Islam agama yang diiktiraf
Sesungguhnya umat Islam pada hari ini seharusnya berasa syukur dan berpegang teguh dengan ajaran yang telah diperturunkan oleh Allah S.W.T. melalui perutusan Nabi Muhammad S.A.W. dan kitab Al-Quran. Kerana sesungguhnya agama yang benar di sisi Allah Tuhan sekalian alam hanyalah agama Islam. Bukan sahaja diiktiraf di dalam Al-Quran, golongan cerdik pandai, alim-ulama’, malah kejadian alam ini juga menjadi saksi akan kebenaran risalah ini.
Sekatan kerana kasih dan sayang
Agama Islam juga adalah satu-satunya agama yang amat menyayangi penganutnya. Peraturan yang diperintahkan, larangan yang dikeluarkan bukanlah semata-mata untuk menyekat kebebasan penganutnya, akan tetapi untuk membimbing dan meminpin manusia seluruhnya untuk terus berada di atas landasan panduan hidup yang benar. Juga untuk melindungi manusia dan juga ala mini daripada kebinasaan, kehancuran dan malapetaka.
Jika seandainya seorang anak ingin keluar bermain di waktu malam yang gelap dan sunyi, sudah tentu ibu bapanya melarang dan tidak membenarkan dia keluar. Malah ada kalanya ibu bapa kita juga menghalang kita daripada bertindak sesuka hati. Tindakan ibu bapa kita ini bukanlah untuk menyekat kebebasan kita, akan tetapi kerana kasih dan saying mereka kepada kita. Perkara sebaliknya berlaku apabila ibu bapa terlalu memanjakan anak mereka hingga akhirnya anak mereka itu hilang kawalan dan terdedah kepada bahaya seterusnya terjerumus ke lembah kebinasaan.
Bentuk keadilan Islam
Keadilan yang terdapat dalam ajaran Islam juga tiada tolok bandingnya. Bahawa adil itu ialah meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Jika kita punya anak, seorang lelaki dan seorang perempuan, sudah tentu layanan yang adil perlu diberikan kepada keduanya. Misalnya jika kita ingin membelikan mereka pakaian baru untuk sambutan hari raya, anak lelaki dibelikan baju Melayu, dan anak perempuan diberikan baju kurung. Jika anak lelaki berbadan besar dan anak perempuan berbadan kecil, saiz baju keduanya juga sudah semestinya berbeza mengikut kesesuaian. Inilah bentuk keadilan yang ditegakkan oleh Islam.
Adil itu bukan dilihat dari kaca mata kita, akan tetapi dilihat secara keseluruhan dari segenap segi. Tambahan pula untuk perkara yang kompleks yang melibatkan manusia seperti system kehakiman, pernikahan, dan banyak lagi. Islam memberikan petunjuk dan panduan yang lengkap kerana sememangnya manusia tidak mampu untuk berlaku adil apatah lagi untuk membuat penilaian tehadap hukuman dan peraturan yang kompleks dalam kehidupan sehari-hari.
Kehebatan Nabi Muhammad S.A.W.
Bukti kebenaran ajaran Islam ini sudah jelas hasil daripada kajian saintis, juga kajian cendekiawan Islam dan Barat. Dunia mengakui bahawa Muhammad Bin Abdullah S.A.W. adalah insan yang paling agung. Terlalu banyak pengiktirafan yang diberikan kepada baginda Rasullullah S.A.W. kerana sememangnya baginda menunjukkan contoh tauladan yang terbaik bagi seorang manusia meliputi segenap aspek dalam kehidupan. Bermula dari system kekeluargaan, ekonomi, perundangan, pemerintahan psikologi, politik, sehinggalah kepada aktiviti seharian seperti makan, minum, tidur hatta adab ke tandas juga diajarkan oleh Baginda S.A.W.
Al-Quran melampaui sains dan zaman.
Kajian saintis mengenai keterangan Al-Quran dan hubungkaitnya dengan system alam ini juga menunjukkan kebenaran ajaran Islam. Kira-kira 1400 tahun dahulu Al-Quran telah pun menyebut mengenai system saraf dan deria yang terdapat pada kulit manusia. Sedangkan kajian saintifik mengenai perkara ini hanya bermula sekitar 300 tahun yang lalu. Kajian mengenai kejadian manusia, kewujudan alam, peredaran bintang, sifat bumi, bulan dan matahari semuanya dinyatakan di dalam Al-Quran. Belum ada satu ayat pun yang terkandung dalam Al-Quran yang bercanggah dengan bukti dan penemuan saintifik.
Krisis Umat Islam
Namun keadaan umat Islam pada hari ini begitu jauh menyimpang dari aras ketamadunan yang terkandung dalam ajaran Islam. Pengakuan Islam yang kita lafazkan, mahupun identity Islam yang tertera pada kad pengenalan ternyata digunakan sebagai jalan pendek untuk mengaut kepentingan dunia semata-mata. Ada yang menggantung ayat-ayat Al-Quran sebagai pelaris, ilmu agama untuk menipu dan memperdaya, bahkan ada yang kononnya pengamal Islam, menggunakan ilmunya mendakwa diri memiliki kesaktian, lebih teruk mengaku diri sebagai Tuhan.
Islam dan keganasan
Maka timbullah pelbagai tafsiran dan salah tanggapan masyarakat terhadap ajaran Islam. Gelaran pengganas, anti-modenisasi, penindas wanita, jumud dan kuno adalah label-label yang sinonim dengan Islam. Peliknya, gelaran-gelaran datangnya bukan sahaja daripada orang bukan Islam, malah dating dari orang Islam yang ternyata pendek dan dangkal imunya mengenai Islam.
Cerminan Muslim sejati
Justeru itu, tanggungjawab kitalah sebagai orang Islam, untuk kembali memperbetulkan keadaan. Kita diberikan kelebihan oleh Allah Ta’ala dengan nikmat Islam dan Iman, juga dikurniakan ilmu pengetahuan yang sedikt-sebanyak membantu kita membezakan antara yang baik dan yang buruk. Maka tanggungjawab untuk memberikan cerminan terbaik Islam melalui tingkah-laku dan pemikiran adalah menjadi hak kita. Insan terpilih seperti kita inilah yang seharusnya berusaha untuk membuang label-label negative yang dikenakan terhadap Islam.
Bekalan sepanjang perjalanan
Kita punya 1000 peluang dan kekuatan untuk mengembalikan diri kita dan manusia seluruhnya kepada Islam, namun kita juga punya 1000 langkah dan masalah yang perlu kita hadapi untuk sampai ke saat itu. Bermula dari masalah perpecahan Umat Islam, kedangkalan ilmu pengetahuan umat Islam, kemunduran dan kekurangan penguasaan terhadap ekonomi dan politik umat Islam, sehinggalah kepada pertembungan secara langsung mengenai ideology dan pemikiran manusia yang ternyata telah jauh tersesat dan celaru.
Sejauh mana pun perjalanan, banyak mana pun cubaan, sesukar mana pun dugaan, sepayah mana pun simpulan yang ada takkan tercapai dan terhurai sekiranya masing-masing di antara kita terus kaku memeluk tubuh dan kelu apabila tuduhan dan cacian dilemparkan terhadap agama Islam.
Kesatuan yang tuntas perlu dicapai dengan kadar yang segera agar dikalangan umat Islam ini punya jaringan perhubungan yang mantap dan utuh. Melalui jaringan ini, beban tugasan dan masalah akan dapat dialirkan dengan baik, komunikasi pertukaran dan percambahan idea akan berlaku, saluran ilmu dan pengetahuan juga akan memberikan manfaat yang banyak kepada umat Islam.
Perlumbaan dan persaingan yang sihat juga perlu sentiasa wujud di kalangan umat Islam bagi merebut segala khazanah ilmu dan harta yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala kepada hambaNYa. Dengan ilmu Allah Ta’ala akan memberikan kita kedudukan di akhirat, dengan ilmu jualah Allah Ta’ala akan memberikan kita kelebihan di dunia.
Kekuatan Asas Umat Islam
Ternyata perkara yang paling asas di antara yang asas, adalah keimanan dan keyakinan kita kepada Allah Ta’ala. Kebenaran Aqidah Islamiyyah adalah perkara pertama yang perlu kita kuasaai. Meyakini tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah Ta’ala dan Nabi Muhammad S.A.W. rasul utusanNYa adalah kunci kepada segala-galanya. Kunci inilah yang pastinya akan membuka jalan dan pintu kepada segala masalah yang kita hadapi. Keyakinan bahawa sumber kekuatan dan kelebihan itu datangnya dari Allah adalah tunjang yang perlu kita semat baik-baik dalam hati dan sanubari kita.
Tentunya esok bukanlah hari untuk kita tuai hasil usaha yang kita lakukan hari ini, namun apa yang pasti ialah setiap tindakan dan usaha kita yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah S.W.T. akan dibalas dengan ganjaran yang setimpal. Bersama-samalah kita berusaha dan berdoa agar dipermudahkan Allah Ta’ala jalan dan pelayaran kita di dunia ini agar selamat dilabuhkan tirainya di akhirat nanti.
Taybah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Antara Yang Menarik
-
DEFINISI Sirr dari segi bahasa bermaksud rahsia, sementara Hazar bermaksud kewaspadaan. Antara perkara yang wajib ada pada sesebuah geraka...
-
Mungkin ada yang pernah berkata, "Zaman sekarang susah nak cari orang yang jujur. Masing-masing akan berlumba mengejar dan menjaga kep...
-
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palesti...
-
Bulan Ramadhan merupakan bulan yang dilipat gandakan segala ganjaran amalan, di tutup pintu neraka dan dibuka pintu syurga. DIjanjikan oleh ...
-
Dipetik dari blog Bila Bunga Melayang AL-FATIHAH MOGA ROH AS-SYAHID IBRAHIM MAHMOOD DICUCURI RAHMAT Mengimbau kembali p...
No comments:
Post a Comment