Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Sunday, June 26, 2011

Buang Otak sebelum baca, dan bacalah tanpa membuang masa...

Simpan Otak anda, kalau boleh letaklah di dalam almari kaca, supaya selamat. Jangan simpan dalam peti sejuk, dibimbangi Beku dan tidak lagi selamat digunakan.


Bila menyebut tentang Islam, anda tidak perlu menggunakan akal untuk berfikir, relevan, atau tidak ianya dilaksanakan. Sesuai atau tidak Islam menjadi amalan dan cara hidup seluruh umat manusia? Ya, silakan mencari, insyaAllah, The truth is out there.. For sure, if you are looking for it, the answer will be yours, very soon indeed.

Sekalipun, jika menurut akal yang separuh matang itu berfikir, anda dapati Islam tidak sesuai dan terasa seperti satu beban ke atas akal anda untuk menerima dan menemui hakikat keindahan Islam, apa hak anda untuk menafikan hak Allah??

Jangan berhenti dulu! Teruskan baca, sikit lagi je nak sampai..

Benar, Islam ini adalah Hak Allah. Dia yang menciptakan manusia daripada setitis air mani, kemudian menjadi segumpal darah, seterusnya berkembang menjadi manusia yang sihat seperti saya dan anda. Lihatlah diri anda, betapa cantik dan tampannya anda membesar. Padahal, dulunya, anda hanya setitis air mani yang keluar dari tempat yang hina.

Dia yang menciptakan dunia, dan mengamanahkan kepada kita, manusia yang berakal, untuk mentadbir segala urusan di atas dunia ini. Berbekalkan sunnah dan syariahNya, maka kita berjalan dan bertaburan di atas muka bumi ini, tanpa dipaksa oleh sesiapa, kita terus-menerus memakmurkan bumi ini. Dari padang pasir yang kering tandus, sehinggalah ke hutan belantara yang luas terbentang, setiap inci bumi ini kita terokai, sehingga kekallah bumi ini menjadi tempat tinggal setiap insan.

Siapa yang mengajarkan kita erti cinta? Siapa pula yang menjadikan kita begitu bersemangat untuk memikul tanggungjawab, menjaga dan memelihara dunia ini sebaiknya? Of course, even the bad people are protecting this land from the good one. Because, they saw "happiness" with their own not-so-true eyes.

Jadi, kebenaran yang mutlah ialah Allah.. Dan Dialah yang Haq, dan berhak ke atas segala sesuatu..

Nanti, jangan pergi lagi!! Sikit je lagi ni...

Maka, jika kita memberikan sedikit tenaga untuk membuka kelopak mata kita yang kecil itu, pasti akan tersingkaplah rahsia indah, kehebatan dan betapa tingginya kasih sayang dan betapa luasnya rahmat Tuhan. Dia yang menjadikan semuanya... Dialah yang Maha Hebat, Lagi Maha Perkasa.. Maha Pengasih lagi Maha Pengampun..

Cuba bayangkan, hamba yang berdosa, hina dan dina ini, diberikan penghormatan untuk rukuk dan sujud menyembahNya. Menghadapkan muka, meminta dan mengadu kepadaNya?? Apa kelayakan kita untuk melakukan semua itu? Sedang kita ini adalah hamba yang kotor yang diciptakan olehNya, bergelumang dengan dosa sehingga tiada satu saat dalam sehari pun yang benar-benar kita ingat padaNya, tetap bumi ini dipelihara sebaiknya untuk kita tinggal dan menetap di atasnya.

Tetap, anda dipertemukan dengan kata-kataNya yang indah, mendengar seruan mengajak kembali kepadaNya, setiap muka bumi ini, pasti ada rumah yang dibina untuk mengingatiNya... Dan nikmat yang tidak terhingga, menerima Iman dan Islam, sekalipun hitam dan jijik hati dan akal kita...
Maha Suci Allah Yang Maha Agung Lagi Maha Perkasa....

Nah, sampai sudah kita ke noktah nihayah kata-kata ini, dan noktah bidayah kepada dunia idaman semua...

Finally, you had reach the end of words, and welcome to the beginning of the most beautiful world,

Ubah sekarang, Selamatkan Dunia!!!

Friday, June 24, 2011

Rindu dan Sayang....

AlhamduliLlah, puji dan syukur seluas langit dan bumi dipanjatkan ke hadrat Ilahi atas kurniaan yang tidak pernah mampu dihitung apalagi dibalas. Semoga hati ini terus dipimpin untuk menjadi seorang hamba yang sentiasa bersyukur.

Setelah hampir sebulan, akhirnya sampailah masanya. Saya sendiri tidak pasti ingin melabelkan “masa” yang tiba ini dengan label yang ditunggu-tunggu atau yang sebaliknya. Ya, masa untuk pulang ke Malaysia, dan juga masa untuk saya meninggalkan tanah suci Mekah dan Madinah.

Adakalanya, tidak sabar rasanya nak pulang ke Malaysia, mungkin kerana ada sesuatu yang saya tinggalkan di Malaysia, tetapi saya tetap sayangkan tanah suci ini dan terasa berat setiap kali ingin berpisah dengannya. Sayang pada Mekah, rindu pada Malaysia.

Semoga ada lagi peluang akan datang.

Di masjid terapung.

Sebenarnya, kalau difikirkan sedalam-dalamnya. Saya tak rasa yang saya mempunyai apa-apa kelebihan atau kelayakan untuk berada di sini. Apalagi untuk berkhidmat melayan dan menguruskan tetamuNya dan tetamu rasulNya. Sentiasa dihimpit kegusaran, bimbang kelemahan dan kesilapan yang ada ini menjejaskan kualiti ibadah para tetamuNya yang mulia. Namun, saya teruskan kerana peluang ini juga mungkin sebagai salah satu tarbiyah yang baik untuk saya memperbaiki diri menjadi hambaNya yang taat.

Saya selalu diajar, beginilah cara berfikir seorang hamba yang baik, - setiap yang baik itu diterima dengan rasa syukur dan yang kurang baik itu diterima dengan penuh redha. Redha dan syukur.



Cuma kali ini, saya benar-benar teruja ingin kembali ke Malaysia. Jelas sekali, untuk menyertai Himpunan Aman BERSIH kali ke dua di Ibu Negara pada 9 Julai.

Cuma, sesekali bila mengenangkan BERSIH ni, rupanya memang ada beberapa persamaan dengan peristiwa yang berlaku di negara-negara TImur Tengah yang sedang bergolak sekarang ni. Saya, masih seperti pendirian asal saya, sebolehnya saya mahu perubahan berlaku secara aman, dan tidak perlulah kerajaan Malaysia ini “dipaksa” sehingga sedemikian rupa untuk berubah oleh rakyat. Saya rasa, mesej dalam Bersih yang pertama dahulu sudah cukup jelas bahawa Ratusan ribu rakyat SANGGUP untuk turun ke jalanan, berhadapan dengan gas pemedih mata, water cannon, dan tangkapan rambang FRU semata-mata ingin menyatakan pendirian mereka.

Pada mulanya, saya sendiri pelik dan hairan dengan telatah sesetengah pemimpin di Negara yang bergolak seperti Muammar Gaddafi di Libya, Ali Abdullah Salleh di Yaman, dan lain-lain yang bermati-matian mempertahankan takhta dan kedudukan meskipun jutaan rakyat berkumpul untuk menunjukkan “perasaan” mereka terhadap kerajaan masing-masing.

Jutaan rakyat berkumpul malah melakukan rusuhan kerana meluat dengan Pentadbiran Kerajaan sedia ada. Jika saya, sudah pasti awal-awal lagi meletakkan jawatan. Maklumlah, orang dah tak sudi, kenapa kita mesti tersorong-sorong ingin memaksa. Saya pelik dan hairan, hampir tidak diterima akal, ada juga manusia yang perasan dan tak tahu malu macam ni.

Rupa-rupanya, di Malaysia, Tanah tumpah darahku sendiri, juga ada menyimpan pemimpin-pemimpin yang macam ni. Lebih menghairankan, banyak pulak pengikut-pengikut mereka yang setia. Sedih mengenangkan apa yang berlaku di negara luar, bertambah sedih dan mengharukan bila kejadian yang sama rupanya berlaku di Malaysia.

Mujurlah, tuntutan di Malaysia tidaklah sampai tahap ingin memaksa Najib dan isteri tersayang untuk meletakkan jawatan, atau membayar ganti rugi. Sekadar ingin menuntut hak demokrasi dan keadilan, sebagai rakyat di sebuah negara yang masih lagi Berdaulat.

Berdaulat, kerana keceluparan dan penderhakaan dilakukan oleh pemimpinnya sendiri, bukan rakyat. Rakyat masih bertahan dan enggan melakukan kekerasan. Biarlah undang-undang dipatuhi sebaiknya. Himpunan kali ini pun, sempena meraikan “janji manis" penjajah yang berpakat dengan Parti Perikatan dalam Perkara 10 perlembagaan Persekutuan.

Saya seperti rakyat lainnya, mahukan keamanan dan keadilan. Kami tidak akan takut untuk turun dan mewarnai Kuala Lumpur dengan kemeriahan warna kuning. Inipun, sebagai langkah kami menasihati Kerajaan dengan cara baik untuk kembalikan apa yang sepatutnya menjadi milik kita bersama. Bahawa bumi Malaysia yang berkat dan makmur ini, adalah milik kita, ayuh nikmatinya bersama. Mungkin ada baiknya saya mengulang siar pesan dan keinginan kami yang tuntas dan tegas,
  Ubahlah Sekarang, Selamatkan Malaysia!

Tuesday, June 21, 2011

Dedikasi khas buat Ust...

Saya sedih, dan semacam tak percaya.. Rasa macam baru semalam saya dengar suara Ust. Rasa macam semalam je bergurau dengan Ust.. Ya Allah.. Sesungguhnya kami diciptakan untukMu, dan kepadaMu jua kami akan kembali...


Saya cuba menahan air mata, rupanya tidak segagah yang disangka... 

Dialah yang banyak berjasa kepada saya. 
Menyedarkan saya, 
membangkitkan saya dari lena, 
dan mengenalkan saya dengan diri saya yang sebenarnya. 
Selalu berpesan agar sekeruh mana pun kehidupan, 
tetap perlu berada di atas jalanNya...

Ust, maafkan saya dan terima kasih atas segala-galanya...

Semoga aman Ust di sana...


Wednesday, June 15, 2011

Unta Panggang Albariti...


Inilah rupa dapur bilik yang saya gunakan untuk membuat Unta Panggang Albariti.
Ramuan: 

Daging Unta SEGAR setengah kilo.(kat Mekah ni senang je nak dapat)
Minyak Zaiton
Garam secukup rasa
Kicap manis (di Malaysia sesuai digantikan dengan sos tiram)

Cara menyediakan:
Daging Unta dihiris halus. (mengikut bentuk dan citarasa masing-masing)
Diperap bersama kicap manis dan sedikit garam selama lebih 3 jam 
(saya perap seharian tapi letak dalam peti ais)

Selepas selesai perap,
Panggang pada suhu secukupnya(maaf dapur ni takde penunjuk suhu)
Sebaiknya jangan panas sangat, dan bagi daging yang segar, tak perlu lama. 5-7 minit pun dah cukup supaya tidak keras dan enak di makan. Terasa padang pasirnya... :-)

Ketika sedang memasak. 
Dihidang bersama sup unta(diambil dari dewan makan), dan air Jus Jambu Batu yang sejuk-beku...Kalau takde jus jambu batu pun takpe, hidanglah bersama susu.. :-) 



Ramai yang kata saya berbakat, pada mulanya saya tak percaya, tetapi selepas menikmati Unta Panggang Albariti ini, saya semakin percaya dan bersyukur atas kelebihan yang Allah Ta'ala kurniakan ini. Kalau berminat, boleh ikut pakej umrah bersama saya.. (~_^)

Tuesday, June 14, 2011

Berlakon Baik

Sebenarnya, kita memang diciptakan dengan fitrah yang baik. Kalau kita rasa kita bukan orang yang baik, sebenarnya kita sedang melawan fitrah kejadian diri kita sendiri. Tepuk dada, tanyalah diri sendiri, apakah benar kita menginginkan yang tidak baik, atau kita sebenarnya sedang berpura-pura bahawa kita bukanlah dari golongan orang yang baik-baik.

Baik, bukanlah sesuatu yang mampu diwarisi, apalagi dibeli di kedai atau di pasar-pasar. Baik dimiliki dengan iltizam dan semangat yang tinggi. Untuk melawan nafsu dan menidakkan pandangan orang lain yang cuba menghalang diri kita daripada menjadi baik.

Dahulu, ketika saya di bangku sekolah, saya pernah mengatakan kepada diri saya sendiri, “Farid, takpe untuk berlakon baik, setidak-tidaknya engkau melakukan perkara yang baik walaupun nampak seperti hipokrit, tetapi tetaplah di atas kebaikan tersebut,” kata saya dengan harapan, “baik” itu menjadi sebati dengan diri saya.

Sungguh, saya merasakan berlakon baik itu adalah baik.

Berlakon baik di sini, sekiranya kita faham dengan mata kasar, memang akan kelihatan seperti berpura-pura dan cuba menipu diri sendiri dan orang lain. Atau istilah mudahnya, disebut sebagai munafiq, iaitu zahirnya kelihatan baik, tetapi khabarnya tidak seindah rupa.

Namun begitu, jika kita mengambil “berlakon” itu sebagai salah satu proses untuk mendidik akal dan nafsu kita supaya dapat kembali kepada fitrah asal kejadian kita, mengapa tidak kita berlakon menjadi seorang yang baik? Bukankah setiap manusia itu diciptakan dengan sebaik-baik ciptaan. Maka Allah Ta’ala mengembalikan kedudukannya menjadi sehina-hina makhluk kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh.

Berlakon, pastinya melibatkan jiwa dan perasaan. Lakonan yang baik, ialah lakonan yang penuh penghayatan dan mampu menjiwai watak tersebut dengan baik. Maka berlakonlah dengan harapan, inilah jiwa dan perasaan sebenar yang kita mahukan terhadap diri kita. Iaitu baik, untuk diri sendiri dan orang lain. Ayuh, kita mainkan watak yang baik dan sembunyikan segala sifat yang tidak baik. Berlakonlah di depan dan di belakang manusia. Biar tiada seorang penonton sekalipun, berlakonlah kerana sememangnya, walaupun tidak kelihatan, sentiasa ada dua peminat setia yang tidak pernah terlepas dari mengikuti setiap episod kehidupan anda. supaya di akhir pementasan ini, kita pulang menghadapNya membawa hati yang sejahtera.

Wednesday, June 8, 2011

Tak kenal, maka tak cinta...

Memang manusia terlalu cepat melenting dan menghukum. Kalaupun bukan semua manusia begitu, pastinya saya salah seorang dari mereka yang memiliki ciri-ciri di atas. Cepat melenting dan menghukum sebelum terlebih dahulu jelas dengan sesuatu perkara yang berlaku. Memang ada wajarnya kita mendalami dan meneltiti ayat-ayat Allah di dalam surah Al-Hujurat, yang mengandungi terlalu banyak khazanah juga hikmah yang Allah Ta'ala ajarkan kepada kita, khalifahNya di atas muka bumi ini.

Insiden kecil yang saya alami baru-baru ini ketika berada di Tanah Suci benar-benar menginsafkan saya. Kecilnya rasa diri ini bila mengenangkan kesilapan yang telah saya lakukan. Saya rasa, ramai yang dah sedar dan sedia maklum tentang hakikat perkara yang ingin saya sampaikan ini, tetapi anggaplah ini teguran terbuka yang saya buat ke atas diri saya sendiri, semoga ianya memberikan pengajaran dan peringatan kepada mereka yang beriman.

Allah Ta'ala menyebut di dalam Al-Quran, 



"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)." Al-Hujurat, 49:13.


Kerap berlakuya konflik disebabkan kita belum benar-benar mengenali dan belum benar-benar memahami seseorang atau sesuatu perkara yang menjadi punca konflik tersebut. Konflik berlaku disebabkan perbezaan, dan perbezaan ini dapat diatasi dengan kita mengenali dan memahami perbezaan tersebut dengan sebaiknya.

Sebab itu, apabila Allah Ta'ala memerintahkan kita untuk berkenalan dengan manusia yang diciptakan dari kalangan lelaki dan perempuan. Malah diciptakan pula terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa, "Mengenali" sebenarnya adalah tips penting dalam pergaulan kita seharian. Kenalilah mereka yang ada di sekeliling anda, pasti anda akan dapati, kita semuanya sama, berhak hidup, dan yang terbaik di kalangan kita hanyalah mereka yang bertaqwa, sedang ukuran ketaqwaan seseorang itu pula hanya mampu ditentukan oleh Allah Ta'ala.

Bila kita kenal dan menghayati seseorang, barulah kita faham dan menyelami fikiran dan perasaan mereka. Kalau kita tidak cuba mengenali mereka dengan lebih dekat, sekadar melihat dari luaran, kadang-kadang sekali imbas sahaja, pasti penilaian yang kita buat ke atas mereka akan tersalah dan tersasar. Ketika itu, kita akan menyesal kerana bodoh dan dangkalnya akal dan fikiran kita, dan inilah yang sedang saya rasakan sekarang. Sebab itu, saya semakin suka dengan perkataan "Menghayati".... Empati dan simpati.

Kenapalah kita tidak cuba mengenali seseorang itu dengan lebih dalam dan dekat sebelum kita menghukum atau menilai? Saya yakin, bahkan sedang mengalaminya, jika kita kenal dan cuba menyelami seseorang itu, kita akan mampu menerima perbezaan yang ada sama ada perbezaan yang negatif mahupun positif. Memang, kejadian sebenar tidaklah seindah dan semudah tulisan mahupun percakapan. Tetap, kita kena cuba dan berusaha. Keputusan akhir selepas setiap percubaan adalah 50% berjaya. Tetapi keputusan selepas setiap kali kita enggan mencuba adalah 100% tidak berjaya.

Maka di sinilah kita akan dapati, bahawa konflik itu sebenarnya adalah peluang. Peluang untuk kita mengenali dan memahami seseorang atau sesuatu dengan lebih baik, lebih dalam dan lebih erat. Konflik tidak akan surut, kerana konflik juga adalah ujian yang datang bersamanya peningkatan kualiti, dalam konteks tulisan kali ini, kualiti perhubungan.

Di dalam kehidupan seharian, kita sebenarnya kerap menjadikan diri kita sebagai "Pemain Utama". Kononnya, kitalah yang memegang watak utama, yang memainkan peranan paling penting dan segala yang berlaku, berkisar tentang diri kita, kerana kitalah pelakon utamanya. Kita selalu merasakan diri kitalah yang paling banyak tanggungjawab, kita yang lebih berhak untuk mendapatkan dan memiliki sesuatu, dan kehadiran kitalah yang paling memberikan kesan. Orang lain, hanyalah pembantu, sekadar tambahan untuk memudahkan atau menjadikan jalan cerita menjadi lebih menarik.

Padahal, semua manusia adalah penting dan pemain utama dalam kehidupan kita dan mereka, sebab itulah pentingnya untuk kita MENGENALI, supaya kehadiran dan kewujudan manusia lain dapat kita rasai dan kita raikan dengan hak kehadirannya yang setimpal. Tak kenal, maka tak cinta. Kita mencintai manusia kerana cinta kita pada Yang Esa, maka cintailah mereka seperti yang diajarkan olehNya kepada kita.


Antara Yang Menarik