Sepertimana seorang lelaki tidak boleh memilih untuk berkahwin dengan lelaki, seperti itu jugalah seorang Islam tidak boleh memilih agama selain Islam.

Jika Islam tidak membenarkan, kenapa orang bukan Islam pula dibenarkan masuk Islam?

Merujuk kepada keterangan di atas, ketetapan melarang umat Islam untuk murtad ada di dalam Islam. Ia merupakan perintah agama. Justeru, jika benar seseorang itu ingin mengamalkan ajarannya, dia perlu melihat kepada ajaran agamanya sendiri. Adakah agama selain Islam yang menghalang umatnya daripada murtad?

Jawapannya perlulah kembali kepada kepercayaan masing-masing. Jika tiada dalam ketetapan agama masing-masing, maka untuk melarang orang bukan Islam memeluk Islam bukanlah suatu yang bersifat keagamaan dan melarangnya adalah salah dari segi naluri kemanusiaan. Sedang Islam meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi Allah dalam segala hal, apalagi dalam menetapkan ketetapan yang melibatkan agama.

Namun, di sana masih perlu ada ruang untuk perbincangan dan komunikasi yang berkesan antara agama. Jika ruang perbincangan ini disekat, maka salah faham dan konflik akan semakin berlarutan. Orang Islam dan orang bukan Islam di Malaysia seolah-olah disekat daripada membincangkan isu-isu yang sensitif dan kontroversi. Soalnya, jika tidak dibincangkan, bilakah akan ada penyelesaian?

Sekarang, media telah menyalurkan begitu banyak maklumat berkaitan agama, bukan sahaja agama Islam. Tanpa sedar, filem-filem yang mengenengahkan ajaran daripada agama lain telah banyak disiarkan. Hasilnya, pelbagai konflik tercetus di dalam masyarakat. Filem-filem yang memperkenalkan konsep gay, lesbian, tahyul dan kebejatan sosial juga terlalu banyak mengisi ruangan dalam hiburan dan madia di Malaysia.

Anehnya, segala pemikiran ini lebih mendapat sambutan berbanding usaha untuk menyatupadukan rakyat Malaysia. Usaha menyatupadukan rakyat bermula daripada menggabungkan pemikiran yang berbeza untuk sekurang-kurangnya 'bersetuju untuk tidak bersetuju". Jika perkara kecil ini tidak dapat dilakukan, untuk melihat Negara Malaysia menjadi aman dan sejahtera adalah mustahil sama sekali.

Saya yakin kepada hujah agama saya, kemukakan hujah anda, jika anda rasa anda di pihak yang benar.

Tuesday, August 26, 2014

Membina Negara - Kebebasan Bersuara

Islam adalah negara dan tanah air. Kita masih ingat bagaimana Nabi Muhammad SAW memulakan negara Islam madinah dengan perlembagaan bertulis Madinah. Baginda meletakkan kepentingan negara dan rakyat secara umum sebagai kepentingan bersama. Tiada istilah bangsa dan agama yang istimewa dalam perlembagaan. Bermakna semua diberikan hak sama rata, selagi mereka menghormati perlembagaan dan hak sesama dengan baik.
Jika kita berada dalam sebuah negara yang mempunyai penduduk bukan Islam, agama mereka ialah hak mereka. Budaya dan cara hidup mereka yang tidak melampau dan melanggar perlembagaan adalah hak mereka. Ini disebutkan secara jelas dalam perlembagaan Madinah. Perlembagaan bertulis pertama di dunia.

Adakah Nabi bermaksud meletakkan agama Islam setaraf dengan agama lain? Tidak sama sekali. Sebaliknya, hak manusia perlu dihormati, begitu juga dengan hak Allah, paling perlu dipenuhi. Namun di manakah batas kebebasan mengamalkan cara hidup dan agama masing-masing?


KEBEBASAN BERSUARA

Kebebasan bersuara adalah rukun bagi sebuah negara demokrasi. Ianya juga adalah perkara yang dijamin oleh Islam. Namun, Islam mengenengahkan konsep "Tanggungjawab" bersuara. Bersuara perlu dilihat sebagai suatu amanah dan tanggungjawab kenegaraan. Jika bersuara adalah amanah dan tanggungjawab, maka "mendengar" juga perlu menjadi amanah dan tanggungjawab rakyat mahupun pemimpin.

Inilah gambaran ideal sebauh negara yang berkebajikan. Setiap rakyat, malah setiap makhluk di dalam sesebuah negara yang berkebajikan, dijamin dan dipelihara hak-haknya masing-masing.

Lalu, apa garis panduan yang perlu ada untuk memastikan tiada yang melampaui batasan, (tidak menunaikan tanggungjawab bersuara dengan baik)?

Jika semua manusia mampu menahan diri daripada menyebarkan berita yang tidak sahih, membaca dengan hati yang lapang dan terbuka, kritis dalam menilai sesuatu isu, barulah impian untuk melihat sebuah negara yang berkebajikan akan terhasil.

Malangnya, kita masih mengamalkan sikap prejudis dan sering menyalah-gunakan ruang kebebasan bersuara. Kita menganggap persepsi, sangkaan, dan syak adalah sesuatu yang boleh dipercayai. Sedangkan, sesuatu berita perlu terlebih dahulu dibuktikan. Di sinilah indahnya kalam hukamak, berdiam diri lebih baik daripada berkata yang sia-sia. 

Tanggungjawab Bersuara mementingkan nilai. Setiap perkara dinilai secara objektif dan subjektif hanya digunakan sebagai rujukan, bukan hukuman. Sebagai contoh, cadangan kerajaan perpaduan atau bahasa latinnya konsensus nasional, perlu dinilai dari segi ibjektif perlaksanaan. Individu yang mencadangkan idea ini dirujuk sebagai pencadang, kredibiliti, latar belakang, dan suasana semasa hanya digunakan sebagai rujukan, itupun setelah idea ini dibincangkan secara objektif.

Jika individu pencadang dijadikan tajuk perbahasan, maka idea tersebut telah gagal dibincangkan dengan baik dan berkesan.

Tiada suara yang salah. Jika tiada yang salah, sepatutnya tiada juga suara yang betul. Melainkan ianya adalah daripada Allah dan Rasul. Sebaliknya, apa yang dibincangkan adalah mengikut keadaan dan pendapat semasa. Hari ini, kita terpaksa bersetuju dengan pentingnya teknologi maklumat, walaupun dahulunya kita menganggap ianya sebagai beban dan ancaman. Perubahan sikap ini didorong oleh suasana dan pendapat semasa.

Tanggungjawab bersuara tidak boleh disekat. Bersuara adalah naluri setiap manusia. Jika kita sekat naluri, ibarat menyekat naluri. Apa yang perlu dilakukan ialah mengurus naluri tersebut dengan bijaksana. Di sinilah perlunya kita melantik pemimpin yang adil dan bijaksana. Pemimpin tidak boleh menyekat suara rakyat. Sebagaimana rakyat memikul amanah dan tanggungjawab bersuara, pemimpin juga memikul amanah dan tanggungjawab untuk mendengar kemudian barulah menggunakan kedudukannya untuk memberikan respon yang terbaik.

Bagaimana yang dikatakan melampau? Melampau apabila kita tidak mahu bersuara, dan tidak juga mahu mendengar. Sudahlah tidak mahu mendengar, tidak pula mahu menurut suara yang terbaik. 

Bukan semua perkara boleh disuarakan, kerana jika semua setuju untuk amalkan kebebasan seks, maka kita akan dapati ramai anak yang tidak sah taraf dilahirkan. Siapa anak dan siapa bapanya tidak akan dapat ditentukan, menyebabkan seluruh sistem pendaftaran negara akan kucar-kacir. 

Perkara-perkara naluri dan tabi'i telah ditentukan oleh Islam, bahkan ianya juga diakui benar oleh orang-orang bukan Islam. Hak untuk bersuara ini dijamin oleh Islam, kerana ada tuntutan supaya "saling memperingat", bahkan ada tuntutan yang sangat jelas menyuruh kita supaya "bermesyuarat". Tuntutan ini tidak boleh dilakukan dalam keadaan bisu, perlu ada suara, ataupun bahasa komunikasi yang dapat difahami. Anda tidak mendengar bunyi suara saya, tetapi anda sedang mendengar bisikan kepala saya.

Kita akan bincangkan perkara-perkara tabi'i dan naluri dalam bisikan akan datang.

Seri Iskandar, 26 Ogos 2014, 30 Syawal 1435 

KEADILAN tidak Adil..

Politik ialah seni menyelesaikan masalah. Ia bukan soal siapa, tapi soal bagaimana ia perlu diselesaikan dan penyelesaian yang bagaimana yang perlu dihasilkan.

Politik ialah seni menyelesaikan masalah. Ia bukan soal siapa, tapi soal bagaimana ia perlu diselesaikan dan penyelesaian yang bagaimana yang perlu dihasilkan. 

Macam mana nak tegakkan keadilan buat rakyat, jika keadilan dalam parti pun tidak dapat ditegakkan? Adil ke kalau tuduh baru bicara? Putuskan seseorang bersalah sebelum dibicarakan adalah satu tindakan tidak adil dalam KEADILAN...

Paling tidak adil, mereka yang menyokong ketidak-adilan dalam KEADILAN...

Thursday, August 21, 2014

Salah siapa

Siapa Salah?

Bayangkan seketul batu yg besar, sedang menghalang jalan. Seorang lelaki tersadung kakinya pada batu tersebut, lalu dia menyumpah batu itu.

Soalan, adakah batu itu yang memilih untuk berada di situ? Mampukah batu itu menjawab kembali sumpahan lelaki tersebut?

Siapakah yang sebenarnya bersalah?

Boleh jadi, orang yang mula2 mengalihkan batu itu yang bersalah. Tapi, orang yang melihat batu itu, lalu membiarkan sahaja batu itu di situ juga bersalah. Malah, orang yang telah tersadung, lalu hanya menyumpah tanpa mengalihkan batu juga bersalah.

Nah, begitu juga dalam krisis MB. Siapa yang bersalah?

Kalau dicari, semuanya ada saham tertentu tidak kira kecil atau besar. Persoalannya, haruskah batu besar itu dibiarkan sahaja?

Batu itu adalah halangan bagi kita bersama. Oleh kerana ianya berat, maka kita bersamalah yang perlu bekerjasama mengalihkan.

Harapan rakyat Malaysia ialah sebuah negara yang aman, adil, dan berkebajikan. Halangan kita ialah sifat buruk manusia, sama ada kita mahupun lawan.

Sekarang, ialah masa untuk berubah, dan selamatkan Malaysia..

Ubah sekarang, Selamatkan Malaysia!

Friday, August 15, 2014

Selamatkan Pakatan Rakyat...

Kita berpakat bukan kerana kita, tetapi kerana rakyat. Jadi Pakatan ini adalah pakatan harapan rakyat. Rakyat perlukan pakatan ini, untuk mereka melepaskan diri daripada kezaliman si penguasa. Tindakan zalim si penguasa itu lebih perlu dihentikan.

AlhamduliLlah, ada satu cabaran baru buat Pakatan Harapan Rakyat. Kita diajar, konflik itu adalah satu peluang bukan semata-mata masalah, maka dalam konflik Kerajaan Negeri Selangor ini juga, konflik perlu dilihat sebagai peluang. 

Ramai yang menyasarkan kepada peluang untuk "penapisan", tapi saya lebih suka kita sasarkan kepada peluang untuk pengukuhan. Ini kata budak hingusan seperti saya. Kami anak muda sangat tidak gemar melihat ayahanda, kekanda kami bergaduh. Kami lebih suka kepada perdamaian. Kami memandang tinggi kebijaksanaan kalian untuk mencari titik persamaan yang baik, sekurang-kurangnya untuk menyelamatkan harapan rakyat agar sebuah negara yang adil dan berkebajikan dapat dibentuk bersama.

Apa yang kita perlukan ialah sedikit kesabaran, dan kesudian untuk mendengar. Jika kita buka mata, telinga dan dada kita, insyaAllah kita akan nampak hikmah sebenar yang jauh lebih indah dan besar untuk manfaat kita bersama.

PAS pada awalnya menyokong TSKI untuk dikekalkan sebagai MB. Ini adalah pendirian sebelum berlakunya pemecatan. Kerana MB ini adalah amanah rakyat. Adakah kita boleh mengubah, dengan menaikkan atau menurunkan sesiapa yang kita mahu sewenang-wenangnya dari kedudukan MB?

Baiklah, sekarang TSKI bukan lagi sebahagian daripada PR kerana beliau sudah keluar dari PKR. Tali perhubungan beliau dengan PR di Selangor pada ketika ini hanyalah sebagai seorang MB kepada 4 exco daripada PAS. Jika 4 exco ini menarik diri, maka mungkin tiada lagi hubungan beliau dengan PR dan beliau dengan sendirinya hilang sokongan dan DUN mungkin terbubar disebabkan tiada lagi sesiapa yang bersama beliau. Jika ADUN PAS ini tidak hadir, itulah yang akan berlaku.

Malangnya, tindakan adun PAS yang bersama TSKI dilihat sebagai satu usaha membelakangkan kepentingan PR kerana PR sudah tidak mahu TSKI sebagai MB. Padahal, apa yang mereka lakukan ialah meneruskan urusan pentadbiran kerajaan Negeri Selangor yang telah diamanahkan oleh Sultan, hasil mandat yang diberikan oleh rakyat. Dalam masa yang sama, mengelakkan berlakunya pembubaran DUN disebabkan MB sudah hilang sokongan.

Pembubaran DUN adalah satu malapetaka bagi PR di saat simpulan yang sedang semakin berselirat ini masih belum dirungkai. Melulu sering menjadi sebab kepada kehancuran. Kita perlukan masa bertenang. 

Maka PAS mengambil langkah memanjangkan tempoh bertenang, sambil mencari punca dan cuba meleraikan apa yang berselirat. Kita sangka mereka sedang nyenyak tidur, atau bermanis muka menyambut tetamu hari terbuka, sedangkan apa yang sebenarnya berlaku, belum ada dalam maklumat kita. Sebab itu, kita perlu bertenang. Antara yang sedang dilakukan, ialah pertemuan penting dengan Stake Holder krisis ini.

PKR dan DAP juga tidak boleh kita salahkan sepenuhnya. Apa yang kita nampak, orang lain tidak nampak kerana orang lain ada mata mereka sendiri. Kitalah yang perlu menceritakan apa yang kita nampak. Maka, sekali lagi, sebelum keputusan di buat, segala perkara perlu terlebih dahulu diperjelaskan kepada mereka yang penting dan berkepentingan. Masalahnya, kita yang menunggu di bawah ni, sudah panas punggung dan mengetab bibir dek perbahasan dan perbincangan yang tiada hujungnya.

PAS akan bersama dengan Pakatan Rakyat. Kepentingan rakyat dalam isu Selangor ini adalah yang utama bagi PAS, selepas kepentingan individu. Selepas TSKI dipecat, PAS perlu ada pendirian lain, kerana TSKI bukan lagi dalam Pakatan Rakyat. 

Apa yang berlaku, PAS sedang mencari jalan keluar, kerana calon yang dikemukan oleh PKR sebagai ganti TSKI juga tidak akan dapat menyelamatkan keadaan. Alasannya, belum dapat didedahkan kerana ianya melibatkan masa depan PR bersama.

Dua adun yang menyokong DSWA juga tidak perlu dipersalahkan sepenuhnya. Mereka mungkin salah seorang mangsa tikaman masa yang seakan enggan berdetik ketika ini. Kita sendiri merasakan terlalu lama untuk sampainya hari Ahad. Padahal, hari ahad hanya dipisahkan dengan beberapa kerlipan mata.

Saya optimis, akan ada penyelesaian untuk konflik ini. Saya, dan jutaan rakyat Malaysia amat memerlukan Pakatan Rakyat untuk kita selamatkan Malaysia. Kita sedang berada di persimpangan terakhir sebelum sampai ke Putrajaya, Ayuh Ubah Sekarang Selamatkan Malaysia....

Saya akan tetap bersama PAS...





Monday, June 23, 2014

Patah Belum Tumbuh, Hilang sukar dicari ganti...

Pertama kali aku mendengar namanya ialah ketika masih di UKM. Beliau dikenali sebagai seorang tokoh yang sentiasa ingin  membawa kesegaran kepada dakwah dan perjuangan. Ditahan di bawah akta keselamatan Dalam Negeri, sudah cukup menjadi bukti bahawa beliau digeruni oleh lawannya. Sudah tentu, beliau disegani oleh rakannya.

Aku berpeluang bekerja terus di bawahnya ketika dilantik menjadi Setiausaha Kerja bagi Sukarelawan Pendidikan Rakyat, KAWAN. Beliau sebagai pengerusi, merupakan nadi utama yang menggerakkan kami semua. Idea dan cadangan beliau tidak putus mengalir mencurah-curah. Semangat dan keazaman beliau jauh mengalahkan kami orang-orang yang jauh lebih muda berbanding beliau.

Ustaz Dato' Abu Bakar Chik, pemergian beliau ditangisi seluruh pendokong gerakan Islam di Malaysia. Beliau ibarat pelita yang menerangi arah gerakan baik pemuda, apalagi dalam menggerakkan agenda pendidikan di Malaysia. Belum ada seminit pertemuanku dengannya yang tidak diisi dengan idea dan pandangan mengenai gerakan. Beliau menasihatkan kami, ketika kali terakhir kami bertemu dengannya, 1 Jun 2014 yang lalu, agar terus melibatkan diri dalam gerakan. Gerakan memerlukan pekerja, dan kitalah pekerja tersebut. 

Ya Allah, tempatkanlah roh Ustaz Abu Bakar Chik di kalangan hambaMu yang soleh, berikanlah kesabaran kepada ahli keluarganya dan gantikanlah yang hilang dengan sesuatu yang lebih baik buat keluarganya dan kami semua yang merinduinya... Ameen.



Wednesday, March 12, 2014

Teknologi...

Alhamdulillah... dengan teknologi yang canggih, saya dapat mengemaskini blog yang sudah lama menyepi. Saya kini dapat menulis dengan handphone. (Baru nak berjinak-jinak)

Tapi, bukan teknologi komunikasi yang ingin dibincangkan di sini, sebaliknya, mengenai masalah kecanggihan sains dan teknologi yang berkaitan dengan kehilangan pesawat mh370.

Saya nukilkan di sini, tulisan Ust Hj Muhammad Ismi B Hj Mat Tau
Ib, Ajk Dewan Ulama' Pas Pusat...

Kehilangan mh370 adalah satu tragedi sains dan teknologi, sehingga menggemparkan dunia. Umum mengetahui, pesawat yang sebegitu canggih, malah cukup besar untuk hilang begitu sahaja.

Contohnya, seekor gajah agak mustahil untuk hilang dari pandangan, jika dibandingkan denga  seekor ayam. Langkahnya sahaja sudah cukup untuk dikesan.

Lebih menarik, kehilangan pesawat ini menarik minat kuasa besar dunia untuk menghulurkan bantuan. Ini menunjukkan betapa menarik dan istimewanya kes ini.

Namun, kita tidak boleh mengabaikan kuasa terbesar dunia, iaitu zat yang telah mencipta dunia dengan segala ketetapannya sendiri, iaitu Allah Taala.

Sekalipun ada yang membuat andaian teori konspirasi pihak tertentu, kita tetap tidak boleh lari dari hakikat asal kehidupan iaitu Allah Taala yang menentukan segalanya. Kita perlu yakin dengan ayat Allah, "mereka(musuh) merancang, dan Allah juga merancang, sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik perancang" al-anfal.

Jika kita faham hakikat ini, kita akan terus memberikan fokus kepada tugas utama iaitu mengabdikan diri kepada Allah, dalam masa yang sama kita akan memberikan sepenuh fokus kita juga untuk menguruskan hal-hal penting yang berlaku di sekeliling kita, tidak terkecuali hal kehilangan pesawat mh370.

Malah, ketika negara kita diuji dengan ujian kemarau yang hebat, malah sistem perundangam kita sedang mengalami malapetaka yang dahsyat, kita juga sedang berdepan dengan masalah kenaikan harga barang.

Segala ujian, bala, dan bencana ini perlu dihadapi dengan sabar, ketekunan dalam berusaha, dan paling penting dengan penuh ketaqwaan dan kebergantungan kepada Allah.

Allah Taala adalah sebaik-baik perancang. Pasti ada hikmah, dan hikmah yang terbesar ialah supaya kita kembali menginsafi diri dan kembali mengabdi diri.

Monday, March 10, 2014

Menulis...

Tulisan ini hanyalah ingin membuktikan bahawa saya masih hidup dan blog ini belum mati...

Semoga akan ada kelapanagan untuk terus menulis...

Antara Yang Menarik