Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Saturday, August 31, 2013

Kemerdekaan

Ya, sebagai rakyat Malaysia, saya rasa pencapaian 56 tahun merdeka adalah satu pencapaian yang memuaskan dan membanggakan. Sebagai rakyat di sebuah Negara yang dikenali umum sebagai negara Merdeka, saya bangga dan saya cintakan negara saya.



Tapi, saya pernah tertanya, apakah faktor British menjajah Tanah Melayu suatu ketika dahulu? 

Dahulunya, Tanah Melayu tidak hanya dirujuk kepada semenanjung Tanah Melayu, malah rantau nusantara ini, seluruhnya dahulu adalah serumpun, sebangsa dan seagama. Maka datanglah penjajah yang membawa idea yang berbeza, lalu mereka melaksanakan dasar pecah dan perintah. Mengambil kesempatan di atas sifat tamak raja dan pembesar tempatan pada ketika itu untuk mencampuri urusan pentadbiran negara.

Jika British telahpun berusaha bersungguh-sungguh untuk menjajah Tanah Melayu, kenapa British juga yang dengan mudahnya melepaskan Tanah Melayu? Apakah faktor sebenar di sebalik pembebasan Tanah Melayu?

Saya pernah terbaca, kenyataan seorang pembesar British bahawa Tanah Melayu ini hanya akan diberikan kepada mereka yang "sama" dengan British. Sudah pasti, dalam politik dunia, kekuasaan dan pengaruh adalah sangat penting. Malaysia, walaupun sudah merdeka, namun mereka menerima syarat daripada British antaranya perkara yang melibatkan undang-undang, ekonomi dan sosial. Mereka tunduk kepada British, kerana mahukan kuasa, agar perlembagaan yang dibentuk oleh Suruhanjaya Reid, diguna pakai, sehingga ke hari ini.

Jika kita benar-benar merdeka, kenapa Perlembagaan Persekutuan ini tidak boleh dicabar? Bahkan antara ketetapan utama Perlembagaan Persekutuan ialah jika mana-mana undang-undang atau peraturan yang bercanggah dengan Perlembagaan Warisan Penjajah ini adalah ditolak dan terbatal.

Maka, tidak hairanlah ekuiti ekonomi bumiputera masih berada di tahap yang membimbangkan kerana pembesar Negara yang mengambil alih pemerintahan negara ini sebenarnya bukanlah pejuang sebenar kemerdekaan. Bahkan apa yang ada di minda mereka hanyalah mendapatkan kekayaan dan kekuasaan semata-mata.

Akta Darurat, ISA dan OSA pula dirangka untuk menyekat sesiapa sahaja yang boleh membawa ancaman kepada keamanan negara (baca kestabilan kuasa politik pemerintah).

Saya tidak mengajak kepada menghapuskan perlembagaan persekutuan, kerana ianya disepakati dan diterima umum, tambahan ianya masih dapat berfungsi sebagai sandaran utama rakyat Malaysia. Walaupun sebahagian besar perlaksanaan dan kefahaman mengenainya telah dirosakkan oleh UMNO-BN, namun ianya masih relevan. Akan tetapi, akta draconian seperti ISA, OSA, dan Ordinan Darurat adalah satu malapetaka besar buat Negara, dan perlu dihapuskan segera.

UMNO-BN berjanji ingin menghapuskan akta ini, itupun selepas mereka menggantikan ISA dengan akta yang lebih kejam. Penjenamaan semula yang sangat ketara tidak membantu memulihkan keadaan, sebaliknya helah daripada kerajaan ini, sangat tidak boleh diterima dan memalukan.

Justeru, sempena hari kemerdekaan ini, saya mengajak agar kita kembali kepada gaya asal tanah Melayu. Membuang jauh gaya penjajah dan membebaskan seluruh rakyat Malaysia daripada pemikiran sempit dan negatif. Tanah ini tanah tumpah darah kita, maka kitalah yang bertanggungjawab mendaulatkannya. 

No comments:

Antara Yang Menarik