Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Sunday, May 10, 2009

Tolong aku ulangi betul, kurangi salah gerak hidupku...


Jika sumpah itu amalan yang tidak dikeji, maka sudah pasti manusia akan mendapati bahawa Akulah orang yang paling banyak bersumpah. Sambil tanganku digenggam erat, aku menyeru kepada seluruh manusia, "Dunia ini sudah tiba kepada klimaks kekusutan minda dan perilaku warganya!".

Kegagalan fungsi mata, telinga, hati dan segala deria yang telah dikurniakan FOC oleh Tuhan, menambah rumit kusut masai pergolakan manusia. Hanyut di tengah arus buatan minda ciptaan karut pemikiran mereka. Walhal arus Tuhannya sentiasa mengalir segar secapai tangan menggapai.

Manusia, sekalipun reti bahasa yang indah untuk ditutur, faham perihal kesucian dan kesaktian bahasa alam tetapan Tuhan, masih menuturi kesat, loghat akal yang menyesatkan.

Akal telah sekian lama menggulingkan Tuhan dari takhta keputusan jalan kehidupan. Kerajaan Hati dipimpin nafsu yang kelaparan. Tiada ruang walau sekecil lubang tirisan untuk cahaya iman. Sekalipun ada, hadirnya tidak ubah bak cahaya bintang, terkadang berkelip, kerapnya malap dilitupi awan.

Tuhan, hati ini penuh dengan kehitaman. Jangan Kau tambahkan malangku Ya Allah dengan melunaskan tuntutan nafsuku yang tiada berkesudahan. Kau sinarilah Hati ini dengan cahaya HidayahMu, bak terangnya bumi dipancari suriaMu.

Kau mudahkanlah jalanku menghampiriMu, agar ingatanku tidak terpaling dari redha dan kasihMu. Leburkanlah dosa dan silapku, agar terpadam api murka nerakaMu. Golongkan aku dalam puak kanan yang mencintaiMu. Ameen.

1 comment:

imah_adiputri said...

Kau mudahkanlah jalanku menghampiriMu, agar ingatanku tidak terpaling dari redha dan kasihMu. Leburkanlah dosa dan silapku, agar terpadam api murka nerakaMu. Golongkan aku dalam puak kanan yang mencintaiMu.

ameen~

Antara Yang Menarik