Mutakhir ini, banyak berita yang menyedihkan dan mengelirukan. Antara yang paling mengharukan ialah tindakan Kerajaan Malaysia memberikan lesen perjudian kepada Syarikat Berjaya Holdings Sdn Bhd, juga tindakan seorang peguam bukan Islam, Victoria Jayaseele Martin, memohon untuk menjadi peguam syarie.
Pelik tetapi ini yang benar-benar sedang berlaku. Jika dipergiatkan bacaan dan pemerhatian, kita akan dapati sebenarnya terlalu banyak masalah dan isu yang melibatkan kedudukan Islam sebagai satu-satunya cara hidup. Pertama, dari segi hukum yang terdapat dalam ajaran Islam, sering dipertikai dan dipermainkan oleh orang-orang Islam sendiri. Maka tidak hairanlah, jika orang-orang bukan Islam melakukan perkara yang sama. Orang No 1 di Malaysia yang beragama Islam itupun, tidak mampu berbuat apa-apa kerana mungkin dia sendiri menghadapi masalah tertentu dalam persoalan hukum-hakam dalam Islam.
Keduanya, kedudukan agama-agama lain dalam Islam. Termasuklah kedudukan orang-orang bukan Islam di dalam Islam. Persoalan ketiga pula ialah, bagaimanakah yang dikatakan sebagai menerima Islam sebagai cara hidup, bagi orang-orang Islam dan juga orang-orang bukan Islam.
Mengenai hukum, sumber rujukan utama ialah Al-Quran dan As-Sunnah. Adapun kesepakatan (Ijma') para Ulama' (pakar dan ilmuan), kiasan hukum terdahulu yang telah ada nas (Qias), dan sumber-sumber lain seperti adab dan kebiasaan (Uruf) dan laia-lain, disepakati oleh sebilangan Ulama' dan ada juga yang tidak menerimanya.
Namun, secara jelas disebut dalam Hadith Nabi Muhammad SAW, bahawa Al-Quran dan Sunnah merupakan sumber utama dalam menentukan sebarang hukum. Mengikut perlembagaan dalam Islam, sebarang undang-undang mahupun hukum ang bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah adalah terbatal dan tidak boleh dipakai sama-sekali.
Secara jelas, judi diharamkan oleh Islam, maka sebagai pemerintah, perlu menerima undang-undang ini untuk dilaksanakan kepada seluruh manusia. Kerana Islam bukan untuk orang Islam semata-mata, bahkan untuk semua manusia di seluruh dunia. Melaksanakan hukum-hukum yang telah diperintahkan oleh Allah merupakan kewajipan bagi setiap muslim. Apalagi, jika mereka yang memegang kuasa dan jawatan penting dalam kerajaan. Walaupun di sana, ada kelonggaran untuk orang-orang bukan Islam, tetapi jika dipandang dari segi penerimaan masyarakat umum terhadap kegiatan judi, saya teramat yakin bahawa semua manusia termasuk mereka yang berjudi akan mengakui bahawa berjudi itu tidak baik untuk manusia.
Maka, atas dasar apakah lesen judi ini perlu diberikan oleh kerajaan yang dipimpin secara majoriti dan hierarki tertinggi oleh orang Islam?
Seterusnya, mengenai kedudukan agama-agama selain daripada agama Islam. Sebenarnya, tiada agama selain agama Islam. Kerana Islam adalah satu-satunya agama, kepercayaa, dan car hidup manusia. Islam juga merupakan satu-satunya ajaran yang diterima oleh Allah, Tuhan yang menciptakan seluruh alam.
Justeru, secara jelas menyatakan bahawa agama-agama lain sebenarnya tidak layak disebut agama, mungkin sekadar ajaran dan kepercayaan. Bila menyebut tentang agama, perlu di sana hukum-hakam dan cara hidup yang lengkap dan sempurna, serta praktikal untuk dilaksanakan dalam kehidupan.
Walaupun begitu, Islam tidak pernah memaksa manusia untuk memeluk Islam (bersaksi bahawa Tiada Tuhan Yang Layak Disembah Melainkan Allah, dan Bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah). Manusia diberikan pilihan untuk menentukan jalan hidup mereka masing-masing. Jika baik jalan yang mereka pilih, maka baiklah kesudahan dan balasan yang akan mereka terima, jika tidak, maka bersedialah untuk menerima balasan yang setimpal dengan perbuatan mereka.
Sebab itulah, kelonggaran perlaksanaan hukum-hakam Islam ini hanya diberikan kepada orang-orang bukan Islam. Sewaktu Nabi Muhammad menjadi Presiden/Raja di Negara Islam Madinah, Baginda memrintah menggunakan perlembagaan Al-Quran, dan Baginda merupakan contoh manifestasi perlembagaan dalam Al-Quran itu sendiri. Akan tetapi, bagi mereka yang tidak memeluk Islam, boleh memilih sama ada ingin dibicarakan menggunakan undang-undang Islam ataupun undang-undang biasa. Dalam Al-Quran juga ada diperjelaskan mengenai kedudukan rumah-rumah Ibadah orang nasrani dan yahudi, malah ketika dalam perang sekalipun, kita perlu menghormati rumah-rumah Ibadah agama-agama lain.
Timbul persoalan di sini, adakah apabila kita menerima hukum-hukum agama bukan Islam itu bermakna kita memperakui kewujudan dan kedudukan agama mereka? Tidak sama sekali. Kita hanya meraikan mereka, kerana Islam mengutamakan konsep keterbukaan dan toleransi. Indah bukan, toleransi dalam Islam sebenarnya jauh lebih indah daripada apa yang pernah diamalkan oleh kerajaan kita sekarang ini. Keadaan menjadi lebih parah, apabila ramai pula rakyat yang terpengaruh dengan doktrin sesat yang diajarkan oleh kerajaan.
Sekali lagi ditekankan, keterbukaan ini hanyalah untuk orang-orang yang belum memeluk Islam. Adapun, tiada kompromi dari segi iktikad dan aplikasi bagi muslim. Bagi muslim, mereka diberikan rukhsah dalam keadaan-keadaan mudharat. Iaitu kelonggaran dari segi hukum apabila berdepan dengan situasi yang memerlukan mereka melanggar atau melonggarkan hukum-hukum yang telah jelas. Solat, puasa, haji, zakat, perkara halal dan haram, dan bermacam perkara lagi, semuanya terdapat kelonggaran-kelonggaran tertentu apabila berdepan dengan situasi-situasi tertentu.
Namun, untuk menghalalkan sesuatu yang haram, atau mengharamkan sesuatu yang halal, perlu kepada situasi yang benar-benar meruncing dam mengelakkan mudharat sekiranya tidak dilakukan kelonggaran hukum. Sebelum sesuatu fatwa mengenai sesuatu hukum dikeluarkan, perlu kepada kajian yang menyeluruh dalam konteks semasa, jangka pendek dan jang panjang. Yang paling layak menentukan perkara ini, sudah tentunya mereka yang alim dalam bidang tersebut. Sedangkan muslim yang kurang arif juga tidak dibenarkan untuk menentukan hukum sesuka hati, inikan pula mereka yang bukan Islam.
Mengenai isu peguam syarie bukan Islam, bukan sahaja kefahaman, niat dan keadilan yang menjadi persoalan utama di sini, jika benar anda faham dengan undang-undang Islam, maka perkara pertama yang akan anda lakukan ialah memeluk agama Islam itu sendiri.
Jika kita berjaya merungkai persoalan-persoalan di atas, maka dengan mudahnya kita akan mampu menjawab persoalan yang ketiga iaitu bagaimana yang dikatakan menerima Islam sebagai satu-satunya cari hidup bagi orang-orang Islam dan bukan Islam. Pertama dalam persoalan ketiga ini, jika diteliti hanya Islam sahaja yang mengajar umatnya manual lengkap kehidupan.
Pernahkah kita menjumpai kaedah pewarisan harta, hukum hutang-piutang, kaedah menentukan nasab(keturunan), hukum perkahwinan, penentuan halal-haram, kehidupan sebelum dunia, semasa di dunia, dan selepas mati, persoalan spesifik mengenai perhubungan sesama manusia, menguruskan kerajaan, menguruskan harta rampasan perang, dan ratusan masalah-masalah biasa dalam kehidupan manusia? Selain daripada mengajarkan secara teliti kaedah ibadah yang perlu dilaksanakan oleh setiap orang yang beriman, seperti solat, puasa, umrah, zakat, haji dan sebagainya.
Dalam bab perundangan misalnya, tamadun bukan Islam, menyedari kepentingan "Natural Justice" hanya setelah berlakunya krisis pembersihan etnik terbesar atau dipanggil sebagai holocaust, hampir 1300 tahun selepas Islam memperkenalkannya melalui Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad. Dalam banyak ayat Al-Quran, Allah Ta'ala menjelaskan mengenai kepentingan berlaku 'adil dan berbuat baik. Al-Quran juga menjelaskan fenomena kejadian alam dan manusia secara tepat menurut kajian saintis.
Tiada ragu mengenai ketepatan fakta, juga tiada ragu dari segi kebenaran dan kerelevanan akta yang terdapat dalam Al-Quran dan Sunnah. Natural Justice yang diperkenalkan juga, tidak mampu menyelesaikan masalah undang-undang, apalagi nak menegakkan keadilan.
Sebagai orang Islam, tiada ragu lagi bahawa kita perlu menegakkan hukum Allah di atas muka bumi ini. Bagi mereka yang tidak mahu memeluk Islam, kaji dan telitilah ayat-ayat Allah supaya jelas bahawa hukum-hukum dan undang-undang Islam adalah yang terbaik dan satu-satunya cara hidup manusia.
Semoga Allah Ta'ala memberikan hidayah dan petunjuk kepada kita, juga kepada orang-orang yang bersama kita, dan kepada manusia seluruhnya. dan menjadikan kita asbab bagi orang-orang yang diberikan petunjuk.