Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Tuesday, December 1, 2009

BERSAMA MEMIMPIN PERUBAHAN - Bahagian Akhir

Bermula daripada perubahan yang berbentuk fizikal sehinggalah perubahan dari segi mental, emosi dan spiritual, semuanya menuntut kepada satu proses yang sangat panjang. Paling penting, proses itu mestilah berlaku secara konsisten dan berterusan. Apalagi kalau bercakap mengenai perubahan dalam masyarakat.

Memimpin perubahan mestilah bermula daripada individu itu sendiri melalui proses pencerahan pemikiran dan pembentukan jiwa yang besar dan kental. Seorang teman pernah berpesan kepada saya, ketika itu saya berada dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), dia berpesan percakapan manusia itu ada tiga (3) jenis. Bercakap kerana Ilmu, bererti dia bongkak. Bercakap kerana pengalaman, bererti dia sombong, adapun sebaik-baik perkataan itu adalah perkataan yang diucapkan kerana Allah.

Agak lama saya termenung kerana mendengar kata-kata yang sungguh mendalam tersebut. Sesetengah orang merasakan dia harus dan layak bercakap kerana memiliki ilmu yang banyak. Maka percakapan dia sememangnya penuh dengan ilmu dan maklumat. Mungkin dia akhirnya dapat menjadikan orang yang mendengar percakapannya itu tahu dan sedar akan ilmu yang disampaikan.

Sesetengah pula merasakan bahawa pengalamannya yang banyak perlu menjadi pengajaran kepada orang lain. Sudah semestinya bagi mereka yang mempunyai pengalaman akan mampu menceritakan dengan baik pengalaman yang dia miliki. Lanjutan daripada itu, orang ramai akan dapat mengetahui pengalamannya yang menarik itu.

Namun, sekiranya ilmu dan pengalaman semata-mata, tidak mampu memimpin perubahan sekiranya kata-kata itu tidak dilafazkan kerana Allah. Padahal segala ilmu dan pengalaman, datangnya daripada Allah Ta'ala, maka perkataan yang tidak disandarkan kepada Allah Ta'ala adalah perkataan yang kosong dan akan terhenti di dalam kotak akal pemikiran manusia. Sekadar tahu, tidak mampu mencetuskan mahu untuk berubah.

Kita perlu belajar segala jenis ilmu dan menimba seberapa banyak pengalaman sebagai bekal. Namun, biarlah Tuhan yang menentukan keputusan di atas perbuatan, pemikiran, dan percakapan kita.

Dialah, Allah Yang Memiliki hati-hati manusia. Hanya Dialah yang mampu memimpin dan mendidik hati manusia. Hati kita juga di bawah pimpinanNya.

Saya memohon ampun dan maaf daripada Allah Ta'ala di atas segala kekurangan dan kelemahan. Dan bersama Allah Ta'ala jualah Taufiq dan Hidayah.

WaLlahu Ta'ala A'Alam Bis Sawab

BERSAMA MEMIMPIN PERUBAHAN

No comments:

Antara Yang Menarik