BAHAGIAN 1 – Percaya
Percaya menurut Kamus Dewan, ialah mengakui akan benarnya sesuatu, atau yakin atau berasa pasti akan kebaikan orang dan sesuatu perkara. Percaya boleh merujuk kepada perasaan aman dan tenteram terhadap sesseorang atau seseuatu keadaan, juga boleh merujuk kepada penilaian akal dan penerimaan terhadap sesuatu isu, hujah, mahupun gagasan yang dibentuk.
Dalam konteks perubahan, percaya merujuk kepada perkara yang berkaitan dengan masa depan.
Secara ringkas, percaya boleh dipecahkan kepada pembahagian berikut:
1. P = Positif.
2. E = Eager
3. R = Realisitik
4. C = Cabar
5. A = Azam
6. Y = Yakin
7. A = Amal
Positif
Mereka yang percaya akan lebih bersikap positif. Mereka yang berfikiran positif ialah mereka yang sentiasa cuba mencari hikmah dan kebaikan dalam setiap sesuatu perkara. Adat dunia, tidaklah selalunya baik, namun setiap keburukan itu diterima dengan lapang dada dan sentiasa mencari kebaikan di sebalik setiap perkara, sama ada baik ataupun yang buruk.
Adat dunia juga, jika sesuatu itu baik untuk kita, belum tentu akan baik untuk orang lain. Begitu juga perkara yang dinilai baik oleh orang lain, belum tentu akan dinilai baik oleh kita. Jika orang lain mendapat hadiah, sudah tentu perkara itu baik untuk dia. Tanda kita berfikiran positif, kita turut berasa baik terhadap perkara itu. Jika sebaliknya, kita belum cukup positif.
Menerima kekurangan atau kelemahan, juga adalah salah satu cirri mereka yang berfikiran positif. Kelebihan bagi mereka yang mengakui kekurangan atau kelemahan ialah mereka sentiasa bersedia menerima cabaran dan kekalahan, dan pasti akan mampu menghadapinya dengan baik, seterusnya bangkit untuk memperbaiki diri dan berubah untuk masa depan. Mereka yang mengakui kekurangan dan kelemahan juga tidak mudah ditipu oleh rasa bangga.
Eager
Kemahuan yang tinggi, adalah cirri kedua bagi mereka yang percaya. Kemahuan inilah yang akan mencipta strategi dan tindakan. Kemahuan yang tinggi, sekiranya tidak dimanfaatkan sebaiknya, akan berubah menjadi angan-angan. Kemahuan datang dalam bentuk keinginan, harapan dan cita-cita.
Keinginan untuk memiliki sesuatu, harapan untuk mengecapi sesuatu, dan cita-cita untuk menjadi sesuatu akan merasuk manusia untuk mengejar dan mendapatkan apa yang dia mahu.
Insan percaya, akan memiliki kemahuan yang benar. Mereka secara jelas, faham dan tahu akan apa yang sebenarnya mereka mahukan. Secara tepat dan terperinci, setiap keinginan harapan dan cita-cita yang tersemat dalam fikirannya, benar-benar bermain dan sentiasa berlegar di fikiran.
Realis
Berpegang kepada kenyataan, adalah ciri berikutnya bagi insan percaya. Mereka yang percaya, berpegang kepada hakikat dan keadaan yang nyata. Hakikat penciptaan, hakikat kejadian, dan hakikat di sebalik setiap peristiwa. Walaupun sebagai orang yang percaya, mereka mempunyai sikap optimis yang tinggi, namun mereka sedar akan kemampuan sebenar, dan situasi semasa yang nyata, lalu setiap tindakan, dan perancangan ialah berdasarkan analisis semasa yang nyata, tepat dan bersifat hakikat bukan khayalan mahupun ramalan semata-mata.
Sekurang-kurangnya, insan percaya akur bahawa jika ruyung tidak dipecahkan, mereka tidak akan dapat nikmati sagunya.
Cabar
Setelah mereka ketahui hakikat keupayaan dan situasi mahupun keadaan, perkara seterusnya yang akan mereka lakukan, ialah mencabar kenyataan tersebut. Cabar kemampuan diri sendiri dengan melakukan pelbagai hipotesis mahupun eksperimen.
Insan percaya cenderung untuk mencabar diri dan kenyataan, untuk pembuktian. Membuktikan kemampuan diri, seterusnya mengubah harapan menjadi kenyataan yang lebih benar dan nyata.
Azam
Memiliki keazamaan yang tinggi untuk bermimpi, mencipta harapan, seterusnya berazam menjadikan mimpi, harapan dan segala cita-cita menjadi kenyataan. Semangat yang berkobar-kobar, membakar jiwanya, juga mereka yang berada di sekelilingnya untuk sama-sama menggerakkan agenda perubahan. Perjalanan yang sudah pastinya sangat panjang, sangat memerlukan kepada keazaman yang tinggi.
Nabi Muhammad SAW contoh insan yang paling percaya, justeru Baginda juga memiliki keazaman yang paling tinggi. Sehingga ke hari ini, manusia menerima kesan daripada keazaman Baginda untuk menyampaikan risalah Tauhid daripada Allah Ta’ala. Bahkan, sehingga ke hari ini, semangat Baginda membakar jiwa-jiwa para Mujahideen dan pejuang agama Allah. Jutaan manusia melafazkan rasa cinta kepada Baginda, sekalipun musuh-musuh Baginda dalam masa yang sama, melancarkan serangan dan kutukan kepada Baginda. Selawat dan Salam ke atas Baginda.
Yakin
Keyakinan yang tinggi membantu insan percaya membuat pilihan yang betul, seterusnya mengambil langkah yang tepat untuk mencapai cita-citanya. Sedar akan kemampuan, mahupun mengakui kelemahan, tidak menghalang insan percaya untuk kekal yakin terhadap harapan dan cita-citanya untuk mencapai kejayaan yang diingini.
Amal
Amal atau usaha adalah titik penentu bagi insan percaya. Insan percaya sedar bahawa untuk berjaya memerlukan teori, sasaran, dan yang paling penting, tindakan. Tindakan adalah sebahagian daripada kepercayaan yang perlu dibina.
Bahkan, tindakan selain memerlukan komitmen, memerlukan kepada konsistensi. Amal yang berterusan, menjamin kelangsungan pergerakan dan perjuangan.
4 comments:
Hello, very professional high level blog! thank you for sharing. Because of good writing, and I learned a lot, and I am glad to see such a beautiful thing. Sorry for my bad English. ?
为了学习这个知识,到处找相关文章,哎,真不容易,博主也不容易,在此也要感谢一下博主了。
Lots of helpful information. I have bookmarked your site.
I give rise to look on behalf of such a article on behalf of a sustained era, credit a percentage.
Post a Comment