Walaupun kita sudah lengkap berpakaian yang menutup aurat, sempurna mendirikan solat 5 waktu tepat pada masanya, berpuasa sunat setiap hari isnin dan khamis, kita masih belum layak menggelar diri kita sebagai orang yang baik, apalagi mahu mengaku diri sudah beriman.
Bahkan Allah Ta'ala sendiri pernah menegur sekumpulan orang arab Badwi, ketika mereka mengaku diri mereka beriman, dirakamkan di dalam Al-Quran, surah Al-Hujurat.
Tanda seseorang itu benar-benar beriman ialah, dia mengaku bahawa segala-galanya adalah milik dan ketentuan Allah. Tidak ada sedikitpun harta yang benar-benar miliknya, bahkan tiada kudrat dan iradat melainkan segalanya adalah milik Ilahi. Setelah dia mengaku bahawa segalanya adalah milik Allah, pastinya dia akan menyedari bahawa segala kebaikan yang telah dia lakukan juga, hakikatnya adalah kurniaan dan anugerah daripada Allah Ta'ala.
Jika Allah Ta'ala menghalangnya daripada mengerjakan amalan kebajikan, sudah pasti dia sendiri tidak akan dapat melakukannya. Kebaikan yang kita pernah lakukan, tidak sedikitpun menjadikan kita lebih mulia dan lebih baik daripada orang lain, kerana kita yang dhaif dan lemah ini tidak mampu melakukan kebaikan tanpa izin daripada Allah.
Jadi, apakah sebenarnya kebaikan yang pernah kita buat? Tiada satu pun kebaikan yang pernah kita lakukan, melainkan semuanya adalah kurniaan Allah kepada kita. Bersyukurlah jika kita dapat melakukan kebaikan. Bertaubatlah dan mohonlah hidayah daripadaNya, jika masih tidak mampu melakukan amal kebaikan.
No comments:
Post a Comment