Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Monday, August 8, 2011

Benarkah kawen itu seronok???

Saya belum ada jawapan untuk soalan di atas. Tapi, teman saya di Mekah pernah menyebut secara bergurau, "Kalaulah aku tahu macam mana seronoknya kawen tu, kalau boleh sebelum ayah aku kawen lagi aku nak nikah dah,". Apa sebenarnya yang dia maksudkan? Soalan ini lebih baik ditanyakan kepada mereka yang telah mendirikan rumah tangga, pasti mereka lebih arif. Bagi saya, seronok itu kawalan minda.

Walaubagaimanapun, jauh di sudut hati, saya dapat merasakan yang ungkapan di atas sebenarnya bertujuan untuk menggalakkan saya lekas-lekas mendirikan rumah tangga. Sebagai menyahut seruan Nabi Muhammad SAW, "Wahai Pemuda, barangsiapa di antara kamu yang sudah sanggup untuk berkahwin, maka kahwinlah, kerana kahwin itu lebih merendahkan pandanganMU dan memelihara kehormatanmu. Barangsiapa yang tidak sanggup kahwin, maka berpuasalah, kerana puasa itu akan menurunkan keinginan syahwat." (HR Bukhari dan Muslim)

Saya agak kurang menulis mengenai Baitul Muslim sebelum daripada ini kerana beberapa sebab. Antaranya ialah agak kurang senang dengan tanggapan orang mengenai "urusan membina masjid" ini. Walaupun saya yakin mereka yang memberikan respon terhadap berita-berita atau kupasan mengenai Baitul Muslim ini sebenarnya langsung tidak berniat ingin "melaghakan" perbincangan, tetapi itulah yang biasa terjadi.

Mereka berbincang dan bersembang, seperti tiada hala tuju yang jelas dan dilihat seperti mempersendakan urusan membina masjid. Sedangkan kita tahu, bahawa urusan membina masjid ini, sebenarnya ialah urusan kebaikan dan kebajikan. Kita sepatutnya berlumba-lumba menyelesaikan masalah ini dengan matang dan dengan penuh semangat untuk melakukan kebaikan. Seingat saya, pernah sekali saya tuliskan mengenai urusan Baitul Muslim di laman ini, boleh baca lanjut di sini...

Urusan Baitul Muslim selalu dikaitkan dengan cerita "geli-geli" dan penuh dengan gosip-gosip liar di antara pasangan yang telah mempunyai hubungan, begitu juga gosip di antara mereka yang mungkin belum memiliki apa-apa status. Maaf, individu-individu yang kerap kali "bergosip" seperti ini sebenarnya telah mencemarkan "institusi keluarga Islam" yang hakikatnya lebih indah dan lebih hebat nilaiannya di sisi Allah dan Rasul.

Punca utama berlakunya konflik penilaian dan persepsi orang ramai terhadap Pernikahan dan perkahwinan ini ialah soal Jodoh dijadikan topik utama perbincangan. Soal jodoh yang saya maksudkan ialah, ramai yang teruja untuk mengetahui kesudahan Jodoh masing-masing mahupun kesudahan jodoh orang lain. Selalu yang bermain di fikiran mereka ialah, siapa agaknya pasangan sifulan dan sifulan, atau sifulanah dan sifulanah. Minat ini bukan hanya mencemarkan nama baik institusi keluarga Islam, bahkan telah menjadi punca utama tersebarnya fitnah.

Ya, saya tidak nafikan, soal jodoh ialah soal yang penting. Namun, institusi keluarga Islam ini sebenarnya mempunyai misi dan objektif yang jauh lebih besar daripada sekadar "melengkapkan" kehidupan bujang seseorang. Bahawa perkahwinan itu, bukanlah penamat kepada zaman bujang, tetapi permulaan kepada bentuk kehidupan yang baru yang jauh lebih indah dan mencabar.

Sepenting mana kita menumpukan usaha ke arah mencari jodoh, sepenting itu jugalah kita mengambil berat mengenai soalan pokok yang perlu kita jawab dalam soal perkahwinan ini, iaitu "Kenapa kita berkahwin?"

Sebenarnya, menjawab persoalan "kenapa kita berkahwin" akan dapat menyelesaikan hampir separuh daripada masalah utama perkahwinan. Hidup ini akan lebih terarah dan terurus apabila kita punya matlamat, misi dan visi yang jelas. Begitu juga hal perkahwinan, akan lebih terurus dan terarah sekiranya kita tahu dan sedar apakah tujuan utama kita mendirikan rumah tangga. 

Berkahwin, seperti yang saya sebutkan tadi, tidak terhenti setakat proses mencari dan mendapatkan pasangan. Visi kita jelas, untuk mencari redha Allah. Justeru, kita akan sedar dan mengerti, kepentingan bersabar dan bertahan sementara menunggu proses ini selesai.

Menggariskan objektif-objektif tertentu yang ingin kita capai dalam usaha membina rumah tangga ini juga, akan membantu kita mengawal segala tindak-tanduk dan perancangan hidup kita supaya menjadi lebih tersusun dan bermakna. 

Kita juga perlu akur, urusan jodoh bukanlah urusan yang mudah, dan sangat-sangat tidak boleh dibincangkan secara terbuka kerana melibatkan hal-hal yang bersifat peribadi. Maka, rancang dan bincanglah hal jodoh masing-masing dalam suasana yang terkawal dan berbincang secara matang dan profesional, apa sebenarnya yang anda mahu dan perlu lakukan untuk mencapai objektif dan misi perkahwinan anda yang tersendiri. Dibimbangi, jika kita tidak begitu jelas dengan perihal sebenar urusan membina masjid ini, menyebabkan usaha kita akan terbantut, dan masjid yang dibina menjadi masjid dhirar yang menjadi punca dan faktor kepada perpecahan umat dan keengkaran kepada Tuhan, kita berlindung dengan Allah dari hal-hal yang demikian.


Saya sekadar ingin berpesan kepada diri saya dan teman-teman saya yang masih bujang di luar sana. Sama ada bincangkan perkara ini secara serius, matang, secara objektif dan terarah, atau besabar dan bertahan sehingga tibanya masa yang sesuai untuk anda mula membuka mata.

Jom, berlumba ke arah kebaikan...

4 comments:

Muhammad Hafizan bin Abd Hamid said...

seronok dan beronok-ronok..
inilah hebatnya kuasa Ibadah..(",)

Anonymous said...

Tahniah kerana berjaya menjaganya sepanjang proses. Dan tahniah juga kerana berjaya ke garisan penamat untuk fasa seterusnya. Selamat melangkah!!

Farid Albariti said...

Urusan ini akan lebih menenangkan dan menyabarkan, jika redha Allah yang kita cari..

Anonymous said...

Setuju..tapi kalau pd asalnya memang redha Allah yg dicari,tapi kecundang di tgh jalan bila melebihkan perasaan, nafsu dan bisikan syaitan.

Maka, tunggulah bala Allah dtg yg berbentuk proses jadi susah, gelisah sepanjang masa, x tenteram sehingga beremosi, dan mak ayah yg melambatkan proses. Segalanya menjadi proses kaffarah dosa supaya kembali berpaksikan redha Allah..

Sungguh bertuah dan beruntung insan2 yg terselamat dari kecundang dan berpaksi redha Allah yg sentiasa tersemat di hati. Akhirnya mereka selamat ke garisan penamat dengan tenang dan sabar.

Antara Yang Menarik