Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Friday, November 6, 2009

BERSAMA MEMIMPIN PERUBAHAN, bahagian 6, "Politik : Kegilaan Mendapatkan Kuasa"

Lenin berkata politik ialah siapa yang boleh lakukan apa kepada siapa ( Who could do what to whom ). Manakala, seorang ahli sains politik, Harold Lasswell pula berkata politik adalah siapa yang dapat apa, bila dan bagaimana ( who gets what, when and how )

(Sumber wikipedia)

"Secara asasnya, manusia tidak layak sama sekali memegang kuasa apalagi untuk dikatakan berkuasa kerana kekuasaan adalah milik mutlak Allah Ta'ala. Namun begitu, manusia dipinjamkan sedikit keupayaan untuk berfikir dan membuat keputusan, maka kepada mereka Allah Ta'ala berikan amanah untuk menjalankan pentadbiran di atas muka bumi."- Prof Wan Abd Rahman, mantan pensyarah kanan, Jabatan Sains Politik, Pemikiran dan Strategi, Fakulti Sains Sosial Kemanusiaan, FSSK, UKM.

Keterangan ini tepat bersandarkan kepada firman Allah,

“Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikulnya dan mereka takut akan menghianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.” (Al-Ahzab, 33:72)

Menurut fahaman sekular, politik sering dikaitkan dengan kuasa. Malah menurut mereka, politik ini adalah "seni serba mungkin" (Art of possible). Mereka menganggap dengan politik dapat memberikan mereka kuasa untuk melakukan apa-apa sahaja yang mereka mahukan. Mereka percaya kepada "matlamat menghalalkan cara".

Seterusnya mereka memperalatkan politik untuk kepentingan peribadi. Politik dijadikan alat untuk mendapatkan kuasa, mengekalkan kuasa, serta menambahkan kekuasaan. Maka jadilah mereka kelompok yang gilakan kuasa.

Namun begitu, tiada istilah kuasa bagi manusia. Sebaliknya, istilah yang lebih cocok untuk manusia adalah AMANAH. Sekiranya manusia benar-benar faham mengenai istilah ini, maka mereka akan benar-benar melaksanakan tanggungjawab serta segala tuntutan yang ada pada amanah tersebut.

Politik pula hanyalah sebagai alat untuk mencapai maksud di atas. Menurut Prof Wan Abd Rahman, politik menurut Islam adalah "seni menyelesaikan masalah" (The Art of Possible). Maka peranan Politik yang sebenar adalah untuk menyelesaikan masalah. Lebih tepat, untuk membawa manusia mengenal Pencipta dan kembali menyerahkan diri serta segala urusan kehidupan ini kepada Pencipta.

Politik yang menyelesaikan masalah ini, adalah politik yang berasaskan nilai. Justeru nilai Islam adalah nilai yang paling tinggi yang perlu dijadikan rujukan utama. Mengenepikan segala macam soal yang bertentangan dengannya seperti nilai perkauman, nilai kepartian dan segala macam nilai negatif dan sempit yang bertentangan dengan Islam. Keadilan, kesejahteraan, kecekapan, profesional, kebajikan adalah antara tuntutan utama dalam berpolitik menurut politik Islam. Siasah adalah istilah yang paling tepat untuk menerangkan kedudukan politik dalam Islam.

Seterusnya kefahaman siasah Islam yang sebenar akan membawa manusia mengenali diri mereka, mamahami tugas dan tanggungjawab yang mereka pikul di atas dunia ini iaitu,

1.Menyerahkan diri(mengabdikan diri) kepada Allah.
2.Menyeru manusia kembali kepada Allah.
3.Menegakkan agama Allah dan mentadbir dunia ini dengan agamaNya.

Pentadbiran dunia ini sememangnya telah diserahkan kepada manusia bermula dari ketika Nabi Adam AS diciptakan dan diutus ke dunia. Manusia sejak zaman-berzaman meneruskan kelangsungan hidup di dunia dan bertanggungjawab sepenuhnya untuk menguruskan hal pentadbiran di dunia. Segala makhluk dan ciptaan yang ada dunia ini diciptakan untuk manusia. Cocok dengan akal dan kemampuan manusia membuat keputusan, maka manusia dilantik sebagai khalifah di dunia.Perlantikan ini melibatkan semua manusia tanpa terkecuali walau seorang pun. Masing-masing perlu menjalankan amanah ini menurut syari'at Allah dan juga Sunnah Allah.

Maka peranan Politik yang sebenar adalah untuk menyelesaikan masalah. Lebih tepat, untuk membawa manusia mengenal Pencipta dan kembali menyerahkan diri serta segala urusan kehidupan ini kepada Pencipta

Hari ini, pelbagai jenis kerosakan dan kehancuran berlaku akibat tangan-tangan manusia sendiri. Pemanasan global, ketidak-tentuan iklim dan cuaca, hakisan tanah, gempa bumi dan sebagainya berpunca daripada tindakan manusia yang tidak faham mengenai istilah AMANAH dari Tuhan ini. Mereka menyangka bahawa diri mereka berkuasa, rakus menggunakannya, kejam dalam mengekalkannya, dan ingin mendapatkan seberapa banyak kuasa untuk memenuhi kehendak nafsu mereka. Nafsu yang tidak pernah puas itu akhirnya membuatkan mereka menjadi gila, maka wujudlah pelbagai jenis gila seperti gila kuasa.

Krisis sosial, ekonomi, pentadbiran dan segala macam krisis yang berlaku pada hari ini amat memerlukan kepada penyelesaian yang tuntas. Manusia perlu kembali kepada Tuhannya. Kembali menegakkan agama dan berpolitik(mentadbir) bumi ini dengan agama.

No comments:

Antara Yang Menarik