Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Friday, June 24, 2011

Rindu dan Sayang....

AlhamduliLlah, puji dan syukur seluas langit dan bumi dipanjatkan ke hadrat Ilahi atas kurniaan yang tidak pernah mampu dihitung apalagi dibalas. Semoga hati ini terus dipimpin untuk menjadi seorang hamba yang sentiasa bersyukur.

Setelah hampir sebulan, akhirnya sampailah masanya. Saya sendiri tidak pasti ingin melabelkan “masa” yang tiba ini dengan label yang ditunggu-tunggu atau yang sebaliknya. Ya, masa untuk pulang ke Malaysia, dan juga masa untuk saya meninggalkan tanah suci Mekah dan Madinah.

Adakalanya, tidak sabar rasanya nak pulang ke Malaysia, mungkin kerana ada sesuatu yang saya tinggalkan di Malaysia, tetapi saya tetap sayangkan tanah suci ini dan terasa berat setiap kali ingin berpisah dengannya. Sayang pada Mekah, rindu pada Malaysia.

Semoga ada lagi peluang akan datang.

Di masjid terapung.

Sebenarnya, kalau difikirkan sedalam-dalamnya. Saya tak rasa yang saya mempunyai apa-apa kelebihan atau kelayakan untuk berada di sini. Apalagi untuk berkhidmat melayan dan menguruskan tetamuNya dan tetamu rasulNya. Sentiasa dihimpit kegusaran, bimbang kelemahan dan kesilapan yang ada ini menjejaskan kualiti ibadah para tetamuNya yang mulia. Namun, saya teruskan kerana peluang ini juga mungkin sebagai salah satu tarbiyah yang baik untuk saya memperbaiki diri menjadi hambaNya yang taat.

Saya selalu diajar, beginilah cara berfikir seorang hamba yang baik, - setiap yang baik itu diterima dengan rasa syukur dan yang kurang baik itu diterima dengan penuh redha. Redha dan syukur.



Cuma kali ini, saya benar-benar teruja ingin kembali ke Malaysia. Jelas sekali, untuk menyertai Himpunan Aman BERSIH kali ke dua di Ibu Negara pada 9 Julai.

Cuma, sesekali bila mengenangkan BERSIH ni, rupanya memang ada beberapa persamaan dengan peristiwa yang berlaku di negara-negara TImur Tengah yang sedang bergolak sekarang ni. Saya, masih seperti pendirian asal saya, sebolehnya saya mahu perubahan berlaku secara aman, dan tidak perlulah kerajaan Malaysia ini “dipaksa” sehingga sedemikian rupa untuk berubah oleh rakyat. Saya rasa, mesej dalam Bersih yang pertama dahulu sudah cukup jelas bahawa Ratusan ribu rakyat SANGGUP untuk turun ke jalanan, berhadapan dengan gas pemedih mata, water cannon, dan tangkapan rambang FRU semata-mata ingin menyatakan pendirian mereka.

Pada mulanya, saya sendiri pelik dan hairan dengan telatah sesetengah pemimpin di Negara yang bergolak seperti Muammar Gaddafi di Libya, Ali Abdullah Salleh di Yaman, dan lain-lain yang bermati-matian mempertahankan takhta dan kedudukan meskipun jutaan rakyat berkumpul untuk menunjukkan “perasaan” mereka terhadap kerajaan masing-masing.

Jutaan rakyat berkumpul malah melakukan rusuhan kerana meluat dengan Pentadbiran Kerajaan sedia ada. Jika saya, sudah pasti awal-awal lagi meletakkan jawatan. Maklumlah, orang dah tak sudi, kenapa kita mesti tersorong-sorong ingin memaksa. Saya pelik dan hairan, hampir tidak diterima akal, ada juga manusia yang perasan dan tak tahu malu macam ni.

Rupa-rupanya, di Malaysia, Tanah tumpah darahku sendiri, juga ada menyimpan pemimpin-pemimpin yang macam ni. Lebih menghairankan, banyak pulak pengikut-pengikut mereka yang setia. Sedih mengenangkan apa yang berlaku di negara luar, bertambah sedih dan mengharukan bila kejadian yang sama rupanya berlaku di Malaysia.

Mujurlah, tuntutan di Malaysia tidaklah sampai tahap ingin memaksa Najib dan isteri tersayang untuk meletakkan jawatan, atau membayar ganti rugi. Sekadar ingin menuntut hak demokrasi dan keadilan, sebagai rakyat di sebuah negara yang masih lagi Berdaulat.

Berdaulat, kerana keceluparan dan penderhakaan dilakukan oleh pemimpinnya sendiri, bukan rakyat. Rakyat masih bertahan dan enggan melakukan kekerasan. Biarlah undang-undang dipatuhi sebaiknya. Himpunan kali ini pun, sempena meraikan “janji manis" penjajah yang berpakat dengan Parti Perikatan dalam Perkara 10 perlembagaan Persekutuan.

Saya seperti rakyat lainnya, mahukan keamanan dan keadilan. Kami tidak akan takut untuk turun dan mewarnai Kuala Lumpur dengan kemeriahan warna kuning. Inipun, sebagai langkah kami menasihati Kerajaan dengan cara baik untuk kembalikan apa yang sepatutnya menjadi milik kita bersama. Bahawa bumi Malaysia yang berkat dan makmur ini, adalah milik kita, ayuh nikmatinya bersama. Mungkin ada baiknya saya mengulang siar pesan dan keinginan kami yang tuntas dan tegas,
  Ubahlah Sekarang, Selamatkan Malaysia!

No comments:

Antara Yang Menarik