Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Monday, June 29, 2009

Amalan Demokrasi

Demokrasi seperti diketahui umum, merujuk kepada kuasa rakyat dalam pemerintahan sesebuah negara. Apabila sesebuah negara mengamalkan demokrasi maka negara itu sepatutnya bersedia untuk mendengar suara rakyat yang juga sebenarnya adalah suara keramat dalam penentuan dasar negara.

Rakyat memilih pemimpin yang mereka suka. Terlebih dahulu dari itu, rakyat juga bebas untuk dipilih sebagai pemimpin. Rakyat sepatutnya diberikan ruang untuk memberikan pandangan dan kritikan terhadap dasar-dasar pemimpin, sedangkan pemimpin itu juga dipilih oleh rakyat, apalagi dasar yang mereka perjuangkan.

Di sini, kebebasan bersuara bukan sahaja digunakan oleh rakyat untuk memilih, bahkan untuk dipilih. Tiada siapa yang boleh menyekat atau mendominasi saluran maklumat yang akan disampaikan kepada rakyat. Rakyat perlu diberikan ruang untuk menerima pelbagai jenis maklumat, dan diberi ruang yang adil untuk menilai kebenaran dan kedudukan sesuatu maklumat.

Situasi ini, sewajarnya terpakai di semua peringkat di dalam Negara Malaysia. Selagi, kita bernaung dengan Kerajaan Malaysia, maka kita berhak mendapatkan tempat kita dalam amalan demokrasi, bertepatan dengan Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak ini.

Malangnya, di Universiti ini, keadaan tersebut tidak berlaku. Sebolehnya pihak berkuasa di Universiti akan menyekat suara-suara yang mereka rasakan tidak sesuai diperdengarkan di kampus. Bukan sahaja hak untuk bersuara, malah hak untuk mendapatkan kebajikan yang seadilnya juga dinafikan.

Buktinya, tindakan buang kolej, label "persatuan haram", label pembangkang, sekatan program dan aktiviti, sekatan dana, sekatan publisiti dan pelbagai sekatan lain yang diwujudkan sesuka hati mereka. Bahkan istilah "dianak-tirikan" juga terlalu suci untuk mereka yang mempunyai aliran pemikiran yang berbeza ini.

Dalam konteks pemilihan pimpinan Mahasiswa, pihak berkuasa inilah yang terlebih sibuk berbanding Mahasiswa itu sendiri. Mereka sibuk mengenakan bermacam-macam syarat yang hanya dapat difikirkan oleh mereka yang cetek akal fikirannya.

Sebagai contoh, Saya dicalonkan oleh rakan saya yang tidak sealiran dengan kerajaan. Hanya dengan melihat pada borang sahaja, mereka sudah tahu, macam mana saya akan diperlakukan. Saya tidak boleh berjumpa dengan pengundi saya di kolej. Tidak boleh "kreatif" untuk memperkenalkan diri saya, bahkan hanya dibenarkan "berbisik" kepada pengundi untuk memberitahu wawasan perjuangan saya.

Jelasnya Di sini, tiada kebebasan untuk dipilih, apalagi kebebasan untuk memilih?

Universiti cenderung meniru gaya Parti Pemerintah yang menggunakan segala instrumen Kerajaan untuk kepentingan parti sendiri. Instrumen yang sepatutnya menjaga hak dan kebajikan rakyat, sebaliknya digunakan untuk menindas dan merampas kebajikan rakyat.

1 Ogos merupakan tarikh yang baik untuk mengembalikan demokrasi di negara ini. ISA perlu dimansuhkan sebagai tanda aras kepada kelangsungan keadilan di Malaysia.

Mansuhkan ISA, Pulihkan Demokrasi!

No comments:

Antara Yang Menarik