Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Thursday, August 4, 2011

Amanah

Sebagaimana kalamNya di dalam Al-Quran, "sesungguhnya Allah tidak memberatkan kamu kecuali dalam limitasi kemampuan kamu sendiri," Al-Baqarah, 2 : 286. Maka setiap manusia sememangnya ada kemampuan dan keupayaan yang tersendiri. Paling menarik, gabung jalin kemampuan inilah sebenarnya yang membentuk ketumbukan yang hebat seperti di zaman RasuluLlah SollaLlahu 'Alaihi wa sallam. Sinergi yang dibentuk oleh Nabi Muhammad SAW bersama para Sahabat, telah meletakkan Islam tertinggi mengatasi segala jenis kekuasaan, fahaman dan ideologi.

Pengajaran yang boleh diperolehi daripada ayat di atas, salah satunya ialah kita wajib mengenal pasti potensi dan posisi kita masing-masing. Ayat di atas, sebenarnya bertujuan memberikan galakan dan rangsangan motivasi untuk manusia mencuba dan memberikan yang terbaik dalam hidup. Kenapa Allah Ta'ala menyebut "tidak akan membebankan kita kecuali dengan apa yang mampu kita lakukan"? 

Pertama, untuk menyedarkan kita bahawa setiap cabaran, dugaan dan ujian yang datang itu sebenarnya bersifat mampu-dihadapi. Benar, tiada yang mustahil dan setiap penyakit apalagi masalah, tetap akan ada penawar dan penyelesaiannya.

Kedua, sebagai rangsangan untuk memberikan yang terbaik dalam hidup dan di dalam setiap pekerjaan. Bahawa kemampuan manusia sebenarnya adalah jauh lebih hebat daripada apa yang dia sangka. Tidak terjangkau dek akal. Seolah-olah ingin memberitahu kepada kita bahawa, semuanya mampu kita selesaikan selagi kita mahu berusaha. Kemampuan kita tidak terhad selagi kita mahu untuk mencuba.

Begitulah halnya dengan amanah. Manusia, sekalipun tidak memegang apa-apa jawatan sentiasa memikul amanah daripada Allah. Manusia merupakan wakil Allah di atas muka bumi ini. Setiap manusia, memikul tanggungjawab asasi iaitu, menegakkan Islam dan mentadbir dunia ini dengan cara hidup Islam.

Sekiranya kita tidak terpilih untuk memegang apa-apa jawatan sekalipun, tanggungjawab asasi ini tetap perlu dipikul dan sentiasa berada di atas bahu kita semua, tanpa kita sedar atau tidak, dan tidak peduli sama sekali adakah kita mahu ataupun tidak.

Mungkin, ada manusia yang dimuliakan oleh Allah, maka dikurniakan pelbagai kelebihan sehingga dia mampu memimpin orang lain, seterusnya membawa perubahan ke atas dunia dan seluruh warganya. Seperti mana yang telah dilakukan oleh para Nabi dan Rasul yang terdahulu. Kesemua mereka pernah melakar sejarah agung yang tersendiri.

Namun begitu, sekalipun tiada lagi Nabi atau Rasul, selepas Nabi Muhammad SAW, tetap akan ada manusia yang dipilih dan dimuliakan oleh Allah untuk melakukan perubahan dan pencerahan kepada manusia di dunia ini. Tiada satu zaman pun yang terlepas daripada dilahirkan seorang Mujaddid, yang bertanggungjawab melakukan pencerahan terhadap agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Sehingga kini, sumbangan para ilmuwan dan pejuang Islam yang terdahulu telah meninggalkan kesan yang sangat dalam dan penting terhadap kehidupan kita. 

Ini cerita dahulu. Sekarang, masing-masing di kalangan kita ada tugas dan tanggungjawab untuk meneruskan aktiviti pencerahan. Pencerahan dalam diri dan orang lain. Pencerahan dan perubahan perlu dilihat sebagai sesuatu yang sentiasa mampu dicapai oleh semua orang. Anda dan saya, kita mampu berubah dan melakukan pencerahan. 

Apa yang kita perlukan bukanlah jawatan, kerana tanpa jawatan sekalipun, tetap di bahu kitalah diletakkan segala beban pencerahan. Jawatan pula, perlu dilihat sebagai batu loncatan untuk membolehkan kita pergi lebih jauh... Peluang untuk memberikan yang terbaik..

Kita perlu berjuang kerana kita mampu, yang menentukan kejayaan ialah sejauh mana kita benar-benar mahu berjuang....


Jom,

Ubahlah Sekarang, Selamatkan Malaysia.....

No comments:

Antara Yang Menarik