Kita berpakat bukan kerana kita, tetapi kerana rakyat. Jadi Pakatan ini adalah pakatan harapan rakyat. Rakyat perlukan pakatan ini, untuk mereka melepaskan diri daripada kezaliman si penguasa. Tindakan zalim si penguasa itu lebih perlu dihentikan.
AlhamduliLlah, ada satu cabaran baru buat Pakatan Harapan Rakyat. Kita diajar, konflik itu adalah satu peluang bukan semata-mata masalah, maka dalam konflik Kerajaan Negeri Selangor ini juga, konflik perlu dilihat sebagai peluang.
Ramai yang menyasarkan kepada peluang untuk "penapisan", tapi saya lebih suka kita sasarkan kepada peluang untuk pengukuhan. Ini kata budak hingusan seperti saya. Kami anak muda sangat tidak gemar melihat ayahanda, kekanda kami bergaduh. Kami lebih suka kepada perdamaian. Kami memandang tinggi kebijaksanaan kalian untuk mencari titik persamaan yang baik, sekurang-kurangnya untuk menyelamatkan harapan rakyat agar sebuah negara yang adil dan berkebajikan dapat dibentuk bersama.
Apa yang kita perlukan ialah sedikit kesabaran, dan kesudian untuk mendengar. Jika kita buka mata, telinga dan dada kita, insyaAllah kita akan nampak hikmah sebenar yang jauh lebih indah dan besar untuk manfaat kita bersama.
PAS pada awalnya menyokong TSKI untuk dikekalkan sebagai MB. Ini adalah pendirian sebelum berlakunya pemecatan. Kerana MB ini adalah amanah rakyat. Adakah kita boleh mengubah, dengan menaikkan atau menurunkan sesiapa yang kita mahu sewenang-wenangnya dari kedudukan MB?
Baiklah, sekarang TSKI bukan lagi sebahagian daripada PR kerana beliau sudah keluar dari PKR. Tali perhubungan beliau dengan PR di Selangor pada ketika ini hanyalah sebagai seorang MB kepada 4 exco daripada PAS. Jika 4 exco ini menarik diri, maka mungkin tiada lagi hubungan beliau dengan PR dan beliau dengan sendirinya hilang sokongan dan DUN mungkin terbubar disebabkan tiada lagi sesiapa yang bersama beliau. Jika ADUN PAS ini tidak hadir, itulah yang akan berlaku.
Malangnya, tindakan adun PAS yang bersama TSKI dilihat sebagai satu usaha membelakangkan kepentingan PR kerana PR sudah tidak mahu TSKI sebagai MB. Padahal, apa yang mereka lakukan ialah meneruskan urusan pentadbiran kerajaan Negeri Selangor yang telah diamanahkan oleh Sultan, hasil mandat yang diberikan oleh rakyat. Dalam masa yang sama, mengelakkan berlakunya pembubaran DUN disebabkan MB sudah hilang sokongan.
Pembubaran DUN adalah satu malapetaka bagi PR di saat simpulan yang sedang semakin berselirat ini masih belum dirungkai. Melulu sering menjadi sebab kepada kehancuran. Kita perlukan masa bertenang.
Maka PAS mengambil langkah memanjangkan tempoh bertenang, sambil mencari punca dan cuba meleraikan apa yang berselirat. Kita sangka mereka sedang nyenyak tidur, atau bermanis muka menyambut tetamu hari terbuka, sedangkan apa yang sebenarnya berlaku, belum ada dalam maklumat kita. Sebab itu, kita perlu bertenang. Antara yang sedang dilakukan, ialah pertemuan penting dengan Stake Holder krisis ini.
PKR dan DAP juga tidak boleh kita salahkan sepenuhnya. Apa yang kita nampak, orang lain tidak nampak kerana orang lain ada mata mereka sendiri. Kitalah yang perlu menceritakan apa yang kita nampak. Maka, sekali lagi, sebelum keputusan di buat, segala perkara perlu terlebih dahulu diperjelaskan kepada mereka yang penting dan berkepentingan. Masalahnya, kita yang menunggu di bawah ni, sudah panas punggung dan mengetab bibir dek perbahasan dan perbincangan yang tiada hujungnya.
PAS akan bersama dengan Pakatan Rakyat. Kepentingan rakyat dalam isu Selangor ini adalah yang utama bagi PAS, selepas kepentingan individu. Selepas TSKI dipecat, PAS perlu ada pendirian lain, kerana TSKI bukan lagi dalam Pakatan Rakyat.
Apa yang berlaku, PAS sedang mencari jalan keluar, kerana calon yang dikemukan oleh PKR sebagai ganti TSKI juga tidak akan dapat menyelamatkan keadaan. Alasannya, belum dapat didedahkan kerana ianya melibatkan masa depan PR bersama.
Dua adun yang menyokong DSWA juga tidak perlu dipersalahkan sepenuhnya. Mereka mungkin salah seorang mangsa tikaman masa yang seakan enggan berdetik ketika ini. Kita sendiri merasakan terlalu lama untuk sampainya hari Ahad. Padahal, hari ahad hanya dipisahkan dengan beberapa kerlipan mata.
Saya optimis, akan ada penyelesaian untuk konflik ini. Saya, dan jutaan rakyat Malaysia amat memerlukan Pakatan Rakyat untuk kita selamatkan Malaysia. Kita sedang berada di persimpangan terakhir sebelum sampai ke Putrajaya, Ayuh Ubah Sekarang Selamatkan Malaysia....
Saya akan tetap bersama PAS...
1 comment:
There is definately a lot to know about this subject. I love all of the points you've made.
Also visit my blog - Bus Do Belgii
Post a Comment