GZM kini telah masuk tahun ke 5 penganjuran. Kami mulakan GZM ini mengambil semangat GGV yang memperkenalkan konsep hiburan mendidik jiwa. Lalu kami perkenalkan program GZM sebagai inisiatif mendekatkan pelajar dengan aktiviti yang mendidik jiwa, sambil berhibur dan berekreasi.
Pelbagai bentuk mekanisme dan modus operandi kami jalankan untuk program ini. Paling banyak, aktiviti Qiamullail, bermula dengan kedatangan sebelum maghrib, solat berjemaah, sedikit pengisian, tidur awa dan bangun awal untuk Qiamullail, dan disudahi dengan aktiviti yang sangat digemari oleh anak-anak iaitu bermain.
Bermain ni wajib bagi mereka. Tanyalah mana-mana peserta, apa perkara yang paling menyeronokkan dalam mana-mana program GZM, tentu sekali jawapan mereka adalah slot riadah, selain peluang tidur sambil main dengan kawan-kawan.
Edisi Jun kali ini, mengambil semangat Ibadah Haji yang akan dilaksanakan pada bulan hadapan, kami bawakan GZM: Kembara Haji. Ini penganjuran kali ke-4.
Dalam penyampaian kami, perkara paling utama yang kami nak terapkan kepada peserta ialah Hidup Bertuhankan Allah. Memang banyak yang perlu kita ajar, dan banyak yang perlu kita terapkan, tapi andainya yang banyak ini semuanya tidak mampu atau tidak sempat diserap oleh peserta, paling tidak, mereka diterapkan dengan nilai Tauhid, agar terpandu kehidupan mereka selepas ini.
Memang, untuk peserta kanak-kanak dan remaja, tidak banyak perkara yang boleh kita ajarkan dan sampaikan, malah tidak banyak yang melekat, tapi ini misi penting kami kepada anak-anak peserta program ini, agar jadilah apa pun, pergilah ke mana pun, sampai bila-bila pun, ingatlah hidup ini indah apabila bertuhankan Allah.
InsyaAllah kami akan update program dari masa ke masa..
Pendaftaran dah tutup, kami hadkan kepada 150 peserta sahaja pada kali ini.
No comments:
Post a Comment