Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Tuesday, October 2, 2012

Berubah Bermula Dengan PERCAYA - Pendahuluan

AlhamduliLlah, segala puji bagi Allah Ta'ala, Tuhan sekalian Alam, tiada sekutu bagi Allah dalam agama mahupun ideologi, tiada sekutu bagi Allah dalam pentadbiran agama dan diri, tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Maha Suci Allah dari segala sifat cela dan perbuatan syirik hamba dan makhlukNya. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, petunjuk dan cahaya seluruh Alam.

AlhamduliLlah, pujian yang tidak terhingga dipanjatkan kerana dengan izinNya, tergerak hati saya untuk meneruskan usaha menulis, (walaupun banyak penulisan sebelum ini yang tertangguh), kali ini, dengan tajuk "Berubah Bermula Dengan PERCAYA".


“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang PERCAYA(beriman) kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.” (Al-Isra’ 17:82) 

Segala puji bagi Allah Ta’ala yang telah memberikan kepada kita segala nikmat, ruang dan peluang. Selawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad SAW, penghulu sekalian Nabi dan Rasul, contoh tauladan dan kekasih yang tercinta. Allah Ta’ala menerangkan di dalam kitab yang mulia, suatu peringatan mengenai kehebatan dan keindahan Al-Quran yang merupakan petunjuk serta bukti kasih-sayang Allah Ta’ala kepada sekalian manusia, bahkan kepada seluruh alam. Penurunan Al-Quran yang merupakan mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW secara berperingkat melalui perantaraan Malaikat Jibril adalah tanda kasih sayang Allah kepada umat manusia khususnya kepada para sahabat R.A. dan masyarakat Arab Jahiliah umumnya pada ketika itu. 

Para Sahabat R.A, disebut sebagai generasi Al-Quran kerana mereka ditarbiah dan dibentuk oleh Nabi Muhammad SAW berdasarkan wahyu dan petunjuk daripada Al-Quran yang diturunkan secara berperingkat. Mereka mengalami pelbagai peristiwa yang menjadikan mereka generasi terbaik yang pernah dilahirkan di atas muka bumi. Ayat-ayat Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW bertepatan dengan peristiwa yang sedang mereka alami. Bahkan terdapat begitu banyak ayat yang diturunkan khusus untuk para Sahabat. 

Al-Quran mengandungi pelbagai kisah dan perintah untuk dijadikan pedoman supaya umat manusia selamat di dunia dan akhirat. Mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW ini dipelihara sehingga ke hari kiamat kerana ia mengandungi pelbagai khasiat dan kelebihan. Namun, Allah Ta’ala terlebih dahulu mengehadkan bahawa mereka yang bakal beroleh manfaat daripada Al-Quran ialah mereka yang PERCAYA. Bermakna, kelebihan dan kehebatan Al-Quran tidak akan memberikan manfaat kepada mereka yang tidak percaya. 

Sekalipun para orientalis dan saintis secular meneliti dan mengkaji Al-Quran, hatta jika mereka berjaya mendapati penemuan penting yang terkandung di dalam Al-Quran sekalipun, ianya tidak dapat memberikan manfaat yang kekal sehinggalah mereka benar-benar percaya dalam erti kata percaya yang sebenarnya. Maka, penulisan “BERUBAH BERMULA DENGAN PERCAYA” insyaAllah akan memberikan tumpuan khusus kepada “PERCAYA” yang menjadi titik penentu kepada perubahan yang ingin dan akan dilakukan.


Suatu ketika dahulu, masyarakat eropah, mempercayai bahawa bumi ini rata. Maka mereka melarang anak cucu mereka daripada keluar belayar jauh dari daratan, kerana risau akan terjatuh ke ruang yang tidak dikenali. Mereka juga mendakwa terdapat pelayar-pelayar yang mengingkari larangan tersebut hilang dari muka bumi dan tidak lagi dapat kembali ke tanah air mereka. Namun, seorang anak muda, Christopher Colombus mempunyai pendapat yang jauh bertentangan dengan apa yang didakwa oleh masyarakat pada ketika itu. Beliau percaya bahawa bumi ini berbentuk sfera, lalu mengambil keputusan untuk berlayar. 

Christopher Colombus belayar seawal umurnya 10 tahun, dan menjadi antara yang pertama di zamannya, membuktikan bahawa bumi ini berbentuk sfera. Inilah yang dikatakan perubahan itu bermula dengan percaya. Percaya merasuk kita untuk melakukan sesuatu perubahan. Christopher Colombus dirasuk oleh kepercayaannya bahawa bumi ini sfera, lantas merasuknya untuk belayar ke seluruh dunia. Dia meneroka bumi Amerika Utara dan Selatan, sehinggalah ke Lautan Hindi di Asia, dan perjalanan beliau diteruskan dengan penuh komitmen, paling penting bermula dengan PERCAYA.

InsyaAllah, dalam penulisan kali ini akan memberikan tumpuan dan kupasan yang teliti dan menyeluruh mengenai apa yang dikatakan sebagai PERCAYA, dan bagaimanakah perubahan itu dapat dilakukan bermula dengan percaya. Teladan dan pengajaran berharga daripada Al-Quran, juga kisah-kisah berguna pula akan menjadi latar belakang utama kisah perubahan insan-insan percaya yang pernah dicatat oleh sejarah tamadun manusia.

Semoga penulisan ini memberikan manfaat kepada penulis, pembaca, tercatat sebagai amalan kebajikan yang mengundang redha dan restu Ilahi. Segala kudrat dan iradat adalah milikNya, semoga Allah mengurniakan kita Taufiq dan Hidayah untuk menjadi insan yang percaya, seterusnya menggerakkan perubahan kerana dan ke arahNya.


Berubah Bermula Dengan PERCAYA
Farid Albariti.
Seri Iskandar, 2012.

No comments:

Antara Yang Menarik