Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Sunday, November 29, 2009

GERAKAN ISLAM SEBAGAI MINI ISLAMIC STATE - Bahagian Dua

AlhamduliLlah, saya berkesempatan memanjangkan pintalan otak saya yang dangkal ini mengenai "gerakan Islam sebagai mini Islamic State" dengan beberapa orang sahabat. Banyak pendangan bernas yang saya terima daripada perbincangan tersebut. Paling menarik, pandangan seroang sahabat saya, Ust Hasbullah, lulusan syariah di Syria, mengatakan bahawa sebenarnya negara itu sendiri perlulah difahami dalam konteks yang lebih luas.

Negara yang beliau maksudkan di sini sebenarnya bermula daripada negara individu itu sendiri. Bahawa kita perlu menegakkan Islam dalam "negara" diri kita sendiri, dengan menjadikan Islam sebagai perlembagaan utama dalam kehidupan. Melalui makna ini, negara Islam itu sendiri sebenarnya meliputi seluruh aspek kehidupan dan berada di segenap pelusuk dunia sama ada dalam diri, keluarga, masyarakat, negara fizikal, mahupun dunia keseluruhannya.

Maksud negara yang seperti ini adalah lebih jelas dan tepat berdasarkan kepada firman Allah, "Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan!.."Ali-Imran, 3:26.

Raja kepada sekalian kerajaan di dunia ini adalah Allah. Tanpad sebarang sempadan jajahan takluk yang direka oleh manusia, tanpa sebarang perbezaan rupa paras dan warna kulit, mahupun sempadan ideologi dan pemikiran. Inilah makna sebenar "negara Islam". Walau di mana kita berada, sebenarnya kita tidak pernah lari walau sesaat apalagi seinci daripada wilayah Islam.

"Walau di mana kita berada, sebenarnya kita tidak pernah lari walau sesaat apalagi seinci daripada wilayah Islam."

Lanjutan daripada pembentukan negara Islam dalam diri, kita perlu meneruskan agenda pencerahan pemikiran manusia seluruhnya mengenai konsep negara Islam yang asal dan tulen ini. Gerakan Islam yang sebenar, akan memimpin ahlinya untuk terus menghayati maksud ini dan mengajak manusia seluruhnya ke arah manifestasi pengahayatan Islam yang syumul dalam kehidupan.

Sudah menjadi tanggungjawab setiap muslim untuk menjadikan segala urusan seharian mereka berlandaskan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Namun, kita telah kembali kepada zaman di mana manusia telah melupakan Tuhan Yang Menciptakan mereka. Moga kita tergolong di kalangan orang yang diberikan petunjuk olehNya.

Oleh kerana itu, saban hari kita terpaksa melaksanakan urusan kehidupan kita dalam sistem yang diatur oleh manusia. Walaupun di luar kemahuan kita sebagai seorang muslim, hakikatnya inilah yang sedang berlaku, dan benar-benar berlaku. Maka, kita perlu menyelamatkan diri kita dengan menggabungkan diri kita bersama individu-individu muslim yang lain untuk membentuk satu ketumbukan individu muslim yang besar, yang bergerak untuk membuka lebih banyak wilayah-wilayah Islam. Ketumbukan inilah yang dinamakan sebagai Gerakan Islam.

Wilayah Islam dalam gerakan Islam ini sudah semestinya adalah lebih besar daripada wilayah Islam yang ada pada individu-individu tertentu. Manusia diciptakan Allah Ta'ala dilengkapi dengan sifat kelemahan dan kekurangan, dengan adanya Gerakan Islam, maka kelemahan itu InsyaAllah akan dapat ditampung dengan sebaiknya.

Benarlah kata-kata RasuluLlah, bahawa kambing biri-biri yang seekor(yang keluar daripada kelompok kambing biri-biri) adalah lebih mudah diserang oleh serigala (syaitan) berbanding kambing biri-biri yang berada di dalam kelompoknya.

Anjuran berada di dalam kelompok atau kumpulan sebenarnya terdapat dalam banyak hadith dan qalam-qalam suci Al-Quran. Ayuh kita menyelak kembali lembaran suci itu agar diterangkan kembali hati untuk terus ditetapkan atas jalan yang lurus ini.

Ya Allah berikanlah kami Hidayah, serta orang-orang yang bersama-sama dengan kami, dan berilah petunjuk kepada manusia keseluruhannya. Serta Jadikan kami sebab kepada orang yang diberikan petunjuk.



GERAKAN ISLAM SEBAGAI MINI ISLAMIC STATE - Bahagian Satu

Negara Islam merupakan negara yang mengamalkan nilai, budaya dan undang-undang Islam. Ciri utama pada negara Islam bukan sahaja dilihat daripada jumlah penganut agama Islam mahupun jumlah Masjid yang terbina di dalam negara tersebut. Sebaliknya nilai utama yang membezakan antara negara Islam dengan Negara Bukan Islam ialah Perlembagaan yang berdasarkan Al-Quran Dan As-Sunnah. Bermakna tidak cukup dengan meletakkan Islam sebagai agama Rasmi, malah perlu menjadikan sumber utama rujukan dalam Islam sebagai rujukan utama dalam menentukan dasar pemerintahan.

Sekalipun jika Perdana Menteri itu merupakan seorang cina yang baru sahaja memeluk agama Islam dan melaksanakan Islam dalam dasar pemerintahannya, maka negara itu adalah lebih Islam daripada Negara yang diperintah oleh orang Melayu yang sejak lahirnya beragama Islam tetapi hanya menggunakan Islam ketika suka dan apabila perlu sahaja, bukan sahaja tiada galakan untuk mengajak kepada kebaikan, malah menyediakan lesen untuk rakyatnya berjudi, minum arak dan mengutip keuntungan daripada industri berteraskan maksiat seperti perlancongan dan khidmat sosial(pelacuran).

Semenjak kejatuhan khilafah Islamiyyah, pada tahun 1924, dunia semakin menuju ke arah kehancuran.Undang-undang Tuhan yang Maha Pencipta sudah tidak lagi dihormati malah dikutuk dan direndah-rendahkan. Malaysia yang kononnya Negara Islam juga turut menurut telunjuk "kelompok bukan Islam" apabila membiarkan pemimpin-pemimpinnya menggubal dasar tanpa menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan. Lebih teruk daripada itu, pemimpin yang mengutuk undang-undang Islam dibela dan diagungkan.

Berapa ramai pemimpin parti pemerintah di Malaysia yang pernah mengutuk ajaran Islam secara terbuka? Cukup dengan mereka mengatakan bahawa Al-Quran dan As-Sunnah sudah ketinggalan zaman, maka hukum ke atas mereka adalah sama dengan hukum ke atas mereka yang ingkar terhadap ajaran Islam atau dalam bahasa mudahnya, KAFIR. Kita berlindung dengan Allah Ta'ala daripada kejahatan kelompok-kelompok ini.

Namun begitu, walau betapa buruk dan zalimnya manusia-manusia ini, sebagai orang yang mengaku beriman kepada Allah Ta'ala dan RasulNya, kita tidak boleh dengan sewenang-wenangnya menghukum dengan hukum yang keras. Sesungguhnya hukuman dan pengadilan daripada Allah Ta'ala adalah lebih 'Adil.

Justeru, telah menjadi tanggungjawab mereka yang mewaqafkan diri ke jalan Tuhannya untuk memikul amanah dan tugas para Rasul dan Nabi. Para Rasul dan Nabi diutus Allah Ta'ala ke dunia untuk menyampaikan berita gembira kepada yang beriman dan azab neraka yang sengsara kepada mereka yang ingkar.

Bermula dari saat penjajah menjejakkan kaki ke tanah air, Ulama' yang mewarisi tugas para Nabi dan Rasul telah bangkit menyatakan bantahan mereka. Puluhan malah ratusan nyawa Ulama' telah dibunuh dan dibuang negeri kerana ketegasan mereka melaksanakan amanah ini.

Siapa yang tidak kenal dengan Tok Janggut. Seorang Ulama' di Kelantan, dan ramai lagi Ulama' yang menjadi pahlawan membela tanah air daripada dicemari dakyah Kuffar penjajah. God, Gospel and Glory, menunjukkan secara jelas bahawa pertembungan yang dianjurkan penjajah adalah pertembungan akidah. Misi utama mereka adalah menyesatkan Umat Islam, dan menghapuskan segala jenis ajaran Islam yang Maha Suci dan Sempurna.

Sejarah menunjukkan pertembungan antara Umat Islam dengan golongan Kafir musyrikin telah bermula sejak pengutusan Nabi Muhammad SAW lagi. Semenjak daripada itulah, misi menyelamatkan manusia keseluruhannya daripada bahaya kekafiran dilancarkan secara terbuka. Hakikatnya, Islam datang membawa keamanan dan keselamatan, mengajak manusia kembali beriman kepada Tuhan Yang Maha Besar, Maha Pencipta dan Dialah Allah yang mencipta dan mentadbir seluruh alam.

Sejarah juga menunjukkan, setiap Nabi yang diutus akan datang bersamanya pengikut yang menolong dan sentiasa bersama walau dalam susah atau senang. Begitu juga penentang dan musuh yang juga tetap tegar degil di atas jalan kekafiran. Bagi yang berada di barisan Para Nabi dan Rasul, tiada lain yang mereka harapkan kecuali keredhaan dan keampunan Tuhannya.

Maka muncullah gerakan-gerakan Islam yang sentiasa vokal dalam menyatakan kebenaran. Strategi dan perancangan disusun semata-mata untuk mendapat mardhatiLlah dan menegakkakan Kalimat Allah yang Maha Tinggi. Sepertimana Ikhwanul Muslimin, Jamaat Al-Islam, Marshumi, Partai Keadilan Sejahtera, Taliban, HAMAS, Hizbul Muslimin juga ditubuhkan atas maksud ini.

Mereka bergerak bukan untuk menghukum manusia yang ingkar, sebaliknya untuk menyedarkan manusia akan janji yang pernah diberikan kepada Allah ketika di alam Ruh, bahawa Allah adalah Tuhan Yang Maha Esa dan tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Dia. Menyedarkan manusia dengan janji kenikmatan atau amaran kesiksaan.

Wednesday, November 25, 2009

BERSAMA MEMIMPIN PERBAHAN - Bahagian 7 - Memiiliki Jiwa Pemimpin

Ibnu Taimiyyah menggariskan dua sifat utama yang perlu ada pada seseorang pemimpin , iaitu Al-Quwwah dan Al-Amanah. Al-Quwwah bukan hanya disandarkan kepada kekuatan fizikal malah kekuatan emosi dan mental perlu dimiliki oleh mereka yang bergelar pemimpin. Al-Amanah pula merujuk kepada sifat tanggungjawab dan profesionalisme seseorang itu dalam menjalankan tugas sebagai seorang pemimpin.

Terdahulu telah dinyatakan bahawa di dalam Islam, tiada istilah kuasa dalam soal kepimpinan dan pentadbiran di kalangan manusia. Sebaliknya manusia hanya diberikan amanah untuk menjadi wakil pentadbiran Allah Ta'ala di dunia. Pengertian khalifah juga tepat menceritakan mengenai soal ini.

Power is corrupt, Absolute power corrupt absolutely. Frasa yang juga tepat menggambarkan situasi sekiranya manusia menyangka mereka berkuasa.

Nabi Muhammad menjelaskan bahawa setiap manusia adalah pemimpin, di mana sekecil-kecil pimpinan ialah memimpin diri sendiri. Manusia akan dipersoalkan mengenai tanggungjawab dan amanah kepimpinan itu di hari akhirat kelak. Justeru, jawatan sama sekali bukanlah suatu nikmat atau ghanimah yang boleh diperlakukan sewenang-wenangnya.

Pemimpin selain diukur dari segi wawasan perjuangannya, perlu dinilai dari segi kemahiran membuat keputusan dan pertimbangan. Pemimpin perlu mempunyai kebijaksanaan dan keadilan kerana mereka akan sentiasa berdepan dengan masalah dan pilihan yang perlu dibuat sama ada melibatkan diri sendiri apalagi yang melibatkan rakyat di bawah kepimpinannya.

Sebab itu, taqwa perlu ada pada diri pemimpin. Manusia yang bertaqwa sentiasa berhati-hati ketika membuat tindakan dan pilihan. Manusia yang bertaqwa juga sentiasa memikirkan yang terbaik dan berpandangan jauh dalam melakukan sesuatu perkara.

Apabila bercakap mengenai hala tuju kepimpinan, seseorang pemimpin itu perlu memiliki jiwa yang besar walaupun dalam masa yang sama perlu mengukur baju di badan sendiri. Pemimpin yang hebat ialah pemimpin yang mampu berfikir demi kemajuan dan pembangunan rakyatnya untuk masa depan yang lebih panjang dan mencabar. Berfikir untuk kepentingan semua dan sentiasa mencari peluang dan ruang untuk dieksploitasi sebaiknya. Di sinilah kemampuan kritis dan kreatif seorang pemimpin akan teruji.

Walaupun sekadar memimpin sebuah institusi yang kecil seperti UKM, pemimpin Mahasiswa perlu memikirkan nasib rakan-rakannya untuk tahun-tahun mendatang serta bijak dalam membuat sebarang keputusan dan merancang sebarang tindakan.

Friday, November 6, 2009

BERSAMA MEMIMPIN PERUBAHAN, bahagian 6, "Politik : Kegilaan Mendapatkan Kuasa"

Lenin berkata politik ialah siapa yang boleh lakukan apa kepada siapa ( Who could do what to whom ). Manakala, seorang ahli sains politik, Harold Lasswell pula berkata politik adalah siapa yang dapat apa, bila dan bagaimana ( who gets what, when and how )

(Sumber wikipedia)

"Secara asasnya, manusia tidak layak sama sekali memegang kuasa apalagi untuk dikatakan berkuasa kerana kekuasaan adalah milik mutlak Allah Ta'ala. Namun begitu, manusia dipinjamkan sedikit keupayaan untuk berfikir dan membuat keputusan, maka kepada mereka Allah Ta'ala berikan amanah untuk menjalankan pentadbiran di atas muka bumi."- Prof Wan Abd Rahman, mantan pensyarah kanan, Jabatan Sains Politik, Pemikiran dan Strategi, Fakulti Sains Sosial Kemanusiaan, FSSK, UKM.

Keterangan ini tepat bersandarkan kepada firman Allah,

“Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikulnya dan mereka takut akan menghianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.” (Al-Ahzab, 33:72)

Menurut fahaman sekular, politik sering dikaitkan dengan kuasa. Malah menurut mereka, politik ini adalah "seni serba mungkin" (Art of possible). Mereka menganggap dengan politik dapat memberikan mereka kuasa untuk melakukan apa-apa sahaja yang mereka mahukan. Mereka percaya kepada "matlamat menghalalkan cara".

Seterusnya mereka memperalatkan politik untuk kepentingan peribadi. Politik dijadikan alat untuk mendapatkan kuasa, mengekalkan kuasa, serta menambahkan kekuasaan. Maka jadilah mereka kelompok yang gilakan kuasa.

Namun begitu, tiada istilah kuasa bagi manusia. Sebaliknya, istilah yang lebih cocok untuk manusia adalah AMANAH. Sekiranya manusia benar-benar faham mengenai istilah ini, maka mereka akan benar-benar melaksanakan tanggungjawab serta segala tuntutan yang ada pada amanah tersebut.

Politik pula hanyalah sebagai alat untuk mencapai maksud di atas. Menurut Prof Wan Abd Rahman, politik menurut Islam adalah "seni menyelesaikan masalah" (The Art of Possible). Maka peranan Politik yang sebenar adalah untuk menyelesaikan masalah. Lebih tepat, untuk membawa manusia mengenal Pencipta dan kembali menyerahkan diri serta segala urusan kehidupan ini kepada Pencipta.

Politik yang menyelesaikan masalah ini, adalah politik yang berasaskan nilai. Justeru nilai Islam adalah nilai yang paling tinggi yang perlu dijadikan rujukan utama. Mengenepikan segala macam soal yang bertentangan dengannya seperti nilai perkauman, nilai kepartian dan segala macam nilai negatif dan sempit yang bertentangan dengan Islam. Keadilan, kesejahteraan, kecekapan, profesional, kebajikan adalah antara tuntutan utama dalam berpolitik menurut politik Islam. Siasah adalah istilah yang paling tepat untuk menerangkan kedudukan politik dalam Islam.

Seterusnya kefahaman siasah Islam yang sebenar akan membawa manusia mengenali diri mereka, mamahami tugas dan tanggungjawab yang mereka pikul di atas dunia ini iaitu,

1.Menyerahkan diri(mengabdikan diri) kepada Allah.
2.Menyeru manusia kembali kepada Allah.
3.Menegakkan agama Allah dan mentadbir dunia ini dengan agamaNya.

Pentadbiran dunia ini sememangnya telah diserahkan kepada manusia bermula dari ketika Nabi Adam AS diciptakan dan diutus ke dunia. Manusia sejak zaman-berzaman meneruskan kelangsungan hidup di dunia dan bertanggungjawab sepenuhnya untuk menguruskan hal pentadbiran di dunia. Segala makhluk dan ciptaan yang ada dunia ini diciptakan untuk manusia. Cocok dengan akal dan kemampuan manusia membuat keputusan, maka manusia dilantik sebagai khalifah di dunia.Perlantikan ini melibatkan semua manusia tanpa terkecuali walau seorang pun. Masing-masing perlu menjalankan amanah ini menurut syari'at Allah dan juga Sunnah Allah.

Maka peranan Politik yang sebenar adalah untuk menyelesaikan masalah. Lebih tepat, untuk membawa manusia mengenal Pencipta dan kembali menyerahkan diri serta segala urusan kehidupan ini kepada Pencipta

Hari ini, pelbagai jenis kerosakan dan kehancuran berlaku akibat tangan-tangan manusia sendiri. Pemanasan global, ketidak-tentuan iklim dan cuaca, hakisan tanah, gempa bumi dan sebagainya berpunca daripada tindakan manusia yang tidak faham mengenai istilah AMANAH dari Tuhan ini. Mereka menyangka bahawa diri mereka berkuasa, rakus menggunakannya, kejam dalam mengekalkannya, dan ingin mendapatkan seberapa banyak kuasa untuk memenuhi kehendak nafsu mereka. Nafsu yang tidak pernah puas itu akhirnya membuatkan mereka menjadi gila, maka wujudlah pelbagai jenis gila seperti gila kuasa.

Krisis sosial, ekonomi, pentadbiran dan segala macam krisis yang berlaku pada hari ini amat memerlukan kepada penyelesaian yang tuntas. Manusia perlu kembali kepada Tuhannya. Kembali menegakkan agama dan berpolitik(mentadbir) bumi ini dengan agama.

Tuesday, November 3, 2009

Sarfa, Letak jawatan dan nafikan berita fitnah.

Salam pintar terpintal,

Sudah lebih sehari (24 jam) masa yang saya berikan kepada Timbalan Presiden PMUKM untuk memberikan respon terhadap cabaran debat terbuka berhubung artikel yang pernah disiarkan melalui laman blog peribadinya. Benar, tiada had masa untuk Sdra Sarfa memberikan jawapan terhadap cadangan saya tersebut.

Apa yang cuba saya pertahankan di sini adalah maruah Ulama' dan prinsip perjuangan yang jauh banding bezanya antara pemimpin UMNO dan Pemimpin PAS. Sekiranya Sarfa mempertikaikan kedudukan TGNA, maka secara tidak langsung kedudukan PAS bersama Pakatan Rakyat juga turut termasuk di dalam isu tersebut. Umum mengetahui, pilihan yang ada pada rakyat pada ketika ini adalah sama ada 1Malaysia atau Pakatan Rakyat.

Jika begitu pandangan Sarfa, maka tidak menjadi satu kejanggalan dan kesalahan sekiranya saya sebagai Mahasiswa UKM yang juga merupakan rakyat Malaysia yang bosan dengan pemerintahan UMNO untuk mempertikaikan pendirian dan pandangan T.Pres PMUKM itu.

Sejujurnya, saya kemukakan cabaran tersebut walaupun hakikatnya saya hanya mempunyai 1% kepercayaan terhadap kewibawaan T.Presiden PMUKM Aspirasi tersebut yang terkenal dengan dokongan slogan keramat Presiden UMNO, "sahabat 1 Malaysia". Namun begitu, sekiranya Sarfa berjaya menemukan keyakinan atau hujah baru yang lebih bernas, silalah aturkan perjumpaan tersebut.

Bagi saya, Sarfa telahpun mengalami kekalahan moral yang sangat teruk. Hal ini dapat dilihat dengan jelas apabila Sarfa sendiri telah mengalihkan artikel tersebut kerana takut dengan tekanan yang diberikan kepadanya. Dengan memadamkan artikel tersebut, telah menunjukkan betapa beliau merupakan seorang pemimpin yang gagal. Jika untuk mempertahankan idea dan pandangan pun sudah begitu keadaannya, bagaimana ingin bicara soal pembangunan Mahasiswa, pembangunan Universiti, apalagi untuk bercakap soal kepimpinan ulama' dan negara.

Sebaliknya, isu ini telah memberikan kemenangan moral dan pembelaan terhadap maruah Ulama' yang telah sekian lama konsisiten dengan pendirian untuk memperjuangkan corak pentadbiran yang adil dan Islamik.

Permohonan maafnya melalui artikel susulan "hanya sedikit komen" tidak sedikitpun mampu mengalihkan tumpuan terhadap isu sebenar dan Mahasiswa tetap tidak berganjak daripada pendirian, Sarfa perlu membuat penjelasan!. Sekiranya beliau benar-benar telah bertaubat dan insaf dengan perbuatannya, berikut cadangan saya.

1. Membuat kenyataan rasmi bahawa artikel yang beliau terbitkan itu adalah fitnah dan palsu, serta membuat permohonan maaf secara khusus terhadap peribadi yang telah difitnah tersebut.

2. Meletakkan jawatan sebagai T.Presiden PMUKM.


Sekiranya terasa diri tidak bersalah, sila aturkan perjumpaan kita buat perbincangan terbuka agar kekeliruan ini diperjelaskan.

Sekali lagi saya tekankan, saya bersedia pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja.



(Jangan kita bazirkan masa tunggu respon sarfa, lebih baik kita turun beramai2 ke Mahkamah Persekutuan, 5 November ini untuk Status Kerajaan Kudeta PERAK, Selamatkan Perlembagaan dan Hak Rakyat PERAK!!!)

Monday, November 2, 2009

Saya Mencabar Sarfarizmal Berdebat Secara Terbuka mengenai Isu Artikel YDP BPN.

Asalamu'alaikum WarahmatuLlahi Wabarakatuh.

AlhamduliLlah, segala puji dan puja ditujukan dengan sebanyak-banyaknya ke hadrat Ilahi, di atas limpah kurnia yang diberikan kepada kita. Selawat dan salam buat junjungan besar yang tercinta, Nabi Muhammad, Rasul dan hambaNya. Juga ke atas para sahabat, ahli keluarga baginda, para Tabi'en, dan mereka yang terus menerus berada di atas jalan yang benar serta mendokongnya sehingga datangnya Hari Agama.

AlhamduliLlah, di atas kesempatan dan kelebihan yang Allah kurniakan kepada hambaNya, kita sebagai manusia mampu mewujudkan suatu ruang komunikasi yang sangat bebas dan meluas ruang perbincangannya. Malah segala maklumat yang kita ingin juga yang tidak kita ingini juga berada di hujung jari. Saban hari, berjuta-juta maklumat baru akan dimuatkan dalam dunia cyber, maka terpulang kepada kita untuk mengambil manfaat atau menggunakan kesempatan yang ada.

Justeru, saya ingin mengemukakan cabaran secara terbuka kepada Timbalan Presiden PMUKM, Sdra Sarfarizmal Saad, untuk berdebat secara terbuka mengenai artikel yang tersiar di blog peribadinya http://sarfarizmalsaad.blogspot.com/(namun artikel tersebut telah dialihkan atas sebab-sebab yang tidak diketahui). Di dalam artikel tersebut, beliau telah memanjangkan artikel temannya Panglima Perang Cyber berhubung beberapa tuduhan peribadi terhadap Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Malangnya, artikel tersebut, menurut dakwaan beliau tiada kena-mengena dengan dirinya, dan beliau sekadar memaparkan artikel tersebut untuk dihebahkan melalui lamannya. Beliau juga memohon maaf di atas salah faham mengenai penulis asal artikel tersebut.

Namun begitu, persoalan mengenai identiti penulis bukanlah isu yang besar kerana artikel tersebut telah disiarkan dan ditanda sebagai artikel yang mesti dibaca dan direnungkan. Maka, saya berpendapat bahawa Sdra Sarfarizmal bersetuju bahawa artikel tersebut perlu dipanjangkan dan secara tidak langsung menyokong kandungan artikel tersebut.

Sebagai seorang pemimpin Mahasiswa, malah menyandang jawatan yang tinggi dalam PMUKM, Sdra Sarfarizmal perlu bersikap profesional dan sewajarnya mempunyai pandangan yang jelas dan berprinsip. Saya tidak menyalahkan beliau, kerana pandangan itu adalah milik individu, tiada siapa yang berhak menafikan hak tersebut.

Walaubagaimanapun, sebagai Timbalan Presiden PMUKM, beliau perlu bertanggungjawab kerana artikel tersebut telah benar-benar mengguris hati ramai pihak. Beliau perlu bertanggungjawab dan saya, Mohd Farid Bin Hamlud, mantan pimpinan GMUKM mencabar beliau untuk berdebat secara terbuka mengenai isu ini.

Saya bersedia untuk hadir di mana-mana majlis, di mana-mana tempat, pada bila-bila masa. Saya juga mengalukan sekiranya saudara ingin membawa bersama Panglima Perang Cyber untuk bersama dan saya juga akan membawa seorang rakan untuk berdebat secara ilmiah dan profesional.

Untuk keterangan, debat ini bukanlah bertujuan untuk menafikan hak-hak dan pandangan, jauh sekali untuk menjatuhkan mana-mana pihak mahupun indidvidu yang terlibat. Namun, saya percaya Debat atau Wacana seperti ini perlu dilakukan supaya tiada pihak yang boleh mengeluarkan kenyataan yang kontroversi sesuka hati tanpa usul periksa yang akhirnya akan membawa fitnah dan konflik yang berpanjangan.

Mahasiswa merupakan golongan yang bijak pandai dan sewajarnya mampu mengawal emosi dalam membuat sebarang keputusan.

Salam Mahasiswa.

Antara Yang Menarik