Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Wednesday, July 1, 2009

Luahan Penuh Emosi untuk KERIS, ISIUKM - Episod 1

Sebelum ini...

Siapa aku sebenarnya...

Walaupun menggelarkan diri dengan gelaran albariti(maksud = asal dr Parit), tapi 18 tahun hidup aku habiskan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Walaupun dilahirkan di rumah Ketua Polis Daerah Balik Pulau, Pulau Pinang, aku berpindah ke Cheras, Kuala Lumpur seawal usiaku 4 tahun.

Kemudian terus membesar sehingga usiaku 12 tahun dan menyambung pelajaran di kampungku, Parit,Perak. Terkadang aku mencipta sebab kenapa aku dipindahkan untuk bersekolah di kampung. Hanya ada satu sebab yang terlintas, Nakal. Waktu darjah 4 hingga 6, begini jadual seharianku, 7 pg keluar rumah, 7 malam pulang ke rumah. Keluar baju putih, balik baju warna warni.

Mungkin itulah sebabnya aku dipindahkan ke Parit, Perak. Tapi di sana, aku mula mengenal diri. Pak cik dan Mak cik yang berada di kampung benar-benar memberikan suasana kehidupan yang berbeza bagi aku. Terlalu jauh hiruk-pikuk kota dengan riuh rendah di desa. Aku mula menanam azam untuk membaiki diri dan menyemai cita-cita dalam hidup.

Sepanjang aku di Sek Men Sultan Muhammad Shah, Parit, Perak, hanya ada tiga nombor yang pernah aku dapat dalam semua ujian, 1, 2, dan 8. Akhirnya PMR, 9A, dan terus ke bumi waqafan, Kolej Islam Sultan Alam Shah, Kelang, Selangor.

Dilahirkan untuk kali ke-3...

Aku dilahirkan buat kali ketiga semasa di KISAS. Justeru, kalau ditanya, nikmat apa yang paling berharga selepas Iman dan Islam? Bagi aku, KISAS. 2 Tahun yang berharga berlalu dengan pantasnya. Sesekali deru air mata mengalir terasa ingin diulang manisnya perasaan dicubit Ustaz Fazdi, ditampar Ustaz Sheikh, ditengking Miss Linn dan ramai lagi murabbitun yang menggasak dan menyental segala daki dan kotor jijik keburukan yang ada pada aku. Hasil yang tidak dapat membanggakan, aku memperolehi 7A 4B dalam SPM. Keputusan tersebut menaikkan lagi semangat aku untuk menyambung di KISAS, mungkin STAM.

No comments:

Antara Yang Menarik