Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Sunday, November 29, 2009

GERAKAN ISLAM SEBAGAI MINI ISLAMIC STATE - Bahagian Satu

Negara Islam merupakan negara yang mengamalkan nilai, budaya dan undang-undang Islam. Ciri utama pada negara Islam bukan sahaja dilihat daripada jumlah penganut agama Islam mahupun jumlah Masjid yang terbina di dalam negara tersebut. Sebaliknya nilai utama yang membezakan antara negara Islam dengan Negara Bukan Islam ialah Perlembagaan yang berdasarkan Al-Quran Dan As-Sunnah. Bermakna tidak cukup dengan meletakkan Islam sebagai agama Rasmi, malah perlu menjadikan sumber utama rujukan dalam Islam sebagai rujukan utama dalam menentukan dasar pemerintahan.

Sekalipun jika Perdana Menteri itu merupakan seorang cina yang baru sahaja memeluk agama Islam dan melaksanakan Islam dalam dasar pemerintahannya, maka negara itu adalah lebih Islam daripada Negara yang diperintah oleh orang Melayu yang sejak lahirnya beragama Islam tetapi hanya menggunakan Islam ketika suka dan apabila perlu sahaja, bukan sahaja tiada galakan untuk mengajak kepada kebaikan, malah menyediakan lesen untuk rakyatnya berjudi, minum arak dan mengutip keuntungan daripada industri berteraskan maksiat seperti perlancongan dan khidmat sosial(pelacuran).

Semenjak kejatuhan khilafah Islamiyyah, pada tahun 1924, dunia semakin menuju ke arah kehancuran.Undang-undang Tuhan yang Maha Pencipta sudah tidak lagi dihormati malah dikutuk dan direndah-rendahkan. Malaysia yang kononnya Negara Islam juga turut menurut telunjuk "kelompok bukan Islam" apabila membiarkan pemimpin-pemimpinnya menggubal dasar tanpa menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan. Lebih teruk daripada itu, pemimpin yang mengutuk undang-undang Islam dibela dan diagungkan.

Berapa ramai pemimpin parti pemerintah di Malaysia yang pernah mengutuk ajaran Islam secara terbuka? Cukup dengan mereka mengatakan bahawa Al-Quran dan As-Sunnah sudah ketinggalan zaman, maka hukum ke atas mereka adalah sama dengan hukum ke atas mereka yang ingkar terhadap ajaran Islam atau dalam bahasa mudahnya, KAFIR. Kita berlindung dengan Allah Ta'ala daripada kejahatan kelompok-kelompok ini.

Namun begitu, walau betapa buruk dan zalimnya manusia-manusia ini, sebagai orang yang mengaku beriman kepada Allah Ta'ala dan RasulNya, kita tidak boleh dengan sewenang-wenangnya menghukum dengan hukum yang keras. Sesungguhnya hukuman dan pengadilan daripada Allah Ta'ala adalah lebih 'Adil.

Justeru, telah menjadi tanggungjawab mereka yang mewaqafkan diri ke jalan Tuhannya untuk memikul amanah dan tugas para Rasul dan Nabi. Para Rasul dan Nabi diutus Allah Ta'ala ke dunia untuk menyampaikan berita gembira kepada yang beriman dan azab neraka yang sengsara kepada mereka yang ingkar.

Bermula dari saat penjajah menjejakkan kaki ke tanah air, Ulama' yang mewarisi tugas para Nabi dan Rasul telah bangkit menyatakan bantahan mereka. Puluhan malah ratusan nyawa Ulama' telah dibunuh dan dibuang negeri kerana ketegasan mereka melaksanakan amanah ini.

Siapa yang tidak kenal dengan Tok Janggut. Seorang Ulama' di Kelantan, dan ramai lagi Ulama' yang menjadi pahlawan membela tanah air daripada dicemari dakyah Kuffar penjajah. God, Gospel and Glory, menunjukkan secara jelas bahawa pertembungan yang dianjurkan penjajah adalah pertembungan akidah. Misi utama mereka adalah menyesatkan Umat Islam, dan menghapuskan segala jenis ajaran Islam yang Maha Suci dan Sempurna.

Sejarah menunjukkan pertembungan antara Umat Islam dengan golongan Kafir musyrikin telah bermula sejak pengutusan Nabi Muhammad SAW lagi. Semenjak daripada itulah, misi menyelamatkan manusia keseluruhannya daripada bahaya kekafiran dilancarkan secara terbuka. Hakikatnya, Islam datang membawa keamanan dan keselamatan, mengajak manusia kembali beriman kepada Tuhan Yang Maha Besar, Maha Pencipta dan Dialah Allah yang mencipta dan mentadbir seluruh alam.

Sejarah juga menunjukkan, setiap Nabi yang diutus akan datang bersamanya pengikut yang menolong dan sentiasa bersama walau dalam susah atau senang. Begitu juga penentang dan musuh yang juga tetap tegar degil di atas jalan kekafiran. Bagi yang berada di barisan Para Nabi dan Rasul, tiada lain yang mereka harapkan kecuali keredhaan dan keampunan Tuhannya.

Maka muncullah gerakan-gerakan Islam yang sentiasa vokal dalam menyatakan kebenaran. Strategi dan perancangan disusun semata-mata untuk mendapat mardhatiLlah dan menegakkakan Kalimat Allah yang Maha Tinggi. Sepertimana Ikhwanul Muslimin, Jamaat Al-Islam, Marshumi, Partai Keadilan Sejahtera, Taliban, HAMAS, Hizbul Muslimin juga ditubuhkan atas maksud ini.

Mereka bergerak bukan untuk menghukum manusia yang ingkar, sebaliknya untuk menyedarkan manusia akan janji yang pernah diberikan kepada Allah ketika di alam Ruh, bahawa Allah adalah Tuhan Yang Maha Esa dan tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Dia. Menyedarkan manusia dengan janji kenikmatan atau amaran kesiksaan.

No comments:

Antara Yang Menarik