Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Tuesday, June 19, 2012

Kenangan Manis Di Bumi Al-Aqsa. -Bahagian 6-

Destinasi seterusnya, KhalilurRahman. Yahudi menamakannya Hevron. Dinamakan KhalilurRahman sempena gelaran yang diberikan kepada Nabi Ibrahim A.S. yang jasadnya disemadikan di sini. Di sinilah terdapat sebuah masjid yang dinamakan Masjid Ibrahim (The Mosque of Abraham), menempatkan jasad insan agung, Nabi Ibrahim A.S bersama ahli keluarganya.

Di sini jugalah tempat berlakunya peristiwa hitam di mana umat Islam yang sedang mendirikan solat berjemaah di bunuh dengan kejamnya. Perjalanan mengambil masa kira-kira sejam untuk sampai ke Hevron, walaupun jarak antara Hevron ke Al-Quds hanyalah sekitar 20 batu. Perjalanan menjadi agak perlahan disebabkan kesesakan lalu lintas. Almaklum, ketika itu orang ramai berpusu-pusu keluar dari pejabat dan kelihatan juga pelajar sekolah yahudi sedang berkeliaran di jalan selepas tamat sesi persekolahan pada hari terebut.

Namun, hikmah jelas di sebalik perjalanan yang tersekat itu, kami dihidangkan dengan pelbagai cerita menarik mengenai Hevron, Masjid Ibrahim, kekejaman orang Yahudi. Ragam kesibukan orang-orang yahudi pula menjadi "background" kepada penceritaan yang disampaikan penuh bersemangat oleh Mr Kassim.

Baruch Goldstein, watak utama dalam kisah kejam yang tidak berperikemanusiaan. Kisah berlaku pada 25 Februari 1994, ketika umat Islam sedang menyambut perayaan, begitu juga masyarakat Yahudi juga menyambut perayaan mereka. Waktu itu, terdapat kira-kira 300 umat Islam yang menetap sekitar Hebron sedang menunaikan solat secara berjemaah. Baruch melulu masuk ke dalam Masjid, berpakaian tentera, lalu melepaskan tembakan secara rambang ke arah ratusan jemaah yang sedang menunaikan solat. Menurut saksi yang meliat kejadian tersebut, Baruch melepaskan tembakan seolah-olah dia mahu membunuh semua manusia yang ada di dalam masjid tersebut. Setelah kehabisan peluru, Baruch dengan muka puas dan bangganya bergerak melangkah keluar dari dewan utama masjid tersebut.

Terkejut dan berang dengan tindakan Baruch, beberapa orang muslim bertindak menyerang Baruch dan membelasahnya sehingga mati. Semoga Allah Ta'ala memberikan balasan yang setimpal ke atas Baruch. Serangan Baruch mengakibatkan 25 orang syahid, dan lebih seratus orang cedera.

Tindakan kejam Baruch menimbulkan reaksi yang pelbagai dari kalangan umat Islam di Hebron, di seluruh Palestin, malah seluruh dunia mengecam tindakan tersebut. Namun begitu, pihak Kerajaan Israel cuba meredakan kebangkitan rakyat Palestin, juga tekanan yang dikenakan oleh dunia Islam ke atas mereka dengan mereka-reka cerita kononnya Baruch mengidap penyakit mental dan serangan di buat tanpa sedar. Namun, alasan tersebut tidak dapat diterima sama sekali, bahkan bagi Umat Islam yang mengenali Baruch, serta parti Kach yang diwakilinya, sudah tentu tidak dapat memaafkan kesalahan tersebut malah yakin bahawa motif serangan adalah kerana permusuhan yang ketara antara orang Israel, khususnya Parti Kach (Ekstrem Yahudi) terhadap umat Islam.

Hasilnya, beberapa tunjuk perasaan dan protes dibuat di sekitar Bandar Hebron. Perang tercetus antara umat Islam Palestin dan tentera Yahudi yang membela tindakan dan kematian Baruch. Perang yang mencetus berlangsung selama 3 bulan, mengakibatkan 3 orang tentera Yahudi mati dan mengorbankan hampir 25 nyawa umat Islam. Namun, keadilan masih tidak berpihak kepada umat Islam, nyawa 25 orang umat Islam langsung tidak bernilai, malah umat Islam Palestin dipersalahkan kerana membunuh 3 orang tentera Israel. Malah, dua peristiwa BOM-BERANI-MATI yang dikatakan dilakukan oleh tentera Hamas, Briged Izzudin Al-Qassam mengakibatkan 15 orang Israel terbunuh dan puluhan lagi cedera.

Tentera Israel lalu menutup jalan keluar dan masuk ke bandar Hebron dan sekatan ketat dikenakan, mereka "mengurung" lebih 100 000 umat Islam di Hebron, dan Masjid Ibrahim juga ditutup sepenuhnya. Pemulauan dan sekatan dibuat sehingga hampir 5 bulan, malah Masjid Ibrahim tersebut pula ditutup selama 10 tahun, dibuka pada tahun 2005. Atas alasan menjaga keamanan dan keadilan, Masjid Ibrahim yang diasaskan pembinaannya dibina oleh Saidina Omar Al-Khattab ini dipecahkan kepada dua bahagian. Mengekalkan binaan asal bangunan masjid tersebut, Umat Islam diberikan ruang hadapan, termasuk bahagian yang menempatkan Maqam Nabi Ishaq dan Siti Rafiqah, dan sebahagian daripada Maqam Nabi Ibrahim dan Siti Sarah.

Kisah kejam dan menyayat hati tersebut membuatkan kami semakin tidak sabar untuk melihat sendiri rupa bentuk masjid tersebut, dan merasai atmosfera penindasan dan tekanan yang dihadapi oleh Umat Islam Palestin khususnya di Hebron tersebut.


No comments:

Antara Yang Menarik