Terasa benar, Allah Ta'ala menjentik hati dan akal ketika berada di Tanah Suci ini. Hakikatnya, bumi dan langit, serta seluruh isinya adalah milik Allah Ta'ala, maka di mana pun kita berada pasti akan sentiasa ada jentikan yang Allah Ta'ala berikan kepada hambaNya. Dialah yang melintaskan ke dalam hati dan akal kita untuk melakukan perkara yang baik dan buruk.
Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman. (Surah Al-An'am, 6:125)
Ayat di atas, selain menceritakan perihal "petunjuk" yang hanya diberikan kepada mereka yang dikehendaki(yang berusaha), juga bagaimana petunjuk itu memberikan kesan, ayat di atas turut menunjukkan kebenaran serta betapa tingginya ilmu Sains di dalam Al-Quran. (Tekanan berkadar langsung dengan ketinggian - belajar masa PMR dulu...) - kita kupas pasal sains ni lain kali...
Ketika berbual-bual cerita-masuk-tidur (Bedtime story) dengan beberapa orang jemaah, kami bertukar-tukar pandangan mengenai "kesaktian" dan "kesucian" Tanah Haram Mekah dan Madinah. Masing-masing menceritakan pengalaman masing-masing mengenai "kesaktian" dan keajaiban yang mereka alami di sini. Perkongsian mengenai keajaiban ini bermula ketika kami berbincang mengenai kaedah yang terbaik untuk mengucup Hajarul Aswad. Kebetulan, antara kami ketika itu, saya seorang sahaja yang pernah mengucupnya. Lalu, saya berkongsi, untuk mengucup Hajarul Aswad, mestilah menghimpit ke dinding Ka'abah seawal melewati Rukun Yamani, dan jangan sesekali ke tengah.
"Rasa macam tak bergerak, tapi sebenarnya bergerak tapi sikit-sikit, sabar, insyaAllah dapat kucup," jelas saya. "Sepanjang pengalaman saya berada di Mekah, (yang setahun jagung ini), baru 2 kali je saya cuba kucup Hajarul Aswad, tapi yang pertama tu je saya dapat kucup," tambah saya.
Kemudian, seorang jemaah mencelah, "saya belum pernah cuba lagi, tapi ada satu hari tu, saya doa nak solat depan Multazam, tiba2 terbuka lorong dan dengan mudahnya saya dapat duduk kat depan Multazam. Kemudian saya doa lagi nak solat kat Hijir Ismail, sampai je kat pintu masuk tu, tiba-tiba saya nampak ada ruang kosong, AlhamduliLlah, dua kali saya dapat solat kat situ," jelasnya.
Saya berkongsi lagi, "Sebelum ni, ada seorang jemaah, ketika saya buat sesi perkenalan sesama jemaah (Sesi Taaruf / Ice-breaking), dia kongsikan bahawa antara hajat dia datang ke Mekah ni sebab nak mintak supaya ditambahkan zuriat, keesokan harinya, isterinya didapati hamil," kongsi saya pula.
Pernah suatu malam, ketika saya memimpin jemaah yang menunaikan Umrah pada bulan Mac, saya berdoa dan menunaikan Solat Hajat supaya saya dapat duduk di Tanah Haram Mekah ini lebih lama, keesokan harinya, saya terima mesej dari Pejabat Darul Mubarak, bahawa saya akan ke Mekah lagi sekali pada bulan 4 selama sebulan... ALLAHU AKBAR...
Hanya Allah Ta'ala sahaja yang tahu, betapa nikmatnya beribadah di sini. Kehidupan yang sangat terisi dan terpimpin.. Walaupun, tidak dinafikan, ada juga mereka yang melakukan penipuan, pengkhianatan, maksiat, dan sebagainya di Mekah mahupun di Madinah, tetapi bagi mereka yang inginkan kebaikan dan berusaha untuk memperolehinya, nescaya Allah Ta'ala akan bukakan jalan dan kurniakan kepada mereka petunjuk.
Salah seorang jemaah saya berkongsi lagi, "Kita bukan hebat pun, tapi bila berlaku macam ni, rasa seronok dan terasa hebat dan kasihnya Allah Ta'ala pada kita. Seolah-olah Dia sentiasa melihat dan bersama dengan kita," jelasnya. "Dekat benor rasenye dengan Tuhan," celah seorang jemaah saya yang lain.
Sebenarnya banyak lagi yang kami sembangkan dan kami kongsikan. Dari mula-mula kecoh, disebabkan semuanya bersemangat nak bercerita, hinggalah semakin senyap dan hanya tinggal seorang dua yang masih bertahan. Inipun antara "kesaktian" yang ada, tanpa kami sedar, tahu-tahu dah berdengkur.. Hebat!!
Memang, inilah hadiah yang Allah Ta'ala kurniakan. Panjang manapun saya tulis, takkan dapat menggambarkan betapa hebatnya kasih dan sayang Allah Ta'ala yang sentiasa mengurnaikan "hadiah" kepada hambaNya. Bagi yang bersyukur, dan inginkan petunjuk, pasti peristiwa-peristiwa tersebut menjadikan imannya semakin bertambah. Hakikatnya, ada juga yang tidak berubah, bahkan menjadi lebih teruk kerana berbangga dengan apa yang berlaku dan sedikit pun tiada nilai tambah pada iman... Kesaktian menjadi "istidraj", aku berlindung denganMu Ya Allah dari semua itu...
Seinfiniti syukur atas segala nikmat dan rahmat, kelebihan dan kasih sayang yang Allah Ta'ala curahkan. Tidak terhitung kurnianNya, sekalipun diri ini penuh dengan silap dan dosa. Ya Allah, kurniakanlah daku rasa bersyukur terhadap nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada aku dan juga kedua ibubapaku.
Munajat Seorang Hamba - Hijjaz...
3 comments:
alaaaa, abg xde lagi la bulan ni kat Bangi??
hmm.. bile la ada rezeki nk ke sana... Ya ALLAH, permudahkan lah ...
Ata: "bulan ni" mengikut tarikh komentar nta tu bulan 4, memang ana takde kat Bangi, tapi kalau bulan 5 ni, insyaAllah ana ada kat Bangi...
NoRjAliLAH: Ameen.. semoga semuanya juga berkesempatan...
Post a Comment