Percayakah kita akan kewujudan Tuhan?
Bagaimana kita menerima adanya Tuhan dalam kehidupan seharian kita?
Di manakah kita letakkan Tuhan dalam perancangan dan tindakan kita sehari-hari?
Apakah kesan pandangan Tuhan terhadap pergerakan dan perilaku kita setiap waktu dan ketika?
Seandainya timbul masalah, panduan Tuhan menjadi rujukan yang ke barapa?
Apa pula yang kita faham mengenai Panduan Tuhan?
Retorika manusia akan memberikan jawapan yang paling sedap untuk didengar. Malah manusia mungkin akan menyangka bahawa mereka memiliki jawapannya dan sedang memanifestasikan jawapan tersebut dalam kehidupan mereka sehari-hari.
Kita sebenarnya dicipta oleh Tuhan, maka Tuhan sahaja yang benar-benar faham mengenai masalah kita. Dia sahaja yang layak menentukan apa yang baik dan apa yang buruk. Bermula daripada sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara, semuanya berada di dalam genggamanNya. Dia Maha Penentu, Maha Melihat, dan Maha Mengetahui. Setiap kejadian disuratkan hikmah yang tersirat.
Dunia pada ketika ini berada di ambang kemusnahan. Perubahan fizikal bumi dan corak kehidupan social manusia sudah semakin ketara dan semakin tidak menentu. Manusia sudah tidak lagi mampu mengawal persekitaran mereka. Pengkaji cuaca sudah semakin sukar meramal keadaan, pemimpin sudah hilang kepercayaan rakyatnya, ibubapa hilang kawalan terhadap anak-anak mereka, dan segala sumber yang asalnya dicipta untuk kemudahan manusia sudah mula bertindak sebaliknya.
Di saat seperti inilah, pertolongan dan panduan Tuhan sangat-sangat diperlukan. Kita perlu meletakkan panduan Tuhan di tempat yang paling tinggi dan memainkan peranan yang paling utama. Perlembagaan ciptaan manusia selamanya tidak akan dapat menyelesaikan masalah. Kembali kepada rujukan dan contoh panduan yang diberikan.
Meyakini dengan sepenuhnya dan sesungguhnya bahawa kita hanya memerlukan belas ihsan dan pergantungan kepada Allah. Menjadikan pandangan Allah sebagai pandangan kita, hukuman Allah sebagai hukuman kita, kepentingan dan keutamaan Allah sebagai kepentingan dan keutamaan kita.
Barangsiapa yang diberikan Allah petunjuk dan kemudahan, tiada siapa yang akan dapat menyesatkan dan memberi kesusahan. Sebaliknya jika seseorang itu dikehendaki Allah akan kesesatan dan kesulitan, tiada siapa yang akan dapat memandu dan memberi penyelesaian.
Sebab itu Farid, Sebagai seorang muslim dan muttaqin, anda perlu teruskan usaha memperbaiki diri dan memahami petunjuk yang telah tersedia di depan mata. Berfkir dengan sebaiknya, menilai dengan seadilnya, bertindak dengan penuh bijaksana dan meneruskan hidup sekalipun sukar. Pejuang Allah, tidak takut celaan orang yang mencela… Teruskan berlari, apabila penat berjalan, tapi jangan sesekali Berhenti!!! Ameen..
No comments:
Post a Comment