Sebenarnya, kita memang diciptakan dengan fitrah yang baik. Kalau kita rasa kita bukan orang yang baik, sebenarnya kita sedang melawan fitrah kejadian diri kita sendiri. Tepuk dada, tanyalah diri sendiri, apakah benar kita menginginkan yang tidak baik, atau kita sebenarnya sedang berpura-pura bahawa kita bukanlah dari golongan orang yang baik-baik.
Baik, bukanlah sesuatu yang mampu diwarisi, apalagi dibeli di kedai atau di pasar-pasar. Baik dimiliki dengan iltizam dan semangat yang tinggi. Untuk melawan nafsu dan menidakkan pandangan orang lain yang cuba menghalang diri kita daripada menjadi baik.
Dahulu, ketika saya di bangku sekolah, saya pernah mengatakan kepada diri saya sendiri, “Farid, takpe untuk berlakon baik, setidak-tidaknya engkau melakukan perkara yang baik walaupun nampak seperti hipokrit, tetapi tetaplah di atas kebaikan tersebut,” kata saya dengan harapan, “baik” itu menjadi sebati dengan diri saya.
Sungguh, saya merasakan berlakon baik itu adalah baik.
Berlakon baik di sini, sekiranya kita faham dengan mata kasar, memang akan kelihatan seperti berpura-pura dan cuba menipu diri sendiri dan orang lain. Atau istilah mudahnya, disebut sebagai munafiq, iaitu zahirnya kelihatan baik, tetapi khabarnya tidak seindah rupa.
Namun begitu, jika kita mengambil “berlakon” itu sebagai salah satu proses untuk mendidik akal dan nafsu kita supaya dapat kembali kepada fitrah asal kejadian kita, mengapa tidak kita berlakon menjadi seorang yang baik? Bukankah setiap manusia itu diciptakan dengan sebaik-baik ciptaan. Maka Allah Ta’ala mengembalikan kedudukannya menjadi sehina-hina makhluk kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh.
Berlakon, pastinya melibatkan jiwa dan perasaan. Lakonan yang baik, ialah lakonan yang penuh penghayatan dan mampu menjiwai watak tersebut dengan baik. Maka berlakonlah dengan harapan, inilah jiwa dan perasaan sebenar yang kita mahukan terhadap diri kita. Iaitu baik, untuk diri sendiri dan orang lain. Ayuh, kita mainkan watak yang baik dan sembunyikan segala sifat yang tidak baik. Berlakonlah di depan dan di belakang manusia. Biar tiada seorang penonton sekalipun, berlakonlah kerana sememangnya, walaupun tidak kelihatan, sentiasa ada dua peminat setia yang tidak pernah terlepas dari mengikuti setiap episod kehidupan anda. supaya di akhir pementasan ini, kita pulang menghadapNya membawa hati yang sejahtera.
1 comment:
pada saya boleh berlakon baik..at least ada gak rasa nak jadi baik..tapi kena ingat bab2 kalau nak tegur kesalahan manusia lain 4 jari tunjuk diri sendiri 1 jari tunjuk org itu..sb kita manusia biasa yg bisa melakukan kesalahan ..
Post a Comment