Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Thursday, April 23, 2009

Diam Membuta Tuli atau Bising Membetuli??



Budaya ketimuran yang diamalkan di Malaysia merupakan budaya warisan yang berabad lamanya. Semenanjung tanah melayu terkenal dengan kesantunan bahasa dan pekerti mulia rakyatnya. Setiap pergerakan dan bual bicara akan diatur sesopan mungkin supaya tiada pihak atau individu yang terasa.

Namun begitu, adat dan budaya ini seakan telah diamalkan pada tempat dan cara yang tidak tepat. Orang Melayu khususnya, didapati lebih gemar "menegur" di belakang peribadi yang dimaksudkan berbanding menegur di hadapan kerana risau akan mencetuskan ketegangan. Hal yang sebegini, ada buruk dan baiknya. Ada masa-masa tertentu kita perlu berdiam diri dan tidak perlu menegur, tetapi dalam kebanyakan tempat, suara kita perlu dibunyikan supaya dapat mengelakkan keadaan yang lebih teruk.


Sebagai seorang Islam, kita dilarang sama sekali mengutuk, menghina atau memperkatakan sesuatu untuk menjatuhkan peribadi orang lain. Apalagi dengan tujuan mengaibkan dan menjatuhkan air muka. Dengan kaedah yang sebaik mungkin, kita perlu menegur supaya teguran itu dapat diterima dan diperbetulkan. Situasi seperti ini hanya relevan untuk perkara-perkara yang berkaitan dengan peribadi.

Contoh, kita terlihat seorang ustaz yang sedang mengajar, tidak menutup zip seluarnya dengan rapat, maka sebaiknya kita memberi amaran supaya dapat menjaga kehormatan dan air muka ustaz tersebut, melalui sms, surat layang, kenyitan mata, atau apa jua kaedah yang tidak mendedahkan aib ustaz tesebut.

Ataupun, sekiranya kita ternampak seorang sahabat yang sedang bersiar-siar, berbual rancak tanpa batasan dengan seorang wanita yang tidak kita kenali. Maka dalam situasi ini, kita perlu menyelesaikan salah faham, dengan cara bersemuka, bukan menggunakan siaran radio, blog, ataupun rancangan melodi untuk menegur perbuatan tersebut.


Walaubagaimanapun, sebagai seorang Islam, kita tidak boleh sesekali membiarkan perkara-perkara terkutuk terdengar di telinga kita, apalagi kalau berlaku di depan mata kita sendiri. Wajib ke atas kita untuk membetulkan keadaan supaya tidak membawa mudarat yang lebih besar.

Misalnya, kita terdengar seorang ustaz, menceritakan kepada pelajar-pelajarnya bahawa Islam Hadhari merupakan ajaran yang relevan dengan kondisi umat semasa sambil menekankan bahawa kesemua 10 prinsip Islam hadhari ini perlu dihayati dalam konteks negara Malaysia yang membangun dan majmuk masyarakatnya. Maka, kita tidak boleh membiarkan ustaz itu terus bercerita sekalipun terpaksa berdepan dan bersuara lantang. Mudarat terhadap pendengar dan kesan yang berpanjangan hasil daripada penceritaan ustaz itu perlu dihentikan segera.

Dalam kes salah laku, dan salah guna kuasa di kalangan pemimpin juga, perlu diselesaikan dengan sebaik dan sesegera mungkin. Segera, jika perkara itu amat menarik perhatian. Ini bagi mengelakkan kesalahan itu berlarutan dan berjangkitan terhadap rakyat atau keompok yang dipimpin.

Perlu diingat, umat Islam dilarang menjatuhkan air muka dan menghina peribadi orang lain. Namun, kita juga dilarang berdiam diri apabila berlaku sesuatu yang tidak betul di sekitar kita. Hadith Nabi menyatakan, barangsiapa yang tahu dan berupaya tetapi menyembunyikan kebenaran, dia adalah syaitan yang bisu.

"Dan tidaklah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar)." Al-Furqan,25:56.




No comments:

Antara Yang Menarik