Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Thursday, April 30, 2009

Siapa kita, dan siapa peduli siapa kita?

Aku dinamakan dengan nama yang diberikan oleh ibu bapa ku. Begitu juga manusia-manusia yang lain, dinamakan oleh orang-orang penting dalam kelahiran mereka sendiri. Dinamakan Singh, richard, leonardo, melissa, fizwan, diana, maimunah, dan sebagainya. Di awal kelahiran, nama-nama inilah yang dipakai.

Ketika sudah mula mampu berinteraksi dan bertindak-balas dengan keadaan sekeliling, maka nama-nama lain pula yang akan muncul. Acu, kak yang, taiko, comel, putih, hitam, muncung, dogol, jebon, pendek, tonjang, dan sebagainya. Sehingga ada yang dipanggil squirt kerana lemah-gemalai lelaki itu berjalan.

Sehinggalah usia meningkat dewasa, pelbagai gelaran yang akan kita terima, refleksi kepada perlakuan kita dan respon kita terhadap sekeliling.

Maka, kita akan menentukan gelaran yang akan manusia lain berikan kepada kita. Ingin digelar bos, maka mengarahlah dan menjadi pulalah kita ketua pengarah. Ingin digelar sweetie, maka berdandan-soleklah muka kita dan penampilan kita yang serba terhias. Ingin menjadi perkasa, atau raksasa, atau mereka yang bercita-rasa sekalipun, semuanya terpulang kepada kita.

Walaupun, sejauh mana kita benar-benar layak untuk mendapatkan gelaran yang baik atau buruk, semuanya bergantung kepada usaha dan pembawaan diri kita, namun pengadil yang akan menilai adalah mereka yang kita gelarkan "masyarakat sekeliling".

Nah, di sinilah bermulanya konflik identiti apabila kita terlalu bergantung kepada penilaian yang diberikan oleh "masyarakat sekeliling". Remaja akan terpedaya dengan budaya mesyarakat sekitarnya. Mahasiswa akan terpedaya dengan masyarakat sekitarnya dan saya juga terpengaruh dengan masyarakat yang ada di sekitar saya.

Kita akan terus berubah dan terpengaruh dengan konflik identiti ini, selagi kita terus menjadikan "masyarakat sekeliling" sebagai subjek utama pembawaan identiti kita. Sebab itu, soalan "Siapa kita, dan siapa yang peduli siapa kita?" perlu kepada jawapan yang tuntas.

Kita adalah kita, dan hanya kita yang peduli serta menanggung akibat daripada siapa kita?

Anda pilih jalan yang lurus, maka persetankan mereka yang memilih jalan bengkang-bengkok. Anda memilih untuk bersama dengan Tuhan yang orang lain tidak nampak, maka persetankan orang lain yang memuja tuhan yang tidak mampu mencipta malah diciptakan...

Siapa kita, dan siapa peduli siapa kita???

Tuesday, April 28, 2009

The Art of Soluble...



Politik merupakan suatu seni. Seni politik menurut barat adalah seni serba mungkin. Iaitu, memungkinkan segala sesuatu untuk mencapai sesuatu. Jika difahami, pelbagai kaedah boleh digunakan termasuklah membunuh, menipu, propaganda media, penyamaran, rasuah dan sebagainya.

Politik menurut fahaman ini, akan membolehkan seseorang itu berbuat apa sahaja demi keuntungan peribadi mahupun kepentingan diri dan kroni. Sanggup menipu untuk menjaga nama, sentiasa berhelah untuk memelihara kedudukan pangkat, sanggup mengkhianat asal mendapat keuntungan. Walaupun terpaksa melanggar hukum-hukum agama, semua itu baginya tidaklah sepenting matlamat yang ingin dicapai.

Namun begitu, tujuan berpolitik menurut Islam bukanlah untuk mencapai sesuatu, tetapi menyelesaikan sesuatu. Segala masalah yang berlaku, halangan dan cabaran untuk menyebarkan Islam diselesaikan melalui seni berpolitik. Sebab itu, ianya dipanggil sebagai "the art of soluble", seni menyelesaikan masalah.

Penyelesaian melalui seni politik ini pula, bukanlah berdasarkan andaian dan pemahaman oleh individu. Sebaliknya, ianya mestilah didasari dua panduan utama iaitu, Al-Quran dan As-Sunnah. Tiada jalan penyelesaian terbaik melainkan jalan yang telah diberikan oleh Allah kepada manusia.

Menyedari hakikat ini, sebenarnya tidak bermaksud untuk membataskan pergerakan umat dalam merangka strategi untuk mencapai kemenangan dan pembukaan. Sebaliknya, sebagai satu tuntutan untuk meningkatkan kreativiti, imaginasi, dan produktiviti bagi mencari jalan keluar kepada permasalahan utama umat dunia, iaitu kembali kepada Tuhannya.

Berpolitik untuk mencari penyelesaian bermaksud, mencipta formula untuk menyelesaikan masalah seterusnya menjadikan formula itu diterima oleh semua, dan akhirnya dilaksanakan. Matlamat utama dalam menyelesaikan masalah umat, adalah mengembalikan manusia kepada Tuhannya. Keadilan, kedamaian, kesejahteraan, perpaduan, kemajuan dan kekayaan adalah natijah kepada usaha berpolitik dengan politik Islam. Tiada semangat perkauman, kepartian, kebangsaan, kebangsawanan, mahupun apa sahaja prejudis dan penindasan sesama manusia.

Mendapatkan hak memerintah, kekuasaan, dan pangkat bukan untuk kepentingan sesebuah institusi ataupun individu, sebaliknya berusaha mendapatkan kekuasaan semata-mata untuk menyedarkan manusia akan hak dan tanggungjawab sebagai hamba dan wakil "kerajaan langit" di bumi.

Untuk itu, first thing fisrt, meletakkan kepentingan Tuhan, melebihi segala kepentingan yang ada. Kepentingan Tuhan, adalah kata kunci paling utama dalam pemikiran rasional. Menjadikan Rasul sebagai ikutan pula adalah kata kunci utama kepada segala bentuk pemikiran kritis dan kreatif. Mencontohi Baginda, bermakna meletakkan diri kita di dalam golongan manusia yang paling krtits, kreatif, bijaksana dan profesional.

Saturday, April 25, 2009

Berdepan dan mendepani...


Segala puji dan pujian hanya milik Allah Ta'ala yang memiliki segala kerajaan langit dan bumi. Tidak sesekali Dia beranak, Tiada bagiNya sekutu dan tidak memerlukan sebarang pertolongan di dalam kerajaan, dan Dialah yang telah menetapkan kadar begi setiap sesuatu.

Ada pun, bagi hamba yang hina-dina ini, tidak langsung layak menerima apa-apa melainkan ujian dan cabaran. Diuji dengan pujian untuk melambatkan proses kematangan. Dicabar keimanan untuk menapis kekurangan dan menentukan tahap kejayaan.

Mencabar diri untuk membuktikan kemampuan. Menghina diri untuk mendapatkan kemuliaan dan keredhaan. Tiada yang lebih penting daripada pandangan Tuhan, sekalipun hina pada pandangan ciptaan. Sememangnya menarik gelaran dan kemasyhuran yang diberikan manusia. Harapnya tidak sedikitpun menarik janji dan pulangan daripada Tuhan. Moga dikekalkan minat pada pulangan Tuhan dan memandang enteng ganjaran insan.

Maka, kepada manusia-manusia sama ada teman ataupun lawan, buatlah apa-apa pun, asalkan tidak mengganggu saya dari menantikan pulangan Tuhan. Depani saya, berdepan dengan saya untuk selesaikan segala kesulitan dan jurang antara saya dan kalian.

Berdepan dan mendepani...

Thursday, April 23, 2009

Diam Membuta Tuli atau Bising Membetuli??



Budaya ketimuran yang diamalkan di Malaysia merupakan budaya warisan yang berabad lamanya. Semenanjung tanah melayu terkenal dengan kesantunan bahasa dan pekerti mulia rakyatnya. Setiap pergerakan dan bual bicara akan diatur sesopan mungkin supaya tiada pihak atau individu yang terasa.

Namun begitu, adat dan budaya ini seakan telah diamalkan pada tempat dan cara yang tidak tepat. Orang Melayu khususnya, didapati lebih gemar "menegur" di belakang peribadi yang dimaksudkan berbanding menegur di hadapan kerana risau akan mencetuskan ketegangan. Hal yang sebegini, ada buruk dan baiknya. Ada masa-masa tertentu kita perlu berdiam diri dan tidak perlu menegur, tetapi dalam kebanyakan tempat, suara kita perlu dibunyikan supaya dapat mengelakkan keadaan yang lebih teruk.


Sebagai seorang Islam, kita dilarang sama sekali mengutuk, menghina atau memperkatakan sesuatu untuk menjatuhkan peribadi orang lain. Apalagi dengan tujuan mengaibkan dan menjatuhkan air muka. Dengan kaedah yang sebaik mungkin, kita perlu menegur supaya teguran itu dapat diterima dan diperbetulkan. Situasi seperti ini hanya relevan untuk perkara-perkara yang berkaitan dengan peribadi.

Contoh, kita terlihat seorang ustaz yang sedang mengajar, tidak menutup zip seluarnya dengan rapat, maka sebaiknya kita memberi amaran supaya dapat menjaga kehormatan dan air muka ustaz tersebut, melalui sms, surat layang, kenyitan mata, atau apa jua kaedah yang tidak mendedahkan aib ustaz tesebut.

Ataupun, sekiranya kita ternampak seorang sahabat yang sedang bersiar-siar, berbual rancak tanpa batasan dengan seorang wanita yang tidak kita kenali. Maka dalam situasi ini, kita perlu menyelesaikan salah faham, dengan cara bersemuka, bukan menggunakan siaran radio, blog, ataupun rancangan melodi untuk menegur perbuatan tersebut.


Walaubagaimanapun, sebagai seorang Islam, kita tidak boleh sesekali membiarkan perkara-perkara terkutuk terdengar di telinga kita, apalagi kalau berlaku di depan mata kita sendiri. Wajib ke atas kita untuk membetulkan keadaan supaya tidak membawa mudarat yang lebih besar.

Misalnya, kita terdengar seorang ustaz, menceritakan kepada pelajar-pelajarnya bahawa Islam Hadhari merupakan ajaran yang relevan dengan kondisi umat semasa sambil menekankan bahawa kesemua 10 prinsip Islam hadhari ini perlu dihayati dalam konteks negara Malaysia yang membangun dan majmuk masyarakatnya. Maka, kita tidak boleh membiarkan ustaz itu terus bercerita sekalipun terpaksa berdepan dan bersuara lantang. Mudarat terhadap pendengar dan kesan yang berpanjangan hasil daripada penceritaan ustaz itu perlu dihentikan segera.

Dalam kes salah laku, dan salah guna kuasa di kalangan pemimpin juga, perlu diselesaikan dengan sebaik dan sesegera mungkin. Segera, jika perkara itu amat menarik perhatian. Ini bagi mengelakkan kesalahan itu berlarutan dan berjangkitan terhadap rakyat atau keompok yang dipimpin.

Perlu diingat, umat Islam dilarang menjatuhkan air muka dan menghina peribadi orang lain. Namun, kita juga dilarang berdiam diri apabila berlaku sesuatu yang tidak betul di sekitar kita. Hadith Nabi menyatakan, barangsiapa yang tahu dan berupaya tetapi menyembunyikan kebenaran, dia adalah syaitan yang bisu.

"Dan tidaklah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar)." Al-Furqan,25:56.




Wednesday, April 22, 2009

Memperkaya diri dan peribadi...(perlumbaan kedua)

Di dalam sebuah novel sastera bertajuk Perlumbaan Kedua karya Marwilis Hj Yusuf, menceritakan mengenai Tok Kura, sebagai watak utama disamping pelbagai watak haiwan yang "dipinjamkan" akal dan diterjemahkan bahasa perbualan mereka ke dalam bentuk yang mudah difahami.

Perlumbaan kedua ini mengisahkan mengenai ulangan perlumbaan yang sangat masyhur antara kura-kura dan arnab. Pada ulangan pertama, kura-kura tertewas dan keputusan seri 1-1. Lalu diajak kepada perlumbaan ulangan kedua.

Pada kali ini, mereka memilih sebuah bukit untuk dijadikan gelanggang penentuan yang mana satu yang paling handal berlari. Dengan kancil dijadikan pengadil, disaksikan seluruh warga rimba yang ada pada ketika itu, sepurnama tempoh masa diberikan kepada kedua-dua belah pihak. Tok Kura, merupakan pemimpin kaum kura pada ketika itu telah memikul amanah melatih kaum kerabatnya yang ingin bertanding. Dek kerana kesusahan latihan yang diberikan oleh Tok Kura, lama-kelamaan seekor pun tidak sanggup meneruskan latihan, malah Tok Kura dipersalahkan dan diminta oleh kaumnya untuk bertanding sendiri.

Tibalah hari kejadian. Sang Putih sekali lagi dipilih untuk mewakili kaum arnab selepas Ia menjuaraai kejohanan pemilihan antara arnab. Tok Kura tiba lewat ke tempat kejadian, bertongkat dan bergerak agak perlahan(lebih perlahan dari kura-kura biasa)

Dipendekkan cerita, Tok Kura memenangi perlumbaan tersebut dengan menggunakan taktik yang sungguh luar biasa. Seluruh warga rimba bersorak dan kaum kura kembali menerima dan menyanjungi Tok Kura. Tok Kura menang 2 perkara, perlumbaan kedua dan kehormatan dirinya.

Dengan nada terharu bercampur gembira Tok Kura berpesan kepada kaumnya dan semua haiwan-haiwan disitu, "Jika harta yang engkau cari, engkau yang terpaksa menjaganya, jika Ilmu yang engkau miliki, ilmu itu yang akan menjagamu"

Ilmu itu cahaya, jahil itu berbahaya, kaya harta tiada guna, tanpa akhlak penyeri jiwa, indah bukan hanya rupa, malah pekerti amalan mulia...

Thursday, April 16, 2009

Daripada diperhamba kepada Memperhamba....

Islam merupakan negara dan Tanah air. Rajanya ialah Allah, petugasnya ialah Malaikat, rakyatnya ialah manusia dan jin, wakil kepimpinanNya pula ialah para rasul dan nabi. Namun pada akhir zaman ini, tugas para rasul dan nabi diwakilkan kepada para ulama'.

Islam sangat mementingkan semangat patriotisme. Semangat patriotisme ini adalah semangat cintakan tanah air dan sanggup berkorban untuk mempertahankan maruah, keselamatan dan kedamaian negara dan rakyatnya. Sentiasa menganggap diri sebagai balaci pejuang tanah air dan sentiasa pula bersedia menyahut apabila dipanggil.

Kesetiaan kepada Raja, merupakan prinsip utama dalam semangat patriotisme ini. Segala perkara yang diperintah oleh Raja menjadi menjadi kewajipan untuk dilaksanakan. Bimbang untuk memperkatakan sesuatu yang buruk terhadap raja kerana takut ditimpa tulah dan dihukum kerana derhaka.

Undang-undang yang diperkenalkan oleh Raja menjadi undang-undang dan peraturan yang sentiasa dipatuhi dan didahulukan. Sebarang arahan dan undang-undang yang bercanggah dengan undang-undang Raja akan terbatal dan tidak perlu dipatuhi tanda kefahaman dan kesetiaan. Undang-undang yang bercanggah ini bukan sahaja ditolak malah pengasasnya dikeji dan dibenci oleh sekalian rakyat jelata.

Meyakini dan memberikan sepenuh kepercayaan terhadap pemimpin yang dilantik oleh Raja. Setiap wakil yang dilantik ditaati dalam keadaan terpaksa ataupun tidak. Malah, bagi mereka yang benar-benar menjiwai semangat patriotisme ini, mereka memberikan kepercayaan dengan penuh rasa kasih dan sayang.

Tuesday, April 7, 2009

Belajar Mencabar




Istilah “Mahasiswa” sangat sinonim dengan pelajaran. Dengan kata lain, Mahasiswa sebenarnya adalah pelajar yang belajar daripada tenaga pengajar yang mengajarkan pelajaran yang khusus untuk golongan terpelajar. Silibus yang diajarkan kepada Mahasiswa di menara gading tidak diajarkan di sekolah, pusat latihan industry, mahupun di kedai-kedai kopi. Menerusi pemahaman seperti ini, keunikan dan keistimewaan Mahasiswa sebenarnya sudah terbukti sekalipun Mahasiswa tidak melibatkan diri mereka dengan aktiviti selain daripada aktiviti “kekuliahan”.

Prof Ungku Aziz pernah menyarankan agar Mahasiswa belajar sambil mencabar. Jika belajar, maka Mahasiswa akan terdedah kepada pengetahuan, namun jika Mencabar, Mahasiswa akan terdedah kepada kemahiran. Proses belajar, lebih melibatkan deria otak dan komunikasi verbal, sedangkan mencabar melibatkan komunikasi secara aktual dan praktikal.

Mahasiswa yang mencabar, akan menggunakan seluruh anggota dan pancainderanya untuk merasai sesuatu yang baru. Menyelami sendiri apakah sebenarnya perasaan ketika senang, sudah, gembira, sedih, ramai, sedikit, kaya, miskin dan sebagainya.

Untuk mencabar, pencairan diri dengan masyarakat dan keadaan persekitaran merupakan perkara yang paling awal perlu dilakukan. Ibarat, ketika hendak bermain bola, kita perlu terlebih dahulu mengenali pemain lawan dan kawan, dan lokasi gol yang ingin dijaringkan. Begitu juga undang-undang dan sempadan permainan. Persediaan seperti ini melatih Mahasiswa untuk sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan situasi yang diramal, apalagi situasi yang tidak diramal dan tidak terkawal.

Sejak akhir-akhir ini, budaya mencabar semakin kurang diterapkan kepada Mahasiswa. Mahasiswa lebih cenderung untuk belajar kerana hanya menadah dan menurut segala yang diperintah. Tiada keinginan untuk mencuba sesuatu yang baru. Tidak cenderung untuk bertindak dan berfikir di luar kotak. Penerapan system kompetensi generic, mewajibkan penglibatan Mahasiswa dalam aktiviti ko-k dan kolej, sebenarnya tidak boleh dikategorikan sebagai mencabar. Kerana aktiviti ini masih berada di dalam lingkungan “Saya suruh, anda buat, Saya tak suruh, tak perlu buat” atau “putih kata ketua, putih kata kita, hitam kata ketua, hitam kata kita”.


Proses mencabar memerlukan daya imaginasi dan kreativiti yang sangat tinggi. Keupayaan otak diperah secukupnya untuk melahirkan idea yang bernas. Perancangan disusun dengan teliti dan kemas, serta dilaksanakan dengan penuh kesungguhan dan dedikasi. Setiap tingkatan kerja dimulakan dan disudahkan oleh Mahasiswa sendiri. Adapun, bagi mereka yang belum atau sudah tidak lagi bergelar Mahasiswa berfungsi sebagai pensihat yang tidak memainkan peranan utama.

Ayuh, kita teruskan dan menggilap kembali budaya mencabar. Kehebatan akan terbukti apabila dicabar. Kesungguhan dan keberanian juga hanya akan terbukti apabila dicabar. Mencabar ruyung untuk mendapatkan sagunya, Mencabar pahit untuk mendapatkan manisnya, mencabar diri untuk membuktikan keunggulannya.

Thursday, April 2, 2009

Berjalan atau berlari, Jangan sesekali berhenti!!!

Percayakah kita akan kewujudan Tuhan?

Bagaimana kita menerima adanya Tuhan dalam kehidupan seharian kita?

Di manakah kita letakkan Tuhan dalam perancangan dan tindakan kita sehari-hari?

Apakah kesan pandangan Tuhan terhadap pergerakan dan perilaku kita setiap waktu dan ketika?

Seandainya timbul masalah, panduan Tuhan menjadi rujukan yang ke barapa?

Apa pula yang kita faham mengenai Panduan Tuhan?


Retorika manusia akan memberikan jawapan yang paling sedap untuk didengar. Malah manusia mungkin akan menyangka bahawa mereka memiliki jawapannya dan sedang memanifestasikan jawapan tersebut dalam kehidupan mereka sehari-hari.



Kita sebenarnya dicipta oleh Tuhan, maka Tuhan sahaja yang benar-benar faham mengenai masalah kita. Dia sahaja yang layak menentukan apa yang baik dan apa yang buruk. Bermula daripada sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara, semuanya berada di dalam genggamanNya. Dia Maha Penentu, Maha Melihat, dan Maha Mengetahui. Setiap kejadian disuratkan hikmah yang tersirat.



Dunia pada ketika ini berada di ambang kemusnahan. Perubahan fizikal bumi dan corak kehidupan social manusia sudah semakin ketara dan semakin tidak menentu. Manusia sudah tidak lagi mampu mengawal persekitaran mereka. Pengkaji cuaca sudah semakin sukar meramal keadaan, pemimpin sudah hilang kepercayaan rakyatnya, ibubapa hilang kawalan terhadap anak-anak mereka, dan segala sumber yang asalnya dicipta untuk kemudahan manusia sudah mula bertindak sebaliknya.



Di saat seperti inilah, pertolongan dan panduan Tuhan sangat-sangat diperlukan. Kita perlu meletakkan panduan Tuhan di tempat yang paling tinggi dan memainkan peranan yang paling utama. Perlembagaan ciptaan manusia selamanya tidak akan dapat menyelesaikan masalah. Kembali kepada rujukan dan contoh panduan yang diberikan.



Meyakini dengan sepenuhnya dan sesungguhnya bahawa kita hanya memerlukan belas ihsan dan pergantungan kepada Allah. Menjadikan pandangan Allah sebagai pandangan kita, hukuman Allah sebagai hukuman kita, kepentingan dan keutamaan Allah sebagai kepentingan dan keutamaan kita.



Barangsiapa yang diberikan Allah petunjuk dan kemudahan, tiada siapa yang akan dapat menyesatkan dan memberi kesusahan. Sebaliknya jika seseorang itu dikehendaki Allah akan kesesatan dan kesulitan, tiada siapa yang akan dapat memandu dan memberi penyelesaian.



Sebab itu Farid, Sebagai seorang muslim dan muttaqin, anda perlu teruskan usaha memperbaiki diri dan memahami petunjuk yang telah tersedia di depan mata. Berfkir dengan sebaiknya, menilai dengan seadilnya, bertindak dengan penuh bijaksana dan meneruskan hidup sekalipun sukar. Pejuang Allah, tidak takut celaan orang yang mencela… Teruskan berlari, apabila penat berjalan, tapi jangan sesekali Berhenti!!! Ameen..

Antara Yang Menarik