Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Sunday, April 29, 2018

Ulama, Kejora yang tetap bersinar....


Assalamualaikum..
Alhamdulillah, atas segala nikmatNya menjadikan kita hamba yang beriman dan mengakui akan keesaanNya, segala nikmat melihat, mendengar, menghidu, merasa dan menikmati keindahan alam, sekalipun hanya untuk sementara ini...
Selawat ke atas Baginda SAW, sebagai teladan dan yang telah menyampaikan petunjuk yang benar. Hari ini, manusia berlumba-lumba mendakwa mereka membawa petunjuk yang benar lagi tulen daripada Nabi Muhammad SAW, menunjukkan betapa hebatnya petunjuk yang telah Baginda sampaikan, walhal petunjuk itu sebenarnya membawa rahmat kepada semua golongan yang mengaku mencintai Nabi, dan mengaku tiada Tuhan selain Allah...


Kebenaran hakikatnya hanyalah dari Allah, seperti mana yang dijelaskan oleh Allah, tatkala menyelesaikan perbalahan orang-orang Nasrani dan Yahudi, dirakamkan di dalam Al-Quran dalam ayat 147, Surah Al-Baqarah.


ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡمُمۡتَرِينَ  
"Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah datangnya dari Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu."


Tapi, kita pada hari ini, sebenarnya tidak mengalami masalah dalam mengakui bahawa kebenaran adalah milik Allah, dan disampaikan melalui Nabi Muhammad SAW. Sebaliknya, kita pada hari ini berhadapan dengan masalah huraian kebenaran dan huraian petunjuk yang disampaikan kepada kita, berturutan daripada para Sahabat RA, bersalasilah sehinggalah kepada para Ulama' pada hari ini.


Disebabkan metodologi pemikiran ulama yang berbeza, maka huraian pengikutnya juga berbeza, maka tidak hairanlah kita pada hari ini mempunyai perbezaaan kefahaman dan penerimaan atas sesuatu ketetapan, sekalipun bersumberkan ayat dan hadith yang sama.


Persoalan pokoknya, adakah kita dituntut untuk mempunyai kefahaman dan penerimaan yang sama atau sebaliknya?

Inilah antara hikmah, Al-Quran, sebagai petunjuk yang menjadi mukjizat kekal hingga hancurnya bumi ini, menetapkan perkara-perkara pokok yang tetap dan boleh difahami dengan mudah, begitu juga hukum-hukum yang sebahagiannya amat jelas dan boleh difahami dengan jelas, sebahagian yang lain pula, memerlukan kepada huraian dan terdapat pula perbahasan yang panjang lebar dari kalangan Ulama yang ahli dalam bidang tersebut.


Pengajarannya ialah, Al-Quran meraikan kepelbagaian manusia, dan manusia selagi berpegang dengan dalil yang jelas dari Al-Quran dan Hadith, dengan interpretasi yang tidak menyalahi mana-mana bahagian dari kedua dalil yang tersebut, insyaAllah akan terselamat daripada bahaya "terkeluar" dari jalan yang lurus.


Ini kerana, walaupun isi Al-Quran dan Hadith, menyentuh pelbagai topik dan sudut dalam kehidupan, perbahasannya pula panjang, lebar dan meluas, namun tiada satu bahagian yang menyalahi atau bertentangan dengan bahagian-bahagian yang lain. Pada dasarnya, jika ingin memahami Al-Quran dan Hadith, tidak boleh dari sepotong ayat, atau dari beberapa hadith, sebaliknya pemahaman yang menyeluruh sehingga melihat kepada keseluruhan ajaran yang terkandung di dalamnya, barulah layak untuk membuat huraian atau apa-apa tafsiran mengenainya..


Justeru, dapat difahami dengan jelas, bahawa Ulama yang dikatakan Ulama itu, bukanlah mereka yang menulis beberapa buku hasil pemikiran kritis dan kreatif mereka semata-mata, kerana ribuan Ulama yang telah melepasi zaman mereka, mendalami Al-Quran dan Hadith secara seluruhnya, dan kitab-kitab yang mereka nukilkan memuatkan semua bahagian dalam Al-Quran dan Hadith..


Ulama, bukan calang-calang manusia. Sekalipun mereka berbeza pandangan, perbezaan itu lahir daripada penelitian luar biasa mereka terhadap ayat-ayat Al-Quran dan Al-Hadith. Bukan dari satu dua ayat, atau satu dua buku yang terdapat di pasaran. Untuk menghasilkan satu pandangan apalagi satu karya buku yang mantap dan padat dengan ilmu agama, usahanya bukan calang-calang dan bukan calang-calang orang mampu menyelesaikannya...


Saya merakamkan tulisan ini sebagai ingatan kepada diri saya dan teman-teman yang lain betapa hebat dan tingginya keilmuan para Ulama, begitu juga ustaz-ustaz yang telah mendidik ummah, menyampaikan ilmu agama kepada kita pada hari ini. Perbezaan pendapat dari kalangan mereka tidak boleh sama sekali dipandang remeh, apalagi digunakan untuk menyalahkan satu puak dengan puak yang lain.


Selagi mereka ada hujah dan dalil, disandarkan dengan Al-Quran dan Al-Hadith, maka ada kewajaran dan seharusnya pandangan mereka dihormati, sekalipun tidak mahu dituruti...



Sejujurnya, "mendengar" pandangan itu mudah, "Menurut" dan "melaksanakan" pandangan itu susah. Susah bukan kerana kefahaman yang berbeza, tetapi susah kerana nafsu dan iman yang berbeza...

No comments:

Antara Yang Menarik